Halaman

02 January 2014

305 remaja dapat RM200 seorang.

Arisan..terima kasih kerajaan.
Oleh: Aminudin Ismail. 

JABI: Penerima Dana Bakti Remaja 2013 DUN Jabi menganggap pemberian dana itu sebanyak RM200 tiap seorang menunjukkan keperihatin parti pemerintah itu terhadap golongan remaja terutamanya mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

Tinjauan Teganukita di Majlis Pembahagian Wang Dana Remaja 2013 Dun itu, di Dewan Sivik, Jabi, hari ini mendapati rata-rata remaja yang ditemui gembira menerima sumbangan dana itu dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional.

Seorang remaja, Mohd Arisan Ghazali, 28, berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi sumbangan wang dana itu kepadanya dan pemberian itu dapat meringankan sedikit bebanannya untuk membeli keperluan harian.

"Saya bekerja sendiri, pendapatannya tidak menentu, lagipun baru-baru ini saya tidak dapat bekerja selama hampir setahun kerana masalah kesihatan akibat terbabit dengan kemalangan jalanraya.

"Sumbangan ini amat bermakna bagi saya kerana ia boleh saya gunakan untuk membeli beberapa keperluan harian.

"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan berharap supaya bantuan ini dapat dikekalkan pada masa depan," katanya yang sudah tujuh kali mendapat bantuan dana remaja itu.

Nur Idayu..usaha murni.
Seorang lagi penerima,Siti Nur Idayu, 27, yang sudah enam kali menerima bantuan dana itu, begitu gembira menerima wang dana itu dan ia adalah satu usaha murni kerajaan membantu remaja.

"Usaha kerajaan ini amat bagus bagi meringan bebanan remaja untuk berbelanja pada awal tahun baru ini. Saya akan gunakan wang RM200 ini untuk membeli beberapa keperluan harian saya dan tidak akan membazirkan wang itu," katanya.

Dalam pada itu, pada hari ini seramai 305 remaja dari kawasan Kampung Tok Dor, Tempinis dan Apal menerima wang dana remaja itu sebanyak RM200 tiap seorang dan majlis penyampaian itu dirasmikan oleh wakil Ahli Parlimen Setiu iaitu Abdullah Mat Amin.

Hadir...sebahagian remaja yang hadir.
Wan Ramly (Apal)..perlu diteruskan.

Mohd Nasri. (Apal) ..ringan bebanan,


 

2,611 belia di Dun Kijal terima wang Dana Bakti Remaja

 Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 2,000 belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal hari ini menerima manfaat daripada Program Dana Bakti Remaja yang diberi oleh kerajaan Terengganu kepada golongan bujang berusia 21 hingga 40 tahun.
Menteri Besar melihat penerima dana menyerahkan borang masing-masing sebelum menerima wang tunai RM200
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pemberian wang tunai sebanyak RM200 itu merupakan nikmat yang dikecapi golongan muda di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kalau kita bersyukur dengan nikmat yang Tuhan bagi, maka nikmat tersebut akan bertambah.

 “Dengan adanya kerajaan BN, anak-anak muda mendapat pelbagai nikmat seperti dana remaja ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dana Bakti Remaja 2013 di Dewan Sivik Kijal, Kemaman, hari ini.

Beliau turut berharap penerima bantuan itu memanfaatkan sebaik-baiknya sumbangan berkenaan.
Sebahagian daripada penerima Dana bakti Remaja Dun Kijal
Sementara itu, sebanyak 2,611 belia dari 25 buah kampung menerima wang berkenaan di mana majlis penyerahan wang Dana Bakti Remaja bagi Dun Kijal diadakan selama dua hari bermula hari ini.



JKM Besut, Dun Jabi perihatin pesakit terlantar.

KUNJUNGAN MESRA...Isteri Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi, Dr. Nor Asmawati Wahab (kanan) sedang membelai mesra adik Mohd Fitri Zulkifli, 12 yang mengalami cacat fizikal sambil diperhati Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiu, Norfuzilawati Yusof, di rumah Mohd Fitri di Kampung Tok Dor, Parlimen Setiu, hari ini.

