Halaman

28 July 2010

Tindakan tegas diambil jika terbukti salah

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan bertindak tegas sekiranya terdapat mana-mana penjawat awam di negeri ini tidak amanah dalam menjalankan tugas termasuk menyeleweng, salahguna kuasa dan menerima rasuah.

Dato’ Ahmad Said berkata, kesalahan yang dilakukan itu dalam pemerhatian dan jangan terkejut sekiranya dia bersama pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) turun memantau dan mengambil tindakan tegas jika terbukti benar.

Katanya, dia kesal dengan sikap segelintir kakitangan kerajaan yang tidak amanah ketika menjalankan tugas. Apa yang dilakukan dilakukan itu boleh merosakkan imej jabatan selain menimbulkan rasa sangsi masyarakat yang ingin berurusan.

“Saya mengetahui perkara ini dipercayai dilakukan oleh segelintir pihak selepas mendapat laporan beberapa pihak tertentu. Semua perkara yang jelas menyalahi hukum agama dan melanggar etika perkhdmatan awam, perlu diberhentikan segera sebelum tindakan tegas diambil”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book dan Baucer Pakaian Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Resak, Marang.

Seramai 618 murid Tahun Lima daripada tujuh sekolah rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, menerima e-Book yang diagihkan sendiri Dato’ Ahmad.

Manakala kira-kira 2,200 baucer pakaian sekolah bernilai lebih RM400,000 disampaikan kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum diagihkan kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan.

TEGANUKITA

Guru mencorak generasi

Oleh: Wan Haironniza Wan Naim

Guru-guru diminta menunjukkan contoh teladan yang baik kepada pelajar bagi melahirkan modal insan yang berdaya saing di samping berintegriti.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyifatkan guru-guru sebagai orang yang mempunyai kuasa dalam mencorak generasi akan datang dan negara memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran dan bermoral.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di majlis sambutan Perayaan Hari Guru 2010, peringkat Daerah Kemaman yang dihadiri kira-kira 3000 orang guru di daerah berkenaan.

Dalam hal lain, Dato’ Ahmad memberitahu kerajaan negeri sedia membantu guru-guru yang menghadapi penyakit kronik dan tidak mampu membiayai rawatannya.

Katanya, kerajaan negeri juga dalam proses membina institut jantung, kanser dan strok (angin ahmar) bagi memudahkan rakyat negeri ini mendapatkan rawatan.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah selaras dengan pendekatan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan yang menjadi fokus kita masa kini,” katanya.

Beliau juga mengumumkan bagi memperingkatkan kemudahan belajar kepada semua lapisan rakyat di kawasan bandar dan luar bandar, tambahan 20 buah sekolah menengah dan 40 buah sekolah rendah akan dibina tahun hadapan di negeri ini.

Sebuah Sekolah Menengah Imtiaz di bawah Yayasan Terengganu juga dalam proses pembinaan di Kemaman yang akan memberi peluang kepada 1,000 orang pelajar terbaik memasuki sekolah berasrama penuh itu, katanya.

Sempena majlis itu Dato’ Ahmad juga turut menyampaikan cenderamata yang disumbangkan oleh kerajaan negeri kepada 3182 guru daerah Kemaman, anugerah-anugerah kecemerlangan guru dan sekolah serta tokoh guru 2010.

Pada majlis itu Haji Mohamad Yong Hitam telah diumumkan sebagai tokoh guru daerah Kemaman.

TEGANUKITA

Teruskan perjuangan arwah –YB Rozi

Oleh: Aida Abd Rahman

Atlet Terengganu diharap dapat meneruskan bakat dan kemahiran masing-masing bagi mengharumkan nama negeri ini sebagaimana semangat dan sumbangan yang pernah diberikan Allahyarham Mohd Fadli Muhammad, 19, sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 6 petang, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat mewakili Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata demikian di majlis menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa, di rumahnya di Jeram Hulu, Tepoh, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

“Saya berharap rakan-rakan beliau yang lain dapat meneruskan lagi perjuangan arwah kerana arwah seorang pemain yang sangat berbakat dan berkaliber. Yang mana kita difahamkan sejak berumur 14 tahun lagi arwah sudah mewakili Terengganu dalam semua kejohanan peringkat sekolah, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT)dan juga terbaru, Sukan Malaysia (Sukma). Selain itu, beliau juga ketua pasukan bola tampar bagi pasukan Terengganu,” katanya .

