Halaman

08 July 2012

Kerajaan negeri sokong penganjuran TIIAF 2012

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri sentiasa aktif dan fokus dalam memajukan pelbagai sektor terutama yang mampu memberi faedah secara terus kepada rakyat dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata atas faktor itu, pihaknya memberi sokongan penuh terhadap penganjuran `Terengganu International Islamic Arts Festival (TIIAF) 2012’ kerana menyedari ia akan memberi pulangan jangka panjang kepada pelbagai pihak.

“Hasil yang bakal diperoleh bukan hanya sekadar membawa pulang dari segi eknomi semata-mata, bahkan mampu menyumbang kepada penyuburan dan pembangunan modal insan negeri,” katanya ketika mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan Majlis Pelancaran Awal TIIAF, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Induk TIIAF yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Wan Ahamad Wan Muda.

Tetamu kehormat lain Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Haji Osman Muda; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Haji Adzlan Mohd Dagang dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Jelajah TIIAF 2012, akan mula bergerak pada 11 Julai dan berakhir 19 Julai itu akan singgah di destinasi-destinasi terpilih di semua negeri dengan menaiki enam kenderaan pancuan empat roda bersama 20 peserta.

TIIAF 2012 pula akan bermula 14 hingga 17 september ini di TTI dengan melibatkan penyertaan 17 negara Asia Tenggara, termasuk Jepun, China, India, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Katanya, dia difahamkan, pihak Taman Tamadun Islam bakal menjalin kolaborasi dengan Pusat Penyelidikan Sejarah, Kesenian dan Kebudayaan Islam Dunia (IRCICA) Turki bagi memasarkan produk dan program TTI di serata negara.

“Dengan kolaborasi itu, kita berharap TTI akan terus gemilang sebagai pusat dan gedung Ilmu bersifat antarabangsa,” katanya.






Pembangunan luar bandar untuk kesejahteraan rakyat

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.



Pembangunan yang hebat diperlukan di kawasan luar bandar supaya arus pembangunan kampung tidak ketinggalan selaras dengan matlamat Gerakan Daya Wawasan (GDW) bagi mewujudkan desa yang maju, menarik dan menguntungkan.

Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Encik Ahmad Zubir Abd. Ghani berkata, sebelum merdeka kita dijajah dan ditinggalkan terus, kampung tidak maju dan jalan raya tidak ada.

“Tetapi apabila mencapai kemerdekaan, kita bangunkan kawasan di luar bandar dengan sebaik mungkin dan belanjakan setiap sen wang untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya di majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman , semalam.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan merangkap Pengerusi Pertandingan ADC, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu, Puan Hazelina Hashim.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah penggerak arus kemajuan kampung di kawasan luar bandar dalam abad ini dan setiap perancangan yang disediakan kerajaan tidak akan mencapai matlamat tanpa sokongan dan kerjasama daripada rakyat di peringkat akar umbi.

“Selagi tidak wujud semangat ingin memperbaiki diri serta tidak sanggup menerima perubahan selama itulah kita akan ketinggalan dari arus pembangunan negara,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha membangunkan kampung luar bandar dan ia perlu didokong sama oleh anggota masyarakat melalui konsep kerjasama, muafakat di bawah kepimpinan JKKK.

Selain itu pemimpin kampung boleh wujudkan pusat sumber, pusat komputer, kelas tuisyen, kemudahan riadah serta suburkan aktiviti pengimarahan masjid dan gotong royong bersih kampung.

Katanya, kawasan desa mempunyai pelbagai sumber semulajadi yang boleh dijadikan sumber kekayaan baru ekonomi desa sekali gus menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat.


“Melalui pendekatan sebegini kita akan dapat menzahirkan hubungan pintar dan saling melengkapi di antara kerajaan dan masyarakat desa,” katanya.

Sehubungan itu Kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu mendapat tempat pertama dalam ADC kali ini diikuti Kampung Pasir Gajah, Kemaman (Kedua) dan Kampung Medan Jaya, Marang (ketiga).

Encik Ahmad Zubir berkata johan ADC akan mewakili negeri ke pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada September depan.





Wujud peluang ekonomi kampung

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra




Anggota masyarakat perlu mengambil inisiatif dan lebih kreatif untuk mewujudkan peluang ekonomi di kampung-kampung untuk menjana pendapatan keluarga.

“Jangan kita warisi cara kerja yang tidak ekonomik dan merugikan”, kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Teks beliau telah dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Hadir sama, Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Encik Mohd Zubir Abdul Ghani; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri, Puan Nor Hazelina Hashim.

