Halaman

07 October 2011

Lebih 15,000 ikan dilepaskan di Tasik Kenyir

Lebih 15,000 ekor ikan dilepaskan di Tasik Kenyir baru-baru ini bagi tujuan mengekalkan populasi ikan air tawar di tasik berkenaan yang lebih dikenali sebagai “Syurga Pemancing”.

Antara spesies ikan yang dilepaskan di tasik yang mengandungi lebih 340 pulau itu termasuklah kelah, lampam, kerai dan tenggalan.

Program yang bertujuan membiakkan ikan di tasik itu dilakukan Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Encik Zakaria Ismail, yang melepaskan ikan-ikan tersebut, berkata pihaknya berharap usaha berkenaan akan membantu mengekalkan populasi ikan di Tasik Kenyir.

“Melalui program ini juga kita cuba memupuk semangat cintakan sungai dan tasik serta menambah sumber perikanan air tawar kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berharap program itu juga dapat mengelakkan spesies ikan air tawar daripada pupus dan mengekalkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan yang popular, khususnya di kalangan ‘kaki pancing’.



UMNO Besut anjur majlis Penerangan Memperkasakan Peti Undi (PDM) malam ini

Oleh: Mohammad Ishak

Umno Bahagian Besut dengan kerjasama Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu akan menganjurkan Program Penerangan Memperkasakan Peti Undi (PDM) yang akan berlangsung di Tingkat Empat, Dewan Nurul Ehsan, Bangunan Baitul Ehsan di sini jam 9 malam ini.

Setiausaha Eksekutif Umno Bahagian, Haji Salleh Latif berkata, majlis itu akan disertai pemimpin semua peringkat termasuk ahli jawatankuasa Umno Bahagian, pergerakan wanita, pemuda,puteri, pengerusi penyelaras DUN , pengerusi dan timbalan pengerusi peti undi dan semua setiausaha peti undi.

Katanya, semua pemimpin utama Umno bahagian termasuk Ketuanya, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih, Timbalanya, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN) Kota Putera, Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar (ADUN Kuala Besut) dan Bendahari Bahagian, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut akan hadir.

Menurutnya, Pengarah Strategi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’Dr Haji Rosli Mat Hassan, akan menyampaikan amanah berhubung persediaan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Salleh berkata, perjumpaan itu penting bagi membolehkan semua pemimpin peringkat akar umbi mengetahui strategi yang akan dilakukan oleh parti bagi menarik minat pengundi sekali gus mencapai kemenangan cemerlang.

Beliau berkata, walaupun semua jentera parti peringkat bahagian itu sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya tetapi menerusi program itu ia diharap dapat meningkatkan lagi kefahaman dan kemahiran pemimpin menggunakan strategi untuk berhadapan dengan pihak lawan.

JPS Besut pilih Sungai Jertih sebagai projek komuniti

Oleh: Mohammad Ishak


bot kecil membawa pemimpin menyusuri Sungai Jertih

Sungai Jertih berhampiran Masjid Hadhari di pinggir bandar ini, yang sebelum ini kelihatan kotor, terbiar dan mencacatkan landskap pusat bandar kini berubah wajah apabila usaha memulihara sumber air asli di situ dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut.

Jurutera Daerah JPS Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memajukan sungai berkenaan yang akan dijadikan daya tarikan baru kepada pelancong yang berkunjung ke daerah ini.

Katanya, ketika ini beberapa kemudahan asas termasuk jambatan gantung, wakaf, padang permainan dan bekalan elektrik sudah disediakan untuk kemudahan pengunjung.
Menurutnya, keadaan sungai itu sebelum ini kotor dan air berkeladak serta keruh sudah dapat diatasi apabila pihak JPS menggunakan kepakaran teknologi untuk menaik taraf sumber air supaya terus kekal asli.

“JPS juga menjadikan Sungai Jertih sebagai Program jps@komuniti supaya kawasan itu sentiasa terpeliharan dan dalam keadaan bersih.

Beliau berkata, jika sebelum ini ikan tidak banyak membiak akibat air kotor tetapi sejak dibersihkan sudah kelihatan simber ikan hidup subur malah ada peminat pergi ke situ untuk memancing.


Sungai Jertih tempat beriadah sukan air

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga digalakkan untuk mengadakan perhimpunan kecil-kecilan seperti hari keluarga dan sukaneka kerana tempat itu disediakan taman permainan dan padang khas untuk aktiviti riadah.