Walau bagaimanapun, YB Rozi berkata, dengan kembalinya arwah ke rahmatullah tidak menghalang perjuangan rakan-rakan beliau, terutama rakan seperjuangan daripada Kampung Jeram (Tepoh) yang berjaya melahirkan ramai bakat baru dalam sukan bola tampar.

Sementara itu, pihak Kerajaan Terengganu sangat berterima kasih dengan keprihatinan Kerajaan Melaka sepanjang SUKMA baru-baru ini dan perkara berkaitan.

“Pihak kita masih belum menubuhkan jawatankuasa penyiasat. Bagaimanapun setakat ini kita hanya menerima laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang menunjukkan mangsa mengalami jangkitan kuman daripada paru-paru ke bahagian otak.

“Pihak MSNT boleh menghubungi Kementerian Kesihatan jika masih ada keraguan daripada mana-mana pihak untuk penyiasatan lebih lanjut,”katanya.

YB Rozi berkata, laporan perubatan mengesahkan Mohd Fadli meninggal dunia selepas beberapa hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat serangan kuman daripada paru-paru ke otak.

Malah, laporan itu sekaligus menolak spekulasi mengatakan arwah dijangkiti H1N1.

TEGANUKITA

HUTAN LIPUR JAMBU BONGKOK, LOKASI JAMBORI ASIA KE-12

Oleh: Wan Harironniza Naim

Jambori Pengakap Peringkat Asia kali ke-12 bakal diadakan di Hutan Lipur Jambu Bongkok, bermula 4 hingga 9 Jun tahun depan, demikian diberitahu oleh Menteri Besar, Dato’ Said.

Katanya, pemilihan Hutan Lipur Jambu Bongkok sebagai lokasi kem jambori tersebut adalah untuk memperkenalkannya sebagai hutan lipur yang kaya dengan keunikan pokok ‘balau pasir’, ‘pokok gelam’ dan juga tanah beris yang jarang ditemui di hutan lipur lain.

Kem pengakap ini juga bakal menyaksikan Terengganu menjadi tuan rumah buat kali kedua siri Jambori Kebangsaan yang sebelum ini pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1997, siri ke-9.

Lokasi yang strategik iaitu berhampiran dengan jalan raya dan berdekatan dengan kawasan pelancongan terkenal Rantau Abang.

Sehubungan dengan itu katanya sebanyak kira-kira 54 ekar tanah akan digunakan untuk pembangunan hutan lipur tersebut sempena dengan Jambori Asia tahun hadapan, katanya sewaktu membuat lawatan ke lokasi berkenaan baru-baru ini.

Beliau memaklumkan hutan lipur ini akan dibangunkan pada tahun ini dengan menyedia dan mengemaskinikan infrstruktur sedia ada seperti menaiktaraf bekalan air dan system perparitan, mewujudkan pejabat pengurusan persatuan pengakap, padang kawat, chalet , termasuk untuk VIP dan pelbagai kemudahan lain”.

“Ini juga merupakan pelaburan jangka panjang dalam mempromosikan hutan lipur yang terdapat di Terengganu dan mampu memberi daya tarikan pelancong dan pengunjung”. tambah beliau.

Dijangkakan seramai 8000 peserta pengakap dan 1000 pegawai akan terlibat dalam Jambori Asia 2011.

Antara objektif utamanya adalah untuk memupuk integrasi dan perpaduan di kalangan ahli dan pemimpin pengakap selaras dengan matlamat 1 Malaysia.

TEGANUKITA

Tambah peruntukan jika perlu

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan sedia ada sekiranya mana-mana persatuan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) berjaya menarik minat ramai peserta atau penonton untuk mengikuti program bermanfaat yang dianjurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata setiap program yang ingin dianjurkan perlu mendatangkan manfaat kepada masyarakat terutama kepada golongan belia.

Katanya, sebelum peruntukan yang diberikan, kerajaan perlu mengetahui pelbagai aspek termasuk tujuan, sasaran peserta dan jumlah perbelanjaan sebenar yang diperlukan.

“Semua aspek itu perlu diperinci bagi mengelak penyelewangan dan salahguna peruntukan yang diagihkan,” katanya ketika berucap di Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid Sekolah-sekolah Rendah DUN Seberang Takir di Kampung Baru, Seberang Takir, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, pihak kerajaan cukup gembira sekiranya penduduk dapat meluangkan masa dalam setiap program dianjurkan sama ada agensi kerajaan atau swasta kerana pelbagai ilmu yang diperolehi melalui program berfaedah itu.

