Halaman

03 October 2011

50 unjang ditanam di perairan laut Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak


Muhammad Pehimi (dua dari kiri) menurunkan unjang ke dalam laut


Sebanyak 50 unjang ditanam di dasar laut perairan Pulau Perhentian oleh ahli Persatuan Kebjikan dan Rekreasi Nelayan (PKRN) Kota Putera untuk dijadikan tempat ikan berkumpul.

Satu majlis ringkas menurunkan unjang berkenaan ke laut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof. Hadir sama Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Pengerusi PKRN, Wan Mohd Zaki Wan Othman berkata seramai 70 ahli persatuan itu menyertai projek menanam unjang berkenaan bertujuan meningkatkan hasil tangkapan laut oleh ahli yang menjalankan aktiviti memancing.

Katanya, unjang berkenaan yang diperbuat daripada ranting dan daun pokok kemudiam dibenamkan ke dalam laut akan menjadi tempat pembiakkan ikan dan memudahkan ahli pergi memancing tanpa mencari lokasi lain.

Menurutnya, unjang berharga RM300 setiap satu dibuat secara gotong royong oleh ahli kemudian di bawa ke Pulau Perhentian dari Pangkalan Tanjung Lali, Kota Putera menggunakan bot laju milik ahli.

Beliau berkata, bagi menjayakan projek itu ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi turut memberi sumbangan RM2,000 kepada persatuan berkenaan.

Wan Mohd Zaki berkata, unjang itu dijangka mampu bertahan selama enam bulan membolehkan ahli mendapatkan sumber tangkapan yang lebih kerana ikan biasanya akan bertumpu di kawasan terbabit.

Sementara itu, Muhammad Pehimi berkata, beliau bangga dengan ahli persatuan itu yang menunjukkan semanat kerjasama dan sangup bergotong royong selain mengumpul wang untuk membuat unjang bagi meningkatkan hasil tangkapan mereka.



02 October 2011

SUK minta penjawat awam kekal kaedah kerja berkualiti

Penjawat awam di negeri ini diminta mengekalkan kaedah berkerja secara berkualiti dan mengamalkan budaya sihat sewaktu bertugas supaya mampu dipandang positif oleh masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata secanggih mana pun teknologi dan peralatan yang digunakan dalam tugas seharian, ia tidak akan menjamin perkhidmatan berkualiti sekiranya ia tidak disertai dengan sikap positif dan komitmen bersungguh-sungguh.

“Sehubungan itu, untuk cemerlang kita tidak ada alternatif melainkan bersaing secara sihat.

“Setiap penjawat awam perlu bersaing berikutan mahu mengekalkan apa yang sedang dicapai dan seterusnya memacu lebih ke hadapan,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Penganugerahan Pensijilan 5S/QE Yayasan Islam Terengganu (YIT) di bangunan YIT, Kuala Terengganu, hari ini (2 Oktober).

Hadir sama, Pengarah YIT Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail, Timbalan Pengarah YIT Haji Alias bin Jaafar dan Pegawai Perunding Perbadanan Produktiviti Malaysia Terengganu, Puan Muhaslizawati.

Seramai 35 kakitangan YIT menerima anugerah perkhimatan cemerlang dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan setiap seorang.

Guru Kelas al-Quran Fardu Ain (Kafa), guru khidmat masyarakat dan guru pintar al-Quran di bawah bimbingan YIT turut menerima anugerah khas sebagai perangsang untuk terus cemerlang.

Dato’ Haji Mazlan turut mengingatkan bahawa tugas sebagai penjawat awam merupakan satu amanah yang cukup besar.

“Tanggungjawab yang dipikul tidak memadai sekiranya tugas yang dilaksanakan dipandang ringan atau kata pepatah ‘melepaskan batuk ditangga’,” katanya.



Perjuangan PAS tinggal ‘hampas’

Oleh FAUZI MOHD

Apa lagi ‘kejayaan’ yang pimpinan PAS mahu tunjukkan kepada penyokongnya selain satu demi satu roh perjuangan parti itu menjadi ‘korban politik’ hanya kerana pesona Putrajaya.

Selain menjadi pak turut kepada sekutunya DAP dan PKR, perubahan yang kadang kala disebut pemimpin parti berkenaan sebagai tahaluf siyasi itu hanya kerana mahu melihat lebih ramai pemimpin PAS mendapat gelaran Yang Berhormat selepas Pilihanraya Umum ke-13.



Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Zuber Embong berkata, setelah golongan ulama yang sinonim sebagai peneraju parti itu ditolak perwakilan dalam muktamar agung parti itu pada Jun lalu, PAS mula menukar ‘kiblat’ perjuangan mereka.

Menurutnya, PAS yang dulunya pernah menuduh UMNO anti ulama telah beralih arah dengan menolak golongan itu untuk jawatan tertinggi yang dipertandingkan iaitu Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.

Kalau PAS benar-benar konsisten katanya, maka pemimpin-pemimpin parti itu tidak sewajarnya berubah-ubah fikirkan, contohnya sekejap mahu negara Islam dan sekejap mahu negara berkebajikan.

“Perjalanan politik Pas kini membawa dua haluan yang berbeza iaitu di kaki kanan menuju negara Islam manakala kaki kiri menuju negara berkebajikan. Jika situasi ini berlaku sudah pastilah Pas menjadi sebuah parti yang dilihat bercelaru dalam usaha untuk meraih kekuasaan.

“Setelah aganda penubuhan negara Islam digantikan dengan negara berkebajikan, PAS secara bersama dengan DAP dan PKR sekali lagi menggadai maruah parti itu dengan menolak perlaksanaan hukum Hudud,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu majlis penerangan isu-isu semasa anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM) di Kampung Pujuk, Manir, Jumaat lalu.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam dan Pengarah UKOM, Shamsuddin Sulong serta Timbalannya, Ruslan Abdul Rahman.

Tambah Dato’ Zuber, beliau tidak terkejut jika selepas ini banyak lagi impian dan dasar perjuangan PAS sejak ditubuhkan pada tahun 1951 akan lenyap satu demi satu.

“Dalam sisi politik, PAS adalah ‘bangkai bernyawa’ kerana parti itu sudah tiada apa-apa lagi untuk diangkat sebagai lambang perjuangan. Itu semua bukan kerana UMNO dan Barisan Nasional, itu adalah keputusan PAS sendiri.

“Andainya PAS berjaya ke Putrajaya sekalipun, PAS hanya membawa ‘hampas’ bukan nilai perjuangan yang dilaungkan selama ini. PAS sudah tidak sesuai untuk dikaitkan dengan perjuangan Islam,” katanya yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO Terengganu.

Sementara itu, Shamsuddin yang turut berceramah dalam majlis itu berkata, kempen negara berkebajikan yang dibawa Presiden PAS bukanlah perkara baru untuk rakyat rasa teruja.

Katanya, pengundi tidak perlu bersimpati dengan PAS yang sinonim dengan gelaran ‘parti kutip derma’ kerana soal kebajikan sudah lama menjadi agenda perjuangan UMNO dan Barisan Nasional.

“Pemimpin PAS jangan fikir mereka bercakap dengan rakyat yang buta dan bisu. PAS berkuasa lebih 20 tahun di Kelantan, apa dasar dan program kebajikan PAS buat di Kelantan yang boleh dicontohi oleh kerajaan negeri lain.

“PAS tidak perlu menuduh UMNO abai kebajikan rakyat, sebaliknya pemimpin dan wakil rakyat mereka perlu belajar dari UMNO bagaimana mahu tadbir negara, negeri berkebajikan yang sebenar,” ujarnya.


Pas sedar tidak mungkin jadi pemerintah di negara ini

Oleh; Esah Abdullah

Hukum hudud adalah permainan Pas sama juga dengan isu Islam, pemimpin mereka bangkitkan perkara ini semata-mata kerana untuk mencari sokongan orang Melayu.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pas bukannya serius untuk laksanakan apa yang dijanjikan itu kerana sedar mereka tidak mungkin jadi pemerintah di negara ini.

“Rakyat di negara ini ada 60 peratus beragama Islam manakala 40 peratus lagi bukan Islam dan hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam tentunya wujud ketidakadilan di situ,” katanya dalam sidang media selepas majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Sultan Mizan semalam.

Katanya, pemimpin Pas memang sentiasa bercakap dan sebelum ini ingin menjadikan negara Islam kemudian tukar prinsip kepada negara kebajikan, semuanya untuk menjaga hati orang bukan Islam.

“Pas bukan perjuangkan Islam tetapi sekadar memancing undi di kampung-kampung sebaliknya parti UMNO lebih realistik kerana berpegang kepada hukum hudud sebab itu ada hukum bunuh di negara kita,” katanya.