“Pihak JPS juga tidak menggunakan sumber kewangan bagi memajukan sungai itu sebaliknya semua kemudahan disediakan adalah daripada bahan terbuang,” katanya





Kontrak Piala Monsun wajar diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bercadang akan meneruskan kontrak penganjuran sukan berprestij Piala Monsun yang dijadualkan akan berakhir tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pihaknya mengalu-alukan jika kejohanan bertaraf dunia itu diteruskan kerana ia mampu memberi pulangan dari segi pelaburan asing dan meningkatkan industri pelancongan dalam jangka masa panjang.

Malah jelasnya, Terengganu mempunyai banyak kemudahan asas bagi menganjurkan kejohanan tersebut dan jika dihentikan, dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.

"Kita serah kepada pihak-pihak berkenaan terutama penganjur kejohanan Piala Monsun iaitu T-Best sama ada meneruskan Piala Monsun pada masa akan datang atau sebaliknya.

"Kita harap begitulah (Piala Monsun diteruskan) sebab kita ada kemudahan dan kita tak mahu pembaziran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu semalam (5 Oktober).

Katanya, jika dipindahkan ke lokasi baru, kemudahan seumpama itu akan di bina semula dan nyata memerlukan perbelanjaan yang tinggi, apa salahnya penganjuran itu diteruskan di Terengganu.

“Tidak dinafikan kita tidak memperoleh keuntungan dari segi kewangan bagi penganjuran ini, namun kita menerima kunjungan ramai pelancong asing melalui sukan ini yang mendapat perhatian di serata dunia.

“Kita tidak boleh mengharapkan apa yang dilaburkan hari ini boleh dinikmati keesokan harinya, perkara seperti ini mengambil tempoh lama untuk memperoleh pulangannya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati kebanyakan pelancong asing yang datang ke Terengganu hasil promosi dan tertarik dengan penganjuran sukan itu yang diadakan pada setiap tahun.

“Pelbagai kaedah perlu dilaksanakan untuk memikat hati mereka mengunjungi negeri ini, termasuk mempromosi keindahan Terengganu melalui pengambaran filem, katanya

Program Kebajikan 1Malaysia Warga Emas disambut meriah

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek merasmikan program Karisma Warga Emas peringkat daerah Kemaman, di Dewan Sri Amar, baru-baru ini.

Program itu adalah kesinambungan Program ‘Kebajikan 1Malaysia Warga Emas’ yang disambut di seluruh negara dan dilancarkan di Sungai Petani Kedah oleh YB Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut YB Dato’ Seri Ahmad Shabery, sambutan hari warga emas wajar diraikan setiap tahun bagi mengenangkan jasa mereka pada suatu ketika dulu.

“Kita juga perlu mengiktiraf pengorbanan mereka yang pernah menyumbang bakti dan tenaga pada negara. Anak-anak muda pada masa kini tidak sewajarnya mengabaikan golongan ini lebih-lebih lagi di usia mereka yang semakin senja.

“Golongan warga emas juga perlu menjaga kesihatan mereka dengan menitik-beratkan aspek pemakanan setiap hari,” katanya yang turut menyampaikan anugerah dan bantuan kepada setiap warga emas yang hadir pada majlis berkenaan.

Calon Karisma bagi warga emas peringkat Kemaman adalah Puan Aminah Embong, 67, yang kini menetap di Kampung Gong Cengal, Kemasek dan juga ibu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB Ir Rosli Othman.

Puan Aminah yang terlantar akibat penyakit serangan angin ahmar sejak beberapa tahun lalu, merupakan ibu tunggal kepada tujuh anak setelah suaminya meninggal dunia akibat keracunan sebaik sahaja pulang daripada menangkap ikan.

Setelah arwah suami meninggal dunia, beliau hilang yang hanya suri rumah hilang punca pendapatan dan memohon bantuan kewangan dari pihak kerajaan untuk berniaga bagi menyara anak-anak yang masih kecil.

Beliau berniaga kecil-kecilan dengan menjual kain batik dari rumah ke rumah dan menanam sayur-sayuran serta ubi di kawasan sekitar rumah untuk menjimatkan belanja.

Melihat kepada potensi diri dan kesungguhannya meningkatkan pendapatan keluarga, bantuan modal sebanyak RM1,500 diberikan dan dengan bantuanitu beliau telah mempelbagaikan jenis jualan dengan menjual periuk belanga dan peralatan dapur.

Hasil usahanya dan bantuan yang diterima kesemua anak-anak beliau berjaya ke menara gading dan membebaskan diri dari belenggu kemiskinan.

Antara anak Puan Aminah ialah Ir Rosli, 44, lulusan Middlesex University, United Kingdom dan kini menjadi Adun manakala Fazidah, 46, lepasan Maktab Perguruan Batu Rakit Kuala Terengganu dan mengajar di SK Kemasik.

