Halaman

28 September 2011

11 persatuan nelayan Terengganu terima sumbangan RM1.1 juta

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri memberi sumbangan RM1.1 juta kepada semua 11 persatuan nelayan di Terengganu untuk tujuan modal pembangunan projek kecil di kawasan masing-masing.

Sumbangan RM100,000 setiap persatuan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pada majlis perjuampaan beliau bersama warga nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Marang, hari ini.

Ia termasuklah kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang, PNK Besut, PNK Kuala Terengganu Utara, PNK Dungun, PNK Paka, PNK Kemasik, PNK Kijal, PNK Kemaman dan Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu).

Turut mendapat perhatian, tujuh peserta yang mendapat bantuan peralatan pemprosesan daripada Jabatan Perikanan bernilai RM47,000.

Selain itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan lesen sampan kepada 28 orang nelayan kawasan Parlimen Marang.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, pemberian pelbagai bantuan kepada golongan nelayan itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menjaga kebajikan setiap nelayan.

Beliau turut mencadangkan agar jeti tidak harus dijadikan sebagai tempat pendaratan ikan semata-mata tetapi juga sebagai pusat kegiatan agro-pelancongan seperti memancing, menjual ikan bakar dan sebagainya.

“Seharusnya mereka berusaha mempelbagaikan punca pendapatan dan ini akan membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan nelayan sekali ganda menjelang tahun 2020," katanya.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, dengan pemberian lessen sampan itu maka setiap mereka layak menerima elaun sara diri sebanyak RM200 sebulan selain subsidi petrol dan dibayar 10 sen bagi setiap satu kilogram tangkapan.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dato’ Mohd. Jidin Shafee dan Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.

LTHT kendali tujuh penerbangan haji tahun ini

Oleh; Esah Abdullah



Lembaga Tabung Haji Terengganu (LTHT) akan mengendalikan tujuh penerbangan terus ke Tanah Suci melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, bermula 30 September ini.

Pengarah LTHT, Encik Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kira-kira 3,100 jemaah terutama dari Terengganu, Kelantan dan Pahang akan terbang melalui lapangan terbang di negeri ini.

Katanya, setiap penerbangan dijangka membawa seramai 447 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan penerbangan terus ke Madinah dan Jeddah.

"Penerbangan pertama dari Kuala Terengganu KT4 dijangka berlepas kira-kira jam 11.35 pagi terus ke Madinah,’’ katanya selepas mengadakan taklimat dan meninjau mengenai persiapan operasi penerbangan haji kepada petugas di LTSM di sini, pagi ini. Hadir sama Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Ahmad Ramli Mahmood.



Kira-kira seramai 300 kakitangan daripada 18 agensi kerajaan termasuk Polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, MAB, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Penerbangan Malaysia, Kastam dan Imigresen bagi membantu operasi penerbangan haji di LTSM di sini.

Beliau berkata, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober,diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan jemaah supaya membaca dengan teliti jadual penerbangan yang diterima bagi mengelakkan terlepas peperbangan dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kelewatan tiba untuk melapor diri.

Katanya, tahun ini merupakan tahun ke empat Tabung Haji mengendalikan jemaah daripada LTSM sejak tahun 2008 dengan lima penerbangan dan pada tahun lalu sebanyak tujuh penerbangan.

Beliau berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya juga, kerajaan negeri akan menyediakan kira-kira 3,000 makanan percuma kepada jemaah dan keluarga yang mengiringi jemaah setiap kali penerbangan di LTSM.

Menurutnya, kira-kira 1,800 jemaah dari negeri ini berpeluang menunaikan farhu haji pada tahun ini.





MB minta wakil rakyat hulur bantuan segera

Oleh: Suriati Ali

Wakil rakyat di negeri ini di minta memberi bantuan segera kepada mana-mana penduduk yang mengalami kerugian harta benda dan kerosakan rumah akibat di landa ribut dan angin kencang malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bantuan segera amat diperlukan mereka bagi membaiki pelbagai kerosakan seperti bumbung, dinding dan pelbagai kelengkapan lain.

Katanya, pihaknya belum menerima maklumat tepat mengenai jumlah rumah yang rosak serta kerugian harta benda awam akibat bencana yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di negeri ini, termasuk Seberang Takir dan Kuala Terengganu.