Katanya, kalau ibu bapa kita bekerja sebagai pekebun pisang, biarlah kita menjadi pemborong pisang atau seorang pengusaha kerepek pisang dan jangan tanam ubi dan jual ubi sahaja sebaliknya berusahalah untuk mengeluarkan jus perisa ubi dan produk berasaskan ubi.

Selain itu, masyarakat kampung juga harus bersatu dan menterjemahkan idea bernas untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta rebut peluang yang disediakan kerajaan untuk memajukan diri dan keluarga.


Katanya, produk desa kini boleh dipasarkan ke serata pelusuk dunia menggunakan kemudahan internet seperti laman sesawang (web), blog, e-mail dan bahan audio vesual,” katanya.

“Saya harap lebih banyak kampung di negeri ini mampu menghasilkan produk masing-masing yang boleh diketengahkan hingga ke peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang mewakili daerah Kuala Terengganu di umum sebagai johan dalam pertandingan ADC anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Kampung Pasir Gajah , Kemaman (kedua) dan Kampung Medan Jaya, Marang (ketiga). Tempat pertama menerima RM10,000, RM8,000 (kedua) dan RM6,000 (ketiga) beserta sijil penghargaan.

Kampung Bukit Wan juga turut menenangi tiga aspek yang dipertandingkan iaitu ekonomi, kepimpinan dan keceriaan dan keindahan manakala Pasir Gajah menang aspek teknologi maklumat dan komunikasi dan Medan Jaya menang aspek kebersihan dan kesihatan, kerohanian dan sivik.

Pemenang kategori menerima hadiah wang tunai RM500 setiap satu yang disumbangkan oleh kerajaan negeri.






T-Hardware dilancar di TER esok

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan Terengganu melebarkan perkhidmatan dan produk yang menggunakan jenama `Terengganu’ apabila T-Hardware, satu rangkaian peruncitan bahan dan alatan pembinaan akan dirasmikan di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu, esok (Isnin), jam 11 pagi.

Pelancaran T-Hardware sempena Majlis Perasmian Program Seminar Transformasi Pembinaan dan pembekalan Summit 2012 yang turut berlangsung esok sehingga Rabu ini, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Menurut satu kenyataan, majlis menandatangani perjanjian Persefahaman (MoU) empat penjuru anatara Yayasan pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Q-Bena Resources Sdn Bhd, Modular Mentari Sdn Bhd dan ZNZ Multitrade juga akan diadakan di majlis pelancaran itu nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib akan merasmikan program itu.




Segerakan projek, elak dipolitikkan pembangkang- Dato' Nasir

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri diminta menyegerakan semua projek pembangunan infrastruktur di kawasan Parlimen Kuala Nerus terutama membabitkan projek jalan raya empat lorong di Gong Badak, Kuala Terengganu yang sepatutnya bermula awal Jun lalu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata projek sepanjang tiga kilometer yang mempunyai terusan sedalam lapan kaki itu cukup penting bagi kawasan itu kerana bukan saja mampu menaikkan imej Kuala Nerus malah dapat menjana ekonomi penduduk setempat melalui pelbagai aspek.

Katanya, pihaknya risau kelewatan ini akan dipolitikkan pihak pembangkang yang akan menggunakan isu tersebut untuk meraih undi rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13 nanti.

“Pembangkang akan mendakwa kononnya kerajaan negeri hanya menabur janji namun tidak menunaikannya, kita boleh elak isu ini dengan menyegerakan apa yang dijanji," katanya selepas Majlis Mesra Bersama Media, di Restoran Payang Serai, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Kira-kira 50 pertugas media pelbagai agensi hadir pada majlis tahunan itu yang dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri ada mengumumkan akan memberi peruntukan awal sebanyak RM20.2 juta untuk kerja-kerja fasa pertama.

“Berita untuk menubuhkan daerah kelapan ini sememangnya ditunggu-tunggu penduduk tempatan kerana mengetahui pelbagai urusan dapat dipermudahkan.

“Apabila Pusat Pentadbiran Kuala Nerus dapat ditubuhkan kelak, penduduk setempat tidak perlu lagi ke kawasan bandar raya Kuala Terenganu bagi tujuan itu,” katanya.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan pusat pentadbira daerah baru ini di mana tempat yang dipilih utu terletak di tengah-tengah kawasan Kuala Nerus dengan mengelak pengambilan balik tanah rakyat.




Sukma Pahang : Terengganu akan terus mara



Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Ali Tengah

Terengganu tetap optimis mampu mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 biarpun sedang ketinggalan jumlah kutipan pingat emas berikutan temasya yang baru membuka tirai dengan selesai mempertaruhkan dua acara, karate dan taekwando.

Berada di tangga keempat dengan meraih empat emas yang dituai menerusi taekwando sehingga semalam, bukan kekangan untuk kontinjen yang diketuai Haji Wan Nawawi Wan Ismail untuk memintas tiga pasukan teratas-Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang.


