Halaman

16 May 2012

Universiti Songkla kagum sistem pendidikan negara

Oleh; Esah Abdullah
 

Universiti Prince of Songkla, Thailand mengkagumi kecemerlangan sistem pendidikan negara yang dilihat berjaya meletakkannya ini setaraf negara maju menjadi faktor kepada negara jiran itu ingin mencontohi sistem akademik Malaysia.

Delegasi seramai 16 anggota daripada universiti itu diketuai Ahli Lembaga Penasihat , Encik Chuan Leekpai turut melihat sendiri proses sistem pendidikan negara serta melawat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (Sester) dalam rangka lawatan dua hari ke Terengganu.


Encik Chuan yang juga bekas Perdana Menteri Thailand menyatakan rasa kagum terhadap sistem pendidikan Malaysia yang terlalu cepat berkembang dengan melahirkan generasi muda kreatif serta mampu muncul sebagai kuasa baru pendidikan di Asia Tenggara.

``Walaupun Thailand agak terkebelakang dalam bidang pendidikan,namun ada juga beberapa bidang ia mendahului Malaysia daripada segi kemajuan teknologi seperti bidang pertanian dan kesihatan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat pendidikan di Sester, semalam. Turut hadir Presiden universiti itu Profesor Dr Boonsom Siribumrangsukha.

Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran Sester, Encik Jamil Sakmim mengalu-alukan kedatangan rombongan dari universiti tersebut yang dianggap amat bermakna untuk bertukar idea terutama dalam bidang pendidikan.

`` Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh, saya bangga kerana terpilih untuk dijadikan model kepada pendidikan di negara jiran itu serta bercadang mengadakan kunjungan balas bagi melihat lebih dekat pendidikan di sana,’’ ujarnya.








T-Team pintas Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertembungan skuad Terengganu dengan Sarawak malam tadi yang berkesudahan seri, 2-2 menyebabkan kedudukan Sang Penyu dalam liga kian merosot, malah dipintas pasukan adik, T-Team yang berjaya menumpaskan Sabah, 2-1.

Perlawanan diharungi T-Team di Stadium Likas itu menyaksikan anak buah Yunus Alif meledak dua gol menerusi penyerang Fadzli Saari pada minit ke -29 dan 68 bagi mengatasi pasukan tuan rumah.

Pada awalnya, tuan rumah berjaya mengikat T-Team hasil sepakan penalti minit 32 yang dihasilkan pemain import baru mereka, Hendrik A Helmke, sebelum usaha Penyu Junior berada di depan dan membawa pulang tiga mata berharga bagi membaiki kedudukan dalam liga berhasil.

Dalam pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula, tuan rumah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila gagal menyempurnakan beberapa percubaan tepat ke kubu lawan.

Kegagalan skuad yang bakal dikemudikan jurulatih baru, Peter Butler itu berpunca daripada barisan pertahanan diketuai Muslim Ahmad yang gagal mengekang asakan pelawat pada minit ke-40.

Bagaimanapun, tuan rumah meningkatkan momentum serangan sebelum berjaya menyamakan jaringan menerusi penyerang, Abdul Hadi Yahya. Sarawak sekali lagi berada di depan apabila Khairul Azhar Idrus berjaya memperdaya penjaga gawang Terengganu, Sharbinee Allawee untuk gol kedua pelawat pada minit 54.

Terengganu yang memasukkan Erison De Silva Santos pada separuh masa kedua menggantikan Ashaari Shamsudin dilihat berjaya meningkatkan asakan ke kubu lawan.

Pemain import Terengganu itu berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-68 untuk mengikat kedua-dua pasukan sehingga wisel terakhir.



Lima peserta tilawah perdengar bacaan

Oleh FAUZI MOHD



Tiga qari dan dua qariah daripada 14 peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam pertama majlis tilawah al-Quran peringkat negeri kali ke-55 di Padang Astaka, Kemaman malam tadi.



Qari yang mewakili daerah Setiu, Mazlan Ibrahim menjadi peserta pertama memperdengarkan bacaan, diikuti Raziayati Mohd Ali (Qariah Marang), Abdul Halim Zakaria (Qari Kuala Terengganu), Nasirah Ibrahim (Hulu Terengganu) dan Abdul Razak Mat Ripin (Besut).

Majlis bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said malam tadi.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Khazan Che Mat dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Saleh.

Sembilan lagi peserta yang akan memperdengarkan bacaan termasuklah Nur Jannah Abdul Rahman (Kuala Terengganu), Yahya Ali (Kemaman), Siti Fatimah Umat (Kemaman), Nor Asiah Ali (Dungun), Abu Bakar Deraman (Hulu Terengganu) dan Mohd Hafiz Ali (Marang).



