Halaman

09 May 2011

T-Team perlu berjuang ke separuh akhir

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri berharap T-Team mampu bangkit semula dan mampu mara sekurang-kurangnya di peringkat separuh akhir dalam Liga Super musim ini.

Walaupun sasaran itu agak sukar, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad mahu supaya semua pemain T-Team tetap berusaha untuk bangkit dan tidak terus dilanda kekalahan demi kekalahan yang tidak diketahui punca sebenar masalah itu.
“Sebagai ahli sukan, saya mengingatkan pemain supaya tidak bermain sambil lewa. Kadang-kadang apabila kalah masih senyum lagi, sedangkan kita melakukan kesilapan. Apabila semasa latihan kita tidak serius, semasa pertandingan sebenar juga tidak serius menyebabkan kita terbawa-bawa dengan sikap dan karakter itu,” katanya.

Beliau turut mengulangi amarannya kepada pasukan T-Team supaya memberikan persembahan yang baik dalam tempoh setahun dari sekarang dan jika gagal, T-Team hanya akan tinggal pada nama kerana Terengganu mungkin hanya akan menyenaraikan satu pasukan bola sepak negeri sahaja pada masa depan.

Katanya, kerajaan negeri berhasrat membelanjakan peruntukan kira-kira RM3 juta setahun untuk T-Team dengan membayar tiga pemain profesional dengan bayaran RM3 juta setahun dengan syarat mampu memberi kejuaraan kepada pasukan baru itu kelak.

“Kita habis di sana (T-Team) RM3 juta kita tidak mendapat hasil, kita habis RM3 juta yang ini (pmain profesional), kita tampung dengan apa yang kita ada dan kita dapat tiga pemain yang bagus.

“Daripada dua pasukan lebih baik kita kukuhkan satu pasukan yang mampu bergelar juara. Kita tidak mahu `yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran’,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi peluang kepada bakat muda (bola sepak) mengukir kejayaan dan menonjolkan kecemerlangan dalam bidang itu, namun jika peluang yang diberikan gagal dimanfaatkan sebaik mungkin kerajaan negeri tidak boleh terus menunggu serta memberi peluang.

Malah, katanya ada pasukan yang tidak berduit dan ditaja sebagaimana pasukan di Terengganu tetapi mampu berjaya.

“Apabila pembubaran berlaku, semua pihak pasukan, pengurusan jurulatih semua tiada. Jadi perlu berbincang dan bercakap dari hati ke hati melibatkan semua pihak jika mahu berjaya dan kekal sebagai sebuah pengurusan di bawah tajaan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau juga mengulangi kenyataannya untuk memberi pengiktirafan yang sepatutnya sekiranya atlit mampu menjadi johan termasuk membawa pasukan yang menjadi juara ke London sebagai hadiah kemenangan.



Pelajar perlu bijak agih masa

Oleh: Suriati Ali



Pelajar di Terengganu terutama yang aktif dalam bidang sukan perlu bijak mengagihkan masa antara waktu belajar dan bersukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kedua-dua bidang itu cukup penting kerana bukan saja mampu melahirkan pelajar cemerlang malah dapat mendisplinkan diri dalam apa jua aspek sekiranya mereka aktif bersukan.

“Masyarakat perlu menyokong usaha yang dijalankan pelbagai pihak menganjurkan kejohanan atau pertandingan yang boleh menyihatkan fizikal dan mental kerana mampu mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan tidak bermoral.

“Kerajaan negeri sanggup berbelanja jutaan ringgit setahun semata-mata mahu melihat rakyat Terengganu terutama belia aktif bersukan dan sihat fizikal,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Silaturahim bersama Menteri Besar Terengganu, di dewan makan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Kuala Terengganu malam tadi (8 Mei).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Encik Ismail Nik dan Pengetua, Haji Suhaimi Hashim.

Majlis itu diadakan sempena Kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh peringkat kebangsaan kali ke enam. Seramai 300 pelajar membabitkan 12 sekolah berasrama penuh di negara ini menyertai kejohanan yang berlangsung selama 5 hari itu dan berakhir semalam (8 Mei).


