Halaman

01 January 2013

Primula Beach Hotel rai kakitangan

Oleh: Noraini Jusoh

Primula Beach Hotel Kuala Terengganu, hari ini meraikan kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2012 sehingga hotel berkenaan berjaya mencatat perolehan pendapatan tertinggi tahun lalu.

Pengerusinya, Dato’ Rosli Mat Hassan berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1972, pencapaian hotel ini pada tahun lepas sangat memberangsangkan dan mencatat jumlah tertinggi yang pernah pihaknya perolehi.

"Sasaran kita pada tahun 2012 cuma sekitar RM15 juta sahaja, tetapi saya sungguh bangga dan bersyukur kerana apa yang kita capai melebihi sasaran iaitu sebanyak RM17 juta.

"Berdasarkan pendapatan yang kita perolehi pada tahun 2011 iaitu kira-kira RM14.3 juta, peningkatan pendapatan sebanyak RM2.7 juta adalah satu angka yang besar untuk dicapai dan mustahil tanpa kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui pada Majlis Sepagi Bersama Warga Primula, di hotel tersebut, hari ini.

Katanya, majlis itu diadakan untuk meraikan 233 orang pekerja yang telah banyak berjasa dan sebagai tanda penghargaan atas komitmen yang telah mereka tunjukkan.

Menurut beliau, semua kakitangan turut menerima pemberian bonus sebagai galakan dan motivasi untuk mereka terus memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada tetamu yang datang ke sini.

"Semangat bekerja sebagai satu pasukan dan sokongan semua pihak terutamanya kerajaan negeri, pihak kementerian dan swasta banyak membantu memperkenalkan hotel ini yang sekaligus menjadikan perolehan pendapatan kita pada tahun lalu melebihi sasaran,” ujarnya.

Katanya, bagi tahun 2013, beliau meletakan sasaran RM18.5 juta perolehan pendapatan dan menjangkakan ia dapat dicapai sekiranya para pekerja terus menunjukkan prestasi cemerlang dan kepercayaan semua pihak memilih hotel ini untuk menginap atau membuat sebarang aktiviti atau program di sini.

 

Pergerakan Puteri Umno giat laksana program sukarelawan

Oleh: Noraini Jusoh

Pergerakan Puteri Umno Terengganu giat melaksanakan pelbagai program sukarelawan sebagai tanda keprihatinan mereka terhadap golongan yang memerlukan.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Negeri Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, terbaru pihaknya turut terlibat secara langsung dalam membantu mangsa banjir di negeri ini.

"Setelah banjir beransur pulih, Puteri Umno di setiap bahagian secara sukarela akan turut serta dalam program gotong royong bagi membersihkan rumah penduduk yang ditenggelami air.

"Kami tidak pernah membezakan fahaman politik ketika menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai menyempurnakan majlis perasmian dan penyerahan sumbangan sempena program ‘Back To School' dan Agihan Bantuan Pakaian Sekolah di Sek Keb Tok Dir, Marang, semalam.

Katanya, Pergerakan Puteri Umno juga mempunyai pasukan sukarelawan yang membantu para pelajar untuk lebih menguasai Bahasa Inggeris melalui program yang dipanggil ‘English On Wheel’.

Menurut beliau, program ‘English On Wheel’ memberi pendedahan terhadap penguasaan Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak melalui pendekatan yang lebih praktikal contohnya dalam bentuk nyanyian dan puisi bahasa Inggeris.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 kelak, pihaknya akan terus mendekati golongan muda untuk menyakinkan mereka terhadap perjuangan Barisan Nasional (BN) dan Umno adalah untuk kesejahteraan rakyatnya.

Justeru, beliau mengharapkan sokongan padu daripada orang muda dalam memastikan kepimpinan BN dan Umno terus kekal memerintah negeri ini khususnya dan Malaysia amnya.

