Halaman

29 August 2011

Ukom anjur Hari Raya MB bersama perantau

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Imbas...Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2010


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan meraikan para perantau pada Hari Raya Aidilfitri Kedua mulai jam 10 pagi hingga 2 petang, di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk.

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan pemimpin kanan kerajaan, dijangka hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, berkata program itu merupakan acara tahunan Ukom bagi memberi peluang Menteri Besar bertemu dengan rakyat Terengganu yang berada di perantauan.

“Sempena kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing pada Hari Raya Puasa ini, pihak kami mengambil inisiatif bagi menemukan mereka dengan pemimpin kerajaan, khususnya YAB Menteri Besar,” katanya.

Dijangka 1,500 orang perantau anak Terengganu, termasuk pelajar yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi akan mengambil kesempatan berhari raya akan bersama pemimpin kesayangan mereka, Dato’ Seri Haji Ahmad dan keluarga.

Haji Shamsuddin berkata, program itu akan diadakan dalam keadaan santai di mana ia selaras dengan suasana perayaan dan pendekatan kerajaan negeri untuk Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Selain pelajar, perantau yang terdiri dari pelbagai jenis profesion seperti ahli akademik, petugas media dan tokoh serta personaliti anak Terengganu yang mencipta nama di luar Terengganu turut dijemput hadir program berkenaan.

Selain menikmati hidangan hari raya, para hadirin juga akan dihiburkan persembahan bercorak budaya Terengganu.

Menteri Besar juga akan menyampaikan ucapan bagi memberi maklumat kepada perantau tentang pembangunan dan hala tuju pembangunan Terengganu yang terkini.

Puan Norliza milki sifat gemar belajar

Oleh: Suriati Ali

Setiap apa jua kerjaya sama ada membabitkan bidang profesional, perkeranian, kewangan dan pihak berkuasa semuanya memerlukan pembelajaran secara berterusan sekiranya serius ingin mencapai matlamat lebih tinggi dalam kerjaya yang diceburi.

Prinsip itu sentiasa diamalkan Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Khidmat dan Pengurusan) Perbendaraan Negeri Terengganu, Puan Norliza Ismail, 31 sejak berada di jabatan kerajaan.

Walaupun sesukar mana tugasan yang diarahkan ketua jabatan, beliau berusaha melaksankannya sebaik mungkin dan penuh dengan ketelitian supaya memenuhi kehendak majikan.

Puan Norliza juga lebih gemar bersikap rendah diri untuk menyoal perkara yang tidak ketahui kepada kakitangan bawahan dan lebih berusia.

Cara kerja yang diamalkan itu nyata membuahkan hasil apabila beliau kini memiliki kerjaya yang selesa dan disegani ramai walaupun baru mencecah usia awal 30-an.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM) itu pernah bergelar guru sandaran tidak terlatih sebaik tamat pengajian pada 2004.

Kemudiannya ditawarkan bertugas sebagai Penolong Pentadbir Tanah di Pejabat Tanah Dungun.

Komitmen tinggi terhadap tugas membuatkan Puan Norliza dinaikkan pangkat ke jawatan lebih selesa iaitu sebagai Penolong Pengarah (Galian) Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu pada Januari 2009.

Selepas menyandang jawatan itu selama dua tahun empat bulan, beliau dinaikkan pangkat lagi kepada jawatan lebih tinggi iaitu jawatan yang disandang sekarang sebagai Ketua Penolong Kewangan Negeri (Khidmat dan Pengurusan).

“Tidak rugi seseorang itu menuntut ilmu walau setinggi mana pun, lagi banyak mereka meneroka ilmu, lebih mendalam sesuatu aspek dapat diketahui terutama berkaitan kerjaya yang dimiliki.

“Saya cukup gemar mempelajari sesuatu perkara terutama berkaitan kerja yang sukar dilaksanakan, perkara itu cuba diselsaikan dengan teliti supaya dapat memenuhui kehendak majikan atau ketuan jabatan,” katanya yang berasal dari Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu.

Katanya, lebih tinggi jawatan yang dipertanggungjawabkan, lebih besar komitmen wajar dilaksanakan seseorang pekerja itu termasuk terpaksa bertugas di luar kawasan dan melebihi masa.