“Penduduk berkaitan tidak perlu bersedih di atas apa yang terjadi kerana kerajaan negeri bersedia menghulur bantuan melalui peruntukan khas di kawasan masing-masing.
“Kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku malam tadi agak laur biasa berbanding apa yang pernah di alami sebelum ini di mana banyak kemudahan awam seperti tiang lampu, pondok rehat dan papan iklan rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tinjauan Teganukita mendapati, pihak berkaitan iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia mula membersihkan kawasan yang dilanda ribut dengan mengalihkan dahan pokok dan membetulkan papan tanda, kabel elektrik serta kabel telefon.



80 guru Terengganu ke Korea Selatan, Australia

Oleh FAUZI MOHD.

Kerajaan negeri menghantar 80 orang guru sekolah rendah dan menengah ke luar negara selama seminggu bagi mendalami ilmu berkaitan pengurusan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, seramai 50 guru ke Korea Selatan bermula semalam dan selebihnya ke Australia pada hujung Oktober ini.

Menurutnya, lawatan ke Korea Selatan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Zawawi Ismail bagi mendedahkan warga pendidik berkaitan pentadbiran sekolah cemerlang di negara berkenaan.

“Rombongan yang terdiri daripada pengetua, guru besar dan guru cemerlang itu akan melawat dua buah sekolah berprestasi tinggi serta meninjau pembangunan kelas maya di negara berkenaan.

“Mereka turut berpeluang mendapatkan maklumat terperinci berkaitan aplikasi kelas maya apabila dibawa melawat ke beberapa buah syarikat berkaitan industri itu di Sejong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), dekat sini semalam. Turut hadir, Pengarah PSMZA, Zolkarnain Jobshi.

Tambah Ahmad Razif, sempena lawatan ke Korea Selatan itu, kerajaan negeri turut menjalinkan beberapa bentuk kerjasama dengan syarikat berkaitan teknologi maklumat bagi membangunkan kelas maya di sekolah-sekolah Terengganu.

“Kerjasama itu turut melibatkan pembangunan pendidikan kelas maya untuk pendidikan pra-sekolah seperti pengenalan silibus baru serta penambahbaikan dalam aplikasi ‘TV-Kids’ kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Lawatan ke Australia akan diketuai Ahmad Razif sendiri dengan melawat beberapa buah sekolah berprestasi tinggi dan ia merupakan insentif kerajaan negeri kepada warga pendidik di negeri ini yang sentiasa berkerja keras untuk meningkatkan prestasi pembelajaran murid.

“Program penghantaran guru ke negara itu merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri dalam menjayakan program 'Terengganu Anjung Ilmu',” ujarnya.

MB terima rombongan dari Royal Thai-General

Oleh: Suriati Ali



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan hormat hormat rombongan daripada Royal Thai-General di pejabatnya kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Rombongan dari Thailand itu terdiri daripada Timbalan Pengerusi Lembaga Perdagangan Thailand, Mr, Niyom Wairatpanji; Jeneral Inspektor Menteri Pengangkutan, Mr Chula Sukmanop; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Malaysia, Mr Sirisak Wangthammang dan Penterjemah bahasa, Mr Tong Chin Boon.

Dalam pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, semua ahli rombongan saling bertanya khabar dan meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, kemudahan infrastruktur dan pendidikan yang boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.


Ukom kumpul bekas angota polis zaman darurat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Unit Komunikasi Negeri (Ukom) mengambil inisiatif mengumpulkan kira-kira 20 orang bekas anggota polis yang bertugas di zaman darurat, bagi membolehkan mereka menceritakan sendiri pengalaman pahit kepada pihak media massa.

Lebih 20 anggota media massa dijangka hadir pada Program Bicara Media yang dijadualkan di Permai Inn, jam 3 petang ini, bagi mendengar sendiri cerita daripada bekas anggota polis berkenaan.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata program Bicara Media kali ini agak berlainan daripada sebelum ini di mana pihaknya menjemput bekas anggota polis zaman darurat sebagai tetamu.

“Kita mahu mereka menceritakan sendiri pengalaman yang dilalui pada zaman berkenaan kepada pihak media untuk tatapan masyarakat umum.

“Kita tidak mahu pihak lain mengambl kesempatan menghina bekas perajurit dan polis yang telah berkhidmat dengan jiwa dan raga menentang musuh negara, sebaliknya pengganas komunis yang diagung-agungkan kerana tujuan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, Ukom mahu bekas anggota polis ini dihargai jasa mereka dan dikenang pengorbanan mereka bukan dihina seperti yang dilakukan pemimpin Pas.

