Halaman

20 December 2012

Agensi media disaran bersama Ukom

Oleh: Suriati Ali 

Pelbagai agensi media di negeri ini diminta bersama-sama Unit komunikasi Negeri (Ukom)  bagi memperjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri secara mendalam dan telus kepada rakyat.



Pengarah Ukom Haji Shamsudin Sulong, berkata kedua-dua pihak itu berperanan penting dalam menyampaikan sumber berita dan maklumat tepat kepada pihak berkaitan, terutama kepada masyarakat.

Katanya, pada sama sama, Ukom tidak jemu memperjelaskan isu-isu semasa melalui pelbagai program yang diaturkan selaras dengan moto `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’

“Pendekatan itu mampu menangkis dakyah dan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap negeri dan pihak berkepentingan.



 “Apa yang dilaskanakan ini semata-mata mahu meningkatkan keyakinan dan sokongan rakyat secara berterusan kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Mesra Media di Permai Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Besar, Encik Rosli dan Zakaria dan ketua-ketua biro pelbagai agensi media. Lebih 100 petugas media, hadir bagi memeriahkan majlis tahunan anjuran Ukom.

 Haji Shamsudin turut memberitahu, program seumpama itu akan diteruskan walaupun kadang kala mempunyai kekangan masa, supaya hubungan baik dan sikap tolenrasi terus terjalin.

 

BPUNT lancar 'perang' dengan mereka yang pertahan amanat Presiden Pas

Oleh; Esah Abdullah

Biro Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) akan melancarkan ‘perang habis-habisan’ dengan mereka yang mempertahankan amanat yang dikeluarkan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (1981) sehingga ia ditarik balik.

Ketua Penerangan BPUNT, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jadikan ia suatu jihad demi memulih akidah dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

“Saya menyeru seluruh rakyat negeri dan negara ini yang beragama Islam menolak ‘amanat’ itu dengan penuh kesedaran dan keinginan untuk melihat umat Islam kembali bertaut dan bersatu di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sehubungan itu katanya, enam pendekatan akan diambil berhubung isu berkenaan dengan mendesak secara berterusan Presiden PAS itu agar menarik balik amanatnya yang dibuat di Banggol Peradong kerana ia menghuru-harakan orang Islam dari segi akidah dan persaudaraan

Kedua; menggerakkan seluruh jentera Penerangan UMNO bahagian dan cawangan di negeri ini agar menjelaskan kepada rakyat perkara yang menyebabkan kesesatan umat Islam akibat amanat ini.

Ketiga; akan menyerahkan memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya bertindak sewajarnya terhadap amanat ini.

Keempat; menyokong usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar ‘memerangi’ amanat yang memecah-belahkan umat Islam hingga ke beberapa negeri lain dan membuat penjelasan sewajarnya.

Kelima; mengeluarkan bahan-bahan bacaan dan tontonan kenapa amanat Dato’ Seri Abdul Hadi itu dianggap menyesatkan, mengeliru dan memporak-perandakan umat Islam di Terengganu dan beberapa negeri lain, termasuk di Kelantan, Kedah, Pahang dan beberapa negeri lain.

Keenam; bekerjasama dengan UMNO Pusat dan negeri-negeri bagi mendesak Dato’ Seri Abdul Hadi supaya menarik balik dan memohon maaf kepada mereka yang tersesat akibat amanatnya.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kesal dengan sikap degil dan tidak endah Dato’ Seri Abdul Hadi kepada gesaan supaya memohon maaf dan menarik balik amatnya itu.
 

Sekolah berpencapaian tinggi PMR meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman



Kualiti pencapaian sekolah seluruh Terengganu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 meningkat berbanding tahun lalu.

Pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik apabila terdapat pertambahan sebuah sekolah kepada 27 yang berjaya mencatat GPS cemerlang (1.00 hingga 1.80) atau prestasi A.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin,berkata Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud merekodkan GPS 1.03 untuk mendahului senarai sekolah berpencapaian tinggi apabila 84.62 peratus daripada 104 pelajarnya memperolehi semua A.