 

Lapan sekolah di Hulu Besut ditutup hari ini


Sekolah Kebangsaan Pasir Akar antara yang ditutup

Oleh: Mohammad Ishak 

Lapan buah sekolah termasuk dua sekolah menengah yang kebanyakannya di Hulu Besut tidak dibuka untuk sesi persekolah penggal pertama 2013 sebaliknya  ditutup ekoran berlakunya banjir gelombang kedua yang melanda daerah ini sejak petang semalam sehingga pagi ini.

Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hassn berkata, tiga daripada sekolah berkenaan ditutup kerana dinaiki air, tiga lagi dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir dan dua sekolah menengah ditutup iaitu SMK Putra dan SMK Bukit Payong kerana jalan menuju ke sekolah berkenaan ditenggelami banjir yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan pagi ini.

Katanya, pihaknya telah menghubungi dan memantau keadaan banjir yang berlaku di sekolah-sekolah terbabit dan mendapati ianya terpaksa ditutup demi keselamatan pelajar dan murid.

“ Semua pentadbir sekolah berkenaan telah diminta untuk menganti hari cuti persekolahan yang diambil pada hari ini pada satu hari yang akan mereka tentukan kemudian”, katanya

 Menurutnya, seramai 3,026 murid telah mendaftar memasuki Tahun 1 di daerah Besut bermula sesi persekolah tahun ini dengan seramai 620 di kawasan Jerteh, 855 di Kota Putera, 458 di Hulu Besut, 602 di Kuala Besut dan 491 di kawasan Jabi.

Bagaimanapun, dari jumlah yang mendaftar hanya 2554 hadir pada hari ini ekoran banjir yang masih melanda daerah Besut hari ini.

Katanya, bagi kelas Pra-sekolah pula seramai 1837 telah mmendaftar pada tahun ni dengan 491 di kawasan Jabi, 381 di kawasan Kota Putera, 349 di Jerteh, 266 di Hulu besut dan 350 di Kuala besut.

Sementara itu bagi Tingkatan 1 pula seramai 3672 pelajar telah mendaftar membabitkan 1401 di sekolah-sekolah dalam kawasan Kota Putera, 779 Jertih, 552 Kuala Besut 507 Hulu Besut dan 463 di Jabi. .

Teruskan agenda nasional, perkukuh perpaduan bersama melakar masa depan gemilang negara

Perutusan Perdana Menteri Sempena Tahun Baru 2013

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia. 

 Tuan-Tuan dan Puan-Puan Rakyat Malaysia Sekalian,

 1. Alhamdullilah, beberapa jam lagi kita akan menyambut tahun baru 2013. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur kerana kita akan menyambut tahun baru ini dengan berlatarbelakangkan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah kita tempa dengan berkat usaha bersama di sepanjang Tahun 2012.


2. Tahun 2012 telah menyaksikan tamatnya fasa pertama Prakarsa Transformasi yang melibatkan lapangan Kerajaan, Ekonomi dan Politik. Kesan inisiatif ini amat positif. Di peringkat antarabangsa misalnya, angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang telah meningkat secara yang membanggakan. Laporan Bank Dunia, "Doing Business 2013" misalnya, telah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia manakala laporan "World Competitiveness Yearbook 2012" telah menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.

Rakyat Malaysia Yang DiKasihi,

3. Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk Tahun 2013, serta dalam rangka membina kejayaan yang berterusan, kita perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu. Apa yang baik dan telah terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik dengan segala kelemahan yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti gagal patut ditamatkan dan diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan usaha bagi memastikan wawasan nasional Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan tercapai, kita perlu membina di atas asas yang telahpun diletakkan melalui lembayung Dasar Transformasi Nasional.

 4. Bagi Tahun 2013, kita perlu meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan Kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan negara dengan berpandukan Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

 5. Kedua, meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial di mana setiap rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan akan memperolehnya, di mana bantuan kebajikan dan subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga, korporat dan keagamaan.

