Halaman

12 November 2012

Kekurangan pekerja lambatkan Projek Pembinaan Jambatan Bukit Kuang

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Tinjauan lawatan kerja Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke tapak projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang pagi tadi, mendapati projek itu berjalan agak lambat akibat kekurangan pekerja.



Status semasa projek pembinaan Jambatan Bukit Kuang masih berbaki 30% untuk disiapkan sepenuhnya bagi kemudahan rakyat setempat yang menjadikan jambatan itu sebagai laluan utama mereka.

Keseluruhan jumlah projek itu menelan kos RM185 juta, namun kontraktor hanya mengupah pekerja seramai 60 orang.

Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan nilai projek mencecah ratusan jutaan ringgit.

Menteri Besar berharap masalah tersebut dapat diselesaikan dengan segera dan meminta pihak yang bertanggungjawab dapat membuat tambahan pekerja secepat mungkin memandangkan pembinaan jambatan perlu disiapkan sebelum September 2013.

Apabila projek jambatan ini disiapkan akhir tahun 2013, akan bermula projek baru yang telah diluluskan Perdana Menteri di sekitar Bandar Kijal dengan pembinaan jalan raya empat lorong bagi melancarkan kesesakan lalu lintas.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid dan ketua-ketua jabatan berkaitan.



Kakitangan Ukom lawat pejabat Ketua Menteri Melaka



Seramai 23 kakitangan Unit Komunikasi Negeri Terengganu mengadakan lawatan bermaklumat ke negeri Melaka selama tiga hari mulai Jumaat lalu.



Sempena lawatan itu yang diketuai Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, peserta rombongan turut melawat Pejabat YAB Ketua Menteri Melaka, di Seri Negeri, Ayer Kroh, Melaka.


Peserta rombongan diberi taklimat mengenai kemajuan dan pembangunan negeri Melaka oleh Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Encik Daud Awang. Haji Shamsuddin dalam ucapan balasnya, merakamkan penghargaan kepada pejabat YAB Ketua Menteri kerana memberi layanan baik adn mesra kepada peserta rombongan, termasuk menyediakan makan tengah hari kepada peserta rombongan.

Beliau turut meminta pejabat YAB Ketua Menteri Melaka membantu mempromosikan pelancongan di Terengganu, khususnya sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).



Peserta rombongan turut berpeluang melawat beberapa tempat bersejarah di Melaka, khususnya di Banda Hilir sempena lawatan tersebut.









YPKT menaiktaraf sistem pendidikan TPK

Oleh: Suriati Ali 

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menaiktaraf sistem pendidikan kanak-kanak di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) supaya bersesuaian dengan perubahan sistem pendidikan di negeri ini.

Taska berkenaan dilengkapi kemudahan pembelajaran canggih atau dikenali sebagai TB-kids di mana kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah boleh mengenali pelbagai jenis haiwan, kenderaan, abjad dan sebagainya melalui skrin sesentuh.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati, kanak-kanak yang belajar menggunakan kaedah itu bukan sahaja menunjukkan minat dan semangat untuk mencuba malah berdisplin serta mampu duduk diam kerana teruja mendengar suara, melihat setiap pergerakan gambar atau abjad apabila disentuh guru atau rakan.

 Pendekatan itu membuatkan kanak-kanak cepat belajar dan mudah mengingati berbanding menerangkan sesuatu perkara menggunakan buku atau `flash card’.

 Penolong Pengurus Taska YPK Batas Baru, Kuala Terengganu,Encik Razali Daud berkata, kanak-kanak yang mendapat pendidikan di taska YPK cukup bertuah kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati.

 Ini termasuk setiap kelas dilengkapi kemudahan penghawa dingin, menu makanan yang berkhasiat dan mampu dinikmati sebanyak empat kali dalam tempoh lapan jam, pengasuh berpendidikan tinggi dan pelbagai jenis permainan canggih dan moden dapat dicuba.

 “Kanak-kanak taska YPK cukup berdisplin kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan ketika ingin tidur, makan dan bermain.

 “Pengasuh atau pembimbing yang telah melalui pelbagai jenis kursus mempunyai kaedah tersendiri untuk mendisplin setiap kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing,” katanya.

 

YVM bantu ahli, jalankan aktiviti bermanfaat

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Veteran Malaysia (YVM) yang baru ditubuhkan bertujuan membantu ahli dan keluarga pertubuhan itu selain menjalankan pelbagai aktiviti yang mendatangkan faedah bersama.

Setiausaha Veteran Umno Pusat, Datuk Mustapa Yaakub, berkata YVM menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya separuh daripada kira-kira 748,000 veteran Umno yang berumur 60 tahun ke atas.

“YVM akan mengemukakan permohonan penubuhannya, yang mendapat persetujuan Veteran UMNO, kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk kelulusan dalam masa terdekat.

