Halaman

17 August 2009

Kerajaan atasi pengangguran

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Kerajaan negeri akan berusaha lebih gigih bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada belia tempatan yang masih menganggur supaya mereka mendapat pekerjaan di masa depan.

Antara langkah yang sedang dilakukan kerajaan negeri ialah memperhebatkan lagi skim seperti T-Gas yang memberi peluang kepada belia lepasan ijazah bekerjasama menimba pengalaman dengan syarikat-syarikat turut menyertai skim berkenaan.


Dato' Ahmad bersalaman dengan belia yang hadir pada Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia peringkat negeri Terengganu 2009 di Stadium Negeri.

Berdasarkan maklumat Jabatan Perangkaan Negara, pada akhir tahun lalu, seramai 2.8 peratus atau 10,000 belia di negeri ini masih menganggur.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, berpaksikan kepada agenda ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’, setiap projek dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri akan memastikan keuntungan diperolehi akan dinikmati oleh rakyat semaksimum mungkin.


Sebahagian belia dan tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia peringkat negeri Terengganu 2009 di Stadium Negeri.

“Pastinya golongan belia turut sama mendapat keuntungan daripada perkembangan ini dari sudut ekonomi, antaranya dengan kepesatan bidang pelancongan seperti usaha yang mula menampakkan hasilnya di Tasik Kenyir,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia peringkat negeri Terengganu 2009 di Stadium Negeri, 15 Ogos lalu.

Beliau berkata, melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan seperti Kerteh Plastic Park pula, turut membuka peluang pekerjaan kepada belia, khasnya sama ada secara langsung di bidang teknologi itu mahu pun bidang sampingan lain,

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar meminta golongan belia agar menambah ilmu pengetahuan dalam diri mereka bagi menjauhi pelbagai anasir tidak baik.


Dato' Ahmad menyampaikan anugerah kepada Tokoh Belia Wanita, Cik Esah Mohamad pada Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia peringkat negeri Terengganu 2009 di Stadium Negeri. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Beliau berkata, unsur utama yang menyebabkan golongan belia terlibat dalam jenayah ialah ilmu yang tidak lengkap sama ada ilmu itu kurang dicintai, difahami, dinilai atau diamalkan di kalangan mereka sendiri.

UKOM

Zon Pakaian Di Kemaman

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Zon jualan kain, pakaian dan pelbagai barangan kegunaan rumah bakal diwujudkan di kawasan Kemaman Supply Base (KSB) di Kemaman, bagi memudahkan rakyat negeri ini membeli barangan tersebut.

Dengan adanya zon berkenaan yang bertujuan mengimbangi pembangunan Bandar Baru Kijal, penduduk negeri ini tidak perlu lagi ke Nilai, Segamat, Tangkak, Langkawi atau Kelantan bagi mendapatkan barangan bermutu dengan harga berpatutan.


Dato' Ahmad berbual mesra dengan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Ibrahim Jaafar pada majlis makan malam `Semalam Bersama Menteri Besar' di Primula Beach Resort. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, mengumumkan satu kajian dilakukan bagi merealisasikan cadangan tersebut dan pihaknya meminta kerjasama Jabatan Kastam Diraja untuk membantu mempercepatkan proses berkenaan.


Dato' Ahmad bersalaman dengan kakitangan Kastam yang hadir pada majlis makan malam `Semalam Bersama Menteri Besar' di Primula Beach Resort.

“Kerajaan negeri juga menawarkan tanah kepada Jabatan Kastam bagi membina kuarters dan pejabat lebih selesa di Bandar Baru Kijal yang akan menempatkan pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan dan negeri serta kawasan perniagaan, hospital dan kemudahan sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam ‘Semalam Bersama Menteri Besar’ sempena Mesyuarat Pengarah Kastam Semalaysia ke-61 di dewan Gamelan Primula Beach Resort, pada 14 Ogos lalu.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri juga merancang pembinaan pembesaran jambatan Sungai Cukai di Bukit Kuang yang kini merupakan punca kesesakan lalu lintas ke kawasan Perindustrian Telok Kalong.