Malah, dua acara yang sudah dipertandingkan itu bukan sasaran utama meraih emas. Karate mensasarkan satu emas, sementara taekwando tiga emas. Bagaimanapun, karate gagal mencapai sasaran itu, berbanding taekwando yang berjaya mengatasi sasaran satu emas.

“Ini bermakna, taekwando berjaya menyumbang emas tambahan ..sekali gus mengatasi kehilangan emas yang disasarkan karate,” kata Haji Wan Nawawi.

Selain itu, beliau juga yakin Terengganu Hanelang mampu mengatasi pasukan yang berada di tiga kedudukan utama apabila acara yang menjadi `lubuk emas’ seperti olahraga, lumba basikal, pencak silat dan angkat berat bermula nanti.

Kontinjen Terengganu disertai 536 orang termasuk 400 atlet mensasarkan 47 pingat emas pada Sukma kali ini menerusi 24 acara dengan 19 sukan wajib termasuk renang, angkat berat, berbasikal, bola sepak, badminton, gimnastik, hoki, lawn bowls, taekwondo, karate, perahu layar dan sepak takraw.





Terengganu destinasi pelaburan dan pelancongan


Oleh: Kamarudin Mat Akib


Negeri Terengganu amat sesuai dijadikan sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan peringkat antarabangsa, khususnya di kalangan negara-negara Timur Tengah dan Afrika.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata kerajaan negeri sentiasa mahu bekerjasama dan memenuhi kehendak-kehendak pelabur luar negara bagi merealisasiskan hasrat pelabur luar untuk melabur di negeri ini.

“Sejak kebelakangan ini Terengganu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah negeri yang moden dan lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk pelabur dan pelancong asing,” katanya pada majlis meraikan delegasi Forum Pembangunan Antarabangsa 2012 di Riyaz Heritage, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Agung Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Kebangsaan (Afidimi), Brother Nuri Birtik; Ahli Lembaga Pengarah SME Bank Malaysia, Dato’ Adzmy Abdullah dan Pengurus Strategik Pengurusan SME Bank, Encik Mohd Rizal Mohd Jaafar.



Dato’ Toh berkata, kini kerajaan negeri sedang mengadakan promosi besar-besaran bagi menarik pelancong ke Terengganu melalui kempen Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Tahun Melawat Terengganu 2013 bertujuan membantu memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan antarabangsa bagi memberi pelbagai maklumat kepada pelancong luar negara mengenai negeri ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, melalui promosi di bidang pelancongan yang diadakan secara berterusan, bilangan pelancong yang datang ke negeri ini terus meningkat dari setahun ke setahun.



Santuari ikan di Sungai Loh, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payong

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri dalam usaha untuk menjadikan tiga batang sungai di negeri itu sebagai pusat santuari beberapa jenis ikan bagi memajukan sektor pelancongan berasaskan akuakultur.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha'ari Idris berkata, tiga sungai itu ialah Sungai Loh di Dungun, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payung di Setiu.

Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun bergantung kepada usaha penduduk kampung terlibat yang perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga agensi berkaitan.

"Perkara ini memerlukan komitmen banyak pihak kerana bukan mudah menjadikan sungai sebagai pusat santuari namun ia bukanlah perkara mustahil kerana sudah ada pusat santuari seumpama ini di Sabah dan Pahang.

"Cadangan untuk menjadikan tiga sungai ini sebagai pusat santuari memang sudah dimulakan dan proses itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya antara setahun atau dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan benih anak ikan di Sungai Lata Payung, Setiu semalam.

Sehingga kini kata Asha’ari, sebanyak 37,000 benih anak ikan pelbagai spesis dilepaskan di dua sungai yang terletak di Setiu itu antaranya lampam kerai, lampam sungai, jelawat merah dan talapia.

"Program pelepasan benih ikan yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu kini mula menampakkan hasil yang positif.

"Apa yang boleh dilihat, kita boleh memberi ikan makan secara terus dari tangan seperti di Sungai Pelong, Setiu.

"Antara syarat untuk menjadikan sesebuah tempat itu sebagai pusat santuari ialah ia perlu persekitaran yang selamat dan sesuai bagi spesis ikan termasuk memastikan tiada ikan pemangsa di sungai berkenaan," jelasnya.

Berdasarkan analisis Jabatan Perikanan katanya, hanya 20 peratus daripada ribuan benih anak ikan yang dilepaskan dijangka dapat membesar, manakala bakinya akan mati akibat pelbagai faktor.


Sukma Ke-15 Pahang 2012

Kedudukan pingat hari ketujuh Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 selepas saingan semalam:







Teganukita 62