6. Ketiga, meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian seseorang individu hanya dihadkan oleh daya imaginasi, daya keusahawanan dan sejauh mana kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras, di mana kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan mendatangkan laba yang lumayan.

 7. Keempat, untuk memastikan Malaysia akan menjadi tempat terbaik untuk membina sebuah kehidupan. Tempat terbaik untuk berkeluarga dan membesarkan anak-anak, sebuah negara yang mempunyai masyarakat penyayang, sistem keluarga yang kukuh, kejiranan dan jalan yang selamat dari jenayah, alam sekitar yang lestari, sekolah dan institusi pendidikan yang berkualiti serta sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkemampuan.

Rakyat Malaysia Yang DiHormati,

8. Saya yakin dan percaya bahawa fajar kejayaan akan sentiasa menyinari Malaysia dan kehidupan rakyatnya. InsyaAllah, dengan perancangan yang rapi serta teliti, dan pelaksanaan yang berkesan, hari ini akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan kemungkinan yang berterusan.

9. Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu tercapai. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah kesanggupan melakukan sesuatu. Negara memerlukan tuan-tuan dan puan-puan. Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini suatu realiti. Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik, untuk negara dan anak-anak kita.

10. Saya dan Kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dokongan padu tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Berikanlah kami mandat yang jelas dan kami berjanji akan menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan itu dengan sebaik-baiknya bagi membina sebuah Malaysia untuk semua. Selama inipun, telah terbukti kami menepati segala janji dan komitmen yang diberi.

Rakyat Malaysia Sekalian, 

11. Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan halatuju yang jelas. Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak di bawa. Bapa-bapa dan ibu-ibu pengasas negara telah mengemudi Malaysia ke mercu jaya dengan keringat, air mata dan darah. Hari ini tanggungjawab terletak pula di bahu kita. Sama ada Malaysia terus mara ke hadapan atau berundur.

12. Malaysia sesungguhnya ialah sebuah negara di mana peluang, tanggungjawab, kemakmuran dan nilai murni dikongsi bersama oleh warga yang majmuk, dipenuhi jutaan peluang di sebalik pelbagai kemungkinan yang terbentang. Kemungkinan itu suatu rahmat. Kemungkinan itu asas aspirasi. Saya menyeru untuk kita bersama-sama mencorakkan dalam merealisasikan destini Malaysia muncul sebagai sebuah kemungkinan yang terus menyinar.

 13. Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2013 ini menjanjikan kerahmatan kepada semua rakyat Malaysia.

 Selamat Tahun Baru 2013.


Belanja RM4j naik taraf lampu limpah stadium

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi menyelesaikan masalah lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) dalam tempoh terdekat ini supaya perlawanan bola sepak Liga Malaysia dapat diadakan pada sebelah malam.

Bagaimanapun dalam tempoh tiga bulan ini, semua perlawanan mungkin berlangsung pada sebelah petang bagi memastikan kerja membaiki dan menaiktaraf lampu stadium itu dilaksanakan dengan sempurna serta mengelak daripada timbul kerja tambahan setiap kali musim baru bola sepak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan itu bagi menaik taraf lampu limpah termasuk menggantikan keempat-empat tiang lampu penjuru padang supaya pencahayaan lampu dapat memenuhi piawaian yang digariskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Kontraktor memerlukan masa tiga bulan untuk menyiapkan kerja membaik pulih lampu di stadium itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan pramusim Liga Malaysia di antara pasukan Terengganu dengan T-Team di SSINS, malam kelmarin.


ADUN Hulu Besut naik lori ziarah orang mati


YB Nawi Mohamad menumpang lori untuk ziarah penduduk yang meninggal dunia

Oleh: Mohammad Ishak 

Keperihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohammad terhadap rakyat dipuji oleh penduduk di kawasan berkenaan apabila beliau terpaksa menaik lori untuk menziarah seorang wanita yang meninggal dunia semalam.

