Halaman

25 August 2009

Blue Archipelago Kendali Ladang Udang Berharga RM150 Juta

PETALING JAYA, 24 Ogos (Bernama) -- Syarikat akuakultur udang tempatan, PJ Blue Archipelago Bhd, akan membuka sebuah ladang pemprosesan berharga RM150 juta di Setiu, Terengganu tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Shahridan Faiez, berkata syarikat yang mengendalikan ladang udang di Kerpan, Kedah itu, akan muncul sebagai penjual langsung makanan laut itu apabila ladang seluas 1,000 hektar tersebut beroperasi.

Beliau berkata ladang baru itu dijangka menyumbang sebanyak RM100 juta kepada pendapatan syarikat itu menjelang Jun tahun depan.

Pada masa ini ladang di Kerpan menjual udang segar kepada pemproses pihak ketiga.

"Ia menghasilkan tuaian kira-kira 1,500 tan metrik udang harimau hitam premium, setahun," katanya kepada pemberita selepas satu seminar mengenai prospek bagi pasaran udang dan makanan laut AS di sini, Isnin.

-- BERNAMA

Kilang Besi Bernilai RM3 Bilion Dibina Di Teluk Kalong

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu meluluskan kawasan seluas kira-kira 400 hektar kepada sebuah konsortium untuk membina kilang besi bernilai lebih RM3 bilion di Teluk Kalong, Kemaman dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri Toh Chin Yaw berkata pembinaan kilang besi itu adalah yang ketiga di Kemaman selepas Perwaja Steel Sdn Bhd dan Lion Plate.

"Dengan adanya kilang besi yang baru ini, kerajaan percaya Teluk Kalong akan menjadi sebuah pusat industri besi berat pada masa depan," katanya selepas program sumbangan Ihya Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Masjid Abidin, di sini , Isnin.

Toh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, berkata pelabur dalam konsortium berkenaan terdiri daripada rakyat Malaysia, China dan Australia.

Katanya kerja-kerja pembersihan kawasan kilang yang dijangka siap dalam tempoh antara dua dan tiga tahun, sedang dijalankan dan ia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 orang terutama penduduk tempatan.

Beliau berkata Terengganu yang mempunyai banyak kemudahan asas dan kedudukannya yang strategik, mendapat perhatian banyak pelabur khususnya dari luar negara.

Menurut Toh perkara itu dapat dilihat berdasarkan kepada permohonan dan pertanyaan daripada syarikat berskala besar, termasuk industri petroleum untuk melabur di negeri ini.

"Pelabur-pelabur luar negara ini termasuklah dari Iran, China, Taiwan, Australia dan Timur Tengah. Kita sedang berusaha untuk menarik mereka datang (melabur) ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi pelbagai insentif kepada pelabur-pelabur berkenaan, antaranya pemotongan cukai pintu dan skim bayaran insurans bagi memastikan mereka melabur di Terengganu.

-- BERNAMA


Redagri Cadang Buka Cawangan Perusahaan Kambing Di Kertih

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos (Bernama) -- Redagri Industries, yang terlibat dalam perusahaan berasaskan kambing, akan melabur kira-kira RM250,000 untuk membuka cawangannya di Bandar Baru Kertih, Kemaman dalam usaha mengembangkan sayapnya ke seluruh Terengganu.

Pengarah Urusannya, Zakaria Abdul Rahman berkata idea bagi membuka cawangannya itu menjelang akhir tahun ini, timbul setelah melihat sambutan menggalakkan orang ramai terhadap produk kambing yang diedarkan Redagri di Bazar Mara, Rhu Renggeh, Marang.

"Sambutan itu menyuntik semangat kita untuk memperluaskan lagi penjualan produk kambing di bandar pula seperti di Kertih, yang menjadi pusat pertumbuhan ekonomi di daerah Kemaman khususnya dan Terengganu amnya," katanya semasa dihubungi Bernama di sini Isnin.

Zakaria, 30, yang merupakan lulusan dalam Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Petronas (UTP), berkata Redagri mula membuka kedainya di Bazar Mara di Rhu Renggeh, pada 17 Ogos lepas.

Katanya kedai tersebut menjual pelbagai produk berasaskan kambing seperti satay, karipap sejuk-beku, susu segar, dadih dan daging basah.

Beliau berkata pihaknya telah melabur kira-kira RM250,000 untuk membuka kedai di Rhu Renggeh dan beberapa agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu dari segi modal dan lain-lain.