“Dengan pembesaran jambatan tersebut dan diikuti kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Cukai, bolehlah kapal-kapal besar singgah di kawasan berhampiran Bandar Baru Kijal,” kata nya.

UKOM

BN Jaga Rekod Perkhidmatan

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjaga rekod kecemerlangan perkhidmatannya bagi mendapat mandat rakyat yang berterusan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata berkata bagi tujuan itu Kerajaan BN akan mengotakan semua janji-janjinya kepada rakyat negeri ini, dari semasa ke semasa.


Dato' Ahmad menyampaikan kunci rumah kepada seorang penerima sambil diperhatikan oleh Dato' Che Mat Jusoh.

“Kerajaan BN tidak akan mungkir janji kerana kita sedar rakyat tidak akan memberi mandat kepada BN jika kita tidak menunaikan janji-janji yang sudah dibuat sebelum ini,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah Projek Perpindahan Tok Adis, di Taman Budaya, Kuala Ibai baru-baru ini.

Sebagai bukti, katanya, 96 keluarga yang terbabit dengan bencana banjir besar pada 19 November 2007 dan dijanjikan kediaman baru bagi menggantikan rumah mereka yang rosak akibat kejadian itu, kini mendapat kediaman lebih selesa.

Katanya, kelewatan mangsa mendapat rumah bukan disebabkan Kerajaan BN mungkin janji tetapi disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.


Rumah teres besar dan selesa yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk mangsa ombak besar Kuala Ibai Pantai di Kampung Tok Adis.

“Selepas pegawai kerajaan yang terlibat dengan projek ini menyelesaikan masalah tersebut, akhirnya projek ini berjaya disiapkan dan mangsa mendapat rumah yang dijanjikan,” katanya.


Penerima rumah Perpindahan Tok Adis gembira menunjukkan kunci rumah yang diterima daripada Menteri Besar. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Menteri Besar berkata, penduduk tidak wajar terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan mungkir janji kerana perakara itu tidak akan berlaku.

UKOM

16 August 2009

Contohi petani Korea

dipetik dari UTUSAN ONLINE

KUALA TERENGGANU 15 Ogos - Golongan petani di negeri ini disaran mencontohi petani Korea yang bijak menggunakan tanah dalam memajukan sektor pertanian di negara itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, para petani perlu memanfaatkan tanah mereka yang sedia ada walaupun keluasannya terhad.

Bukan itu sahaja, katanya, petani juga perlu berusaha memajukan tanah tersebut dengan tidak hanya menunggu bantuan kerajaan.

"Ketika saya melawat Korea baru-baru ini, saya lihat petani mereka lebih kaya daripada yang bekerja di jabatan kerajaan.

"Ini kerana mereka menggunakan tanah dengan sebaik-baiknya walaupun ruang untuk bercucuk tanam hanya sekangkang kera sahaja namun dapat memperoleh pendapatan lumayan.

"Justeru, saya amat berharap mereka yang mempunyai tanah sendiri dapat menggunakan tanah mereka dengan aktiviti pertanian dan kerajaan bersedia membantu pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) ke-35 di Wisma Peladang di sini hari ini.

Pada majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara PPNT dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi mengusahakan penternakan kambing boer.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mariam Mas Yaacob dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNT, Datuk Wan Zakaria Abd. Rahman.

Ahmad berkata, bagi memastikan tiada lambakan hasil pertanian, petani kecil-kecilan harus melihat permintaan pasaran semasa.

''Apabila kita bercucuk tanam kita perlu juga melihat keperluan pasaran, jangan apabila musim menanam kacang panjang, semua tanam benda yang sama sebab itu harga jadi murah.

''Seharusnya petani bijak melihat permintaan pasaran agar mereka tidak perlu bersaing dengan petani lain sehingga terpaksa menanggung kerugian akibat banyak hasil rosak,'' jelasnya.