Nawi terpaksa mendapatkan khidmat sebuah lori Pejabat Daerah Besut untuk sampai ke Kampung La, kerana laluan ke kampung berkenaan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan ringan

Ini disebabkan Hulu Besut dilanda bajir kali kedua dalam tempoh seminggu menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke tempat selamat kira-kira jam 5 petang semalam.

Kehadiran Nawi di rumah keluarga berkenaan mengejutkan kerana tidak menyangka seorang pemimpin sanggup datang ketika penduduk bersiap untuk berpindah.

Selepas menemui ahli keluarga allahyarham Kalson Abas,59, Nawi kemudian melawat kawasan yang dilanda banjir sekitar Hulu Besut.

Dalam perkembangan lain, Pejabat Daerah Besut (PDB) terpaksa menghantar petugas untuk membayar dana pakaian sekolah kepada penduduk di pusat pemindahan banjir bagi mempastikan ibu bapa dapat menggunakan wang berkenaan untuk pembiayaan sekolah anak.

“Inilah kerja-kerja yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu rakyat tanpa mengira keadaan dan keselamatan kakitangan kerajaan sebaliknya menunaikan tanggungjawab membela rakyat,” kata Nawi.

Tiada penyakit berjangkit pada musim banjir

Oleh: Suriati Ali

Tiada sebarang kes atau wabak penyakit berjangkit di kesan sepanjang kejadian banjir yang melanda negeri ini sejak minggu lepas.

 Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, maklumat berkenaan diperoleh selepas satu sesi pemeriksaan dan rawatan dilakukan ke atas 1,636 responden yang juga mangsa banjir baru-baru ini.

 Katanya, daripada jumlah itu, hanya 38 kes penyakit ringan termasuk masalah berkaitan saluran pernafasan dan radang kulit dikesan.

"Ini sahaja data yang kita peroleh berkaitan kes penyakit yang berlaku akibat banjir dan tiada sebarang wabak penyakit dikesan setakat ini," katanya..

 Hanya seketika selepas kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing awal pagi kelmarin selain semua pusat pemindahan banjir ditutup, banjir gelombang kedua kembali melanda negeri ini petang semalam.

Kali ini melibatkan sebanyak 1720 penduduk daripada 471 keluarga di Hulu Terengganu, Setiu, Besut, Kemaman dan Dungun yang terpaksa ditempatkan di 27 pusat pemindahan di daerah berkenaan berikutan hujan berterusan dan kadangkala lebat sejak awal pagi tadi.

 Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata, setakat pukul 1o pagi ini, kesemua mangsa di daerah itu ditempatkan di 27 pusat permindahan.

 Terdapat 27 jalan di Terengganu dipaksa ditutup kepada semua pengguna jalan raya, antaranya Jalan Jerangau-Jabor (Hadapan JPJ Bukit Besi) Dungun; Jalan Pengakalan Merbau/ Pelong (Kg Seri Kenangan), Setiu; Jalan Hulu Seladang, Besut dan Jalan Kuala Terengganu-Ajil (Kg Telaga Mengkudu) Hulu Terengganu.

Dalam pada itu, Dr. Anwa berkata, orang ramai dinasihatkan supaya membersihkan rumah masing-masing bagi memastikan kediaman mereka bebas daripada takungan air untuk mengelakkan nyamuk aedes daripada membiak.

 Katanya, masyarakat setempat juga digalakkan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku.

"Saya sarankan supaya ia dilakukan ketika cuaca kembali panas ketika ini sebelum hujan semula selepas ini," ujar beliau. Katanya, orang ramai yang menghidap demam, batuk-batuk atau simptom seperti cirit-birit dan muntah-muntah seeloknya segera mendapatkan rawatan bagi mencegah sebarang jangkitan kuman semasa musim banjir ini.

 

Bank Islam rancang 150 cawangan menjelang 2015

Oleh; Esah Abdullah

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merancang untuk membuka 23 buah cawangan lagi di seluruh negara, menjadikan 150 buah menjelang 2015.

