Halaman

12 October 2011

80 ahli MAYC Perlis kunjungi rumah Penasihat Agama Perdana Menteri


Oleh: Mohammad Ishak



Abdullah bergambar kenangan bersama rombongan MAYC Padang Besar, Perlis selepas diraikan dalam majlis minum pagi di kediamanya di Kampung Alur Lintang, dekat Jertih


Seramai 80 ahli dan pemimpin Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Padang Besar, Perlis, mengunjung iKediaman Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, dalam rangka lawatan bermaklumat ke negeri Terengganu

Sebaik tiba di kediaman beliau, Dr Abdullah bersama isteri Toh Puan Seri Wan Naimah Abd Latif yang disertai ahli MAYC Besut menyambut rombongan dan menyertai majlis sarapan pagi di kediaman berkenanan.

Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri ketika meraikan rombongan berkenaan berkata, golongan belia perlu lebih pro aktif terhadap pembangunan sosio ekonomi kerana belia mewarisi pimpinan negara pada masa akan datang.

Katanya, program lawatan belia dari Perlis ke Terengganu amat bermakna kerana mereka akan dapat menyaksikan sendiri pelbagai projek pembaangunan yang dilaksanakan di negeri ini hasil sokongan rakyat terhadap pimpinan kerajaan.

Menurutnya, di parlimen Besut sendiri banyak usaha dilakukan kerajaan untuk pembangunan insan, pendidikan dan pelancongan termasuk Taman Ilmu, Kompleks Imtiaz dan pusat pelancongan terkenal Pulau Perhentian.

Beliau berkata, kejayaan membangunkan sesebuah negeri bergantung kepada kekuatan parti dan kerajaan dan Terengganu amat beruntung kerana diperintah oleh Barisan Nasional (BN)

“Kerajaan Negeri dan Persekutuan sentiasa berganding bahu untuk memajukan negeri kerana mempunyai persefahaman dalam merangka pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, perkara seumpama ini agak sukar dilakukan jika negeri terbabit dikuasi pembangkang kerana ia tidak sealiran menyebabkan rakyat menanggung kerugian dalam menikmati arus pembangunan.




2 juta liter air bersih sehari untuk penduduk Pulau Perhentian



Oleh FAUZI MOHD

SYARIKAT Air Terengganu (SATU) mampu membekalkan 2 juta liter air bersih sehari kepada kira-kira 1,600 penduduk di Pulau Perhentian setelah projek bekalan air disiapkan sepenuhnya sejak 15 Mei lalu.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) negeri, Dato’ Mat Razali Kassim berkata, projek yang bernilai RM60.75 juta itu turut memberi manafaat kepada lebih 40 pengusaha pusat pelancongan di pulau berkenaan yang menerima kedatangan pelancongan hampir 90,000 setahun.

Menurutnya, projek yang bermula Februari 2006 itu melibatkan pemasangan paip di dasar laut sepanjang 22 kilometer dari Bukit Bubus, Besut ke Pulau Perhentian Besar dan pembinaan tangki air berkapasiti 1.82 juta liter di pulau itu.

“Selain pembinaan tangki air berkapasiti 0.75 juta liter di Bukit Bubus, termasuk dalam projek berkenaan pemasangan paip kepada pengguna sepanjang 4 kilometer di Pulau Perhentian Kecil dan 1 kilometer di Pulau Perhentian Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Pulau Perhentian daripada Jabatan Bekalan Air kepada SATU di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air, Ir. Dr. Hasnul Mohamad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Husain Embong.

Tambah Dato’ Mat Razali, projek berkenaan memakan masa berikutan pihak pemaju melaksanakan pembinaan mesra alam bagi menjaga terumbu karang di taman laut serta kawasan hutan berbukit di kedua-dua pulau itu.

“Pihak kementerian memaklumkan, projek bekalan air bersih di Pulau Perhentian ini adalah yang terbesar di Malaysia pernah dilaksanakan dan ia mampu membekalkan air terawat untuk generasi akan datang,” katanya.