Pada masa ini, katanya kedai tersebut beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada bulan biasa dan pukul 5 petang hingga 12 tengah malam pada bulan Ramadan.

Zakaria berkata pihaknya bersedia menerima tempahan terhadap satay kambing muda, yang kini mendapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya tempahan dibuka mulai sekarang dan mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 019-9871860 atau 09-6871233.

-- BERNAMA

24 August 2009

MB Agih Bubur Lambuk dan Lawat Bazar Ramadan

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera

Dalam kesibukan menjalankan tugas harian, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, sempat meluangkan masa untuk mengagihkan bubur lambuk kepada umat Islam sebagai juadah berbuka puasa.

Juadah bubur lambuk itu diagihkan Menteri Besar dan isterinya, To’ Puan Norliza Mahmud di Masjid Negeri (Masjid Abidin), semalam (22 Ogos), iaitu pada hari pertama umat Islam di negara ini berpuasa.


Menteri Besar bersama AJK Masjid Abidin mengacau bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai.

Sempena Ramadan tahun ini, pengurusan masjid berkenaan menyediakan kira-kira 2,000 bungkusan bubur lambuk setiap petang untuk diagihkan kepada umat Islam di bandar ini.

Bubur lambuk tersebut mula dimasak di tepi masjid berkenaan kira-kira jam 11 pagi dan diagih kepada orang ramai mulai jam 3.30 petang.


Orang ramai beratur mendapatkan bubur lambuk secara percuma yang diagihkan oleh Menteri Besar, Dato' Ahmad Said.

Pembiayaan kos menyediakan makanan tradisional sempena bulan puasa itu ditanggung kerajaan negeri dan ia akan dijadikan acara tahunan selepas ini.

Selesai mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai, Menteri Besar turut melawat bazar Ramadan di Dataran Shahbandar.


Dato' Ahmad serta isteri melawat dan meninjau sambil membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan di Shahbandar, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

UKOM

23 August 2009

Kebersihan Premis, Makanan Sempena Ramadan

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Kerajaan negeri memberi amaran tegas kepada peniaga dan pengusaha makanan sempena Ramadan ini supaya menekankan aspek kebersihan bagi mengelak makanan tercemar.

Peniaga yang didapati gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan didakwa mengikut Akta Makanan dan premis mereka juga boleh disita.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menjalankan pemeriksaan secara bersepadu ke tempat perniagaan terutama Bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan.


Orang ramai perlu memilih gerai yang bersih bagi mengelak daripada keracunan makanan pada bulan Ramadan ini. -Foto Arkib Ukom

Katanya, pihak berkuasa juga akan mengunjungi premis memproses makanan bagi memastikan makanan dihasilkan di tempat yang bersih, selain pemakaian apron serta penutup kepala dipraktikkan ketika menyediakan makanan.

Pada masa yang sama, pengguna atau pembeli juga harus bijak memilih dan memboikot peniaga yang gagal menyediakan makanan dalam keadaan bersih termasuk makanan tidak tertutup.

“Apa yang penting dalam memastikan kebersihan ditingkatkan adalah yang pertama, sikap peniaga sendiri yang harus menekankan ciri kebersihan dan kedua, pembeli sendiri perlu memboikot kalau makanan yang dijual tidak tertutup dan tidak bersih,” katanya ketika siang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (19 Ogos).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan.

Dr Nordiyanah berkata, sepanjang Ramadan lalu, sebanyak 4,361 premis diperiksa dalam 163 operasi (lawatan) dan 35 daripadanya ditutup akibat gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Malah, daripada operasi itu, pihaknya turut mengeluarkan 119 amaran kepada peniaga, selain merampas 655 barangan yang bernilai lebih RM4,000.

Katanya, pada 2008 juga, Jabatan Kesihatan mendapati 53 peratus daripada 385 sampel makanan yang diambil tercemar atau melanggar dari seri mikrobiologi.

Beliau berkata, peniaga Bazar Ramadan juga dinasihatkan memakai topeng muka bagi menjauhi diri daripada risiko gejala penyakit H1N1 berikutan mereka berdepan dengan ramai pelanggan setiap hari.

Sementara itu, sempena Ramadan juga, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri akan mengadakan program Nafas Baru bagi membantu perokok di negeri ini meninggalkan tabiat merokok.