Pengurus Besar (Perhubungan Strategik) Bank Islam , Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata, pembukaan cawangan baru itu akan dilakukan secara berperingkat mengikut keperluan penduduk termasuk di Sabah dan Sarawak.

``Pada masa ini Bank Islam mempunyai 127 buah cawangan di seluruh negara,’’ katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, baru-baru ini

Beliau berkata, sebuah cawangan akan dibuka iaitu di Kuala Berang pada tahun ini menjadikan cawangan ke lima selepas Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Besut setelah beroperasi sejak 2007.

Menurut beliau, pembukaan cawangan baharu itu sejajar dengan komitmen dan memperluaskan rangkaian saluran penyampaian perkhidmatan kepada seluruh masyarakat.

Beliau berbangga kerana Bank Islam turut menjadi pelanggan kepada masyarakat bukan Islam selain mempunyai pelanggan masyarakat Islam,

Sehubungan dengan itu Bank Islam sentiasa berusaha untuk menawarkan pelbagai produk baru kepada pelanggan dalam usaha memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan.

Katanya, setiap penubuhan cawangan baru akan melibatkan kos antara RM700,000 hingga RM800,000, membabitkan kelengkapan peralatan pejabat, pembangunan internet dan komunikasi.

Selain itu,  pada masa ini Bank Islam mempunyai pelanggan melebihi 3.5 juta orang di seluruh negara.

 

MB ucap Selamat Tahun Baru

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Terengganu walau di mana saja mereka berada.

Beliau berharap bagi penduduk yang ditimpa musibah kerana banjir yang melanda negeri ini, dapat bersabar menghadapi segala ujian daripada Allah s.w.t.

“Bagi pihak kerajaan negeri kita akan memberi layanan terbaik kepada semua mangsa banjir dan membantu menyediakan keperluan mereka di pusat-pusat pemindahan.

“Bancian juga sedang dijalankan oleh pihak berkenaan bagi membolehkan semua keluarga yang menjadi mangsa banjir diberi bantuan seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin),” katanya.

Menteri Besar berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri Terengganu selaras dengan moto “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Beliau berharap penduduk negeri ini bersatu padu dan mengelakkan diri daripada melakukan sebarang kegiatan yang mendatangkan perpecahan di kalangan masyarakat.

“Kita mahu rakyat hidup aman dan bantu membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan fahaman politik bagi menjadikan negara kita makmur dan sejahtera,” katanya.

 

Penduduk DUN Rhu Rendang terima bantuan persekolahan

Oleh : Amirullah Othman 

Program Bantuan Seragam Persekolahan bagi fasa pertama untuk DUN Rhu Rendang tahun 2013 telah diadakan di Dewan Utama Majllis Daerah Marang, semalam.

Program berkenaan disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan DUN RhuRendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.

Seramai 550 orang penerima bantuan dari lima kampung iaitu Kg. Seberang Marang, Kg. Rhu Muda, Kg. Bukit Gasing, Kg. Batangan dan Kg Darat Pak Chan, melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM91,600.

Turut hadir pada majlis itu ialah pemimpin masyarakat di DUN Rhu Rendang, ketua-ketua jabatan serta pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung.

Haji Nik Dir dalam ucapannya menjelaskan mengenai pelbagai bentuk bantuan yang dilsalurkan kerajaan salurkan kepada rakyat dan tiada sebab untuk mereka tidak membalas jasa pemimpin kerajaan.

“Semua rakyat hari ini seharusnya bersyukur kepada Allah s.w.t dan berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana selalu menjaga kebajikan rakyat dengan memberikan sokongan kepada BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata, bantuan yang di terima oleh setiap rakyat dalam negeri Terengganu mencakupi semua keperluan dan setiap agihan dilakukan secara adil dan saksama.

“Ini membuktikan Kerajaan BN yang memerintah negeri Terengganu dan Malaysia sangat adil kepada seluruh rakyatnya,” katanya.