Kunjungan melalui Program DUN Jabi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut itu turut dihadiri Pegawai Kebajikan Daerah Besut, Dalila Mohd Nasir bersama tiga kakitangannya. Selain itu tiga ahli Puteri UMNO serta lima Penyelaras Dun Jabi turut hadir.

Dalila berkata, sebanyak enam buah rumah dikunjungi melalui program kunjungan mesra itu di mana seorang daripada ahli keluarga mereka adalah OKU pesakit terlantar.

Dalila..kunjungan mesra.
"Hari ini isteri YB Dun Jabi ada bersama kita dan untuk diperkenalkan kepada keluarga pesakit terlantar ini dan apa yang boleh dibantu oleh YB terhadap mereka ini sekiranya perlu.

"JKM akan berkunjung ke setiap rumah penerima bantuan kami bukan sahaja ahli PDK sahaja tetapi semua pesakit terlantar yang lain dan kami lakukan ini secara berperingkat.

"Hari ini kita membawa hamper berbentuk makanan kepada mereka," katanya.

Menurut Dalila, dia mengharapkan pesakit terlantar itu bukan sahaja mendapat perhatian dari JKM semata-mata malah pihak-pihak lain yang berkemampuan perlulah bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan pesakit itu.-Oleh: Aminudin Ismail.
Kenangan..peserta program bergambar kenangan.

Ketika di rumah Khadijah Yaakob yang anaknya OKU.

Bersama Nur Dahlia Abdul Ghafar di Kampung Jabi.

Fuzilawati bersama Mohd Faiz Ismail (Di Kg.Kepala Gajah)

Dr. Asmawati bersama Mohd Fazwan Adnan di Kampung Renek.
Mohd Aqkil Yahya bersama ibunya Wan Noraini(Kg.Tempinis).

 

Lima acara di Terengganu mengisi kalendar TMM 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berharap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyenaraikan lima acara utama dari negeri ini antara 22 acara utama sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Lima acara itu ialah Festival Kenyir, Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu, Terengganu International Rainforest Challenge, Sultan Mizan Cup dan Fiesta Redang-Perhentian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata Terengganu bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara kebudayaan dan pelancongan di peringkat antarabangsa sepanjang 2014 ini.

“Kita juga mahu beberapa acara antarabangsa dimasukkan dalam kelandar TMM 2014 termasuk Pesta Candat Sotong pada Mei dan Festival Kenyir selama sebulan bermula April hingga Mei,” katanya ketika berucap sempena merasmikan Penganjuran Malam Aprisiasi Penggiat Industri Pelancongan dan Media Negeri Terengganu serta Pra Pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurusan Kanan Tourism Terengganu, Haji Ishamudin Hashim dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menganggarkan kedatangan lima juta pelancong keseluruhannya pada 2014 dengan 35 peratusnya pelancong luar negara.

“Kemudahan 9,729 unit bilik hotel dan resort yang ada di seluruh Terengganu dijangka dapat menampung kedatangan lima juta pengunjung sepanjang 2014 nanti. Jumlah itu tidak termasuk hotel baru yang belum dirasmikan.

“Jangkaan kedatangan pelancong bertambah pada 2014 juga disokong dengan sebahagian program di Tasik Kenyir yang akan siap tidak lama lagi, termasuk Santuari Kelah dan Gajah, Taman Rama-Rama serta Festival Kenyir yang akan diadakan sebulan bermula April nanti,” katanya.

Selain itu, bagi memastikan Terengganu terus menjadi destinasi pilihan, kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan kempen TMT berterusan sejajar dengan inisiatif menjadikan industri pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negeri tercapai.

Beliau juga berharap TMM 2014 yang menyusul dengan Tahun Perayaan 2015 sebagaimana pengumuman Perdana Menteri menerusi pembentangan bajet dua bulan lalu menjadi pemangkin kepada hasrat itu.