“Program berilmu dan bercorak keagamaan seperti tilawah Al-Quran, berzanji dan nasyid sewajarnya dimanfaat sebaik mungkin dengan membawa keluarga dan sanak-saudara untuk bersama-sama hadir.

“Pertandingan yang anjur ini bukan semata-mata ingin mencungkil bakat peserta, tetapi bertujuan merapatkan hubungan kekeluarga, mengeratkan tali persaudaraan antara penduduk kampung dan memperoleh ilmu,” katanya.

TEGANUKITA

555 pelajar DUN Ajil dapat e-Book

Oleh: Muhaini Muhammad & Wan Haironniza Wan Naim

Seramai 555 orang pelajar telah menerima e-Book dan 3726 orang pelajar telah menerima bantuan pakaian sekolah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Hulu Terengganu.

Majlis yang telah disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said ini dihadiri sama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan berkenaan, Dato’ Rosol Wahid.

Berucap di majlis yang diadakan baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman, Dato’ Ahmad berkata, sebanyak 25 peratus perbelanjaan negeri telah dikhususkan untuk bidang pendidikan sahaja.

“Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk memartabatkan pendidikan dan kecemerlangan anak-anak Terengganu dalam pelajaran,” katanya.

Katanya, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bagi memastikan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar negeri ini mengatasi negeri-negeri lain termasuk dalam beberapa peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Beliau berharap dengan penyerahan e-Book kepada para pelajar sekolah rendah ini ia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar kerana selain kandungan buku teks, ia (e-Book) juga mengandungi bank soalan, sehingga 300 ribu soalan dapat diakses oleh pelajar.

“Apa yang kerajaan negeri jalankan di bidang pendidikan serta ilmu pengetahuan ini adalah selaras dengan hasrat untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu,” jelasnya.

TEGANUKITA

TUKAR GANTI PORTFOLIO PERKARA BIASA

Oleh: Putera Pesisir Air

Sama ada rombakan portfolio mahu pun rombakan keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ia bukanlah perkara baru dalam sistem dan kaedah pentadbiran kerajaan.

Begitulah juga kalau di peringkat negara, rombakan kabinet atau portfolio Menteri dan Timbalan Menteri juga perkara biasa yang sering dilakukan dengan berbagai sebab dan tujuan, tetapi tidak lari dari kepentingan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri mempunyai kuasa istimewa (prerogatif) untuk menentukan perkara tersebut, begitulah juga Menteri Besar di peringkat negeri.

Malah ada Menteri dan Timbalan Menteri yang gugur, ada kementerian yang ditiadakan, malah dalam sejarah kabinet Malaysia terdapat kejutan yang dibuat dengan membubarkan jawatan Setiausaha Parlimen di kementerian.

Begitulah juga di peringkat negeri, Menteri Besar selaku ketua kerajaan boleh memikir dan merancang untuk kebaikan rakyat dan negeri dan membuat keputusan dengan kuasa istimewa (prerogatif) yang diberikan kepadanya.

Justeru itu apabila Menteri Besar Dato’ Ahmad Said mengumumkan lima Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bertukar portfolio ialah bukanlah suatu perkara yang baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang sebelum ini disandang Yahya Khatib Mohamad akan digantikan oleh Datuk Za'abar Mohd Adib manakala Yahya akan memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

Portfolio baru Yahya itu sebelum ini dijawat Asha'ari Idris yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Negeri yang sebelum ini disandang Za'abar akan digantikan oleh Datuk Rahin Mohd Said.

Rahin sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, digantikan Rozi Mamat yang sebelum ini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri. Ia berkuatkuasa mulai 1 Julai 2010.

Di negeri-negeri yang bukan di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) sekalipun, perkara yang sama telah dilakukan sebelum ini seperti di Kedah dan Kelantan, malah menggantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dengan muka baru untuk keperluan rakyat dan negeri masing-masing.

Apa yang rakyat mahukan ialah program-program pembangunan terus berjalan dengan cemerlang untuk kepentingan rakyat selaras dengan pendekatan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” (MPPNT) yang diperkenalkan oleh kepimpinan negeri Terengganu.

Kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan menjauhi memikirkan sesuatu dari sudut negatif. Orang yang berfikiran negatif akan selalu tertekan atau ‘stress’.