Sebelum ini katanya, penduduk dan pengusaha pelancongan di pulau berkenaan menggunakan bekalan air melalui loji air bawah tanah yang dibina oleh SATU di Pulau Perhentian Besar.

“Bagaimanapun, loji itu tidak dapat menampung keperluan penduduk terutama pada musim kemarau selain airnya yang berasa payau dan penggunaan minyak diesel turut mendedahkan kepada faktor pencemaran di taman laut,” ujarnya.

Diskusi bajet di Wisma Darul Iman



Oleh; Esah Abdullah

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) akan mengadakan program Diskusi Bajet 2012 bertempat di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman esok.

Program berkenaan diadakan untuk memberi penjelasan menyeluruh kepada orang ramai mengenai pembentangan bajet yang telah diumum Perdana Menteri Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman bertindak selaku perantara majlis diskusi berkenaan berkata, lebih 200 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli-ahli politik dan pemimpin masyarakat dijangka hadir.

Tiga ahli panel dijemput iaitu Pensyarah Jabatan Matematik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mustafa Mamat; Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar, Ustaz Kamalruddin Omar dan Penasihat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT), Datuk Wan Albakri Wan Md. Nor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat akan merasmikan majlis berkenaan dan orang ramai yang berminat dijemput hadir pada majlis yang bermula jam 9 pagi serta berakhir 1 tengahari.




500 belia sertai ‘Program Sentuhan Rohani’



Oleh: Amirullah Othman

Seramai 500 peserta terdiri daripada remaja lelaki bermasalah dan berisiko tinggi dipilih menyertai Program Sentuhan Rohani yang dijalankan dalam lima siri berasingan, bagi mewujudkan jati diri dan menjauhi mereka daripada gejala sosial.

Siri pertama program itu diadakan di Agro Peladang Resort, Setiu; D’Awang Resort, Dungun (kedua); Kem Belukar Bukit, Hulu Terengganu (ketiga); Kem Tebu Resort, Besut (keempat) dan Sactuary Resort, Tasik kenyir (kelima).

Program tersebut dianjur Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan TQHM Consultant.

Sewaktu mula menjejakkan kaki ke kem tersebut, peserta agak malu untuk bertegur sapa antara satu sama lain kerana belum terdedah dengan program-program seumpama itu di mana sesetengah peserta duduk bersendirian ketika proses suai kenal dijalankan, tetapi ada juga yang mudah mesra dan tidak kisah berada di tempat baru kerana seronok mendapat kenalan baru.

Proses pertama, peserta dihimpun dalam barisan seperti kawat tentera dan jurulatih mengeluarkan plastik yang tertera nama mereka dan diarah mengeluarkan barangan terlarang dalam kem iaitu telefon bimbit, rokok, senjata tajam serta MP3 dari beg masing-masing dan diletakkan dalam plastik.

Selepas jurulatih memasukkan plastik mengandungi barangan itu ke dalam kotak yang disediakan, terpancar mimik muka tidak puas hati di kalangan peserta kerana barangan mereka dirampas.

Bagaimanapun, selepas jurulatih menjelaskan kenapa tindakan itu dilakukan barulah wajah peserta kembali tenang.

Selepas pendaftaran dan program suai kenal, peserta menunaikan solat Zohor berjemaah dan tazkirah disampaikan Ustaz Mohd Nizam Mohd Nor dari TQHM Consultant.

Mereka bergerak ke dewan untuk slot kedua di mana kepetahan Ustaz Mohd Nizam menyampaikan ceramah motivasi menarik minat 100 peserta mendengar ilmu kerohanian tanpa jemu.

Selepas menyiapkan diri, makan, solat Maghrib dan Isyak serta mendengar tazkirah, tepat jam 8.30 malam Ustaz Mohd Nizam memulakan ceramah motivasi berkisar kepada usaha penyucian hati dan perjuangan dalam mencari ilmu.

