Halaman

30 November 2010

Jawatan Kosong Untuk 2,300 Penganggur

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Sebanyak 2,300 jawatan dalam pelbagai sektor ditawarkan kepada pencari kerja di bawah Program Penempatan Pekerjaan di bandar raya ini yang melibatkan kira-kira 50 majikan.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata 35 peratus daripada jawatan itu adalah di peringkat pengurusan, 35 peratus jawatan pertengahan seperti kerani dan juruteknik manakala selebihnya jawatan kategori rendah seperti operator pengeluaran dan pekerja am.

Fokus utama program adalah kepada golongan miskin tegar di seluruh negara, katanya kepada pemberita pada Program Penempatan Pekerjaan (3P) -- Azam Kerja peringkat negeri Terengganu pada Sabtu.

"Di Terengganu saja ada seramai 42 orang miskin tegar di bawah program berkenaan yang akan ditawarkan pekerjaan. Mereka ini berpendapatan di bawah RM440 sebulan yang perlu diberi pekerjaan untuk menambah pendapatan mereka," katanya.

Datuk Sheikh Yahya berkata terdapat 44,643 orang miskin tegar di seluruh negara, dengan 893 daripadanya termasuk di bawah Azam Kerja. Seramai 354 telah mendapat kerja manakala 539 lagi perlu dibantu untuk mendapatkan kerja.

"Di Terengganu seramai 42 orang miskin tegar di bawah Azam Kerja itu, kita pergi ke rumah mereka dan bawa mereka ke sini untuk beri peluang mendapatkan kerja," katanya.

Beliau menasihatkan pencari kerja supaya tidak memilih kerja yang setaraf dengan kelulusan mereka, kerana yang penting adalah mendapatkan pengalaman bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik pada masa depan.

Menyentuh isu lain, Sheikh Yahya menyarankan syarikat terlibat mengkaji semula kadar gaji yang ditawarkan.

Ini kerana ada syarikat yang menawarkan gaji agak rendah dengan gaji pokok dalam lingkungan RM430 sebulan, walaupun ada elaun dan kerja lebih masa yang boleh mencapai sehingga RM700 sebulan.

"Kita menekankan kepada syarikat-syarikat berkenaan supaya daripada segi gaji pokok supaya kaji semula untuk dinaikkan kepada yang lebih munasabah. Nampaknya majikan boleh terima syor kita dan sedia untuk mengkajinya," katanya.

Datuk Sheikh Yahya berkata garis kemiskinan tegar adalah pendapatan kurang daripada RM440, dan sekiranya majikan menawarkan gaji RM430, ini bermakna jumlah miskin tegar akan bertambah.


TEGANUKITA

GLC Perlu Tampil Kurangkan Beban Kerajaan-MB

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kerajaan negeri menyeru lebih banyak yarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil membantu masyarakat miskin luar bandar sekaligus dapat meringankan beban kerajaan dalam melaksanakan pelbagai kemudahan prasarana dan infrastruktur untuk kebaikan bersama.

“Kita tidak mahu ada jurang yang membezakan antara penduduk di bandar dan luar bandar,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, di majlis Perasmian Sumbangan Paip Poly dan Bantuan Pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kampung Pasir Raja, Dungun semalam (25 November).

Hadir sama, Pengerusi Golden Pharos Berhad (GPB), Datuk Zubir Embong dan Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT), Encik Hamidi Othman.

“Apa pun yang dilakukan sama ada kerajaan atau GLC, kepentingannya adalah untuk rakyat di kampung-kampung kerana kebanyakan mereka bekerja sendiri dan tersenarai dalam golongan yang layak untuk di bantu,” katanya.

Katanya, bantuan air paip sumbangan KPKKT ini membolehkan penduduk di kampung ini membina dan meningkatkan sistem penyaluran air dari sumber semula jadi iaitu sungai ke kawasan kampung untuk kegunaan harian.

“Manakala sumbangan bantuan pentadbiran JKKK dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kehidupan seharian dalam menjalankan aktiviti kampung mereka,” katanya.

Lapan kampung yang menerima bantuan termasuklah Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Jongok Batu, Kuala Jengai, Rantau Panjang, Minda, Talong dan Kampung Tepus.