Seringkali kita lupa bahawa sebenarnya sesuatu perkara berlaku di luar pengetahuan kita mengapa ia berlaku dan dilakukan dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian.

Sesetengahnya juga sering kali bertindak berdasarkan sangkaan atau andaian dan ini jelas tidak positif kepada kehidupan.

Usaha memperkasakan pembangunan Terengganu yang memberi faedah dan impak terbaik kepada rakyat masih belum selesai.

Untuk berjaya ahli masyarakat perlu ‘berjiwa besar’ dan berani membuat perubahan setelah kita yakin apa yang dibuat itu adalah untuk kebaikan.

Selaras dengan ajaran agama masyarakat juga perlu berjiwa besar menerima keputusan yang dibuat oleh pemimpin kita yang sudah tentu mengetahui keperluan dan hasrat yang sebenar.

Rakyat amat yakin dengan pendekatan merakyat yang dibawa oleh Dato’ Ahmad turun ke gelanggang rakyat, merasai sendiri denyut nadi rakyat dan membantu rakyat tanpa ragu-ragu.

Semua anggota kerajaan perlu menghayati falsafah dan pendekatan yang dibawa oleh Dato’ Ahmad yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan lain.

Selamat menjalankan tugas buat semua.

TEGANUKITA

KECEMERLANGAN PENGURUSAN ZAKAT TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pengurusan wang zakat yang sempurna adalah penting kerana ia ada kaitannya dengan pengurusan, imej dan umat Islam itu sendiri.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) adalah agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal punggutan zakat dan pengagihannya.

Pengiktirafan Ketua Audit Negara kepada Maidam sebagai Majlis Agama Islam pertama di Malaysia menerima sijil bersih audit penyata kewangan bagi tahun 2009 amatlah bernilai sekali.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman pengiktirafan pada 15 Jun lalu itu adalah hasil pemeriksaan daripada transaksi perakaunan yang didokumenkan dengan tepat, tiada penyelewengan atau pembaziran berlaku serta penyimpanan rekod secara teratur dan mencukupi oleh Jabatan Audit Negara.

Pemilihan Maidam sebagai majlis agama Islam yang mempunyai rekod bersih berkaitan penyata kewangan membuktikan agensi itu mengamalkan prinsip amanah dan telus dalam mengurus tadbir sistem kewangan.

Kita berharap umat Islam akan tidak akan lupa kewajipan membayar zakat sama ada dalam konteks individu mahupun agensi, perniagaan dan sebagainya.

Pengertian zakat pada bahasa ialah tumbuh; berkembang; subur atau bertambah atau dapat pula berarti membersihkan atau mensucikan.

Menurut hukum Islam (istilah syara'), zakat adalah nama bagi suatu pengambilan tertentu dari harta yang tertentu, menurut sifat-sifat yang tertentu dan untuk diberikan kepada golongan tertentu.

Oleh itu apabila pengurusan agensi zakat seperti Maidam ini diperakui cemerlang sudah tentu keyakinan akan meningkat lagi.

Kejayaan ini merupakan suatu lagi kekuatan negeri Terengganu dalam aspek pengurusan, termasuk yang berkaitan keagamaan, termasuk pengurusan zakat.

Diharapkan punggutan zakat akan terus meningkat dan mereka yang memperolehi bantuan zakat dalam pelbagai perkara akan bertambah mengikut kelayakan yang ditetapkan agama.

Sesungguhnya wang zakat dengan pengurusan yang baik dan cemerlang itu adalah komponen yang penting sebagai nadi pembangunan negeri dan masyarakat. Tahniah kepada Maidam dan kepada pegawai dan kakitangannya yang telah menjalankan tugas dengan amanah lagi bertanggungjawab.

TEGANUKITA

18 July 2010

Sekolah Sukan Terengganu akan jadi kenyataan

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersalaman dengan anggota Umno Bahagian Kuala Nerus sewaktu tiba untuk merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kuala Nerus di Kuala Terengganu. Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim.
Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin memberi jaminan akan mengambil perjalanan penubuhan Sekolah Sukan di Terengganu bagi memenuhi janji kerajaan sebelum ini.

Katanya, sukan adalah kegiatan penting yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan pelajar yang cergas dan sukan juga boleh memberi kecemerlangan dan membantu membentuk modal insan yang sempurna.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus, di dewan Sekolah Menengah Teknik, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu petang ini, Jumaat (15 Julai).