Dato’ Mohd Jidin berkata, Terengganu lebih awal bersedia menyambut TMM 2014 menerusi penganjuran TMT 2013 sama ada bersedia dari segi promosi, infrastruktur pelancongan, pakej pelancongan dan program pelancongan.

“Seiring dengan itu, kerajaan negeri mengambil langkah memfokuskan promosi dan pembangunan kepada empat produk pelancongan utama negeri seperti pertama, pulau dan pantai; kedua, Kuala Terengganu Bandaraya Warisan pesisir Air; ketiga, Tasik Kenyir dan keempat, produk-produk pelancongan yang merangkumi seni dan budaya, sejarah dan warisan, taman rekreasi, hutan simpan dan air terjun, Setiu Wetland dan penyu,” katanya.

 

Sesi pemilihan Kejohanan Piala FAM

Majlis Sukan Negeri dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola sepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) akan mengadakan sesi pemilhan untuk memilih pemain bola sepak mewakili Terengganu ke Kejohanan Piala FAM Musim 2014.

Mereka yang berminat dijemput menghadiri sesi pemilihan yang akan diadakan seperti berikut :-

Tarikh : 2 hingga 8 Januari 2014
Masa : 4.00 petang
Tempat : Padang Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu
Syarat : Umur 22 hingga 25 tahun dan mesti rakyat negeri Terengganu.

Sebarang pertanyaan hubungi :- Encik Shahmri bin Hamzah, Pegawai Media MSNT (019-9825757)

Tasik kenyir bersedia sambut kedatangan TMM 2014

Oleh: Suriati Ali 

Destinasi pelancongan tersohor, Tasik Kenyir Hulu Terengganu bersedia menyambut ketibaan pelancong dalam dan luar negara bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

 Pengarah Pembangunan Tasik Kenyir, Mokh Tar Che Ali berkata menjelang TMM 2014, pihaknya yakin jumlah pengunjung ke tasik peranginan itu akan mencecah 500,000 orang.

 “Pelbagai acara diatur oeleh pihaknya termasuk acara terbesar iaitu Festival Tasik kenyir yang berlangsung selama sebulan.

“Tasik Kenyir yang menempatkan beberapa resort, mempunyai kemudahan kira-kira 300 bilik selain 30 rumah bot dan jumlah itu dijangka bertambah sekali ganda dalam tempoh beberapa tahun lagi selepas projek pulau bebas cukai di Pulau Bayas beroperasi awal 2015.

 “Antara tarikan lain, Pulau Herba, Taman Burung, Santuari Kelah dan Sanrtuari Gajah,” katanya.

 

KRT Kampung Tok Dir proaktif bermula 2014

Oleh : Amirullah Othman 

Kawalan Rukun Tetangga(KRT) Kampung Tok Dir berhasrat menjadikan tahun baru 2014 sebagai landasan untuk memenuhi segala bentuk peningkatan sahsiah diri dan mewujudkan ikatan silaturrahim lebih utuh di kalangan jawatankuasa.

Bagi memastikan hasrat itu menjadi kenyataan, satu program bagi menghimpunkan semua jawatankuasa KRT berkenaan dengan kepimpinan kampung itu dilaksanakan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Setiausahanya, Encik Matam Mohamad mengambil inisiatif yang begitu proaktif dengan mengadunkan pelbagai aktiviti untuk menjayakan matlamat penubuhan dan menggerakkan aktiviti sesama ahli serta jawatankuasa berkenaan.

“Dalam pertemuan ini, kami turut membentangkan hala tuju dan perancangan program tahunan 2014 supaya setiap program mampu dilaksanakan dengan terancang.

 “Kesan daripada program yang dijalankan ini, banyak pandangan positif dapat diperolehi daripada setiap jawatankuasa ,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bersusaha sedaya upaya untuk memenuhi segala permintaan dan menjaga keharmonian penduduk di Kampung Tok Dir.