Majlis perasmian penutup serta penyampaian hadiah akan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Khamis ini.


15 May 2012

GLC diarah bayar zakat perniagaan

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diminta menyenaraikan nama syarikat milik kerajaan negeri (GLC) yang tidak membayar zakat perniagaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi membolehkan pihaknya membuat penelitian bagi memastikan mereka menunaikan tuntutan hukum syarak.

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan terdapat beberapa GLC yang enggan membayar zakat perniagaan kepada Maidam.

“Jika benar mereka enggan bayar, saya akan arahkan syarikat terbabit untuk membuat bayaran kerana dalam perkara ini tidak boleh dibuat main,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, pihak pengurusan syarikat akan dipanggil untuk memberi keterangan setelah menerima senarai nama syarikat berkenaan daripada Maidam nanti.

Sebelum ini, Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda Dato’ Haji Mazlan Hashim melahirkan rasa kesal dengan syarikat milik kerajaan yang enggan membayar zakat perniagaan atas alasan mereka beroperasi di bawah pengurusan kerajaan yang dianggap sebagai satu bentuk sumbangan.

Menteri Besar berkata, walaupun telah menyumbang, syarikat berkenaan juga wajib menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat perniagaan serta jangan samakan zakat dengan sumbangan.




Md Rahim reda dengan penyakit yang dialami

Oleh: Suriati Ali

Pesakit yang mengalami penyakit kulit atau dikenali sebagai Neorofibromatosis, Md Rahim Yatim, 57, reda dengan musibah yang dialami walaupun pakar perubatan mengesahkan beliau tidak akan sembuh.

Beliau yang mempunyai tiga cahaya mata itu kini turut mengalami masalah lumpuh di bahagian badan kiri bermungkinan kesan daripada penyakit keturunan yang dialami sekarang.

Md Rahim berkata, dia terhutang budi dengan mana-mana pihak yang mengambil berat mengenai masalah yang dialaminya walaupun menyedari penyakit itu tidak mampu pulih.

“Penyakit kulit yang dialami mula dikesan sejak umur 25 tahun lalu di mana pada ketika itu terdapat dua hingga empat biji saja di bahagian leher.

“Walaupun pelbagai cara termasuk mendapatkan rawatan cara tradisional dengan mengeluarkan lebih RM10,000, benjolan pada badan tetap tumbuh sehingga memenuhi keseluruhan badan,” katanya selepas menerima kunjungan doktor pakar kulit HSNZ Dr Chong Yew Thong di rumahnya di Kampung Jerung Seberang, Marang, semalam.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Muhammad Omar dan Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, To’ Puan Rosnani Ngah dan beberapa pemimpin setempat.

Md Rahim, berkata apa yang dibimbangi sekarang adalah penyakit yang diperoleh daripada ibu itu kini turut diwarisi anak sulung, Muhammad Amirul, 20 kerana turut didapati ada benjolan sebesar biji guli di bahagian leher.

“Saya buntu memikirkan masalah ini, apatah lagi kini semua pengerakan, termasuk menyuap makanan dan minuman, membuang air serta mandi diuruskan isteri, Maimunah Mat Ali, 44.

“Sebelum diserang lumpuh enam bulan lalu, saya melakukan kerja-kerja kampung dengan mengutip serta menjual buah-buahan, tukang rumah dan sebagainya bagi mendapatkan sumber rezeki kami anak- beranak,” katanya.

“Setelah terlantar, perbelanjaan sekolah anak-anak dan barangan dapur hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500,” katanya


PKT idam bangunan baru

Oleh; Esah Abdullah

Politeknik Kuala Terengganu (PKT) sedang berusaha untuk mendapatkan sebuah bangunan yang lebih sesuai untuk dijadikan kampus pusat pengajian tersebut.

Pengarahnya, Puan Radiah Che Su berkata, kampus PKT sekarang yang berada di tengah-tengah pusat bandar tidak begitu sesuai lagi dengan keadaan kawasan kampus yang terhad di samping kemudahan asas seperti meletak kenderaan yang kecil.

Malah katanya, pada masa ini selain menyewa di bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu yang terletak di Jalan Sultan Ismail, tiga kawasan lain yang berhampiran dengan kampus induk terpaksa disewa untuk menampung bilangan pelajar.

``Pada masa ini PKT mengamalkan konsep menyewa bangunan untuk dijadikan kampus dan berharap bangunan yang lebih besar dengan persekitaran yang lebih luas dan selesa diperolehi untuk menggantikan kampus yang sedia ada,’’

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen PKT kali ke 11 di Taman Tamaddun Islam (TTI) semalam yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang. Hadir sama Pengarah Pembangunan dan Penilaian Kurikulum Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Dr Mohd Rashahidi Mohamood.