Reaksi Tan Sri Muhyiddin ketika memberi jaminan akan mengambil perjalanan penubuhan Sekolah Sukan di Terengganu.

Hadir di majlis itu, Yang DiPertua Dewan Negeri, Tengku Putera Awang, Ahli Parlimen Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim dan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen berkenaan.

Pengumuman mewujudkan Sekolah Sukan di Terengganu itu telah dibuat oleh Mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) 2008- Terengganu menjadi tuan rumah.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi respon kepada ucapan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd.Nasir Ibrahim yang memperkatakan tentang sekolah sukan yang dijanjikan itu.

Selain itu, beliau juga turut meluluskan empat buah dewan orang ramai untuk keempat-empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Nerus.

Difahamkan bernilai RM250,000 setiap sebuah. Beliau juga berkata, akan memberi perhatian di atas permohonan pembinaan sebuah sekolah rendah dan agama, masing-masing dalam DUN Bukit Tunggal dan Telok Pasu.

Tan Sri Muhyiddin berkata, perjuangan untuk meningkatkan ekonomi bumiputera dan Melayu akan diteruskan menyambung perjuangan Dasar Ekonomi Baru untuk memastikan sasaran sekurang-kurang 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera di negara ini.

Beliau meminta rakyat terus memberi sokongan kepada kepimpinan, baik di peringkat pusat dan negeri bagi memastikan kemenangan dan tidak sampai terpedaya dengan tohmohan dan fitnah yang dibuat oleh parti pembangkang.

Sementara itu, sewaktu berucap di Setiu sebelum itu beliau meminta perpaduan diutamakan dan apa sahaja isu dan masalah yang timbul mestilah diselesaikan dengan bijaksana.


Perwakilan bergambar bersama Timbalan Presiden Umno.

“Bermuhasabahlah kita dengan mengambil langkah yang bijaksana untuk selesaikan apa jua jika ada masalah. Lagi cepat masalah selesai, lagi baik kerana sebagai kerajaan kita banyak tanggungjawab untuk dilaksanaan bagi kebaikan rakyat,” katanya.

Tegasnya.kalau ada isu dan rasa tak puas hati, tersinggung atau dipinggirkan, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan dan memberi impak kepada usaha memperkukuhkan perpaduan, hal sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin.
TEGANUKITA

Ikhlas, Amanah dan Jujur- MB

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri Besar berucap dihadapan ribuan penjawat awam kerajaan negeri dan Persekutuan di Dewan Berlian Kemaman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Agenda bertemu rakyat tidak akan terhenti selagi bergelar pemimpin dan tidak ada batas waktu yang menghalang perjalanannya selagi rahmat kesihatan melingkari kehidupannya.

Bagi Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, golongan penjawat awam, belia dan organisasi peringkat kampung iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung merupakan tunggak kekuatan sesebuah kerajaan yang memerintah.

Kegigihan, kejujuran dan kesungguhan mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan amat didambakan bagi mencapai misi kerajaan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat.

Sebelah pagi bertemu penjawat awam kerajaan negeri dan Persekutuan, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), kemudian berjumpa lebih 500 belia dalam Program Bakti Remaja di Dewan Sivik Bukit Kuang Kijal.


Dato' Ahmad Said bersalaman dengan remaja pada majlis pengagihan Dana Remaja DUN Kijal Kemaman.

Pada malamnya, pertemuan diatur bagi membolehkan beliau bersalaman dan berbual mesra dengan semua pengerusi dan ahli JKKK dalam daerah Kemaman.

Dalam setiap perjumpaan, pesanan dan harapan sentiasa bergema, menyeru seluruh anggota masyarakat bersama menjalankan amanah kerajaan dengan jujur dan berhemah.

“JKKK bertanggungjawab menyampaikan mesej kerajaan dengan jujur, ikhlas dan tepat serta peka terhadap masalah yang timbul di kampung masing-masing,” katanya.


Tiga JKKK cemerlang gembira bersama replika cek masing-masing.

Tambahnya, tindak tanduk penjawat awam mencerminkan imej kerajaan, lalu berilah khidmat terbaik kepada orang ramai yang datang berurusan dengan mereka.

“Masa depan negara bergantung kepada generasi muda hari ini, baik mereka sejahteralah negara,” katanya.

TEGANUKITA