Wujud lebih banyak Taska di tempat kerja

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri berharap lebih banyak Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dapat diwujudkan terutama di tempat kerja yang dikendalikan oleh jabatan atau agensi masing-masing.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, urusan melatih guru-guru dan pelaksanaan kurikulum yang berkesan boleh diserahkan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

“YPK telah bertindak proaktif dalam menerapkan pendekatan selain penglibatan ibu bapa bagi membantu perkembangan kejiwaan kepada anak-anak di peringkat awal,” katanya di majlis Perasmian Bangunan Taska Permata Teluk ketapang, Seberang Takir semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah YPK, Encik Mohd Sarafuddin Mustaffa.

Katanya, YPK juga berkeupayaan menyediakan kemudahan mendidik dan mengasuh lebih 3,000 kanak-kanak setiap tahun dan 2,500 keluarga mendapat manfaat daripadanya kerana anak-anak mereka selesa dan selamat di bawah penjagaan ‘ibu ganti’.

Dato’ Seri Haji Ahmad mengakui Taska Permata mempunyai banyak keistimewaan termasuk program Hafaz Muqadam 23 surah lazim yang dijadikan modul wajib setiap hari bagi kanak-kanak di bawah jagaannya.

“Saya harap suatu hari YPK mampu menjadi contoh bagi latihan guru dan pengendalian pusat asuhan kanak-kanak yang berkualiti di negara ini,” katanya.





08 May 2011

Kerajaan suburkan hubungan dua hala dengan rakyat

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan sentiasa menyuburkan perhubungan dua hala dengan rakyat dan sedia memberi apa saja keperluan rakyat dan berharap rakyat juga dapat menyokong setiap usaha kerajaan termasuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) bila menjelang pilihan raya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said berkata, kerajaan tidak pernah jemu menghulurkan pelbagai bantuan bermula dari dalam rahim ibu hingga berjaya ke puncak menara gading di mana bantuan tidak pernah terhenti.

“Subsidi perubatan, dana raya, dana remaja, baju sekolah, basikal, makanan tambahan, baiki rumah dan dalam bidang pendidikan boleh dikata dari A sampai Z kita bantu,” katanya pada majlis perasmian Bangunan Taska Permata Keluarga dan Bantuan Pakaian Sekolah masyarakat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir hari ini.

Katanya, tidak ada sebuah kerajaan dalam dunia ini yang sanggup membantu rakyatnya seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan negara ini.

“Saya rasa terkilan kenapa masih ada orang sanggup membiarkan diri mereka diperbodohkan oleh parti pembangkang yang hanya pandai berceramah hentam kerajaan BN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa lebih mementingkan pelajaran anak-anak kerana ia akan memberi jaminan masa depan yang gemilang.

Katanya, melalui ilmu yang dimiliki boleh dimanfaatkan untuk mendapat pekerjaan yang baik dalam sektor awam dan swasta atau boleh dijadikan asas menceburkan diri dalam bidang usahawan.

“Kerajaan memerlukan rakyat yang berdaya saing dan daya juang yang tinggi dan tidak ada jalan lain selain memastikan mereka menguasai ilmu pendidikan yang tinggi untuk duduk sama tinggi dengan bangsa lain,” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 2,114 pelajar dalam DUN Seberang Takir menerima bantuan pakaian sekolah dengan kadar RM100 seorang dan kos keseluruhan adalah RM211,400.




Terengganu terima RM20.2 juta urus Taska Permata

Oleh: Esah Abdullah



Terengganu satu-satunya negeri di negara ini yang mewujudkan sebuah agensi iaitu Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bagi mengurus dan menyelaras berkaitan kebajikan kanak-kanak dan keluarga.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, YPK bertanggung jawab menyusun dan menyelaras pelbagai program termasuk penjagaan bayi dan kanak-kanak ketika ibu bapa mereka keluar bekerja.