Seramai 30 orang jawatankuasa berkampung dalam houseboat di Tasik Kenyir sepanjang tiga hari dua malam itu.

 

Pemilihan cabaran Terengganu De'Everest

Selaras dengan hasrat untuk merealisasikan slogan Terengganu kuasa sukan negara, kerajaan negeri Terengganu melancarkan projek Terengganu D'Everest untuk menawan puncak gunung Everest pada April 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah dilantik sebagai urusetia projek tersebut.

"Terengganu nelang (berani) dan Terengganu boleh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa urusetia Terengganu De'Everest 2015, semalam.

YB Haji Rozi berkata projek tersebut mendapat kerjasama Persatuan Kembara Malaysia dan negeri. 

Katanya Mohd Rafi Qori, anak Terengganu pertama yang berjaya menawan gunung Everest pada 2007 telah dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu De'Everest.

 Beliau berkata satu sesi pemilihan pendaki di kalangan rakyat Terengganu akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak pada 9.30 pagi, 11 Januari  ini.

YB Haji Rozi berkata untuk saringan awal, seramai 40 orang akan dipilih dan daripada jumlah itu cuma lapan orang sahaja akan dipilih untuk membawa misi kerajaan negeri itu.

Menurutnya antara syarat untuk menyertai pemilihan itu lelaki dan perempuan berumur 18 tahun ke atas serta berpengalaman dalam pendakian.

Borang permohonan boleh didapati di pejabat MSNT dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu.


Belia Marang hulur bantuan


Oleh: Amirullah Othman

Kepimpinan Majlis Belia Daerah Marang dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Marang menziarahi mangsa-mangsa banjir di daerah Marang, kelmarin.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik zaidi Muda, berkata kepimpinan Majlis Belia Daerah Marang mengambil inisiatif  memberikan bantuan dalam bentuk barangan dapur kepada mangsa-mangsa banjir.

"Program ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang telah mengalami kerosakan harta benda yang teruk dalam bencana banjir yang lalu.

"Kesemua mangsa mengucapkan terima kasih kepada warga belia dan bersyukur kerana dalam keadaan mereka mengalami musibah dan kesusahan ini bantuan yang diperolehi tidak putus-putus," katanya kepada Teganukita.

Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Marang, Encik Shamsir Mohd dan 30 sukarelawan-sukarelawan Rakan Muda.

Sukarelawan berkenaan turut membantu dan meninjau sendiri kesan akibat musibah itu, baru-baru ini.

Terdapat empat pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Marang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih yang melibatkan 13 keluarga (37 mangsa); SK Pengkalan Berangan, satu keluarga (empat orang); Dewan Orang Ramai Temala tiga keluarga (19 orang) dan di SK Jenang membabitkan dua keluarga (tujuh  orang).

 Seramai 67 mangsa dari 19 keluarga keseluruhan dipindahkan ke pusat perpindahan di daerah Marang.


01 January 2014

Pelajar Tatiuc bakal cipta kerusi roda



Oleh: Mastura Jamaldin

Terengganu akan menggunakan kepakaran sekumpulan pelajar Kolej Universiti Tati (Tatiuc) di Kemaman untuk mencipta kerusi roda pelbagai fungsi untuk memenuhi keperluan murid-murid istimewa di negeri ini.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata Tatiuc sememangnya mempunyai ramai pelajar berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi reka bentuk yang mampu menghasilkan kerusi roda khas untuk murid istimewa itu.

 Sebagai permulaan kumpulan penyelidik dariTatiuc itu akan datang ke Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong di sini untuk melihat pergerakan seorang murid istimewa, Nur Damia Irsalina yang mempunyai sebuah kerusi roda khas yang ditempah ibu bapanya bulan lalu.