Katanya, inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CRS) merupakan salah satu program yang dilaksanakan syarikat bagi mematuhi kehendak Persijilan Perhutanan Antarabangsa yang menghendaki syarikat KPKKT mempertahan dan membaiki kesejahteraan sosial kepada komuniti yang tinggal berhampiran kawasan operasi.

KPKKT merupakan salah satu anak syarikat GPB, yang majoriti sahamnya dimiliki Terengganu Incorporated Sdn Bhd (IT), iaitu syarikat pelaburan milik kerajaan negeri yang telah berjaya memperolehi pengiktirafan badan antarabangsa dalam mengurus hutan ( 2008) dan merupakan pemilik konsesi hutan tropika asli terbesar di Asia.

TEGANUKITA

Ladang kelapa Sawit Basmi Kemiskinan

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kerajaan negeri merancang mewujudkan projek ladang kelapa sawit seluas 40,000 hektar untuk membantu golongan miskin dan termiskin termasuk mengisi tabung Yayasan Terengganu (YT) bagi membiayai pelajaran anak-anak Terengganu pada masa depan.

“Kerajaan yakin apabila kelapa sawit ini mengeluarkan hasil, masalah kemiskinan di negeri ini dapat diturun ke angka sifar,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, dalam sidang media, selepas meninjau Projek Pembangunan Ladang Kelapa Sawit Sungai Besul, Hulu Paka, Dungun, semalam (25 November).

Katanya, kerajaan bercadang mengagihkan 20,000 hektar untuk golongan miskin yang diuruskan Lembaga Tabung Amanah dan 20,000 hektar lagi untuk membiayai pelajaran anak-anak negeri di bawah pengurusan Yayasan Terengganu (YT).

Menurut Dato’ Seri Ahmad, terdapat 9,000 hektar ladang kelapa sawit yang terdapat di Sungai Besul ini terbahagi kepada tiga fasa dan proses menanam bermula sejak April lalu dan akan berakhir tahun depan.

“Saya yakin kita dapat menyelesaikan masalah kemiskinan bila agihan hasil ladang dapat dilaksanakan kerana mengikut harga semasa, seribu hektar akan dapat mengeluarkan hasil RM1 juta setahun,” katanya.

Katanya, kerajaan juga memikirkan sumber pendapatan lain selain daripada sumber minyak untuk pembiayaan pelajaran anak-anak tempatan dan projek ini merupakan persiapan jangka panjang demi kepentingan rakyat tempatan.

Menurut Dato’ Seri Ahmad, keluarga miskin yang mempunyai pendapatan RM300 sebulan, kerajaan akan menyumbang RM400 sebulan menjadi RM700, sekaligus mereka akan terkeluar dari senarai kemiskinan.

Katanya, untuk mengenal pasti keluarga yang benar-benar layak di beri bantuan ini, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamataan (JKKK) diberi kepercayaan untuk membuat bancian dan pemutihan kalangan anak buah masing-masing.

“Saya sendiri akan pergi ke kampung-kampung berkenaan menemui keluarga terbabit dan memastikan apakah mereka benar-benar layak,” kata Dato’ Seri Ahmad yang tidak mahu menerima pakai seratus peratus laporan yang sampai ke pejabat sahaja.

“Insyaalah dalam tempoh dua setengah tahun, ladang ini dapat mengeluarkan hasil dan dalam tempoh itu kita dapat agihkan kepada golongan sasar dan hasrat kerajaan untuk mencapai angka sifar golongan miskin itu dapat dicapai,” katanya.

TEGANUKITA

16 November 2010

Projek BBK hampir siap

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Bandar Baru Kijal (BBK), Kemaman yang sedang dibangunkan dengan membabitkan 12 komponen projek dan dianggarkan menelan kos sebanyak RM143.7 juta, kini lebih 80 peratus siap. .

Pembangunan yang melibatkan zon komersial, pejabat, jalan raya dan pelbagai kemudahan lain itu dibiayai melalui peruntukan kerajaan negeri dan Pusat.

Berkaitan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said meluangkan masa lebih dua jam bagi menghadiri Mesyuarat Projek Pembangunan BBK, semalam (14 November) di pejabat Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi mendapat gambaran terperinci.