Tun Dr. Mahathir yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke negeri ini atas jemputan penerima anugerah tertinggi pihak universiti iaitu Ijazah Kehormat Doktor Sains yang diperkenalkan sejak 2004.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah selaku Canselor UMT berkenan berangkat ke majlis pengurniaan berkenaan serta pengurniaan anugerah dan Ijazah Sarjana kepada 1,736 graduan UMT.




Kejayaan akademik dan hobi lasak berjalan seiring

Oleh; Esah Abdullah



Tidak kurang 10 gunung berjaya ditawan namun kepuasan masih belum dirasai oleh penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2011, Tengku Teh Mariah Tengku Jewa, 27.

Disebalik hobi lasaknya, Tengku Teh Mariah turut mencipta kejayaan dalam bidang akademik dan terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan Fakulti Pembangunan Sosial (FPS) dan graduan terbaik program Sarjana Muda Kaunseling dalam Konvokesyen Ke-9 UMT semalam.

“Saya jadikan pengalaman masa lalu sebagai pembakar semangat untuk mencipta kejayaan hari ini,” kata anak tunggal kepada pesara guru Puan Noriah Abdullah berasal dari Sik, Kedah.

Beliau yang kematian ayah tercinta Tengku Jewa Tengku Man ketika berusia lima tahun menjadikan ibu sebagai sumber inspirasinya sepanjang tempoh bergelar siswazah malah sepanjang hayat.

“Doa ibu sentiasa mengiringi setiap kali saya menduduki ujian getir dan kejayaan yang diperolehi hari ini adalah hadiah untuk ibu yang telah membesar, mendidik serta mencurahkan kasih sayang yang tidak bertepi,” kata Naib Presiden Kelab Kaunseling UMT.

Beliau yang telah menerima tawaran sebagai penyarah di universiti tempatan merancang untuk menyambung pengajiannya sehingga peringkat doktor falsafah ((Ph.D).

Mengenai hobinya, Tengku Teh Mariah tetap komited untuk menawan Gunung Kinabalu dalam masa terdekat setelah berjaya menawan tidak kurang dari 10 gunung sebelum ini antaranya Gunung Ledang, Tebu, Berembun, Gunung Dato’ dan terbaru Gunung Tahan.

“Menyertai aktiviti riadah baik untuk minda kita yang boleh menghilangkan tekanan belajar dan saya bukan ‘ulat buku’ sebaliknya mencari ruang sesuai untuk mengkaji pelajaran,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, pengorbanan ibu tidak mampu saya balas sampai bila-bila dan hanya kejayaan ini hadiah saya buat insan yang melahirkan saya kedunia.




Kerajaan hantar 347 Imam bilal tunai haji percuma

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menghantar 347 orang imam dan bilal bagi menunaikan fardu haji ke tanah suci Mekah dalam tempoh 10 tahun sehingga 2011.

Ketua Penolong Pesuruhjaya, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) (Pengurusan Masjid) Haji Mohd Noor Mohamad berkata, daripada jumlah itu 186 adalah imam manakala selebihnya bilal yang bertugas di masjid-masjid seluruh negeri.

“Skim penghantaran imam dan bilal untuk menunaikan rukun Islam kelima ini bermula 2000 dengan cara bayaran gantian tambang oleh kerajaan kepada mereka yang terpilih mengikuti program berkenaan,” katanya kepada Teganukita.

Walau bagaimanapun bermula 2001 hingga 2004 tiada penghantaran imam bilal ke Mekah oleh kerajaan yang memerintah ketika itu (Pas).

“Skim berkenaan berfungsi semula setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah (2004) dan seramai 35 orang iaitu imam (14) dan bilal (21) dihantar ke Mekah pada tahun berikutnya (2005),” katanya.

Menurut Haji Mohd Noor, bermula 2008 hingga sekarang kerajaan telah perkenalkan skim baru Anugerah Kecemerlangan bagi melengkapkan imam dan bilal terpilih menyertai pakej berkenaan.

“Tahun ini 13 imam dan sembilan bilal akan berangkat ke tanah suci melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu di mana penerbangan pertama telah bermula Jumaat lalu (30 September),” katanya.