"Kita mahu kumpulan itu melihat sendiri pergerakan Damia untuk memaksimumkan dan menambah pelbagai fungsi kerusi roda itu dan berharap hasil rekaan mereka kelak akan memberi manfaat kepada Damia agar dia lebih selesa sepanjang berada di sekolah," katanya kepada pemberita ketika tinajauan di SK Kuala Telemong

 Pada tahun ini, 426 pelajar yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat fizikal belajar di kelas aliran perdana di seluruh Terengganu. Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293 di sekolah rendah dan 1,304 di sekolah menengah.

 Anak ketiga pasangan Dr Daeng Malis Ab Kahar dan Rosnaini Mohamad yang dilahirkan dengan kaki dan tangan yang tidak sempurna kelihatan ceria memasuki perkarangan sekolah pada pukul 7.30 pagi untuk memulakan sesi persekolahan Tahun Satu.

 Kehadiran Damia mencuri perhatian ramai kerana bersemangat kuat untuk memasuki kelas aliran perdana walaupun menghadapi kesukaran bergerak dan beliau mengakui begitu teruja hendak bersekolah dan bangun seawal 6 pagi kerana mahu berjumpa kawan-kawan lamanya, katanya kepada pemberita.

 Bagi Rosnaini pula, kesediaan pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu untuk menerima kemasukan anaknya ke Tahun Satu adalah berita paling gembira buatnya.

 "Pihak sekolah juga menyediakan laluan khas untuk kerusi roda Damia ke kelas dan membenarkan Damia memakai pakaian yang sesuai dengan keadaan fizikalnya.

 "Saya hanya mahu dia membesar di persekitaran normal bersama kawan-kawan untuk menikmati keindahan hidup seperti kanak-kanak yang lain," katanya yang membelanjakan RM10,000 untuk menempah kerusi roda khas itu dari Zull Design Autotronic di Rawang, Selangor.

 Guru Besar SK Kuala Telemong, Ismail Abdullah berkata ini adalah kali pertama sekolahnya menerima kemasukan seorang murid istimewa dan akan membantu memastikan keselesaan Damia

.

Nasib malang nenek mangsa kebakaran dapat perhatian Exco


YB Muhamad Pehimi mendengar ritihan mangsa kebakaran

Oleh: Mohammad Ishak 

Nasib malang yang menimpa usia emas,Siti Aminah Abdullah, 75, dari Kampung Gong Mak Som, dekat Jertih, yang kehilangan tempat tinggal apabila rumahnya musnah dalam kebakaran mendapat perhatian pemimpin kerajaan.

Siti Aminah yang tinggal bersama empat cucu berusi 3 dan 11 tahun bagaimanapun terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat, Muhamad Pehimi Yusof ketika kejadian tidak ada dalam kawasan kerana menunaikan umrah dan kembali ke tanah air malam tadi.

Bagaimanapun, sebaik dimaklumkan oleh pegawainya mengenai nasib yang menimpa warga emas itu, Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, pagi ini melawat mangsa terbabit.

Sempena lawatan kerja itu, Muhamad Pehimi turut menyampaikan bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Siti Aminah berkata, dalam kebakaran itu beliau tidak sempat menyelamatkan semua harta dalam rumah menyebabkan beliau mengalami kerugian kira-kira RM160,00.

 “Saya bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran itu walaupun semua barang penting musnah dalam kebakaran,” katanya.

Si cilik gembira hari pertama bersekolah

Oleh: Noraini Jusoh dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Pelbagai gelagat murid tahun satu dapat dilihat pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ladang, Kuala Terengganu, hari ini.
Kebanyakan mereka menunjukkan riak wajah ceria dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru. Hanya sebilangan kecil sahaja dilihat sentiasa ditemani ibu atau bapa.

Tinjauan Teganukita di sekolah itu mendapati sebahagian besar murid pandai berdikari dan sudah mula berkawan sesama mereka.

Walaupun ada yang menangis apabila ibu bapa beredar meninggalkan mereka kepada guru kelas masing-masing, tetapi keadaan itu tidak lama kerana sebaik sahaja kelas bermula, si cilik mula memberi tumpuan kepada guru yang mengajar.