Selepas mendapat penerangan daripada beberapa pihak berkaitan, Dato’ Seri Ahmad kemudiannya, bergegas ke tapak projek di Paya Lasir, Kijal, Kemaman bertujuan melihat secara dekat dan mengetahui perkembangan terkini.

Projek itu dibahagikan kepada dua fasa di mana fasa pertama adalah zon komersial yang dibangunkan pihak berkuasa tempatan dan fasa kedua adalah zon institusi yang akan dibangunkan oleh swasta.

Berdasarkan tinjauan Teganukita, pembangunan itu dimajukan di kawasan seluas 222.82 hektar, di mana sebelum ini hanyalah tanah terbiar yang ditumbuhi pokok nipah dan hutan tebal.

Tahap kemajuan pembinaan Pasar Raya Giant yang bernilai RM21 juta kini mencecah hampir 60 peratus manakala sistem prasarana menelan kos RM3 juta pula pada tahap 25 peratus

Apabila BBK yang dijangka siap awal tahun depan, kawasan itu bukan saja akan dibanjiri penduduk tempatan, malah penduduk negeri jiran seperti Pahang dan Kelantan dijangka datang untuk membeli-belah pelbagai produk termasuk pakaian sama seperti produk dijual di Nilai, Negeri Sembilan dan Segamat, Johor.

TEGANUKITA

Sesi Sekolah Dimulai Bacaan al-Quran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Setiap pelajar Islam di sekolah menengah dan rendah seluruh Terengganu bakal memulakan sesi persekolahan harian mereka dengan membaca al-Quran selama 10 minit mulai tahun depan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud, berkata pendekatan itu sebagai usaha menyuburkan al-Quran dalam jiwa generasi muda serta penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha memastikan warga sekolah memiliki sahsiah dan akhlak yang mantap, selaras dengan usaha membasmi masalah disiplin kalangan pelajar sekolah di Terengganu.

"Bagi pelajar Islam yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil pula tenaga ustaz akan digunakan bagi menguruskan mereka secara berkumpulan," katanya kepada media, baru-baru ini.

Selain itu katanya semua program-program pembangunan sahsiah pelajar seperti perkhemahan akan dilaksanakan di dalam kawasan masjid mulai tahun depan.

Katanya, ia tidak lagi diadakan di resort atau di hotel-hotel sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

“Saya yakin tempat yang terbaik dalam usaha membangunkan sahsiah pelajar adalah masji d dan sekaligus turut emmbantu mengimarahkan institusi berkenaan.

“Umumnya masjid negeri besar dan indah, malah turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang dapat dimanfaatkan dan pihak jabatan telah mendapat kerjasama jawatnkuasa masjid,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Razali berkata semua sekolah di Terengganu akan dikehendaki mengadakan Solat Hajat sebelum cuti persekolahan bermula minggu depan, di samping satu lagi solat Hajat serentak di seluruh negeri yang dirancang sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan.

TEGANUKITA

Terengganu Kekal Juara UPSR Kali Ke-10

Oleh: Aida Abdul Rahman


Dua pelajar cemerlang Sek Keb Tok Randok, Hulu Terengganu menunjukkan keputusan UPSR mereka. - Gambar oleh Mastura Jamaluddin.

Terengganu terus mengekalkan momentum kejayaan sebagai negeri terbaik buat kali kesepuluh berturut-turut bagi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 yang diumumkan serentak di seluruh negeri, hari ini (11 November).

Kejayaan itu juga membuktikan bahawa penggunaan e-Book sebagai alat bantuan mengajar yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu kepada pelajar Tahun Lima sejak tahun lalu memberi impak positif terhadap kecemerlangan peperiksaan awam itu.

Mereka menjadi kumpulan perintis yang menggunakan e-Book dalam persediaan berdepan UPSR 2010, baru-baru ini.

Kejayaan mengekalkan keputusan terbaik itu diumumkan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, di Bilik Mesyuarat Alamanda, JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu.

Jumlah peratusan calon UPSR yang memperolehi keseluruhan A (5 A) meningkat 0.1 peratus pada tahun ini . Jumlah keseluruhan calon berkurangan 797 orang tahun ini berbanding seramai 23, 944 orang pada 2009.

Lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu Pemahaman(BM Pem) (Sekolah Kebangsaan (SK)), Matematik, Sains, BM Pem (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) dan BM penulisan mencatat peningkatan peratusan pencapaian A dan minimum C.

Encik Razali berkata, sekolah yang berpencapaian tinggi (GPS kurang 1.80) di seluruh Terengganu banyak didominasi sekolah di luar bandar seperti SMK Chalok (1.14) , SK Bukit Tadok (1.18) , SK Kampung Baru Tok Dor (1.22), SK Kampung Tayor (1.23), SK Tepus (1.24) serta SK Dusun , SK Teris dan SK Mangkok masing-masing mencapai 1.38,

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar, Dato’ seri Ahmad Said dan Kerajaan Terengganu dengan bantuan kewangan dan sokongan moral dalam menjayakan kecemerlangan UPSR 2010.

“Kita akan melakukan pencangan rapi bagi membaiki beberapa prestasi mata pelajaran yang kurang baik khususnya Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain.

“Salah satu cara bagi memperbaiki keputusan subjek BI adalah pendekatan ke arah kaedah pedagogi dan mengemukakan kepada pihak kementerian bagi mendapatkan tenaga mahir serta menggunakan kajian tertentu bagi memperbaiki keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, SK Paya Bunga, Kuala Terengganu yang pertama kali melahirkan pelajar yang mendapat keseluruhan A dalam UPSR tahun ini bakal dijadikan sekolah elit Bandar Raya Kuala Terengganu mulai tahun depan.

Katanya, dua daripada 15 pelajar sekolah berkenaan berjaya memperolehi 5A dan perkembangan baik itu akan dikekalkan lbagi memastikan lebih ramai pelajar memperolehi keseluruhan A mampu dihasilkan di sekolah yang bakal dijadikan sekolah elit bandar raya itu.

Pihaknya menerusi pegawai pendidikan daerah juga akan mengenalpasti sekolah lain terutama di kawasan luar bandar untuk diangkat sebagai sekolah elit di Terengganu.

Pada tahun ini, seramai 23,533 murid Tahun Enam yang melibatkan 22, 813 (SK), 476 (SJKC) dan 248 Sekolah Rendah Swasta menduduki UPSR di 371 pusat peperiksaan melibatkan 354 sekolah seluruh negeri.

TEGANUKITA

15 November 2010

GURU CEMERLANG DIHARGAI-MB

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bidang pendidikan akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan dan pendidik yang telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang akan diberi penghargaan.

Terbaru, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan seramai 60 guru cemerlang akan dihantar ke luar negara untuk menyertai lawatan sambil belajar sebagai penghargaan selepas Terengganu berjaya mengekalkan kedudukan terbaik buat kali ke-10 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Beliau memberi jaminan guru cemerlang di sekolah menengah akan turut mendapat habuan sama sekiranya Terengganu muncul terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk kali keempat berturut-turut.

Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Guru- Guru daerah Setiu di Sekolah Menengah Lembah Bidong, Setiu semalam (13 November 2010).

Di majlis itu seramai 1,646 guru di daerah ini menerima penghargaan Menteri Besar pada majlis penyampaian hadiah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)(Elit) Lembah Bidong, semalam.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Langkap, Asha’ari Idris adalah antara yang turut hadir.

Dato’ Seri Ahmad berkata, sebelum ini, seramai 50 guru cemerlang di negeri ini sudah dihantar melawat Australia selama seminggu.

“Ia penghargaan Kerajaan Negeri kepada guru yang komited sehingga berjaya meletakkan Terengganu pada tangga teratas dalam tiga keputusan peperiksaan utama termasuk UPSR,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan pusat dan negeri membelanjakan sejumlah besar
wang untuk pendidikan kerana ia adalah asas kepada kemajuan sesebuah negara.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Ahmad turut menyentuh tentang betapa pentingnya
kita membuat persediaan untuk mencari peluang pendapatan yang baru, terutama
selepas ketiadaan sumber petroleum.

Beliau yakin bidang pelancongan boleh menjadi sumber alternative yang penting dengan syarat ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan mempastikan keamanan berterusan untuk meyakinkan kehadiran pelancong dan pelabur.