"Tujuan YVM ditubuhkan adalah untuk menjalankan kegiatan kepada seluruh anggota dan keluarga veteran parti itu di seluruh negara di mana semua anggota Umno yang berumur 60 tahun ke atas, secara automatik dianggap sebagai veteran Umno dan mereka layak menjadi anggota YVM," katanya sempena penutupan Perhimpunan Agung Tahunan Veteran Umno Malaysia ke-5,di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu,  semalam.

Datuk Mustapa berkata ketika ini, terdapat kira-kira 748,000 veteran Umno daripada tiga juta anggota parti itu di seluruh negara, dan beliau yakin ia mampu menjadi sebuah yayasan yang kuat jika setiap veteran menganggotainya. 

Perhimpunan mesyuarat agung tahunan pada 9 hingga 11 November itu disertai lima veteran dari setiap bahagian yang melibatkan 500 orang dari seluruh Malaysia.



   

GPMS bantu promosi TMT 2013

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri Terengganu akan mengadakan program berkonvoi empat hari menggunakan 10 buah kereta ke Singapura bermula pada 5 Disember ini bagi mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

 Pengerusi GPMS negeri Terengganu Ahmad Izani Abdul Ghani berkata program berkonvoi melibatkan 40 anggota dan anggota jawatankuasa GPMS itu adalah dalam usaha membantu kerajaan negeri menarik pelancong dari republik itu ke Terengganu.

 "Ini satu daripada usaha kita bagi bantu kerajaan memperkenalkan Terengganu sempena TMT 2013. Kita bukan hanya ke Singapura, tetapi turut berhenti di tempat tertentu di Johor dengan mengedar risalah mengenai TMT 2013.

"Sepanjang berada di republik itu, GMPS juga mengadakan dialog dan majlis penerangan mengenai keistimewaan negeri Terengganu, " katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

 Dalam perkembangan lain, Ahmad Izani berkata GMPS telah membantu 12 pelajar negeri itu mendapatkan Dana Ibonda Pendidikan sebanyak RM1,000 setiap pelajar.

 Katanya Dana Ibonda Pendidikan adalah di bawah Yayasan Pelajaran Mara yang diberi kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang miskin dan kurang berkemampuan

 

JKKN lantik 1,000 jurulatih untuk bimbing pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melantik kira-kira 1,000 orang jurulatih di seluruh negara bagi membimbing pelajar sekolah dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

Pengarah Sektor Dasar dan Perancangan JKKN, Che Kasim Mahmud berkata, jurulatih yang dilantik itu dari kalangan mereka yang berpengalaman selain mendapat bimbingan secara berterusan dari JKKN sendiri.

“Jurulatih ini meliputi enam disiplin, iaitu seni teater, muzik, tarian, seni persembahan, silat dan juga gasing,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Festival Bimbingan Seni Budaya ‘Mengapai Pelangi’ di Audotorium Taman Budaya, Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

 Menurutnya, program tersebut telah bermula sejak tahun 1996, melibatkan pelajar di sekolah-sekolah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan merupakan projek berterusan JKKN.

“Program yang bermula Febuari sehingga Ogos lalu ini melibatkan 250 hingga 500 pelajar setiap negeri, dan mereka diajar oleh jurulatih yang telah dilantik dua kali seminggu atau 16 jam sebulan,” katanya.

Manakala waktu dan masa mengikut keperluan dan kesesuaian sekolah yang terlibat termasuk bidang disiplin yang dipilih. Asasnya mereka perlu melalui modul yang telah ditetapkan oleh JKKN.

“Ia diangap sebagai kredit untuk anak-anak kita dan melalui program ini juga, setiap negeri boleh mengenengahkan identiti kebudayaan negeri masing-masing,” katanya.

 

Seni Budaya lambang Identiti Bangsa Melayu

Oleh: Mastura Jamaluddin

Program Merakyatkan Seni Dan Budaya ( PMS ) merupakan usaha bersepadu jabatan-jabatan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi mengetengahkan produk seni budaya dan warisan kepada khalayak dengan mendekati kembali masyarakat umum, khususnya di luar bandar dengan kegiatan seni budaya.

Langkah itu penting bagi merealisasikan visi kementerian untuk membentuk masyarakat Malaysia yang berbudaya dan mempunyai jati diri yang kukuh Kampung Cheting merupakan kampung yang bertuah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong kerana terpilih untuk program PMS dengan pelbagai pengisian aktiviti sukan rakyat , ziarah dan persembahan kebudayaan.

“Selain dapat merapatkan hubungan dan interaksi antara pemimpin dan masyarakat penyayang seterusnya mengukuhkan perpaduan kaum dan integrasi nasional. Ini adalah objektif utama ke arah pencapaian Gagasan 1Malaysia dalam memartabatkan nilai seni dan budaya.

“PMS juga bertujuan menyemarakkan aktiviti seni budaya dan warisan kepada masyarakat umum pelbagai kaum, peringkat umur dan kawasan geografi,” kata Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara cawangan Terengganu, Encik Zaifri Husin, ketika ditemui Teganukita, semalam.