Projek perumahan kastam siap

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Projek perumahan lapan unit pangsapuri dan dua banglo beserta dewan serbaguna dan surau yang dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-9, bernilai RM7.1 juta telah siap dibina pada 21 Ogos lalu.

Simbolik penyerahan kunci bangunan berkenaan dilakukan Jurutera Daerah Kemaman, Ir Hasmi Ahmad kepada Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Pengurusan), Dato’ Haji Ghazali Haji Ahmad di Dewan Serbaguna Perumahan Kastam Kemaman, kelmarin.

Turut serta di majlis itu, Pengarah Kastam Negeri, Haji Abdullah Zawawi Abdul Latif; Ketua Kastam Daerah Kemaman, Raja Badri Syah Raja Azman dan Ketua Cawangan Perhubungan Awam Ibu Pejabat Putrajaya (JKDM), Encik Mohd Nasir Yusoff.

Menurut Dato’ Haji Ghazali, projek perumahan itu dapat menampung kakitangan dan pegawai kastam yang masih belum mempunyai penempatan.

Beliau berharap kakitangan dapat menjaga kemudahan yang disediakan sepertimana harta mereka sendiri dan dapat meningkatkan lagi mutu kerja apabila bertugas kelak.



“Matlamat sebenar Kastam apabila perumahan seperti ini siap dibina keluarga kakitangan dapat tinggal dengan selesa dan selamat, segaligus kakitangan dapat menjalankan tugas dengan tenang apabila bekerja di luar kawasan.

“Pemilihan kakitangan yang akan menetap di perumahan baru ini berdasarkan pangkat dan prestasi mereka sepanjang menjalankan tugas,” katanya.

Selain daripada Jabatan Kastam Kemaman, seluruh jabatan Kastam di Malaysia juga turut menerima peruntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke 9.


06 October 2011

Dataran WiFi di Seberang Takir

Oleh FAUZI MOHD

Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir membelanjakan RM250,000 bagi menjadikan Dataran Belia Permata di Seberang Takir sebagai Dataran WiFi.



ADUN berkenaan, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, peruntukan itu bagi membina sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi dewan terbuka dan bilik khas untuk pembelajaran kelas komputer.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, projek yang dijangka siap dua bulan lagi itu turut melibatkan pembinaan sebuah kiosk perkhidmatan baik pulih e-Book pelajar sekolah secara percuma.

“Selain restoran dan pusat tertentu yang menyediakan perkhidmatan itu, kita mengambil inisiatif agar kemudahan WiFi ini memberi manfaat untuk perkhidmatan melayari internet tanpa wayar secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan e-Book Tahun 4 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Kampung Baru Seberang Takir hari ini.



Pada majlis itu, seramai 608 murid dari lima buah sekolah di DUN berkenaan menerima agihan e-Book percuma yang melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir seramai 83 orang dan SK Bukit Tok Beng (108 orang).

Selain itu, SK Kompleks Seberang Takir (128 orang) dan SK Teluk Ketapang (171 orang) dan SK Tok Jembal (119 orang).



Tambah Ahmad Razif, kemudahan itu dibangunkan bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan desa.

“Walaupun kosnya agak tinggi, ia sedikit sebanyak melengkapkan kawasan luar bandar dengan jalur lebar bagi membolehkan rakyat di kawasan berkenaan mempunyai akses kepada teknologi maklumat sama seperti penduduk bandar,” katanya.

Belanja RM1 juta lagi untuk 20,000 remaja

Oleh: Suriati

Kerajaan negeri akan membelanjakan RM1 juta lagi untuk diagihkan kepada kira-kira 20,000 remaja atau belia di negeri ini yang dikesan tercicir daripada menerima dana khas Aidilfitri lalu.

Bayaran RM200 seorang itu akan diagihkan kepada golongan itu sebelum menjelang Hari Raya Aidiladha bulan depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keputusan itu dicapai oleh semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setelah semakan dibuat ke atas senarai penerima dan didapati masih ada yang belum tersenarai.

"Berdasarkan semakan yang dilaksanakan, didapati ada juga yang kehilangan MyKad dan sebagainya sehingga tak menerimanya," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, Kuala Terengganu, semalam (5 Oktober).

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan remaja yang menerima dana itu supaya berbelanja secara berhemah dan bukannya menggunakan wang itu kepada perkara yang tidak berfaedah.

“Untuk tahun ini kira-kira 50,000 orang sepatutnya menerima bantuan dana khas raya membabitkan peruntukan RM4 juta,” katanya.