Dalam program sebelum ini Program Bicara Media menampilkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) sebagai tetamu bagi memberi peluang kepada mereka memberi penerangan kepada pihak media mengenai portfolio masing-masing.


KEJADIAN RIBUT MALAM TADI

Laporan awal: Ruslan Abdul Rahman - Pengarang Teganukita


SENGET...keadaan tiang lampu akibat ditimpa pokok saga yang tumbang dalam kejadian ribut semalam.

Ribut serta angin kencang melanda bandar Kuala Terengganu awal malam tadi dan menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan merosakkan beberapa kemudahaan awam, rumah, khemah-khemah perniagaan, kenderaan dan sebagainya.

Tinjauan Teganukita mendapati antara kawasan yang teruk kesan dari ribut yang datang secara mengejut beserta dengan hujan dan petir termasuklah di Taman Shah Bandar, Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Pejabat dan jeti bot penambang bersebelahan pasar payang serta beberapa lokasi yang terdedah sekitar bandar.

Pihak Majlis Bandara Raya Kuala Terengganu (MBKT) telah melakukan kerja-kerja yang pantas untuk mengelak gangguan kepada lalu lintas berikutan banyak pokok yang tumbang merentasi laluan dan jalan awam.

Orang ramai menyifatkan kejadian itu berlaku dengan begitu pantas sekali dalam beberapa minit kira-kira jam 8.40 malam.

Di hadapan Pejabat Unit Komunikasi (UKOM di Jalan Pejabat) sendiri sebahagian pokok yang terserpih jatuh ke atas jalan turut menghalang lalu lintas dan menimpa beberapa kenderaan yang terdapat di situ. Bagaimana pihak MBKT dalam masa tidak sampai satu jam memulihkan semula laluan itu.

Waktu kejadian di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sedang berlangsung perlawanan suku akhir bola sepak Piala Malaysia, Terengganu menentang Negeri Sembilan.

Selepas kira-kira enam minit berlangsung perlawanan terpaksa ditangguh kira-kira 40 minit akibat ribut kuat dan hujan lebat itu.

Pihak MBKT dan beberapa agensi berkaitan memantau segera kejadian itu untuk memastikan kesan darinya dapat diatasi segara dan tidak menganggu kehidupan harian penduduk di bandar ini.


Polis Besut bantu 12 keluarga miskin

Oleh: Mohammad Ishak


Zainy menyampaikan sumbangan kepada seorang keluarga angkat Polis Besut

Penderitaan hidup 12 keluarga miskin di daerah Besut mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila mereka diambil sebagai anak angkat bagi membantu kesulitan hidup yang dihadapi keluarga terbabit.

Keluarga berkenaan masing-masing dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut,Jertih, Kota Putera dan Kuala Besut, dipilih sendiri oleh PDRM berdasarkan kemiskinan mereka tanpa melalui mana-mana pihak.

Berikutan itu keluarga terbabit semalam diundangkan khas ke Ibu Pejabat Polis Daerah IPD) Besut,Kampung Raja, untuk diraikan dalam satu majlis sempena rumah terbuka Aidilfitri Polis Besut.

Pada majlis itu mereka diberi layanan istimewa selain diberikan hamper berupa makanan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Noor Zainy Mohd Noor kepada keluarga terpilih.

Noor Zainy berkata, pihaknya akan menjadikan keluarga terbabit sebagai anak angkat Polis Besut dan akan terus membantu segala keperluan yang diperlukan oleh mereka termasuk pembelajaran anak-anak.

Katanya, anggota polis di setiap kawasan diarah mencari sendiri keluarga miskin tanpa melalui mana-mana agensi untuk mengemukakan nama kepada IPD bagi pertimbangan jawatankuasa pemilih.

“Alhamdulillah kami berjaya mengesan status keluarga terbabit dan mereka sememangnya hidup dalam keadaan miskin dan perlu diberi bantuan,” katanya pada majlis sambutan rumah terbuka berkenaan.

Rumah terbuka PDRM itu ternyata mendapat sambutan apabila ribuan penduduk tempatan membanjiri perkarangan IPD Besut sejak awal pagi untuk menikmati jamuan selain beramah mesra dengan anggota pasukan keselamatan berkenaan.

Zainy mengucapkan terima kasih kepada penduduk daerah itu yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada Polis dalam usaha membantu membanteras jenayah dan berharap mereka akan terus bekerjasama dengan PDRM.