Dr Nordiyanah berkata, tahap merokok di kalangan rakyat Terengganu agak membimbangkan, berikutan 15.2 peratus rakyat negeri ini dikesan merokok pada 2007.

“Ramadan ini menjadi waktu terbaik bagi menghentikan tabiat yang sememangnya mendatangkan banyak kemudaratan. Selain membawa penyakit, merokok juga memberi impak negatif kepada kewangan perokok itu sendiri,” katanya.

Berdasarkan hasil tinjauan kesihatan dan Mobiliti Ketiga yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2006, prevelen merokok di kalangan dewasa keseluruhannya 21.5 peratus, iaitu merangkumi 2.73 juta orang.

UKOM

Terengganu Pasang Impian Tinggi Dalam Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos (Bernama) -- Walaupun gagal menjadi juara Liga Super, namun Terengganu tidak berputus asa dan tetap akan memberikan fokus dalam pertandingan Piala Malaysia yang akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pengurus skuad penyu Syeikh Tajuddin Sheikh Yusof berkata kegagalan Terengganu dalam pertandingan Liga Super tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada kemampuan pasukan itu dalam pertandingan Piala Malaysia.

Ini kerana rentak pertandingan Piala Malaysia tidak sama dengan rentak pertandingan Liga Super, begitu juga dari segi persiapannya, katanya.

"Fokus pertama Terengganu sekurang-kurangnya memasuki pertandingan akhir Piala Malaysia musim ini dan sasaran kita bukan kosong, tetapi kita akan buktikan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Sabtu ini.

Beliau berkata sebagai persediaan awal, Terengganu akan membuka peluang kepada pemain-pemain luar untuk bermain dengan pasukan negeri itu dan setakat ini beberapa pemain telah menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk bermain dengan pasukan itu.

"Mereka akan datang untuk menjalani ujian pada minggu depan dan kita ingin melihat sejauh mana kemampuan pemain-pemain berkenaan sebelum kita menagih khidmatnya," katanya.

Sheikh Tajuddin berkata Terengganu memerlukan pemain penyerang kerana pemain penyerang yang ada, Azlan Ismail tidak akan diturunkan dalam dua perlawanan awal kerana menerima kad merah dalam pertandingan Liga Super.

Bagaimanapun, Sheikh Tajuddin berkata sekiranya usaha Terengganu mendapatkan pemain luar itu tidak berjaya, beliau tidak bimbang kerana pasukan itu mempunyai pemain-pemain yang mantap.

-- BERNAMA

18 August 2009

Pohon 100 tahun jadi tanda tanya


POKOK yang dipercayai berusia 100 tahun di tengah bandar di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 17 Ogos – Siapa sangka di tengah-tengah hiruk-pikuk bandar raya Kuala Terengganu terdapat cerita yang masih belum terungkai sejak bertahun-tahun lalu.

Kewujudan pokok tua di Jalan Pejabat di sini kini menjadi tanda tanya.

Menurut cerita penduduk tempatan, pohon tersebut telah wujud sejak lebih 100 tahun.

Walaupun kawasan itu dikelilingi bangunan tinggi namun apa yang tidak diketahui umum, hampir keseluruhan kawasan itu bekas tapak tanah perkuburan.

Terdapat sebuah kubur di bawah pokok berkenaan yang dipercayai milik seorang lelaki yang bernama Muhamad Saman Salim.

Ini berdasarkan ukiran tulisan Jawi yang terdapat di batu kubur berkenaan.

Lokasi kubur yang berada betul-betul di bawah pohon sebesar sepemeluk itu menjadi tanda tanya orang ramai yang melalui kawasan tersebut.

Mohd. Sufian Sulong, 22, seorang peniaga yang menjalankan perniagaan berdekatan kawasan tersebut berkata, “Sudah banyak kubur dipindahkan daripada sini ke kawasan lain namun hanya kubur ini saja yang tidak boleh dipindahkan ekoran banyak kejadian pelik berlaku.

“Justeru itu, pihak berwajib mendirikan pagar batu bagi melindungi kawasan ini bagi mengelakkan ia menjadi tempat individu tidak bertanggungjawab melakukan perkara-perkara yang tidak elok,” jelasnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia harap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membersihkan semak-samun di kawasan tersebut agar kelihatan lebih kemas dan tidak mencacatkan pemandangan.


dipetik dari Utusan Online

Umno, PAS Diingatkan Jangan Cemar Kesucian Ramadan Semasa Berkempen

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos (Bernama) -- Umno dan PAS diingatkan supaya tidak mencetuskan insiden yang boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadan ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kedua-dua parti berkenaan perlu berkempen secara berhemah terutama yang menyentuh soal agama, kerana pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan puasa.