Sekolah lain, SMK Mak Lagam, Kemaman (1.10) dengan 58.65 peratus mendapat semua A, diikuti SM Sains Dungun (1.11) dengan 53.68 peratus pelajarnya memperolehi semua A.

Sekolah lain, SM Sains Hulu Terengganu (1.13), SM Imtiaz Kuala Berang (1.14); SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.16); SMK lembah Bidong (1.18); SM Imtiaz Besut (1.18); SMK Chukai 1.19 dan SMKA Sheikh Abdul Malek (1.19); SM Imtiaz Dungun (1.19); SMK Tengku Mahmud (1.21) dan SMA (A) Sultan Zainal Abidin Terengganu (1.24) dan SBP Integrasi Batu rakit (1.25).

 “Selain merekod bilangan peningkatan sekolah berpencapaian tinggi, Terengganu juga mempunyai 15 sekolah berjaya mencapai 100 peratus minimum D (lulus semua subjek),” katanya.

Sekolah berkenaan adalah SM Sains Sultan Mahmud, SMK Mak Lagam, SM Sains Dungun, SM Sains Hulu Terengganu, SM Imtiaz Kuala Berang, SMK lembah Bidong; SM Imtiaz Besut; SMK Chukai, SMKA Sheikh Abdul Malek; SM Imtiaz Dungun; SMK Tengku Mahmud; SMA (A) Sultan Zainal Abidin,; SMK Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun dan SMK pelong, Setiu.

 Menurut beliau lagi, pencapaian di kalangan pelajar sekolah di bandar meningkat berbanding tahun lalu apabila Gred Purata (GP)calon bandar meningkat 0.01 kepada 2.41, manakala GP calon luar bandar kekal seperti tahun lalu (2.72).

“Jabatan akan sentiasa berusaha untuk merapatan jurang antara calon bandar dan juga luar bandar.

“Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pada masa depan, kita menjangkakan calon luar bandar akan lebih mampu bersaing untuk merapatkan jurang itu,” katanya.

 

EPIC “Back To School 2013” kembali lagi

Kakitangan EPIC bersama pelajar sempena program Back To School 2013.

Teks dan Gambar oleh Nurul Aziela Mohd Saberi 

Sebelum memasuki alam persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad telah mengadakan program bersama pelajar yang kurang berkemampuan yang dikenali sebagai Back To School 2013.

Program ini yang merupakan kali ketiga sejak tahun 2009, melibatkan 40 orang pelajar sekolah rendah bersama guru-guru pengiring sekolah masing-masing.

Berbeza daripada program-program lain, program Back To School 2013 ini bukan sahaja berinisiatif untuk meringankan beban yang ditanggung ibu bapa pelajar berpendapatan rendah untuk membiayai keperluan anak mereka bagi menjejaki alam persekolahan, tetapi juga akan menghiburkan anak-anak dengan pelbagai aktiviti yang mungkin belum pernah mereka kecapi.


Antara aktiviti menarik yang dijalankan melalui program ini ialah membawa murid-murid melawat tapak operasi Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), menonton wayang, bermain bowling serta membeli belah barangan keperluan sekolah di Mesra Mall, Kemasik.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam EPIC Berhad, Encik Zamri Awang, di samping membantu mereka yang kurang berkemampuan, program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan syarikat dengan pelajar tersebut di mana kakitangan syarikat yang terpilih atau dikenali sebagai ‘Buddy’, diberi tugas untuk menjaga dan bermesra dengan pelajar berkenaan.

“Sepanjang program Back To School 2013 yang dijalankan pada tahun-tahun lepas, kami dapat melihat sendiri kegembiraan pelajar-pelajar ini dengan membawa mereka ke kompleks membeli-belah kerana ada sesetengahnya tidak pernah berpeluang untuk merasa begitu” katanya.

Turut turun padang bersama-sama memeriahkan program, Pengurus Besar Bahagian Pentadbiran Sumber Manusia dan Perolehan Syarikat, Tuan Haji Mohd Isa Mujani.