Tayangan video peperangan di Iraq, Afganistan dan rakyat, masalah kelaparan dan bencana alam di syria, Somalia serta India dipertontonkan pada sebelah malamnya, menyaksikan sesetengah peserta menutup mata kerana insaf dengan musibah yang dialami rakyat negara lain.

Walaupun ada perserta masih dengan sikap pasif dan mahu mempertahankan ego diri, mereka beratur dengan tertib mengambil makanan dan seorang ketua di kalangan peserta membaca doa.

Hari kedua, semua peserta dikejutkan seawal jam 4 pagi untuk mengikuti program Qiamulail di mana sesetengahnya sangat teruja kerana pertama kali melakukannya.

Selepas Solat Subuh, semua peserta menukar pakaian riadah dan di bawa ke kawasan lapang untuk melakukan senaman taici untuk kecergasan bagi mengharungi pelbagai program lebih mencabar.

Selepas disajikan dengan ilmu kerohanian dan keagamaan, peserta didedahkan dengan program Kembara Malam bagi mengenang kesilapan serta dosa silam yang mereka lakukan di mana ada peserta menangis dan meraung meminta ampun kepada Allah s.w.t kerana takutkan azab-Nya seperti yang dijanjikan dalam al-Quran.

Ternyata program ini meruntuhkan ego remaja apabila mereka disajikan dengan cerita mengenai kematian dan dalam keasyikan mendengar bicara Ustaz Mohd Nizam yang diselitkan dengan tayangan video, peserta tidak sedar air mata mereka mengalir membasahi pipi kerana insaf masing-masing pernah melakukan kesilapan.

Pada slot terakhir, para peserta berpelukan sesama sendiri hingga menimbulkan suasana sungguh syahdu dan dewan dipenuhi dengan sedu sedan peserta yang penuh insaf.

Pengerusi MBNT, Mat Yusof Mat Ali, berkata program itu bertujuan mendidik belia supaya menjadi insan yang kukuh rohani dan jasmani selain mendekatkan mereka dengan aktiviti kerajaan negeri.

“Kami ikhlas membimbing remaja masa kini dengan jati diri yang kukuh berasaskan pegangan agama yang kuat.

“Program Sentuhan Rohani ialah satu platform membangunkan jiwa remaja dengan ilmu agama, kepimpinan, jati diri, dan akhlak kerana mereka pemimpin masa depan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Negeri yang membiayai program tersebut serta Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Marang dan TQHM Konsultant yang turut membantu menguruskan program itu dengan baik.

7 kategori Anugerah Belia Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

PENYAMPAIAN Anugerah Belia Terengganu yang sempena sambutan Hari Belia dijadualkan berlangsung November ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Abdul Aziz Abd. Rahman berkata, anugerah itu bagi menghargai jasa individu dan pertubuhan terhadap pembangunan belia di negeri ini.

"Sebanyak RM27,000 disediakan untuk penerima anugerah bagi tujuh kategori yang dinilai termasuk Tokoh Belia Lelaki dan Wanita serta Tokoh Kepimpinan Lelaki dan Wanita," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, kategori lain yang dipertandingkan ialah Kesukarelaan Terbaik, Usahawan Belia Terbaik, Persatuan Belia Terbaik, Daya Juang dan Wira Tani.

Katanya, pemenang setiap kategori masing-masing akan menerima wang tunai RM3,000, cenderamata dan sijil penghargaan kecuali Persatuan Belia Terbaik akan menerima tambahan RM500 untuk pengurusan pentadbiran.

Mengenai perkembangan persatuan belia di negeri ini, Abdul Aziz berkata, pihaknya menyasarkan penubuhan kira-kira 1,000 pertubuhan seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menurut beliau, pada masa ini sebanyak 540 pertubuhan belia didaftarkan di negeri ini dengan kira-kira 35,000 keahlian.

Katanya, JBS sentiasa bekerjasama dengan Majlis Belia negeri dan daerah untuk memastikan matlamat tersebut tercapai.