TDM Bayar Dividen RM16.3 Juta

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

TDM Berhad membayar dividen RM16.3 juta bagi keuntungan 2008 di mana jumlah ini merupakan yang terbesar pernah dikeluarkan sejak 2006.

Menteri Besar Dato’ Ahmad Said berkata, TDM Berhad yang menjalankan usaha pemulihan sejak 2004 berjaya mencatat keuntungan yang tinggi dan hasilnya menyaksikan TDM mula membayar dividen kepada pemegang sahamnya pada 2006.


Datuk Roslan (kiri) menyampaikan replika cek RM16.3 juta yang merupakan dividen TDM kepada Kerajaan Negeri yang diterima Dato' Ahmad. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Saya gembira dengan kejayaan yang dicapai oleh TDM, terutama dalam sektor sektor perladangan yang memberi sumbangan 95 peratus keuntungan kepada TDM,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini (12 Ogos).

Katanya, keuntungan diperolehi hasil daripada pengurusan yang baik selain daripada dapat mengurangkan kos perbelanjaan dan pembayaran dividen yang diumumkan sebanyak 10.5 sen per saham.


TDM turut membayar zakat perniagaan sebanyak RM2.7 juta kepada Maidam.

“Ini juga kali pertama TDM Behad membayar zakat perniagaan sebanyak RM2.7 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) tahun ini,” katanya.

Di samping itu, katanya, TDM Berhad telah pelbagaikan perniagaan dan merancang memperluaskan perniagaan dalam sektor penjagaan kesihatan pada masa depan.

Dato’ Ahmad kemudiannya menerima replika cek dividen daipada Pengerusi TDM Berhad, Datuk Roslan Awang Chik dalam majlis ringkas di Wisma Darul Iman.

UKOM

Tesdec Terus Unggul Tawar Perkhidmatan

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kolej Tesdec terus menggorak langkah seiringan dengan pusat pengajian lain semata-mata ingin menawarkan perkhidmatan kepada pelatih dalam bidang berkaitan.

Pembinaan Kompleks Latihan Al-Farabi (KLA) yang membabitkan peruntukan RM6.8 juta itu menjadi satu kebanggaan berikutan mampu menaikkan imej kolej itu di kalangan masyarakat.

KLA lengkap dengan kemudahan pembelajaran itu bakal digunakan pelatih untuk mengikuti latihan Teknologi Kejuruteraan (Penyelengaraan Automotif).


Menteri Besar menekan butang perasmian Kompleks Latihan Al-Farabi di Kolej Tesdec, Marang.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, kerajaan negeri bangga dengan perubahan yang dilaksanakan tesdec kerana jelas mampu membantu kerajaan negeri menaiktaraf mutu pendidikan di Terengganu.

Katanya, diharapkan apa yang disediakan ini digunakan sebaik mungkin pelatih dengan memperkayakan ilmu dalam bidang berkaitan.


Dato' Ahmad memperkatakan sesuatu kepada pelatih Tesdec ketika melawat bengkel Latihan Teknologi Automotif.

”Komplek mula dibina April 2006 ini, bukan sahaja menyediakan kemudahan pembelajaran malah turut dilengkapi pejabat, makmal autotronik, dan bilik kuliah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Latihan Al-Farabi, Kolej Tesdec, Marang.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej itu, YB Ahmad Razif Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, YB Yahya Khatib.

Sempena majlis itu, Dato’ Ahmad turut menyampaikan bantuan pendidikan kepada pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM).


Kompleks Latihan Al-Farabi di Tesdec, Marang, Terengganu, merupakan mercu tanda baru dalam mencapai integrasi ilmu dan kemahiran. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kira-kira 2,000 kakitangan pelbagai jabatan dan penduduk setempat hadir memeriahkan majlis yang turut diserikan persembahan silat dan ruang pameran.

Dato’ Ahmad turut memberitahu, Tesdec bakal menawarkan kursus pembantu rumah kepada ibu tunggal selepas selesai mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Kursus yang belum diwujudkan mana-mana kolej dan pusat pengajian itu dijangka mendapat sambutan golongan itu yang ingin mencari sumber pendapatan selepas ditinggalkan atau kematian suami,” katanya.