PPD Bukit Payong semai semangat cintakan negara

Oleh :Amirullah Othman 

Walaupun kempen skuad Harimau Malaya dalam Kejohanan Bola Sepak Piala AFF sudah berakhir, namun sebilangan besar anak muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong masih memakai jersi Harimau Malaya, sebagai tanda sokongan kepada pasukan kebangsaan.

Jersi berkenaan diperolehi daripada cabutan bertuah semasa tayangan perdana pertandingan separuh akhir piala tersebut antara pasukan Harimau Malaya melawan Gajah Perang, baru-baru ini.

Tayangan itu yang diadakan di segenap ceruk kampung di DUN Bukit Payong, dianjurkan Pegawai Pembangunan DUN, Encik Zaidi Muda, bagi membolehkan anak-anak muda tempatan menyaksikan kesungguhan pasukan Harimau Malaya berjuang bagi mempertahankan piala berkenaan.

Program itu mendapat sambutan sangat baik dari segenap lapisan masyarakat untuk merasai semangat cintakan negara apabila mereka beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan negara.

Dalam menjayakan tayangan perdana di Kampung Undang, ia telah dibantu banyak agensi seperti Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Biro Tata Negara Negeri Terengganu dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu di samping Pejabat Pembangunan DUN Bukit Payong .

Orang ramai yang hadir dijamu dengan pelbagai juadah sambil menonto n tayangan perdana separuh akhir piala AFF.

Encik Zaidi Muda dalam ucapannya mahukan semua lapisan masyarakat supaya mempunyai semangat cintakan negara dan menyokong setiap usaha yang dijalankan oleh kerajaan kerana pelbagai insentif telah kita perolehi seperti gelanggang futsal, padang bola dan sebagainya.

 

19 December 2012

Cacat pendengaran bukan halangan Alia raih 8A

Oleh: Aida Abd Rahman


Bersandarkan keyakinan dan semangat yang kental, seorang pelajar yang mengalami cacat pendengaran sejak lahir berjaya mengatasi keupayaan pelajar normal apabila muncul satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di negeri ini yang memperolehi 8A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), hari ini.

Pelajar berkenaan, Alia Syuhada Aziz, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terengganu menggunakan alat bantuan pendengaran sejak berusia 12 tahun antara 124 CBK yang menduduki PMR di 39 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

“Dalam kelas, saya perlu berada di kedudukan paling depan bagi memastikan apa yang guru ajar dapat didengar dan difahami dengan baik. Bagaimanapun, dengan kekurangan saya ini, saya lebih rapat dengan buku berbanding dengan guru kerana saya lebih memahami setiap apa yang diajar menerusi pembacaan dan juga bahan rujukan.



“Kaedah belajar, saya rasa sama sahaja sebagaimana dipraktikkan rakan yang lain, selain memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran ketika di kelas. Pada masa yang sama juga, saya sering berdoa dan memohon keberkatan dari Allah s.w.t dengan melakukan solat hajat dan tahajud,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik yang mendapat 6A 2B ketika peperiksaan percubaan PMR itu berhasrat meneruskan kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lagi dan menyambung pengajian ke peringkat tertinggi bagi menggapai impian menjadi doktor.

Katanya, dia yang dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan dan hanya bergantung hidup daripada mata pencarian bapa sebagai buruh di kilang bahan binaan dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan, nekad mahu mengubah nasib keluarga tanpa menjadikan kecacatan sebagai penghalang baginya untuk meraih kejayaan.



“Ibu bapa, Aziz Ismail, 45, dan Zalina Mat Lazim, 44, menjadi sumber inspirasi yang mendorong kejayaan saya hari ini.Selain mereka, guru dan rakan-rakan juga tidak meminggirkan saya, malah mereka memahami dan memberi layanan serta tumpuan sama rata sebagaimana pelajar normal yang lain.

 “Rakan di luar sana, saya berharap tidak menjadikan kecacatan seperti saya sebagai halangan untuk berjaya,” katanya.

Dia yang sering berulang-alik dengan berbasikal sejauh tiga kilometer dari rumah ke sekolah setiap hari hanya mengetahui berita gembira itu apabila memasuki bilik pengetua selepas dipanggil seorang guru sebaik sahaja tiba di sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan itu.