“Jutaan terima kasih kepada suami Zaifulnizam Zakaria yang bekerja di Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana memahami tugasan saya malah pada masa sama memberi sokongan yang tidak berbelah bagi,” katanya


Norliza yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam cawangan Terengganu (Puspanita) berkata dia turut terlibat menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan Puspanita.

“Pengajuran aktiviti tahunan seperti lawatan sambil belajar, Hari Mesra Bersama Warga Emas dan Orang Miskin nyata dapat megeratkan silaturahim antara kakitangan kerajaan dan masyakarat luar.


28 August 2011

Persatuan Bekas Polis Terengganu buat laporan Polis

Oleh: Mohammad Ishak


Hussin ketika membuat laporan polis di IPD Besut, Kampung Raja

Kecewa dan kesal dengan tindakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengiktiraf pengganas komunis sebagai hero dan pejuang kemerdekaan negara, Persatuan Bekas Polis Terengganu (PBPT), hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan biadab pemimpin Pas itu.

Pengerusinya, Hussin Awang Ngah berkata , pihaknya terpanggil untuk membuat laporan polis kerana rasa terhina dengan kenyataan pemimpin itu yang mengiktiraf kumunis dan memperlekehkan pasukan keselamatan.

Katanya, PBPT yang kini mempunyai 4,500 ahli terkejut dengan kenyetaan seperti dan tidak sepatutnya keluar daripada mulut pemimpin sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam dan berbangsa Melayu.

Menurutnya, Mat Sabu sudah terdesak mencari publisiti sehingga sanggup memutar belit sejarah negara yang sudah diketahui umum.

“Kami dari pasukan keselamatan yang pernah berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara berasa hina dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, hari ini.

Hussin berkata, hasil perjuangan anggota keselamatan tidak dinilai oleh pemimpin Pas sebaliknya mengangkat martabat perjuangan anggota komunis sebagai wira.

Beliau berkata, pemimpin Pas itu sebenarnya sudah nyanyok dan buta sejarah sehingga sanggup memesongkan fakta sebenar demi untuk kepentingan politik peribadi dan parti berkenaan.

"Oleh itu bangsa Melayu harus sedar dan bangkit menentang pemimpin seumpama ini kerana jika dibiarkan ia akan menjadi lebih parah,” katanya.


Pekebun kecil RISDA Terengganu terima dividen RM20 juta

Oleh FAUZI MOHD



Tinggal hanya sehari dua sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, 3,454 pekebun kecil Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) di negeri ini mengukir senyum gembira.

Kegembiraan menghadapi 1 Syawal amat bermakna apabila mereka menerima pembayaran dividen sebanyak RM20.32 juta daripada RM176.6 juta dividen RISDA yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pertengahan bulan lalu.

Ketua Pengarah RISDA, Dato’ Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, dividen antara RM1,000 hingga RM6,000 seorang itu dibayar kepada 2,6665 peserta TSK dan selebihnya kepada peserta RTBB yang melibatkan tanah ladang seluas 13,713 ekar telah dimajukan.

“Dengan pembayaran dividen ini ia sedikit sebanyak dapat membantu peserta membuat persiapan menghadapi sambutan Aidilfitri serta simpanan untuk hari tua dan pendidikan anak-anak.

“Ini setimpal dengan apa yang diusahakan di bawah RTBB atau TSK selain memajukan RISDA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran dividen itu di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir menyampaikan dividen itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Sementara itu, seorang peserta, Ahmad Ismail, 54, dari Kampung Jerung Tuan, Marang berkata, dividen tersebut akan disimpan bagi kegunaan rawatan kesihatannya dan selebihnya akan dibelanjakan untuk persiapan raya.

“Terima kasih kepada RISDA dan Menteri Besar yang prihatin tentang masalah rakyat lebih-lebih lagi kepada pekebun kecil seperti kami yang bergantung kepada hasil tanaman," katanya yang memperolehi dividen berjumlah RM3,250.

Bagi Ibrahim Mamat, 70, yang berasal dari Kampung Bukit Berangan, Tepuh memberitahu, wang berjumlah RM1,625 yang diterimanya akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi perbelanjaan hari tuannya.

Menurutnya, ini merupakan hadiah yang paling bermakna untuknya sekeluarga dan berterima kasih kepada RISDA dan kerajaan atas pemberian dividen tersebut.