“Jika terlalu kerap berlaku tunjuk perasaan, huru hara dan sebagainya sebagaimana berlaku di negara jiran, ia sudah pasti menjejaskan pendapatan negara dan merugikan rakyat juga,”katanya.

TEGANUKITA

10 November 2010

Perbicaraan kes SMS ugutan

Saksi Suhainy Ayob, bertugas sebagai Penolong Pengurus Pengurusan Maklumat Keselamatan di Telekom Malaysia (TM) Berhad, Malaysia hari ini tampil sebagai saksi seterusnya bagi perbicaraan kes SMS berunsur ugutan bunuh.

Dalam proseding yang berjalan di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid di Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu pagi ini, Suhainy memberitahu mahkamah dia menyandang jawatan sekarang sejak 2006 lagi dan mahir berkaitan sistem komputer dan internet.

Berikut adalah catatan soal-jawab berkenaan:-

Pendakwa Raya: Sila beritahu mahkamah apakah tugas kamu sekarang.
Suhainy: Tugas saya sekarang di TM, mengurus operasi sistem aplikasi yang berkaitan dengan internet dan salah satu pages yang digunakan bagi pengesahan pengguna streamyx.

Pendakwa Raya: Apa kaitan dokumen yang ada dengan kamu sekarang
Suhainy: Untuk memberI keterangan pemohon kepada pihak polis

Pendakwa Raya: Bila kamu kenalpasti pengguna streamyx.
Suhainy: Saya mula untuk mengenalpasti pengguna streamyx dengan maklumat internet

Suhainy diminta mengesahkan dukomen dan beliau mengesahkan betul dokumen itu dengan tiga halaman muka surat.

Pendakwa Raya: Jelaskan kepada mahkamah helaian muka surat satu berkaitan pemohonan.
Suhainy: Terdapat maklumat mengenai tarikh, masa hanya direkodkan dan dikenalpasti.

Pendakwa Raya: Nombor data yang direkodkan
Suhainy: 63.53.155.148

Pendakwa Raya: Maklumat dalam jadual satu
Suhainy: Mengandungi maklumat tarikh dan masa dan waktu itu bukan berada di Malaysia.

Pendakwa Raya: Jadual dua
Suhainy: Tarikh, masa berada di Malaysia selepas masa di jadual satu di tolak lapan jam.

Pendakwa Raya: Apakah IP address
Suhainy: Mengandungi username, login dan maklumat pengguna streamiyx TM


Pendakwa Raya: Apakah username berkenaan
Suhainy: Dr Ramzie (dr ramzie).

Pendakwa Raya: bagaiman ia berfungsi
Suhainy: ID syeksen internet conection yang dibekalkan oleh sistem internet setiap kali membuat capaian.


Pendakwa Raya: : Apakah keistimewaan sekyen
Suhainy: Sekyen ini adalah unik bagi setiap pengguna pada satu-satu masa.

Pendakwa Raya: Maklumat berkaitan itu.
Suhainy: Daripada laporan, sekyen ID ini dipunyai oleh Dato’ Ahmad Ramzi Mohd Zubir no pengenalan 720715-06-5509.

Pendakwa Raya: Apa fungsi start
Suhainy: Start adalah permulaan pengunaan untuk memasuki laman internet

Pendakwa Raya: Stop pula apa fungsinya.
Suhainy: Stop berfungsi apabila pengguna keluar dari menggunakan internet.

Pendakwa Raya: Bila pengguna itu masuk
Suhainy: Pengguna itu mula masuk pada hari Isnin 13 April 2009, masa 19.44.33 dan behenti pada hari selasa 14.4.2009 masa 4.35.56

Pendakwa Raya: Adakah ia putus atau tidak jika ada yang menggunakannya
Suhainy: Disebabkan ID dia adalah sama dalam start dan stop time, ia tidak akan terputus setiap kali digunakan.

Pendakwa Raya: IP yang digunakan
Suhainy: 60.53.155.148
Pendakwa Raya: Siapakah pemilik akaun tersebut
Suhainy: Pengguna akaun Ahmad Ramzi Mohd Zubir beralamat E726, Jalan Kubang Parit, Kubang Parit, 20050 Kuala Terengganu

Pendakwa Raya: IP unik sebagai contoh , tiap tiap PC akan mempunyai siri nombor yang tersendiri begitu juga dengan modem dan peranti komputer yang lain.
Suhainy: Adakah ia boleh dikongsi dengan pengguna lain.
Pendakwa Raya: Tidak boleh dikongsi. Sistem TM hanya memberikan unik IP address kepada setiap capaian dibuat kepada internet.