Sementara itu, YB Razif berkata, Tesdec kini lebih dikenali selepas beberapa pendekatan drastik dilaksanakan termasuk menawarkan Diploma dalam bidang Teknologi Kejuteraan.

Katanya, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan kurang cemerlang disarankan mengambil mana-mana kursus di kolej ini bagi mengelak gejala lepak selain merugikan masa,” katanya.

UKOM

T’Shoppe bantu Usahawan

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Pembukaan rangkaian kedai serbaneka T’Shoppe nyata melegakan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di mana sebelum ini sukar untuk memasuki pasar raya ternama di negeri ini.

T’Shoppe dikelola anak syarikat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) iaitu Cakna Sdn Bhd, menyediakan hampir 200 jenis produk tempatan seperti minyak urut berasaskan herba, cuka nipah; keropok lekor serta karipap segera dan jus rossele dengan melibatkan 95 usahawan dan syarikat.


Menteri Besar Terengganu menurunkan tandatangan tanda perasmian kedai 24 jam T'shoppe di Gong Kapas.

Produk sampingan lain, termasuk kad prabayar, majalah, akhbar, alat tulis dan pelbagai barangan dapur serta penjagaan diri.

Sehingga kini, tiga T’ Shoppe sedang beroperasi iaitu di Jalan Gong Kapas, Kuala Berang dan Dataran Shahbandar dan empat bakal dibuka dalam tempoh terdekat di Kelulut, Marang; Geliga, Kemaman; Paka, Dungun dan Gong Kemuntung, Besut.


Dato' Ahmad (kiri) melihat produk ikan salai Tasik Kenyir yang turut dijual di T'shoppe selepas merasmikan kedai 24 jam di Gong Kapas, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Bagi memperkenalkan T’ Shoppe di mata masyarakat, YPU turut memperluaskan rangkaiannya di luar Terengganu, termasuk Johor menempatkan empat rangkaian, Selangor (3 buah) dan satu T’ Shoppe di Melaka.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata T`Shoppe merupakan alternatif terbaik yang dilaksanakan YPU bagi membantu golongan usahawan yang sebelum ini sukar mendapat tempat di pasar raya terkenal di negeri ini.

Katanya, pihaknya yakin usaha ini akan memberi persaingan hebat antara rangkaian kedai lain yang memberi perkhidmatan hampir sama.

“Oleh itu, bagi memperhebatkan rangkaian itu, YPU mensasarkan 90 T`Shoppe bakal dibuka di seluruh negara, sama ada diuruskan Cakna atau perkongsian pintar (Joint Venture Company).

“Sebagai pelengkap kepada jaringan T’Shoppe, YPU mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemasaran (TP3) semata-mata bagi menjalankan aktiviti berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan T’Shoppe, di Gong Kapas, Kuala Terenganu.


T'shoppe adalah rangkaian kedai serbaneka 24 jam yang diwujudkan Kerajaan Negeri melalui YPU merupakan projek memperkasakan sektor peruncitan di negeri ini.

Menurutnya, usahawan IKS sewajarnya berbangga kerana kerajaan negeri bukan sahaja membuka T’Shoppe malah mewujudkan pasaran rakyat atau dikenali T’Mall di mana buat permulaan ia beroperasi di Kuala Berang.

“T’ Mall menyediakan pelbagai barangan pada harga mampu milik itu bakal diperluaskan di beberapa daerah lain di negeri ini,” katanya.

Katanya, usaha kerajaan membantu kemiskinan mula menampakkan hasil di mana peratusannya semakin menurun setiap tahun.

“Pada 2004, ia mencatatkan 15.4 peratus yang melibatkan 30,860 isi rumah turun kepada 6.5 peratus (13,164) pada 2007.

“Penurunan membanggakan itu memberi semangat kepada kerajaan negeri untuk meneruskan pelbagai program membasmi kemiskinan termasuk mempelbagaikan aktiviti keusahawanan,” katanya.