Salah seorang murid, Nurul Nuha, 7, sangat teruja memulakan persekolahan dan kelihatan sungguh gembira dapat bersama rakan-rakan yang lain belajar di sekolah berkenaan.

“Saya sangat gembira dapat bersekolah dan hendak belajar bersungguh-sungguh dan jadi budak pandai," katanya.

Rakannya, Nor Azwatie, 7, pula berkata dia begitu bersemangat untuk bersekolah dan tidak berasa takut pada hari pertama sesi persekolahan bermula.

“Saya tidak sabar untuk bersekolah dan tidak menangis pun apabila tiba di sekolah kerana ada ramai kawan-kawan,” katanya.

Dalam pada itu Guru Besar sekolah berkenaan, Haji Ghazali Abd Rahman (gambar) berkata, kerjasama yang baik diberikan ibu bapa semasa menghantar anak-anak pada hari pertama persekolahan.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan ibu bapa memberikan kerjasama apabila diminta beredar dan dilarang berada di kelas atau berdekatan kelas sewaktu sesi pembelajaran. Kita hanya benarkan ibu bapa berjumpa anak masing-masing pada waktu rehat,’ ujarnya.

Katanya, larangan tersebut bertujuan mempercepatkan lagi proses penyesuaian diri murid-murid terhadap persekitaran di sekolah.

Haji Ghazali berkata, sehingga hari pertama sesi persekolahan bermula, seramai 39 orang murid mendaftar untuk memasuki Darjah Satu di Sekolah berkenaan yang mempunyai 321 murid keseluruhannya.

Sementara itu, seramai 17, 481 murid memasuki Darjah Satu di 351 buah sekolah rendah di Terengganu pada hari ini.

 

CUEPACS TIDAK AKAN MEMBELA JIKA ADA ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BELOT- TERLIBAT DENGAN HIMPUNAN 'TURUN' GULING KERAJAAN

Eksklusif oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita.

 Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS, tidak sekali-kali akan membela jika terdapat mana-mana anggota perkhidmatan awam yang terlibat dengan himpunan atau demonstrasi haram atas nama apa sekali pun, kata Presidennya, Azih Muda.
  “Mereka sebagai penjawat awam sepatutnya tidak terlibat dengan aktiviti di luar kerangka tugas selaku penjawat awam,” katanya kepada Pengarang Teganukita sewaktu mengadakan pertemuan khas di Pejabat Unit Komunikasi Negeri Terengganu. Mereka tentu tahu tentang peraturan dan perintah am perkhidmatan awam di bawah Bab D berkaitan kesalahan dan tatatertib, kata beliau yang begitu tegas dalam hal ini menyokong agar pihak kerajaan menguatkuasakan peraturan jika terbukti ada anggota perkhidmatan awam yang terlibat dengan salah laku.
  Azih mengulas kejadian himpunan atau demonstrasi haram oleh perusuh yang kononnya hendak mengguling atau menjatuhkan kerajaan malam tadi 31 Ogos di beberapa tempat awam termasuk di ibu kota Kuala Lumpur.
  Sambutan Ambang Tahun Baharu 2014 Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka terpaksa dihentikan pukul 11.30 malam ini, 30 minit sebelum kemuncaknya berikutan tindakan liar penyokong himpunan guling kerajaan merusuh dan menceroboh kawasan pentas utama.
  Malam tadi pengacara majlis terpaksa mengumumkan pembatalan sambutan tahun baru termasuk pertunjukan bunga api, hanya 30 minit sebelum detik 12 tengah malam menandakan bermulanya 1 Januari 2014, berikutan perusuh membaling objek ke arah pentas utama.
  Ketika itu, Orkestra DBKL sedang mengadakan persembahan apabila tiba-tiba perusuh berbaju hitam menyerbu pentas utama. Selain itu, beberapa kenamaan termasuk Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dilihat telah meninggalkan tempat duduk masing-masing.
  Orang awam yang hadir semata-mata ingin menyaksikan persembahan dan pertunjukan bunga api juga terpaksa memilih untuk pulang awal untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. -
  Para perusuh berbaju hitam masih meluru ke arah pentas utama, membaling objek dan menjerit-jerit menghina kerajaan.
 Azih menegaskan, “ kita telah berikrar dan buat akuan sumpah untuk menjalankan tugas sebagai anggota perkhidmatan awam dan kita perlu amanah dan bertanggungjawab kepada kerajaan yang telah melantik dan menggajikan kita”.
  “CUEPACS tidak akan sekali kali membela anggota perkhidmatan awam yang sekiranya didapati bersalah, terutama yang boleh memusnahkan negara,” katanya.
 “Oleh itu saya nasihatkan agar semua anggota perkhidmatan awam tidak membabitkan diri dalam sebarang perhimpunan haram dan kegiatan-kegiatan yang boleh memusnahkan negara kerana sebagai anggota perkhidmatan awam kita sebenarnya telah banyak mendapat faedah hasil dari keamanan dan kemajuan negara,” kata Azih.