"Dengan wujudnya pertubuhan belia di peringkat kampung, ia memberi peluang kepada golongan itu melakukan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung dapat membendung gejala kurang sihat," ujarnya

Menurut beliau, di peringkat penajaan, sekurang-kurangnya 15 orang yang dilantik sebagai jawatankuasa dan penubuhan biro boleh dibentuk bagi membolehkan mereka mendaftar sebagai sebuah pertubuhan belia

Pelajar KTB sertai bakti siswa bestari

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 42 orang pelajar Kolej Teknologi Bestari (KTB), Putera Jaya, Bandar Permaisuri, Setiu akan menyertai Program Bakti Siswa Bestari (PBSB) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit selama tiga hari bermula esok.

Pengarah PBSB, Wan Nurhanis Nazihah Wan Shukri berkata, program anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kelab Pembimbing Rakan Siswa ini bertujuan memberi pendedahan dalam aktiviti kemasyarakatan agar mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang mantap.

“Melalui program ini peserta boleh membina hubungan baik, berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif untuk mencapai matlamat bersama,” katanya.

Menurutnnya, peserta dibawa untuk merasai pengalaman hidup dalam suasana kampung serta dapat mempelajari aktiviti penduduk tempatan dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, pelbagai aktiviti diatur seperti gotong royong bersih kawasan, kunjungan ke rumah warga emas dan orang kurang upaya, sukan rakyat, senam seni serta solat berjemaah dan tazkirah di Masjid Bukit Wan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat akan lakukan perasmian penyerahan pelajar kepada keluarga angkat manakala majlis penutup dilakukan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KTB, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor pada Sabtu ini.




11 October 2011

PAKAR ITU DIPANGGIL BERI KETERANGAN

Pakar IT beri keterangan di mahkamah berhubung kes ugutan bunuh melalui SMS

Pakar kanan Teknologi Maklumat (IT), Fong Choong Fook, adalah saksi yang dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pihak peguambela berhubung kes ugutan bunuh melalui SMS yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir hari kedua hari ini (11 Oktober) di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Fong yang merupakan antara rakyat Malaysia yang mendapat pengiktirafan sebagai pakar di bidang IT.

Sebahagian besar prosiding perbicaraan di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid, hari ini dijalankan secara tertutup kerana melibatkan kerahsiaan berhubung penggunaan IT.

Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, YB Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh diwaklili oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.

Fong yang mendapat tauliah di bidang IT sejak 2003 memberitahu mahkamah beliau memberi latihan di bidang IT kepada kepada pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Atlet Terengganu dapat pendidikan sempurna

Oleh: Suriati Ali

Seramai 77 atlet di negeri ini yang dianugerahkan biasiswa kerajaan negeri dapat melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata daripada jumlah itu, seramai 54 atlet melanjutkan pelajaran di IPT Terengganu manakala selebihnya belajar di IPT luar negeri ini.

Katanya, terdapat tiga jenis biasiswa pengajian yang ditawarkan kepada mereka iaitu biasiswa Sukan Kementerian Belia dan Sukan, Yayasan Terengganu dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kerajaan negeri juga menawarkan bayaran asrama dan bantuan tuisyen bagi mana-mana atlet Sukan Malaysia (Malaysia) yang masih belajar dan atlet Sekolah Sukan Bukit Nenas bagi memberi rangsangan.

“Pendekatan ini cukup penting kerana bukan saja dapat memberi motivasi malah mampu mempertingkatkan akademik masing-masing supaya terus cemerlang,” katanya.

Katanya, Majlis Sukan Negeri Terengganu ada menjalin persefahaman dengan semua IPT awam dan swasta di negeri ini bagi membantu atlet mendapat pendidikan sempurna walaupun mendapat kelayakan minima.

“Saya yakin dengan apa yang dilaksanakan ini, mereka mampu memiliki kerjaya yang disegani selepas bersara dalam bidang sukan kelak,” katanya.