Menurutnya, oleh itu, masyarakat perlu bijak mencari peluang dan berfikir secara drastik sekiranya serius ingin membaiki ekonomi masing-masing.

UKOM

Kurangkan Karenah Berokrasi Dalam Perkhidmatan.

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Peringatan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, agar penjawat awam bersegera dalam memberi perkhidmatan dengan mengurangkan karenah birokrasi wajar diberi perhatian kerana rakyat mahukan urusan mereka dipermudahkan dan dilaksanakan tanpa tertangguh.

“Tonjolkan ketelusan dan keboleh percayaan melalui bekerja dengan penuh integriti, beramanah, beretika tinggi dan sentiasa profesional,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pelancaran Gerbang Khidmat Pesanan Ringkas Kerajaan ‘MySMS’ Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini (10 Ogos).


Dato' Ahmad bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2009. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong; Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Dato’ Normah Mohd Yusof dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta lebih 1,000 penjawat awam dari pejabat-pejabat kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, selaras dengan pendekatan ‘merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang dilaksanakan sekarang, segala urusan pentadbiran mesti dipermudahkan, bersifat menolong rakyat serta berorieantasikan faedah kepada rakyat.

“Dalam era globalisasi kini, tugas yang dipikul oleh penjawat awam bukan lagi sekadar memenuhi waktu pejabat semata-mata, malah dalam situasi tertentu kadangkala penjawat awam perlu berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi mengutamakan kepentingan awam,” katanya.



Dato’ Ahmad berkata, penjawat awam perlu peka dengan keperluan rakyat kerana tugas utama mereka sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan masalah atau keperluan rakyat disamping perlu memahami realiti semasa, berani membuat perubahan dan proses anjakan perlu dilakukan secara kreatif, berterusan dan berfikiran secara terbuka.

Katanya, dalam konteks pentadbiran dan pembangunan negeri antara cabaran yang harus dirungkai antaranya termasuklah meningkatkan prestasi dan kemampuan negeri ke tahap yang lebih cemerlang, memperkukuhkan daya saing dan daya tahan serta lebih berinovatif.

“Untuk mencapai keberkesanan, kakitangan kerajaan perlu memahami, menghalusi, menjiwai, melaksana dan memantau (5M) segala program. Jika sesuatu dasar itu tidak efektif, jangan didiamkan sebaliknya perlu berani untuk duketengahkan supaya dapat dicari formula yang lebih baik,” katanya.


Menteri Besar turut melancarkan gerbang `MySMS' aduan Terengganu 15888.

Mengenai Gerbang SMS Kerajaan Negeri MySMS 15888 yang dibangunkan secara bersama dengan Mampu melalui talian yang menggunakan satu nombor yang seragam, Dato’ Ahmad yakin usaha ini banyak memberi manfaat kepada orang ramai khususnya pengguna telefon bimbit.

“Hanya menggunakan nombor yang diberi mereka dapat berurusan terus secara talian dengan Pentadbiran Negeri, cukup mudah, cepat dan murah,” katanya.

Dato’ Ahmad kemudiannya menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2009. Seramai 30 orang penjawat awam telah menerima hadiah masing-masing berupa wang tunai RM7,500, sjil penghargaan dan menunai haji atau umrah di Mekah.

UKOM

05 August 2009

Terengganu Biaya Pelajar Thai Belajar Falak

Oleh : Kamarudin bin Mat Akib

Kerajaan negeri akan membiayai pengajian 10 pelajar dari Selatan Thailand di bidang astronomi bagi meningkatkan pengetahuan penduduk di wilayah berkenaan berhubung ilmu falak, mulai tahun ini.



Pelajar berkenaan dipilih dari lima wilayah Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam dan ditempatkan di Universiti Darul Iman (UDM) serta menggunakan kemudahan balai cerap di Merang, bagi mengikuti pengajian di bidang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat permintaan daripada pihak berkuasa agama di Pattani yang kagum dengan kemudahan di bidang astronomi yang ada di Terengganu.