“Kita juga bertuah kerana mendapat perhatian daripada Kerajaan Pusat yang menyalurkan RM 20.2 juta bagi melaksanakan Taska Pemata,” katanya di majlis Perasmian Bangunan Taska Permata Keluarga Teluk Ketapang dan Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah kepada masyarakat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Kenamaan lain yang hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Pengerusi Golden Pharos Berhad, Datuk Haji Zubir Embong dan Pengarah YPK, Encik Mohd. Safaruddin Mustaffa.

Katanya, kewujudan Taska Permata banyak membantu kerajaan dalam usaha membina perkembangan minda kanak-kanak yang mana ia menggunakan kaedah pembelajaran secara interaktif yang dibangunkan dengan kerjasama Top IT.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut berbesar hati di atas kesediaan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang menunaikan tanggung jawab sosial dengan menyumbang RM550,000 untuk membina Taska Permata yang tersergam indah.

“Dengan adanya sumbangan sektor korporat didalam pendidikan awal kanak-kanak seperti ini dapat menyedarkan kita semua betapa pentingnya pembangunan modal insan itu dimulakan dari peringkat awal kanak-kanak,” katanya.

Katanya, bermain sangat penting bagi golongan ini kerana melaluinya mereka dapat belajar sesuatu yang baru dalam kehidupan di samping memahami konsep serta membina personaliti mereka.





Belia disaran aktif dalam persatuan

Oleh: Suriati Ali

Golongan belia di Terengganu disaran menjadi ahli atau menyertai aktiviti yang dianjurkan mana-mana persatuan bertujuan melahirkan masyarakat cergas dan sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata pihaknya mensasarkan kira-kira 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Katanya, penubuhan itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

“Pada masa ini, sebanyak 436 pertubuhan belia didaftarkan di negeri ini dengan kira-kira 30,000 keahlian.

"Dengan wujudnya pertubuhan belia di peringkat kampung, ia memberi peluang kepada golongan itu melakukan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung dapat membendung gejala kurang sihat,” katanya ketika menjadi tetamu radio Terengganufm, hari ini (8 Mei).

YB Rozi turut memberitahu Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan merasmikan program sambutan Hari Belia Negara peringkat Terengganu pada 20 Mei ini di Padang Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

“Pelbagai program diadakan termasuk, pertandingan futsal, pekan budaya, City Night Game dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh menarik minat remaja,” katanya.



TRBT jadi lokasi kaki pancing

Oleh: Suriati Ali



Cukup mudah sekiranya pengunjung ingin mencari Taman Rekreasi Bakau Tinggi (TRBT) kerana ianya terletak di tepi jalan utama yang menghubungkan laluan Jalan Cukai, Kemaman ke Kuala Terengganu.

Lebih jelas lagi di taman ini terdapat beberapa replika mata kail yang melambangkan lokasi kegemaran kaki pancing.

Berdekatan taman ini juga terdapat beberapa peniaga menjual ketam nipah yang sentiasa mendapat tumpuan orang ramai apabila mengunjungi kawasan ini.

Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang bertanggungjawab menjaga kawasan ini turut menyediakan laluan atau jambatan kecil untuk pengunjung yang ingin melihat kehijauan pokok paya bakau secara dekat.

Kemudahan lain, termasuk surau, restoran terapung, taman permainan, pondok rehat, tandas awam dan laluan berjoging .

Yang Dipertua MPK, Haji Mustafar Khalid, berkata lokasi TRBT cukup strategik kerana terletak di persisiran Sungai Kemaman.

Perjalanan untuk sampai ke sini juga amat senang kerana terletak di tepi jalan raya utama untuk ke Bandar Chukai, Kemaman selain banyak papan tanda memberi tunjuk arah kepada mereka yang ingin berkunjung.


Pelbagai program untuk tingkat pendapatan penduduk miskin

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pelbagai program dilakukan kerajaan bagi membantu meningkatkan pendapatan 3,900 keluarga di kawasan Parlimen Kuala Nerus yang mendaftar dengan e-Kasih.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata sebahagian besar keluarga berkenaan terdiri daripada nelayan dan petani di mana mereka boleh melepasi garis kemiskinan jika berusaha lebih gigih dan mendapat bantuan kerajaan.