"Janganlah...ada insiden yang mencemarkan kesucian agama, sistem demokrasi serta kredibiliti dan kedudukan pemimpin-pemimpin parti yang terlibat," kata Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Menteri Dalam Negeri itu berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Kepimpinan Terengganu di hadapan kira-kira 5,000 anggota Umno empat peringkat di Stadium Negeri, di sini Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata pada beberapa pilihan raya kecil lepas, yang melibatkan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, tiada insiden besar yang mencemarkan proses pengundian tersebut.

"Pagi ini saya berjumpa dengan (Naib Presiden PAS) Salahuddin Ayub dan beberapa pemimpin PAS dan mereka bersetuju mengenai perkara itu.

"Malah, semasa proses penamaan calon (DUN Permatang Pasir) pagi ini, saya difahamkan semuanya berjalan lancar. Yang timbul masalah apabila kita (BN) berdepan dengan calon Parti Keadilan Rakyat," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS. BN diwakili Rohaizat Othman manakala Mohd Salleh Man mewakili PAS.

-- BERNAMA

Hishammuddin Nafi Umno Terengganu Berpecah

KUALA TERENGGANU, 17 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno Terengganu kini berpecah dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.

Sebaliknya, Hishammuddin yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perpaduan serta semangat anggota Umno negeri itu ketika ini begitu tinggi.

"Sejak kebelakangan ini, ada tuduhan daripada pihak-pihak tertentu bahawa Umno Terengganu berpecah, pemimpin-pemimpin bertelagah dan bersengketa.

"Tuduhan itu tidak berasas kerana Umno masih lagi mendapat tempat bagi membela bangsa Melayu," katanya semasa melancarkan Gerak Kepimpinan Terengganu di hadapan kira-kira 5,000 anggota Umno empat peringkat di Stadium Negeri, di sini Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun mengakui bahawa sebelum ini wujud persengketaan di kalangan pemimpin Umno Terengganu namun perselisihan faham itu telah diselesaikan.

Katanya bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ketua-ketua Bahagian Umno di negeri itu, supaya mereka kembali memperkukuhkan parti.

"Malah di peringkat akar umbi, mereka mahu melihat Umno Terengganu kembali bersatu dan utuh. Maka, pemimpin-pemimpin Umno perlu rapatkan barisan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum (ke-13) akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu anggota Umno Terengganu terus bersatu dan menunjukkan semangat luar biasa bagi memastikan parti itu terus relevan dalam membela nasib bangsa Melayu.

"Inilah harapan saya selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Oleh itu, mulai hari ini saya mengarahkan Umno Terengganu supaya bangkit dengan semangat dan kesedaran yang luar biasa (untuk memenangi hati rakyat)," katanya.

-- BERNAMA

Lima Peratus Masyarakat Orang Asli Belum Ada Mykad

HULU TERENGGANU, 17 Ogos (Bernama)-- Kira- kira lima peratus daripada 150,000 Orang Asli di negara ini belum mempunyai MyKad atau sijil kelahiran.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Mohd Sani Mistam berkata ia berlaku mungkin kerana kesedaran masyarakat Orang Asli mengenai perkara itu masih rendah.

"Jadi dia tidak peduli soal kad pengenalan mahupun sijil kelahiran," katanya kepada pemberita selepas Program Kem Mesra Minda 2/2009 di perkampungan Orang Asli Sungai Berua dekat sini Isnin.

Mohd Sani berkata JHEOA akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengatasi masalah itu selewat-lewatnya tahun depan.

Beliau juga berkata JHEOA menyediakan peruntukan RM377 juta tahun ini untuk pembangunan ekonomi dan perkampungan Orang Asli yang membabitkan pembukaan ladang kelapa sawit atau ladang getah sebagai sumber pendapatan mereka.

Peruntukan itu termasuk bagi membina rumah, bekalan elektrik dan air serta pembinaan jalan dan pembangunan sosial.

Kini terdapat lebih 800 perkampungan Orang Asli di seluruh negara.

-- BERNAMA