Pendakwa Raya: Apakah fungsi password
Suhainy: password digunakan sebagai pengesahan apabila pengguna membuat capaian internet. Password pada permulaan disediakan oleh TM.

Pendakwa Raya: Ada aduan berkaitan pencerobohan.
Suhainy: Sepanjang pengetahuan saya tidak ada.

Selepas itu penguambela pula mengemukakan soalan kepada saksi yang sama, Suhainy Ayob.

Penguambela: Kita boleh semak IP melalui pc.
Suhainy: Kalau pengguna tersebut online kita boleh semak IP yang digunakan dengan menggunakan pc pengguna tersebut

Penguambela: Jika pc tidak online, adakah ia mempunyai IP
Suhainy: Jika tidak online pc tersebut tidak mempunyai IP kecuali pc tersebut disambung ke modem yang member local IP kepada PC itu

Penguambela: Adakah ia berbeza.
Suhainy: Local IP pc berbeza, tetapi local internet tidak.

Penguambela: Apakah local IP, mungkin mahkamah pun tidak tahu maksudnya.
Suhainy: Local IP ialah yang diberikan kepada pc untuk berhubung kepada modem sahaja dan IP ini tidak boleh keluar ke internet.

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.

Sejurus kemudian, mahkamah berhenti rehat dan bersambung pada sebelah petang kerana telefon bimbit yang digunakan sebagai bahan bukti kes dan mengandungi SMS itu perlu dicaj semula selepas peguambela mengemukakan kepada mahkamah untuk memeriksa kandungan SMS dalam telefon itu.

Hakim kemudianya menetapkan mahkamah bersambung jam 2.30 petang.

TEGANUKITA

08 November 2010

Mangsa Bot Karam Pulau Tenggol Ditemui Selamat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said mengunjungi mangsa yang terselamat dalam tragedi bot karam di Hospital Kemaman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

“Alhamdulillah. Pada mulanya, saya cukup bimbang dengan keselamatan semua mangsa selepas mengetahui berita itu pagi tadi, namun apabila dimaklumkan mereka semua ditemui selamat saya sungguh bersyukur,” demikian luah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ketika melawat sebahagian daripada 16 mangsa bot karam yang menerima rawatan di Hospital Kemaman (HK) , petang tadi (7 November).

Kesemua mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang hilang selepas bot itu mengalami kebocoran di sekitar perairan Pulau Tenggol, petang semalam (6 November) ditemui pagi ini dalam keadaan selamat selepas mereka terpaksa bersabung nyawa lebih 15 jam terapung di laut.

Mangsa yang berada dalam keadaan lemah dan kesejukan ditemui kira-kira 16 batu nautika selatan pulau itu oleh bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga yang terlibat dalam operasi dan menyelamat sejak semalam.

Menteri Besar yang ditemani isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, menasihati supaya orang ramai tidak melakukan aktiviti riadah dan rekreasi di pulau dan laut pada musim tengkujuh ini berikutan ia boleh mengundang ancaman kepada nyawa dan berharap kejadian yang menimpa penyelam dari Kuala Lumpur itu mampu memberi pengajaran.

Ketua PGM Wilayah Tiga, Asisten Komisionner Mohd Saleh Mat Jani berkata, kelibat mereka yang duduk dalam keadaan berkumpulan disedari oleh pasukan menyelamat selepas beberapa mangsa melambung jaket keselamatan ke udara bagi menarik perhatian dan bantuan.

"Tindakan mereka itu berjaya disedari oleh pasukan PGM yang kemudian bertindak menyelamatkan kesemua mangsa sebelum dibawa ke Pengkalan Marin di Kemaman kira-kira 11 pagi ini," katanya.

Tiga daripada 16 mangsa berada dalam keadaan kritikal selepas ditemui terapung adalah Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, ibu Mohd Danial, Noraini Sosilawati Sarigar Sofian, 33, (mengandung empat bulan) dan Badrul Hisham Shariman, 40.