Jeremy Koo juara MMRC 2011


Oleh FAUZI MOHD

JEREMY Koo dari pasukan Abdullah Chan KRT berjaya mengekalkan kejayaan apabila sekali lagi muncul juara Kejohanan Match Racing Malaysia (MMRC) 2011 yang berlangsung di Pulau Duyong, di sini.

Kemenangan itu membolehkan Jeremy mendapat tempat dalam Piala Monsun yang akan diadakan di tempat sama mulai 22 hingga 27 November ini.

Jeremy berjaya menggalas cabaran negara selepas mengetepikan saingan penyandang juara dua tahun lalu Hazwan Hazim Dermawan dari pasukan Permai Hotel Sailing Team.




Beliau yang pernah menjadi krew Tiffany ketika adik perempuannya itu menjuarai MMRC pada 2006 dan 2007 berjaya mengatasi pencabar terdekatnya dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan akhir petang tadi.

Jeremy ketika ditemui pemberita berkata perlawanan sangat sengit dan sukar untuknya mengalahkan penyandang juara edisi 2009 itu.

"Perlawanan tadi amat sengit namun dengan semangat berpasukan yang tinggi daripada ahli kumpulan yang lain kami berjaya mengatasi lawan," katanya.

Dalam saingan separuh akhir pada sebelah pagi, Jeremy menewaskan Masyuri Rahmat dari pasukan MAF 2 dengan mencatat kemenangan 3-2 manakala Hazwan Hazim Dermawan berjaya menyekat kemaraan UPM Sailing dengan keputusan 3-2.

Sementara itu, Hazwan Hazim, kecewa setelah tewas kepada pasukan Abdullah Chan KRT di peringkat akhir sekaligus menutup peluangnya mengulangi kejuaraan dua tahun lalu.

"Kami telah melakukan yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi kami dan kesilapan teknikal yang tidak dapat dielakkan terus menutup peluang kami," katanya.





Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato' Zaidon Asmuni. Hadir sama Pengerusi T-Best, Tan Sri Sabaruddin Chik.

Sebanyak tujuh pasukan menyertai kejohanan edisi keenam itu membolehkan juara MMRC mewakili Malaysia pada kejohanan Piala Monsun pusingan akhir serta penentu juara jelajah Match Racing Dunian (WMRT) di lokasi yang sama pada bulan November ini.

Kejohanan Match Racing Asia (AMRC)akan bermula 12 hingga 15 Oktober ini di mana juara kejohanan akan mendapat tempat dalam saingan Piala Monsun.

APC pendorong penjawat awam

Oleh; Esah Abdullah

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diingat supaya tidak berpuas hati dengan anugerah yang diterima sebaliknya anggaplah ia sebagai dorongan untuk bekerja dengan lebih baik dan cemerlang.



Pemangku Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Encik Zakaria Yusof berkata, seorang pekerja yang bagus adalah mereka yang sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik dan boleh memberi manfaat kepada diri, keluarga dan orang sekeliling.

“Sebagai penjawat awam, kita perlu ada sikap integriti yang tinggi di samping menjaga imej kerajaan di mata orang ramai,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) YT di Primula Beach Resort semalam.

Encik Zakaria berkata, berpeganglah kepada prinsip bahawa tangungjawab lebih utama dari penghargaan dan keikhlasan ketika mengalas amanah kerajaan menjadi kayu ukur kejayaan sebenar seorang penjawat awam.

Katanya, kehendak stakeholder hendaklah diberi keutamaan dan sentiasa berada dibarisan hadapan melebihi urusan pribadi dan ikrar yang dibuat ketika menerima jawatan menjadi asas dalam memberi khidmat kepada pelanggan.

“Jangan ada kebocoran ketika berurusan dengan pelanggan dan sentiasa mengamalkan kerahsiaan yang tinggi demi menjaga imej jabatan,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah sekali gus menyampaikan hadiah kepada penerima APC, penerima insentif lama berkhidmat dan kakitangan YT yang bersara wajib turut diraikan.