Di majlis itu seramai 187 graduan menerima sijil masing-masing. Daripada jumlah itu seramai 175 graduan menerima Sijil Kejuruteraan Elektrik dan 12 orang menerima Sijil Teknologi Maklumat.

Penerima sijil konvokesyen kali ini merupakan pelajar terakhir di peringkat sijil kerana mulai tahun 2013, PTK akan melahirkan graduan sulung di peringkat diploma dalam kursus yang sama.

Pelajar Sijil Kejuruteraan Elektrik, Solehuddin Al-Ayubi Mohammad menerima Anugerah Pengarah Politeknik. Selain itu beliau turut menerima Anugerah Pingat Ketua Jabatan dan Anugerah Kecemerlangan Jabatan.





Penjawat awam bantu capai aspirasi kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Kakitangan kerajaan diharap dapat memacu sektor awam ke arah kecemerlangan dan seterusnya mencapai aspirasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, penjawat awam perlu melihat semula peranan secara berterusan, meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan negeri terus berdaya saing.

“Impak kepada cabaran tersebut memerlukan agensi perkhidmatan melakukan transformasi serta menuntut anjakan paradigma bagi memastikan perkhidmatan awam negeri terus kekal relevan,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman semalam.

Beliau meminta penjawat awam terus mengamalkan sifap kesederhanaan dalam apa juga tindakan, sentiasa rendah hati, berbudi bahasa dalam pergaulan dan saling menghormati satu sama lain kerana agama Islam juga menuntut umatnya sentiasa bersifat wasatiah dalam kehidupan.

Menurutnya, cabaran utama hari ini ialah memastikan penjawat awam dapat melaksanakan peranan sebagai jentera pentadbiran kerajaan yang dinamik mengikut keperluan persekitaran serta memenuhi aspirasi kepimpinan negeri.

“Setiap organisasi menetapkan peranan masing-masing untuk memenuhi keperluan pelanggan dan stakeholder yang perlu diamalkan serta peka terhadap perubahan sekeliling,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan mengingatkan tidak ada sikap memilih bulu kalangan penjawat awam yang memberi keutamaan kepada tetamu bertaraf ‘kenamaan’ sahaja, sebaliknya rakyat biasa dilayan seperti melepas batuk di tangga.

Sehubungan itu beliau yakin , 50 penjawat awam yang menerima APC telah bekerja keras bukan hanya untuk mencapai peluang ini tetapi kerana cintakan kerja, bangsa dan negeri.

“Tahniah kepada semua penerima APC yang terpilih, semoga kualiti dan kecemerlangan terus menjadi teras kepada budaya kerja kita,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali gus menyampaikan hadiah berupa pakej tunai haji ke Makkah beserta wang tunai RM5,000 kepada penjawat awam terpilih.





Kenapa DAP tolak panel bebas siasat Bersih 3.0?

Oleh: Aida Abd Rahman

Memetik artikel daripada facebook `Pemuda Umno Wakaf Mempelam’ perihal, `Kenapa DAP Tolak Panel Bebas Siasat BERSIH 3.0?’ untuk sama-sama kita renungi…

BERSIH 3.0 benar-benar memakan diri pembangkang. Sudahlah gagal dari segi jumlah sokongan, mereka juga gagal memutarbelit fakta untuk menunjukkan keganasan dimulakan oleh polis dan bukannya perusuh.

Akibat gagal, mereka terpaksa menuduh perusuh yang mengganas itu sebagai polis yang menyamar. Untuk itu, blog-blog, laman web dan penyokong mereka jenuh berpusing-pusing cuba menjustifikasikan keganasan yang dilakukan mereka.
Bagi meredakan keadaan, kerajaan telah mengisytiharkan panel bebas untuk menyiasat BERSIH 3.0 yang kemudiannya diterima dengan sinis oleh pihak pembangkang. Pada 12 Mei lalu, DAP mengisytiharkan pemboikotan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa Perhimpunan Bersih 3.0.

Nampaknya, sudah menjadi sikap semulajadi DAP di mana setelah membuat tuduhan itu dan ini terhadap musuh-musuh mereka, mereka akan mendesak agar siasatan dilakukan. Tetapi apabila usaha untuk menyiasatnya dibuat, mereka akan membuat berbagai helah untuk menolak atau memboikot panel siasatan dan juga hasil siasatan sekiranya ia tidak menyebelahi mereka.

Sebelum ini mereka telah membuat perkara yang sama dalam isu kematian Teoh Beng Hock. Malah, jika diamati, isu BERSIH itu sendiri juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu menuduh SPR sebagai tidak bersih dan kemudiannya menafikan semua usaha SPR untuk penambahbaikan.