Berdasarkan rekod agensi pelancongan yang mengatur perjalanan mereka, mangsa lain ialah pemandu bot Zulfadly Yahya, Salman Mohd Kasim, Muhamad Aman, Azhar Ahmad, Mazli Abd Malik, Mohd Zulkifli Mohamad, Loo Kit Choong, dan Mohd Azharini Mohd Amin.

Ayu Dhaida Sulaiman, Anis Shafina, Norazimimah Abdul Maria dan Aida yang kesemuanya dibawa ke HK untuk mendapat rawatan lanjut.

Seorang mangsa yang juga bapa Mohd Danial, Mohd Zulkifli Mohd Daud, 33, ketika ditemui di wad kecemasan HK, menyifatkan kejadian itu seperti `mati hidup semula’, apatah lagi dia terpaksa bertarung menyelamatkan nyawa sendiri serta isteri dan anak yang turut serta bersama-samanya ke pulau itu.

Mohd Zulkifli dari Bangi, Selangor, berkata jika PGM tidak nampak kelibat mereka yang sedang terapung dan terpaksa bertahan lebih lama dalam keadaan sudah tidak bermaya dan kesejukan, kemungkinan terjadi kesan lebih buruk terhadap nyawa mereka.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, bot jenis D-Guardian Katamaran yang membawa 15 pelancong yang terdiri daripada penyelam bertauliah dari Kuala Lumpur termasuk dua doktor seorang jurulatih selam, karam selepas bot berkenaan bocor.

Kejadian berlaku kira-kira 30 minit selepas mereka bertolak dari Pulau Tenggol menyebabkan pemandu bot cuba berpatah balik namun gagal akibat cuaca buruk beserta keadaan laut yang agak bergelombang.

Pemandu bot berkenaan lalu menghubungi majikan mereka memaklumkan bahawa bot berkenaan mengalami masalah.

Majikan berkenaan mencari sendiri kesemua mangsa di sekitar perairan itu sehingga ke Kuala Dungun, namun gagal dan bertindak menghubungi pihak polis.






























TEGANUKITA

Pengunjung Puji Langkah Penganjur

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Pengunjung menguji langkah penganjur mempelbagaikan aktiviti sepanjang Kojohanan Sultan Cup Terengganu Endurance di Lembah Bidong, Setiu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Ribuan pengunjung yang hadir menyaksikan Kejohanan Sultan Cup Terengganu Endurance Challege (SCTEC) 2010, di International Endurance Park (TIEP)Lembah Bidong, Setiu memuji langkah pihak penganjur yang mempelbagaikan aktiviti berbanding tahun sebelum ini.

Kejohanan selama tiga hari dan berakhir hari ini (7 November), bertemakan Kuda Bersongket simbol kekayaan warisan Terengganu bukan sahaja dikunjungi penduduk tempatan malah luar Terengganu terutama Kelantan.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk, wayang pacak, persembahan tarian kebudayaan dan tradisi, permainan berkuda, tunggangan poni dan kereta berkuda.

Tinjauan pemberita Teganukita pada hari pertama kejohanan mendapati, kebanyakan pengunjung yang datang bersama keluarga mengambil kesempatan bergambar bersama replika kuda yang menampilkan corak batik, songket, kartun dan bendera pelbagai negara.

Pengunjung dari Kota Bharu, Junita Shuib, 32, berkata dia teruja dengan aktiviti yang dianjurkan kerana cukup berbeza berbanding di tempat lain, bukan saja berbaloi bagi kami sekeluarga yang datang dari jauh malah dapat merapatkan hubungan kekeluargaan.

“Diharapkan pihak penganjur sudi meneruskan aktiviti ini di tahun hadapan, sekiranya berkemampuan memperbanyakkan lagi program sedia ada,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, Hasmadi Endut, 28, berkata dia tertarik untuk datang sempena SCTEC kerana mengetahui penganjuran kali ini cukup berbeza.

“Wayang pacak yang mempersembahkan filem kegemaran iaitu Transformers II, bagaikan satu bonus bagi saya dan rakan di mana tidak perlu pergi jauh untuk menonton wayang,” katanya.

TEGANUKITA