27 September 2011

Bayam Anggur, menarik dan berkhasiat

Oleh; Esah Abdullah



Berbatang lembut warna ungu kemerahan dan berdaun hijau berbentuk hati, menarik serta berkhasiat itulah Bayam Anggur atau Remayong dan nama saintifiknya Basella Rubra.

Ia ditanam secara komersial atau suka-suka sebagai tanaman hiasan serta tergolong dalam keluarga sayuran di bahagian daun dan pucuk muda namun boleh dijadikan jus ungu yang diperah untuk mengubati sakit mata.

Kandungan zat pemakanan bayam ini bagi setiap 100 gram (g) adalah air (91g) protin (2.2g), lemak (0.3g), karbohiderat (3.9g), fiber (1.3g) dan tenaga (112g) manakala kandungan vitamin pula sangat tinggi iaitu vitamin A (1,686 – 6,400 IU), vitamin C (26 – 166 mg), kalsium (16-117 mg), ferrous (91.2-3.1 mg) dan berat setiap 1,000 biji benih ialah 30-40g.

Tumbuhan ini mempunyai jangka hayat pendek, renek dengan panjang mencapai enam meter ini juga boleh dibuat sup yang dicampur dengan cendawan, masak tumis serta goreng dicampur ikan masin.

Di Indonesia bayam anggur ini juga terkenal dengan panggilan Binahong, ianya mempunyai khasiat seperti mempercepatkan pemulihan bagi ibu selepas bersalin, melancarkan peredaran darah, mencegah strok, melancarkan pembuangan air kecil dan air besar serta diabetes.

Cara penggunaannya dengan mengambil daun, akar dan batang direbus dan diminum airnya atau dimakan secara langsung dengan cara mengunyah beberapa helai daun muda.

Manakala untuk ubat luaran, setelah ditumbuk halus sapu pada bahagian sakit seperti lenguh-lenguh badan serta menghaluskan kulit jika diamalkan berterusan.

Kajian mendapati tanaman yang berasal dari India Selatan ini turut ditanam di negara ini dan paling menarik pokok ini boleh ditemui di perkarangan pejabat Unit Komunikasi Negeri yang dijaga rapi sebagai hiasan.


Anak peneroka Felda graduan cemerlang PSMZA

Oleh FAUZI MOHD



Sejak dari bangku sekolah hingga menjejakkan kaki ke menara gading, Mohd. Farred Hadi, 24, sentiasa berada meja depan dalam bilik kuliah.

Ditambah pula sikapnya yang sering bertanya, anak peneroka Felda Ketengah Jaya, Dungun muncul antara 14 penerima Anugerah Pelajar Cemerlang sempena Majlis Konvokesyen kelapan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) hari ini.

Selain itu, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal itu turut merangkul Anugerah Projek Kumpulan Terbaik bersama empat rakannya, Mohd. Lutfi Abd. Rashid, Amizul Hashiddy Yusof, Mohd. Sabri A. Ghani dan Mohd. Zulhilmi Mat Ngah.

“Saya berharap anugerah yang diterima ini menjadi perangsang kepada adik-adik saya yang masih bersekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen tersebut.

Anak keempat dari lapan beradik itu memberitahu, dia yang kini menyambung pengajian di Universiti Malaysia Pahang dalam Ijazah Sarjana Muda Mekanikal Am bercita-cita mahu menjadi jurutera.

Mohd. Farred adalah antara 1,474 graduan PSMZA yang diraikan dalam majlis tersebut dan menerima sijil yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Turut hadir, Pengarah PSMZA, Zolkarnain Jobshi.

Daripada jumlah itu, 343 orang merupakan graduan sijil dan diploma dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (290), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (523) dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (221).



Selain Mohd. Farred, turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang, Mohd. Aswan Azmin, Nor Lidza Jaafar, Nur Hamizah Abd. Rahman, Muhammad Fikri Abdul Nizam, Siti Aishah Hassan Basri, Ahmad Alif Azhar dan Nurhafizah A. Latif.

Dalam pada itu, tiga mantan Pengarah PSMZA turut menerima Anugerah Jasamu Dikenang iaitu Mohd. Ghaus Ab. Kadir yang berkhidmat pada 1 Oktober 2011 hingga 1 Oktober 2002, Lim Kok Leong (1 November 2002 hingga 30 November 2003) dan Mahassan Zakaria (1 Januari 2004 hingga 18 November 2006).