Sementara itu, guru kelasnya, Encik Akla Su, 45, turut berbangga dengan potensi dan pencapaian Alia Syuhada, malah menyifatkan pencapaian luar biasa pelajar yang berkarektor pendiam itu mampu menjadi perangsang pelajar normal lain supaya dapat mencapai kejayaan yang sama.

“Disebabkan dia OKU (cacat pendengaran), dia minta supaya ditempatkan di barisan paling depan dalam kelas bagi memastikan setiap apa yang guru ajar lebih jelas didengar.

 “Sebagai guru kelas dan turut mengajar subjek Kemahiran Hidup, saya tidak meminggirkan dia, malah memberi tumpuan sama rata sebagaimana juga pelajar saya yang lain,” katanya.



PMR kekal unggul

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus unggul dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 apabila mengekalkan pencapaian terbaik dalam tempoh lapan tahun sejak 2005.



Gred Purata Negeri (GPN) kekal 2.57 sebagaimana tahun lalu. Selain itu, GPN pada 2005 (2.78), 2006 (2.75), 2007 (2.65), 2009 (2.60) dan 2010 (2.58).


 Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata pengekalan peningkatan itu bukan suatu perkara yang mudah dicapai melainkan perlu berusaha dengan gigih, berterusan, semangat yang jitu dan bersepadu untuk memastikan prestasi tidak merosot.

“Dengan catatan angka yang sangat baik ini juga secara tidak langsung telah melonjak pendidikan negeri Terengganu ke tahap yang terkehadapan di peringkat kebangsaan.

“Prestasi keseluruhan juga merekodkan GPN Terengganu jauh mengatasi Gred Purata Nasional,” katanya ketika mengumumkan Keputusan PMR 2012, di JPNT, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Ketua Sektor Akademik, Haji Mohd Zubir Embong.

Encik Hashim berkata, walaupun mencatat kegemilangan keseluruhan PMR tahun ini, pencapaian peringkat cemerlang sedikit menurun berbanding tempoh tiga tahun sebelum ini apabila pencapaian Semua A berkurang 1.81 peratus.



"Pelajar yang memperolehi semua A pada 2009 (7.12 peratus), 2010 (7.81) dan tahun lalu (8.95 peratus)", katanya.

Menurutnya, prestasi Minimum D yang meningkat selama tiga tahun berturut-turut sejak 2009 (56.26), 2010 (59.42) dan tahun lalu (60.01) juga menurun 0.17 peratus pada tahun ini (59.84).

Seramai 23,025 pelajar menduduki PMR seluruh Terengganu pada tahun ini berbanding 23,157 pelajar pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 22,229 orang sekolah bantuan kerajaan (96.54 peratus); 495 Maktab Rendah Sains Mara  (2.14); 73 calon sekolah swasta (0.32) dan 228 calon persendirian (1.00).







Kekal jenama t-brand sebagai produk negeri

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan mengekalkan jenama T-Brand sebagai produk negeri yang akan menembusi pasaran hingga ke perigkat global.


Pengerusi Jawatankuasa, Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera berkata, sektor usahawan telah mempelbagaikan produk dan mampu diterokai oleh golongan muda yang berdaya saing.

“Terbaru kita telah mewujudkan usahasama dengan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) dalam usaha perhebatkan rangkaian dengan syarikat swasta ,” katanya.

Katanya, melalui rangkaian baru ini telah pun wujud 18 buah oulet di seluruh negara dan ini akan dapat meningkatkan penglibatan rakyat tempatan terutama dalam menjual dan membekalkan barangan keluaran tempatan.

“Usaha ini bukan setakat untuk mengekalkan jenama t-brand yang menjual produk makanan sahaja sebaliknya produk-produk lain yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Selain itu terdapat 23 buah rangkaian kedai T-Shope yang sedang beroprasi dalan negeri dan luar Terengganu dan juga T-Hotel dan T-Loghe (dua buah) serta enam buah T-Kafe termasuk dua di luar negara.