Kawat rai anggota penguatkuasa bertugas sempena Aidilfitri

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Bagi menghargai anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertugas sepanjang perayaan Aidilfitri tahun ini, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) ‘turun padang’ menemui mereka sambil menghulurkan ‘buah tangan’ sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Kawat yang diketuai Presidennya, Encik Ayob Mamat dan kira-kira 20 ahli jawatankuasa serta ahli kelab dan warga media, turut sama menjayakan program berkenaan yang diadakan di jalan berhampiran Pantai Batu Buruk, malam tadi.

Turut sama pada program itu ialah Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa dan Pengarah JPJ, Encik Abdul Rahman Emang Anyie.

Menurut Encik Ayob, Kawat menyediakan kira-kira 120 bungkusan mengandungi kuih raya, air zam-zam, kurma dan kad raya untuk diagih-agihkan kepada anggota polis trafik dan petugas JPJ ketika mereka sedang mengadakan operasi dan sekatan jalan raya sekitar bandar ini.

Beliau berkata, cenderahati tersebut disediakan bagi menghargai penat lelah anggota penguatkuasa sewaktu bertugas dan pengorbanan mereka yang sanggup melupakan cuti pada musim perayaan ini bagi memastikan orang ramai berhari raya dalam keadaan aman.

“Melalui program ini juga pihak kami berpeluang merapatkan lagi hubungan pihak media dengan dua agensi berkenaan yang banyak berjasa kepada rakyat negara ini,” ujarnya.



600 Pesakit Di HSNZ Terima Hamper Raya


Klik Gambar Untuk Lihat Video



MBNT anjur majlis berbuka puasa

Oleh: Amirullah Othman



Kira-kira 250 orang, sebahagiannya terdiri daripada belia menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) bersama Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, di Marang Village, Kelulut, Marang malam kelmarin.

Pengerusi MBNT, Encik Mat Yusof Mat Ali, dalam ucapan pada majlis itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pimpinan belia seluruh negeri yang sanggup hadir dari jauh untuk sama-sama meraikan majlis tersebut.

Beliau juga turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak putus-putus menyokong MBNT, termasuk memberi peruntukan bagi membiayai majlis berbuka puasa bagi meraikan pemimpin belia seluruh negeri.

"Bagi merealisasikan hasrat kerajaan Terengganu untuk memartabatkan persatuan belia, MBNT akan menanamkan hasrat dan iltizam yang tinggi bagi menjayakan setiap program yang dijalankan oleh kerajaan negeri Terengganu sebagai tanda sokongan," ujar beliau.

Program tersebut turut dihadiri jawatankuasa MBNT, jawatankuasa badan-badan gabungan MBNT, para pemimpin belia negeri Terengganu, pemimpin belia peringkat daerah dan cawangan.

Program itu juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di kalangan pemimpin belia dan seterusnya berkongsi idea dan pengalaman mengenai program-program yang telah dan akan dilaksanakan.

UKOM, Pemuda dan Puteri UMNO Kuala Nerus agih 1,200 bubur lambuk, Jalur Gemilang

Oleh Ruslan Abdul Rahman



Unit Komunikasi Negeri (UKOM) bersama Pergerakan Pemuda dan Puteri Bahagian Kuala Nerus mengagihkan bubur lambuk dan jalur gemilang sempena Ramadan dan bulan kemerdekaan di Pekan Batu Enam, baru-baru ini.



Kira-kira 1,200 bubur lambuk, kurma. Jalur Gemilang dan akhbar Teganukita diedar kepada pengunjung pasar itu dan para pengguna jalan raya.



Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri, Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus, Apli Yusof dan Ketua Puteri Kuala Nerus, Aida Azam.

600 pesakit di HSNZ terima hamper raya

Oleh FAUZI MOHD



Kedukaan dan kesakitan yang dialami oleh lebih 600 pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu mungkin sedikit terubat apabila menerima kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said serta beberapa pemimpin negeri, petang semalam.

Selain bertanya khabar, kunjungan sempena Program Ehsan Ramadan anjuran Pergerakan Puteri UMNO negeri itu, turut menyampaikan hamper raya kepada pesakit yang sedang dirawat di hospital berkenaan.


Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Nordiana Dato’ Shafie berkata, program itu antara lain bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat terutama mereka yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, kunjungan yang turut disertai isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar itu merupakan sebahagian daripada Program Puteri Prihatin (3P) di Terengganu.