Program Bakti Remaja diperkenalkan sejak 2000 lagi di mana remaja yang berumur 21 tahun ke atas layak menerima RM200 seorang.



54 atlet Terengganu terpilih

Oleh: Suriati Ali

Seramai 54 atlet dari Terengganu akan menyertai Kejohanan Sukan Sea di Palembang dan Jakarta, Indonesia pada 11 dan 12 November depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selain atlet seramai tujuh pegawai dan jurulatih turut terpilih untuk mengetuai lima jenis sukan antaranya sukan basikal, sikat, kanu, sofbol dan badminton.

“Sebanyak 14 jenis sukan disertai atlet kita antaranya termasuklah lumba basikal (8 altlet), kanu (6), olahraga (4), silat (6), judo (5), sepak takraw (5), sofbol (8), angkat berat (2), bola sepak (3), ragbi (3), lawan pedang (2), memanah (3), perahu layar (4) dan bola tampar (1).

“Kesemua atlet yang terpilih menyertai kejohanan sukan Sea itu adalah mereka yang lahir daripada sukan Sukma dan sebahagian besar mereka masih boleh bertanding di Sukma 2012 dan 2013,” katanya.

Semantara itu Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di negeri ini diminta lebih proaktif ketika menjalankan tugas mengawal keselamatan pemain setiap kali perlawanan bola sepak diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Katanya, pasukan itu sewajarnya menempatkan lebih ramai anggota di setiap penjuru stadium supaya keadaan dan tingkah laku penonton lebih terkawal.

“Sekiranya terpandang aksi penonton yang kurang menyenangkan seperti membaling botol minuman dan mengeluarkan kata-kata kesat, mereka sepatutnya bertindak lebih awal dengan mendekati penonton itu untuk memberi amaran tegas.

“Langkah ini perlu dilaksanakan segera kerana sudah kerap kali perkara sama seperti membaling mercun dan bergaduh berlaku di stadium itu,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan penonton supaya bertindak lebih sopan dan menjaga tingkah laku ketika menyaksikan pertemuan pasukan Terengganu dan Kelantan pada pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia, 10 Oktober ini.

“Saya mendapati memang wujud satu kumpulan kecil yang sering menimbulkan kekacauan di stadium dan saya ingatkan kepada kumpulan ini agar menghormati budaya kita serta jangan sesekali memalukan imej Terengganu,” katanya.



Hotel Permai pertaruh PHMRT dalam Kejohanan Malaysian Match Racing 2011

Oleh FAUZI MOHD

Hotel Permai mengorak selangkah lagi dalam usaha memajukan sukan kapal layar di negeri ini apabila menaja satu pasukan sempena Kejohanan Malaysian Match Racing (MMRC) 2011 di Pulau Duyong di sini mulai esok.

Pengurus Besarnya, Azman Ali berkata, pasukan Permai Hotel Match Racing Team (PHMRT) dianggotai lima anak muda yang mempunyai pengalaman dalam sukan kapal layar.

Beliau berkata, tujuan utama pihaknya turut serta dalam kejohanan itu ialah bagi menunaikan tanggungjawab terhadap komuniti setempat dalam memajukan sukan tersebut tanpa memikirkan soal menang atau kalah.

“Menang atau kalah adat pertandingan, tetapi kalau boleh memang kita nak menang.

“Apa pun, kita harap penajaan ini akan memberi perangsang dan dorongan kepada pasukan ini untuk terus maju dalam sukan pelayaran,” katanya.

PHMRT yang akan diketuai oleh bekas juara pada tahun 2009 iaitu Hazwan Hazim Dermawan itu turut disertai oleh Syed Ahmad Syahmi Syed Ahmad Helmi, Mohd. Hazarul, Mohd. Hafizi Rosli dan Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan.

Penajaan termasuk penginapan, makan minum, pengangkutan pergi-balik dan urusan penyewaan bot.

Dalam pada itu, Hazwan gembira dengan penajaan yang diterima daripada hotel berkenaan.

“Penajaan ini akan memberi semangat kepada saya dan rakan-rakan untuk berusaha memberikan yang terbaik dalam kejohanan itu nanti.

“Saya berazam untuk kembali merampas kejuaraan yang terlepas dalam kejohanan yang sama tahun lepas pada kali ini,” katanya.

Tambah Hazwan, dia menjangkakan saingan utama akan hadir daripada juara MRRC 2008, Nurul Ain Md. Isa yang mewakili Ri-Yaz Heritage Match Racing Team.

MMRC merupakan acara kelayakan bagi Piala Monsun iaitu acara penutup siri jelajah dunia, World Match Racing Tour.