Muzium anjur pameran Islamik 2012

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Muzium Negeri Terengganu bakal menganjurkan Pameran Islamik 2012 bertempat di Foyer, Kompleks Muzium negeri bermula 14 November ini sehingga 30 Disember depan.

 Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof berkata, sebagai aktiviti penutup tirai tahun ini, pameran yang bakal berlangsung akan memaparkan satu konsep yang agak universal berkaitan Islam.

“Pengunjung yang datang berpeluang melihat sendiri paparan sejarah kedatangan awal agama Islam di semenanjung, al-Quran dan manuskrip, peralatan dan teknologi, kraf dan senibina Islam serta pelbagai lagi.

“Selain itu, seni dalam Islam turut diketengahkan melalui alunan zikir, lagu rodat dan nasyid, ujarnya.

Katanya, daya kreatif masyarakat Islam dahulu sebagai penoraka disiplin ilmu yang baru berlandaskan al-Quran dan hadith turut didedahkan kepada pengunjung.

 “Acara sampingan seperti kuiz untuk pelawat, klinik al-Quran, klinik tulisan jawi serta gerai jualan turut disediakan bagi memeriahkan pameran pada kali ini,” katanya.

Katanya, pameran ini diharap dapat mendedahkan kepada orang ramai bahawa Islam itu cukup luas dan liberal selain memberi kesedaran bahawa Islam bukanlah agama yang mengongkong umatnya.

Orang ramai yang ingin mengetahui Islam dengan lebih mendalam dijemput hadir beramai-ramai ke pameran yang menarik ini.

 

Kerajaan timbang Permohonan FRIM Untuk Tanaman Jarak Pagar

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengemukakan permohonan bagi menjalankan projek tanaman jarak pagar secara besar-besaran di Terengganu untuk penghasilan biodiesel.

Sebelum ini, media melaporkan FRIM bercadang untuk membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri bagi meminta kebenaran menggunakan tanah di kawasan pantai untuk menanam pokok jarak pagar dalam penghasilan biodiesel.

Ini berikutan, FRIM telah berjaya menghasilkan biodiesel dari pokok jarak pagar pada tahun lalu dan yakin penggunaan sumber bahan mentah itu sebagai bahan bakar yang lebih mesra alam seterusnya mampu menggantikan petroleum.

Projek ini dijangka mampu memberi sumber pendapatan kepada penduduk yang terlibat dengan penanaman tumbuhan itu dan ketika ini sebanyak 6,000 batang pokok spesies itu telah ditanam di stesen penyelidikan FRIM di daerah Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Kerajaan Negeri mempunyai polisi tersendiri untuk meluluskan apa jua projek.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri belum menerima sebarang permohonan lagi berkenaan perkara tersebut. Namun sekiranya FRIM membuat permohonan, pihak kita akan meneliti terlebih dahulu justeru itu projek ini perlulah ada hasil kajian penyelidikan yang berjaya.


 “Sekiranya sesuatu permohonan projek yang ingin dijalankan dalam negeri Terengganu boleh membawa pulangan yang lumayan kepada rakyat dan negeri, mengapa tidak kita luluskan sahaja,” katanya sewaktu diminta mengulas isu ini selepas merasmikan Majlis Berkhatan Secara Beramai-ramai Peringkat Dun Kijal 2012 yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi Padang Kubu.

Seramai 120 peserta mengambil bahagian dan lebih meriah lagi mereka telah dimandikan dengan air dari pili bomba oleh Menteri Besar sendiri yang sebelumnya diarak dengan traktor dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.


MB cabar Presiden Pas bertanding di Parlimen Kemaman

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mencabar Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang ingin bertanding di Pekan, Pahang sekaligus mencabar kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, supaya bertanding di Kemaman pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU 13).

Beliau bekata, pihaknya mengalu-alukan Abdul Hadi bertanding di kawasan itu menentang Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek pada pilihan raya akan datang bagi menguji kekuatannya.

Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal seakan-akan mencabar Presiden Pas itu bertanding di Kemaman bagi menguji kehebatannya dan Pas dalam memperoleh sokongan rakyat setempat.

“Tidak perlulah (Presiden Pas) bertanding ke negeri orang lain, kalau berani datanglah bertanding di Parlimen Kemaman.

“Itu semua hanya gimik politik, bohong belaka dan hanya menjadi mainan mereka lebih-lebih lagi PRU13 semakin hampir. Apa tujuan beliau sebenarnya, mahu publisiti ataupun mahu gali kubur sendiri?”

“Saya mengalu-alukan kedatangan beliau untuk bertanding di sini dan bukannya pergi menentang Perdana Menteri Malaysia,” katanya pada sidang media semalam selepas merasmikan Program Berkhatan Beramai-ramai Peringkat Dun Kijal di Padang Kubu.