Jika dalam isu kematian Teoh Beng Hock, DAP berbuat demikian kerana ingin mengalih dan menutup isu sebenar iaitu salahguna kuasa dan korupsi ADUN mereka, maka tidak salah kita mengesyaki taktik yang sama dalam isu BERSIH 3.0 iaitu untuk menutup kesalahan sendiri.

Alasan DAP kali ini ialah mereka enggan menerima perlantikan Tun Mohammad Hanif Omar sebagai ketua panel siasatan, atas alasan beliau mengambil pendirian yang partisan terhadap Bersih dengan mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat serta menyokong dakwaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaan.

Walaubagaimanapun, dalam menuduh Tun Hanif sebagai partisan, DAP pula mencadangkan pihak yang tidak kurang bersifat partisan seperti Suhakam. DAP juga menyokong pandangan Majlis Peguam Malaysia bahawa panel siasatan kekurangan rangka kerja perundangan dan tidak mengurniakan imuniti undang-undang kepada mereka yang terlibat dalam prosiding serta kekurangan kuasa undang-undang untuk memberi sepina kepada saksi-saksi atau menuntut dokumen-dokumen.

Sedangkan sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Suhakam dan Majlis Peguam adalah dua badan yang tidak pernah bertindak adil, sentiasa berat sebelah, tidak professional serta penuh putar-belit demi untuk membela pihak penentang undang-undang dan kerajaan. Kedua-duanya juga diragui mempunyai hubungan dengan anasir luar serta disyaki menerima dana asing.

Justeru, jika kita perlu memilih antara dua pihak yang berpartisan, bukankah lebih baik kita memihak kepada Tun Hanif yang terbukti seorang yang berjasa pada negara, tidak berat sebelah, bersifat patriotik dan amat professional selama perkhidmatan beliau dalam menjaga keselamatan kita semua.

Kita tidak faham kenapa DAP perlu meragui Tun Hanif tetapi memberi kepercayaan kepada Suhakam dan mendengar cakap Majlis Peguam? Sedangkan Majlis Peguam sendiri terbukti telah menyembunyikan fakta sebenar tentang keganasan BERSIH 3.0 sepertimana yang didedahkan oleh peguam Ranjit Singh Dhillon di Youtube.

Pendedahan itu pula disokong dengan tindakan saman oleh seorang ahli Majlis Peguam iaitu Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mendakwa Majlis Peguam telah gagal sama sekali bertindak sebagai badan yang professional apabila dalam tempoh kurang lima jam mesyuarat untuk memutuskan resolusi BERSIH 3.0, telah memaparkan dengan jelas terlibat dalam ciri-ciri skandal pembohongan, bias, berada dalam kedudukan yang diragui serta banyak lagi.

Jelas di sini, pihak yang dirujuk dan disokong oleh DAP amat tidak boleh dipercayai.

Sikap DAP yang suka memihak kepada penjenayah, perusuh dan mereka yang melanggar undang-undang amatlah dikesalkan. Dengan itu, salahkah kita menyatakan bahawa DAP sebenarnya takut dengan sikap professional dan tegas Tun Hanif dalam menerajui siasatan BERSIH 3.0.

Tidak mustahil DAP punya sesuatu untuk disembunyikan mengenai BERSIH 3.0, seperti juga dalam kes Teoh Beng Hock. Mungkinkah DAP bimbang tangan siapa di belakang, dan dari mana datangnya dana serta bagaimana keseluruhan BERSIH 3.0 dirancang akan terbongkar dengan seluas-luasnya sekiranya siasatan menyeluruh diketuai oleh tokoh seperti Tun Hanif, iaitu seorang bekas penguatkuasa undang-undang yang amat dihormati dan dikagumi oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.


Majlis Tilawah al-Quran di Padang Astaka, Kemaman malam ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1433H/2012M bakal berlangsung di Padang Astraka, Kemaman, bermula malam ini dan berakhir pada 17 Mei.

Program tiga hari anjuran kerajaan negeri yang membawa tema `Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ bakal dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kira-kira jam 9 malam ini.

Manakala, perasmian penutup serta penyampaian hadiah pula akan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 17 Mei (Khamis), kira-kira jam 9.10 malam.

Menurut jurucakap program, sebagai pembuka tirai, lima peserta akan mengambil bahagian memperdengarkan bacaan pada malam ini selepas selesai ucapan oleh Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Katanya, pada malam penutup pula, sebaik sahaja Dato’ Mazlan selesai berucap, Sultan Terengganu pula berkenan merasmikan upacara penutup majlis itu.

Sejurus kemudian, hadirin akan dihiburkan dengan persembahan nasyid. Majlis kemudiannya disudahi dengan Sultan Terengganu menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para hakim serta peserta tilawah.




Teganukita 59