Tasik Kenyir akan dijadikan kawasan geopark

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan negeri akan memulihara warisan geologi dan sejarah peradaban manusia yang ditemui di sekitar Tasik Kenyir. - YAB Menteri Besar

Kerajaan negeri akan memulihara warisan geologi dan sejarah peradaban manusia yang ditemui di sekitar Tasik Kenyir, bagi membolehkan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu menjadi kawasan geopark bertaraf dunia.

Sehubungan itu, kerajaan negeri sedia mengeluarkan peruntukan khusus bagi tujuan tersebut, agar pelbagai sumber warisan dan sejarah di tasik itu dapat dikekalkan, walaupun ia bakal menerima kunjungan pelancong yang besar pada masa akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri akan berusaha untuk memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Unesco bagi menjadikan Tasik Kenyir sebagai kawasan geopark.



“Secara asasnya, Tasik Kenyir boleh jadikan kawasan geopark, tetapi kita perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Unesco terlebih dahulu sebelum ia dapat diwartakan sebagai kawasan geopark,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Warisan Geologi Malaysia ke-7 dan Persidangan Warisan Malaysia & Indonesia ke-4 Tahun 2011 di Permai Inn, malam tadi.



Menteri Besar berkata, usaha-usaha pemuliharaan alam semulajadi mengikut peraturan yang ditetapkan Unesco perlu dilakukan bagi membolehkan Tasik Kenyir dijadikan kawasan geopark.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan yang berkaitan dengan geologi dan pemuliharaan alam sekitar bagi tujuan ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata sumber-sumber geologi seperti batu-batan dan mineral perlu diurus secara lestari kerana ia tidak akan mampu menyumbangkan kepada ekonomi negeri secara berterusan.



“Saya difahamkan bahawa sejak 1996 lagi Kumpulan Warisan Geologi Malaysia sedang giat melakukan pengecaman, pemerihalan dan promosi bagi tujuan membangunkan sumber warisan geologi sebagai produk pelancongan melalui konsep geo-pelancongan.

“Melalui usaha-usaha sebegini sudah tentu sumber-sumber geologi yang bernilai tinggi akan terus terpelihara dan pada masa yang sama dapat menarik pelancong ke tapak-tapak geologi yang telah dimajukan,” ujar beliau.


RM1.6 juta bangunkan Pulau Lebah di Tasik Kenyir


Oleh FAUZI MOHD


Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.6 juta bagi membangunkan sebuah pulau di Tasik Kenyir sebagai Pulau Lebah dalam usaha merangsang perkembangan industri madu lebah negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris berkata, kewujudan pulau tersebut sekali gus meletakkan Terengganu sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai pulau khusus untuk lebah.

Menurutnya, pulau itu bakal menumpukan kepada kerja penyelidikan selain menyediakan pelbagai maklumat mengenai madu lebah untuk pengetahuan orang ramai dan pemasaran produk.

"Ia juga akan menempatkan pusat interpretasi lebah yang mengandungi pelbagai maklumat yang bukan saja untuk peminat dan pengusaha madu lebah malah, pelancong.

"Kita sedang kenal pasti pulau yang sesuai untuk dibangunkan dan kita juga akan pilih pulau yang mempunyai pokok tualang yang mampu menghasilkan madu lebah tualang bermutu tinggi," katanya.


Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Lebah Peringkat Kebangsaan dan ApiExpo 2011 di Hotel Permai, baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Lebah Asia, Dato' Prof. Dr. Makhdir Mardan.

Seminar dua hari yang berakhir semalam itu menghimpunkan seramai 100 orang peserta dari kalangan pengusaha serta penyelidik berkaitan industri madu lebah dari seluruh negara.

Tambah Asha’ari, dengan adanya pulau sedemikian, ia turut membantu pencari dan pengusaha madu lebah dalam aspek keselamatan, kawalan mutu dan sebagainya.

Selain itu katanya, Malaysia buat julung kali diberi penghormatan menjadi tuan rumah Seminar Lebah Asia yang bakal diadakan di Terengganu pada penghujung September tahun depan.

"Seminar seumpama itu diadakan dua tahun sekali dan tahun depan, Malaysia buat pertama kalinya akan jadi tuan rumah yang akan diadakan di Terengganu," katanya.

Terengganu turun seperti biasa berdepan Red Warriors

Oleh FAUZI MOHD

Walaupun berjaya menewaskan pasukan jiran, Kelantan pada final Piala FA yang lalu, ia tidak menjadikan skuad Penyu untuk mendabik dada.