“Majlis Agama Islam Wilayah Pattani meminta pelajar mereka turut diberi peluang mempelajari bidang astronomi di Terengganu bagi membolehkan mereka menentukan tarikh awal bulan pada setiap bulan, secara lebih tepat menggunakan kaedah hisab.



“Tokoh-tokoh agama di Selatan Thailand berpendapat jika penduduk di kawasan itu mempelajari bidang astronomi, masalah ketidakseragaman penentuan tarikh permulaan puasa dan Hari Raya Puasa di wilayah-wilayah Selatan Thailand dapat diatasi,” katanya.



Haji Kazan yang mengetuai rombongan delegasi Islam dari Terengganu dan Kelantan melawat kawasan Selatan Thailand, berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Thailand di pejabat Kementerian Luar Thailand, baru-baru ini.

Sebelum itu, rombongan berkenaan dibawa melawat beberapa tempat pengajian agama dan mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa agama di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, bagi meninjau masalah yang dihadapi mereka dalam melaksanakan urusan agama.

Mereka juga diberi taklimat mengenai pembangunan dan pelbagai projek yang dirancang di wilayah berkenaan oleh gabenor-gabenor wilayah terbabit.



Haji Kazan berkata, hasil lawatan tersebut ahli-ahli rombongan yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan dan organisasi berkaitan agama Islam, telah mendapat gambaran sebenar keadaan yang berlaku di wilayah Selatan Thailand.

“Selama ini kita hanya melihat apa yang berlaku di Selatan Thailand melalui televisyen atau membaca di akhbar. Melalui lawatan ini kita mendapat maklumat yang lebih tepat dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku di kawasan ini.



“Daripada penelitian dan taklimat yang disampaikan pihak berkuasa Thailand, saya dan ahli rombongan membuat kesimpulan bahawa keadaan di Selatan Thai selamat dan boleh dilawati pada bila-bila masa,” katanya.

UKOM

01 August 2009

1 Terengganu, Foods, Fruits & Fiesta




KUALA TERENGGANU:

Warga Terengganu yang berada di perantauan khususnya sekitar Lembah Klang berpeluang mengubat kerinduan kepada makanan tradisional negeri ini dengan berkunjung ke Pesta Makanan dan Buah-Buahan Terengganu atau IT3F pada 1 Ogos 2009 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata program yang dianjurkan kerajaan negeri berkonsepkan perpaduan dengan tema 1Terengganu bermula dari jam 6 petang hingga 12 malam itu ditujukan khas buat anak Terengganu khususnya yang bekerja di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin perhimpunan anak Terengganu di perantauan itu adalah sejajar dengan gagasan perpaduan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, program itu juga disasarkan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu di perantauan.

“Program IT3F dengan kerjasama Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) ini akan membabitkan semua daerah di negeri ini yang akan bertanggungjawab menyedia dan menyelaras makanan serta produk yang menjadi identiti sesuatu daerah itu.

“Sebagai contoh, Kemaman yang terkenal dengan lemang Kijal akan menyediakan bekalan lemang. Ia secara tidak langsung dapat memberi pulangan dan pendapatan kepada pengusaha makanan yang menjadi identiti negeri ini.

“Banyak lagi makanan tradisional Terengganu lain yang akan disediakan pada pesta itu nanti termasuk nasi dagang, nasi minyak, nasi lemak, nasi kuning dan aneka jenis kuih. Pengunjung boleh menjamu selera sepuas-puasnya dengan menikmati makanan yang disediakan secara percuma,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, kelmarin.

Ahmad berkata, buah-buahan serta makanan tradisi Terengganu dijangka menjadi tarikan utama program itu selain persembahan rakyat dan kebudayaan serta hiburan oleh artis yang berasal dari negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga berharap program itu dapat menjadi landasan untuk mempromosi buah-buah serta makanan tradisi Terengganu kepada rakyat Malaysia serta pelancong yang berkunjung ke program itu nanti.