Sehubungan itu, pihak kerajaan sedang merancang mengadakan pelbagai cara bagi membantu mengeluarkan keluarga tersebut daripada garis kemiskinan, sekaligus menaikkan taraf hidup mereka.

Beliau berkata, sebahagian besar keluarga tersebut yang tinggal di Seberang Takir, Mengabang Telipot dan Pulau Duyong amat berpotensi untuk memajukan keluarga masing-masing, tetapi mereka tidak menggunakan kemudahan yang disediakan secara optimum.

“Kebanyakan nelayan dan petani di kawasan ini tidak menggunakan kemudahan teknologi canggih secara maksimum, seperti sistem GPS di mana keadaan ini merugikan mereka sendiri,” ujar beliau.

Manakala sebahagian lagi penduduk, katanya, tidak menggunakan tabung sedia ada yang diwujudkan kerajaan bagi tujuan menambah pendapatan mereka dan sebahagian lagi hanya mengharapkan bantuan subsidi semata-mata.

Katanya, jika mereka menggunakan kemudahan itu sebaik mungkin, tidak mustahil dalam masa yang singkat mereka mampu menambah pendapatan dan keluar dari garis kemiskinan.


350,000 pelawat dijangka berkunjung ke Tasik Kenyir

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kira-kira 350,000 pelawat dan pelancong, termasuk dari luar negara dijangka melawat Tasik Kenyir sepanjang tahun ini berbanding 200,000 orang pada tahun lalu.

Anggaran tersebut dibuat berdasarkan pertambahan pengunjung ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu yang menyaksikan pertambahan 40,000 orang tahun lalu berbanding tahun 2009.

Mengikut perangkaan, sepanjang tahun 2009 seramai 160,000 orang berkunung ke Tasik Kenyir di mana sebahagian besarnya bertujuan memancing pelbagai jenis ikan yang terdapat dalam tasik itu.

Bagaimanapun, pada tahun lalu pengunjung ke tasik Kenyir bukan saja boleh memancing, tetapi mereka juga berpeluang mengadakan aktiviti lain seperti melihat pelbagai jenis herba yang terdapat di Pulau Herba.

Pada tahun ini pula mereka boleh ke pergi Taman Burung yang diwujudkan di Tasik Kenyir sebagai salah satu usaha kerajaan mewujudkan lebih banyak aktiviti untuk pelawat dan pelancong ke situ.

Kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir dijangka meningkat dengan mendadak apabila pelbagai projek yang dirancang di situ, siap tidak lama lagi, termasuk zon bebas cukai di Pulau Bayas dan pembinaan kereta kabel dari jeti Pengkalan Gawi ke Pulau Poh.


Penyakit kronik penyumbang utama kematian pramatang

Oleh: Suriati Ali

Penyakit kronik seperti jantung, diabetes, hipertansi, strok dan kanser menjadi penyumbang utama kematian pramatang dan pelbagai jenis ketidakupayaan hidup.

Walaupun pelbagai usaha dan kaedah dilaksanakan pihak berkaitan bagi mencegah masalah penyakit ini tetapi ia terus menjadi kebimbangan masyarakat pelbagai peringkat usia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata kebanyakan penyakit kronik yang terjadi hari ini adalah ekoran tingkah laku individu itu sendiri yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat dan merokok.

“Oleh itu, amalkan cara hidup sihat dengan melakukan senaman atau aktiviti fizikal secara berkala, mengambil makanan berkhasiat seperti lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta elakkan pengambilan gula berlebihan.

“Sebenarnya semua individu mempunyai risiko untuk mendapat penyakit kronik jika tidak mengambil berat tentang penjagaan diri. Jalanilah pemeriksaan kesihatan secara berterusan supaya kita dapat mengetahui tentang status kesihatan diri,” katanya.

Katanya, faktor kejadian penyakit kronik juga berkait rapat dengan tabiat merokok yang semakin meningkat setiap tahun terutama di kalangan remaja.

“Asap yang terhasil daripada pembakaran rokok mengandungi lebih 4,000 bahan beracun di mana sudah tentu menyebabakan pelbagai penyakit serius,” katanya.