Sekitar hari pertama tahun satu di Setiu.

Murid Tahun 1 SKPJ sudah mula belajar melukis.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Seramai kira-kira 1090 murid memulakan persekolahan mereka di tahun satu di kira-kira 14 buah sekolah rendah di daerah Setiu pada tahun ini.

Tinjauan Teganukita di beberapa buah sekolah pagi tadi mendapati, kebanyakan murid begitu gembira dan teruja untuk memulakan persekolahan mereka malah tidak ramai ibubapa yang menemani anak-anak mereka sehingga ke bilik darjah.

Dengar..murid SKF asyik mendengar ucapan guru, Ros Azimah Sulong.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Fikri (SKF), Ibrahim Awang berkata, sekolahnya mencatat sejarah pada tahun ini kerana jumlah murid yang belajar di darjah satu adalah paling ramai.

"Biasanya, paling ramai belajar di tahun satu sekolah ini sekitar 10 dan 20 orang sahaja, tetapi pada tahun ini jumlahnya bertambah sekali ganda dari tahun lepas iaitu seramai 30 orang, tahun lepas hanya 12 orang," katanya.

Bagi Sekolah Kebangsaan Merbau Menyusut  (SKMM) pula, jumlah muridnya adalah yang antara yang sedikit di daerah Setiu iaitu seramai 10 orang.

Jurahaizan Jamaluddin, guru SKMM melihat buku murid tahun 1.
"Jumlah murid tahun satu sekolah ini memang tidak ramai iaitu sekitar 10 hingga 20 orang. Ini memudahkan guru memberi tumpuan kepada murid-murid," kata seorang guru sekolah itu, Zamri Ali.

Sementara itu, di SK Putera Jaya  (SKPJ) pula, selain program suaikenal, murid juga diberi peluang untuk melukis bagi membiasakan murid dengan suasana persekolahan.

"Pada tahun ini seramai 21 murid belajar dalam darjah satu iaitu seramai 16 perempuan dan 15 lelaki. Suasana hari pertama persekolahan hari ini lancar dan semua murid menunjukan semangat untuk belajar," kata Guru Besarnya, Zainuddin Dollah.
Gembira...beberapa murid Tahun 1 SK Chalok Barat sempat berposing.

Seorang murid SKMM hampir tertidur.
Nur Izzah Farhanah (kanan) sedang membantu adiknya, Nur Izzah Sofia.
GB Sk Chalok Barat sedang memberi taklimat pada murid tahun 1.

 

20,576 murid Tahun Satu di Terengganu mula bersekolah

Oleh: Suriati Ali

Seramai 20,576 murid memasuki Tahun Satu membabitkan 351 sekolah rendah di Terengganu memulakan sesi persekolahan 2014, hari ini.

 Daripada jumlah itu, seramai 426 pelajar merupakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat fizikal mengikuti persekolahan aliran kelas perdana.