Sebaliknya, kata jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, para pemain pasukan itu tidak gentar malah akan membuat persiapan rapi termasuk mengatur strategi dengan corak permainan biasa untuk mengekang lawan.

"Kita akan turun seperti biasa pada perlawanan dengan Kelantan di sini (Kuala Terengganu) pada 10 Oktober ini," ulasnya mengenai pertembungan kedua- dua pasukan terbaik negara itu di peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Malah Irfan mengakui, rentak permainan pasukan itu seperti biasa untuk berdepan Kelantan dalam misi memburu slot ke pusingan separuh akhir.

Katanya, rekod lalu telah membuktikan bahawa Terengganu mampu menewaskan pasukan Red Warriors itu seperti mana yang telah berlaku pada final Piala FA, Jun lalu.

"Saya bertanyakan kepada pemain dan mereka dengan penuh semangat mengatakan tidak kisah untuk berjumpa Kelantan.

"Jadi, tiada sebab untuk kami takut dan kami sedia untuk berdepan mana-mana pasukan kerana kami yakin dengan kemampuan yang ada pada skuad Terengganu," kata Irfan.

Terengganu yang juga juara Piala FA 2011 dijadualkan menentang Kelantan selaku juara Liga Super pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, 10 Oktober ini di Kuala Terengganu.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu turut mengulangi pertembungan final Piala FA di Bukit Jalil, Jun lalu yang menyaksikan Terengganu muncul juara menerusi penentuan di masa tambahan.

"Saya boleh katakan perlawanan ini adalah 'perlawanan akhir' bagi Piala Malaysia kerana menemukan juara antara juara.

"Mungkin ramai yang menganggap Kelantan sebagai pilihan untuk menang tetapi itu hanya di atas kertas sebelum perlawanan berlangsung," katanya lagi.

Irfan menjelaskan, pengalaman menentang Kelantan dalam dua aksi Liga Super selain pada perlawanan akhir Piala FA memberi banyak maklumat kepadanya untuk menewaskan pasukan jiran mereka itu.

"Kelantan merupakan pasukan yang mempunyai corak permainan pantas dan saya tahu bagaimana cara untuk mengekang pasukan ini.

"Tumpuan saya kini adalah untuk meningkatkan kecergasan para pemain kerana kami akan berdepan dua perlawanan sukar di Kuala Terengganu dan Kota Bharu," katanya.

Masjid Terapung Pulau Perhentian mula dibina

Oleh: Mohammad Ishak


Kerja menanam cerucuk Masjid Terapung Pulau Perhentian

Impian penduduk perkampungan nelayan Pulau Perhentian, dekat Kuala Besut untuk mendapatkan masid baru bagi menggantikan masjid lama akan menjadi kenyataan apabila kerja pembinaan kini giat dilakukan oleh kontraktor terbabit.

Masjid berharga RM12 juta itu juga akan menjadi mercu tanda baru kepada pusat peranginan terkenal itu kerana ia satu-satunya masjid terapung di pulau negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar berkata, kerja pembinaan masjid baru itu sudah dimulakan Julai lalau dan ia dijangka siap sepenuhnya menjeang akhir 2012.

Katanya, masjid itu akan mempunyai keunikan tersendiri apabila sebahagian daripada struktur bangunannya berada di dalam air laut dan menjadikan ia satu pemandangan menarik kepada pelancong.

Menurutnya, kerja pembinaan masjid itu juga mungkin mengambil masa sedikit untuk disiapkan kerana kesukaran pihak kontraktor untuk membawa bahan binaan dari darat ke pulau yang menghadapi masalah pengangkutan.

Dr A Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri berkata, masjid sedia ada di pulau itu kini sudah uzur selain tidak sesuai lagi berikutan status pulau itu yang kini menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Menurutnya, dianggarkan menjelang akhir tahun ini pulau itu akan dikunjungi kira-kira 100,000 pelancong yang ingin melihat keindahan alam semula jadi selain mempunyai panorama menarik sekitar dua pulau yang ada di situ iaitu pulau Perhentian Kecil dan Perhentian Besar.

Beliau berkata, penduduk pulau itu kini sudah banyak menikmati pembangunan hasil perancangan rapi Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sebelum ini turut turun padang untuk meninjau kehidupan penduduk di pulau pelancongan yang terkenal itu.