“Di saat orang lain begitu gembira untuk menyambut kemeriahan Aidilfitri, jangan kita lupa masih ramai insan yang kurang bernasib baik sedang menangggung penderitaan akibat pelbagai penyakit.

“Dengan sumbangan hamper seperti ini, ia sedikit sebanyak mampu menceriakan setiap pesakit serta anggota keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui pada program berkenaan, petang semalam.

Selain kumpulan rombongan Menteri Besar yang turut diiringi Pengarah Kesihatan negeri, Dato’ Dr. Nordiyanah Hassan melawat pesakit di wad tujuh HSNZ, enam kumpulan lagi secara serentak turut serta melawat pesakit di wad yang lain.

Rombongan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri membahagikan hamper raya kepada pesakit di wad dua, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Muhammad Ramli Nuh (wad empat), dan Ketua Wanita UMNO negeri, Senator Dato’ Fatimah Hamat (wad satu).

Manakala kumpulan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda di wad lima, Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharuddin (wad enam) dan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (wad lapan).

Tambah Nordiana, kunjungan itu adalah kemuncak kepada program sebelum ini di mana Puteri UMNO Terengganu turut menganjurkan program yang sama ke hospital-hospital daerah di Besut, Setiu, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Sejurus selepas itu, warga Jabatan Kesihatan negeri bersama-sama Dato’ Seri Ahmad berbuka puasa di tempat letak kereta, Kompleks Rawatan Harian, HSNZ.

Pulau Perhentian antara yang tercantik di Malaysia

Oleh: Suriati Ali

Pulau Perhentian yang terletak kira-kira 25 kilometer (km) dari Pekan Besut, berkemungkinan wujud hasil daripada gabungan Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil yang terdapat di pulau tercantik di Malaysia itu.

Kedua-dua pulau atau dikenali sebagai pulau berkembar itu dilitupi rimbunan hutan simpan, di celah-celahnya pula terdapat beberapa laluan pintas untuk menuju ke beberapa kawasan perairan pantai berdekatan.

Destinasi yang sememangnya tersohor dengan kecantikan terumbu karang; keaslian dan keindahan alam semula jadi di lautan dan daratan itu kerap kali menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar negara untuk berbulan madu dan bercuti bersama keluarga atau sahabat handai.

Tidak rugi, sekiranya menghabiskan masa di Pulau Perhentian kerana di destinasi itu pasti menjanjikan kedamaian dan kepuasan dengan pelbagai aktiviti seperti snorkeling, menyelam, menjelajah hutan dan bebeku.

Sekiranya pelancong berminat untuk bermalam, terdapat lebih kurang 1,000 bilik penginapan yang ditawarkan 42 pengusaha rumah panjang, chalet dan resort. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu serendah RM10 hingga RM200 semalam.

Sekiranya berkemampuan dan inginkan keselesaan, mereka boleh menginap di resort bertaraf empat bintang yang dilengkapi penghawa dingin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Haji Rahin Mohd Said, berkata Pulau Perhentian merupakan salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia.

Katanya, kejernihan air laut serta kepelbagaian hidupan marin yang masih cantik dan terpelihara, menjadikan ia antara destinasi pelancongan terbaik di antara pulau di Malaysia.

“Seiring dengan keindahan pulau itu sendiri, ia juga turut popular dengan aktiviti-aktiviti seperti bersnorkel, menaiki bot, perkhemahan dan melihat penyu bertelur.
“Selain itu, ia juga turut menjadi tumpuan pelancong yang ingin melakukan aktiviti menyelam skuba melalui sijil bertauliah yang diiktiraf di peringkat dunia sahaja,” katanya.

Datuk Mohd Rahin, berkata aktiviti seperti menjelajah hutan dan juga penyelidikan tumbuhan semula jadi juga boleh dilakukan di Pulau Perhentian.

“Kerajaan negeri berusaha memajukan dan memperkenalkan lagi Pulau Perhentian ini sebagai destinasi pelacongan dengan mengawal pembangunan supaya mengekalkan ciri-ciri alam semulajadi.

“Dalam usaha untuk memperkenalkan lagi Pulau Perhentian sebagai destinasi perlancongan yang menarik, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah Besut telah mengadakan Pesta Kebudayaan di Pulau pada setiap tahun,” katanya.

Pesta ini dikenali sebagai Perhentian Discovery dan dimasukkan dalam ke dalam kalender aktiviti tahunan