 Murid pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan dan keperluan khas pula seramai 2,293.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin berkata terdapat sebuah sekolah baru mula beroperasi pada tahun ini, iaitu Sekolah Kebangsaan Sekolah Kebangsaan (SK) Setengge, Hulu Terengganu.

Katanya, sebanyak 19 sekolah yang terjejas banjir awal bulan ini turut memulakan sesi baru persekolahan hari ini.

 “Sekolah tersebut sudah dibersihkan dan buku teks serta perabot yang rosak sudah diganti.

 "Bagi asrama yang terjejas seperti di Sekolah Menengah Mak Lagam di Kemaman, tilam-tilam dan perabot juga telah digantikan

 “Sebanyak 33 sekolah yang dijadikan pusat pemindahan juga telah dibersihkan dan perabotnya disusun atur untuk memulakan sesi persekolahan esok,” katanya.

 

Mangsa banjir di Hulu Terengganu terima bantuan persekolahan

Oleh: Mastura Jamaldin

Seramai 875 pelajar mangsa banjir di Hulu Terengganu menerima bantuan barangan persekolahan sempena sesi baru persekolahan yang bermula hari ini.

Bantuan kepada pelajar dari Kuala Berang, Telemong dan Ajil itu bagi meringankan bebanan keluarga mangsa berikutan banyak mengalami kerosakan harta benda akibat musibah banjir itu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu  Dato’ Jailani Johari, berkata sumbangan daripadada agensi seperti KUB, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), JASA serta Pergerakan Pemuda Umno Malaysia itu amat dihargai.

“Banjir sebenarnya mempunyai hikmat tersendiri keranamelaluinya,mangsa mendapat perhatian dan pelbagai intensif khas disediakan oleh pihak berwajib termasuk dari kerajaan Pusat dan negeri seperti bantuan kewangan.

“Saya juga berharap bantuan yang diterima pada hari ini dapat member motivasi kepada pelajar supaya lebih cekal selepas dilanda musibah,” katanya di Hulu Terengganu, semalam.

Selain bantuan persekolahan, Dato’Jailani merangkap Ketua Umno Bahagian turut memberi penghargaan kepada warga sukarelawan banjir yang membantu ketika menghadapi gelombang banjir pertama dan kedua, baru-baru ini.

 Beliau juga berharap sikap prihatin terus dipupuk dalam kehidupan masyarakat Hulu Terengganu, terutama ketika menghadapi bencana alam.


Ibu bapa teruja lihat anak masuk sekolah

Oleh: Suriati Ali

 Minggu pertama sesi persekolahan, semestinya ibu bapa, terutama bagi yang mempunyai anak yang baru memasuki tadika atau Tahun Satu, paling kalut dan teruja untuk melihat anak masing-masing memulakan alam persekolahan.

Ada di antara ibu bapa sanggup mengambil cuti dua atau tiga hari semata-mata mahu menemani anak supaya dapat membiasakan diri bergaul dengan guru dan rakan sekelas.

 Tinjauan Teganukita di Tadikan Yayasan Islam cawangan Kuala Terengganu, Jalan Pusara pada hari pertama sesi persekolahan mendapati, ada murid yang menghadiahkan senyuman pada guru yang menyambut di kelas dan tidak kurang juga menangis kerana tidak mahu masuk kelas.



 Ibu bapa tetap melayan dengan penuh sabar walaupun terpaksa menemani anak sehingga tamat waktu belajar.

Pada minggu pertama sesi persekolahan tadika itu, murid terlebih dahulu didedahkan pelbagai mainan dan aktiviti menyenorokkan sebelum diminta memperkenalkan diri kepada rakan dan guru. Usaha itu dilihat dapat meredakan perasaan takut dan malu berdepan dengan suasana baru.

 Murid juga didedahkan dengan pelbagai perkara asas, seperti bagaimana hendak ke tandas, apa perlu buat ketika berada di perpustakaan dan ada sopan ketika makan di kantin.