Katanya, terdapat empat buah T-Kraf yang menjual barangan songket, batik serta barangan runcit keluaran tempatan dan akan mengekalkan bidang keusahawanan sebagai bidang yang boleh diterokai rakyat di negeri ini.







Anggota Rela Hulu Besut dapat bangunan



Oleh: Mohammad Ishak 

Khidmat bakti anggota RELA sentiasa mendapat pengiktirafan dan bantuan daripada pelbagai pihak yang tanpil memberi bantuan termasuk kemudahan yang diperlukan.

Platun Rela Hulu Besut antara yang bernasib baik kerana mempunyai bangunan sendiri untuk dijadikan pusat komuniti bagi menjalankan tugas harian pasukan berkenaan.

Pembukaan Pusat Komuniti Rela di Kampung La, Hulu Besut, satu lagi sokongan kerajaan untuk member kemudahan kepada anggota pasukan menjalankan tugas untuk penduduk setempat.

Ketua Pelatun Rela Hulu Besut, Abdul Rani Ibrahim bwerkata, pihaknya kini mempunyai bangunan sendiri apabila Pejabat Daerah Besut (PDB) meluluskan permohonan untuk Rela menduduki bangunan yang pernah dijadikan pejabat JKKK Kampung La.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, merasmikan bangunan berkenaan semalam. Abdul Rani berkata, dengan adanya bangunan itu ia memudahkan kira-kira 300 ahli Rela di kawasan Hulu Besut mengadakan aktiviti secara berpusat di premis berkenaan.

Sementera itu, Dr Abdulolah berkata, peranan dan tanggungjawab anggota Rela kini semakin mencabar apabila mereka diberi tugas bersama dengan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia.

Katanya, sebagai kakitangan kerajaan anggota Rela juga terikat dengan peraturan dan berharap sentiasa mematuhinya bagi menjaga imej pasukan itu yang sememangnya berperanan dalam pembangunan komuniti dan menjaga keselamatan awam.

Terengganu sedia RM76.37 juta bagi mengindahkan kawasan PBT

Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM76.37 juta bagi merancang, mengindahkan dan melaksanakan perkhidmatan perbandaran di seluruh Terengganu, bermula tahun depan.


 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan yang akan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan digunakan untuk tujuan semata-mata mahu melihat masayarakat terus merasai kemakmuran dan kemampanan kualiti hidup.

 Katanya, berdasarkan peruntukan itu, sebanyak RM6.2 juta akan dibelanjakan untuk program pencahayaan dan pemasangan lampu awam dalam kawasan PBT; RM 5.7 juta (landskap) dan RM8 juta bagi program kebersihan dan keindahan.

“Manakala RM34 juta bagi membina dan menyelenggara longkang di samping peruntukan untuk projek-projek Majlis-majlis Tempatan, perkhidmatan kebajikan dan masyarakat di bawah penguatkuasaan Majlis Daerah masing-masing.

 “Bagi meningkatkan tahap kebersihan bandar, peruntukan untuk pengurusan kebersihan bandar ditambah daripada RM17.5 juta tahun 2012 kepada RM20 juta tahun 2013,” katanya.

 Katanya, kerajaan sedar peluang perniagaan dan pekerjaan perlu ditingkatkan dan diperbanyakkan. Oleh itu, sejumlah RM18.13 juta disediakan untuk pembinaan dan pengubahsuaian atau naik taraf pasar awam.

 “Sebanyak RM5.95 juta bagi pembinaan gerai perniagaan dan perkedaian di seluruh daerah di samping meneruskan pelaksanaan projek sedia ada.

 “Kerajaan juga menyediakan RM4 juta bagi membaiki pusat-pusat sivik dan dewan-dewan majlis serta menyelenggara bangunan dalam kawasan PBT bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

 Menurutnya, selaras dengan imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, kerajaan bersetuju untuk membina bangunan baru kompleks pentadbiran MBKT di Southern Breakwater, Kuala Terengganu. Buat permulaan RM25 juta disediakan untuk perlaksanakan projek itu.