Halaman

31 January 2013

Jabatan Kesihatan Terengganu lancar operasi bersepadu


Dr Anuar mengadakan sidang media

Oleh: Mohammad Ishak

Jabatan Kesihatan Terengganu melancarkan Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam peringkat negeri kali pertama yang diadakan di Besut  berjaya menutup 8 permis dan merampas 448 pelbagai jenis makanan dan mengeluarkan 17 kompaun kepada permis dan individu kerana melanggar pelbagai jenis akta berkaitan kesihatan disini.

Dalam operasi yang dijalankan secara besar-besaran membabitkan 50 penguatkuasa dan pegawai kesihatan dari seluruh negeri itu telah membuat pemeriksaan ke atas 65 permis dan tempat jualan yang turut berjaya mengutip kompaun berjumlah RM1762.93 termasuk dari operasi sekatan jalanraya yang dilakukan malam tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman memberitahu dari jumlah itu pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke 30 buah premis membabitkan restoran, gerai makan dan warung sekitar Besut dan dari jumlah itu 8 telah diarah tutup sementara kerana tidak bersih.

Selain itu, dari 6 permis jualan bahan mentah di Pasar Besar Jertih yang diperiksa sebanyak 359 jenis bahan jualan bernilai RM1230.43 telah dirampas kerana kesalahan menjual bahan yang lama dan telah rosak serta tidak meletakkan label.

Anwa berkata dari sebanyak 19 permis membabitkan stesen minyak, kedai runcit termasuk jabatan kejayaan yang diperiksa seramai 10 individu telah dikompaun kerana melanggar peraturan kawalan hasil tembakau 2004.

 “ Kebanyakan individu berkenaan didapati telah merokok di kawasan awam dan tidak memasang papan amaran dilarang merokok seperti yang diwajibkan mengikut peraturan”, katanya dalam satu Sidang Media yang diadakan di Wisma Persekutuan Kampung Raja,

 Menurut, pihaknya telah turut memerika 87 bekas dari 9 permis termasuk jabatan kerajaan yang mana 7 dari bekas yang diperiksa positif mengandungi pembiakan jejentik nyamuk.

Anwa berkata dalam satu operasi sekatan jalan raya yang diadakan di kawasan Bukit Yong dengan kerjasama polis malam tadi juga , pihaknya turut berjaya membuat rampasan keatas 89 jenis barangan termasuk makanan yang melanggari Akta Racun 1952 dan Akta Jualan dadah 1952. Antara barangan yang turut dirampas ialah sos budu dan beberapa jenis minuman kesihatan yang didapati mengandungi racun jenis sildenafil.



30 January 2013

HAJI HADI SENDIRI GANTIKAN TEMPAT IMAM YANG DIUSUNG...

Oleh: Ruslan bin Abdul Rahman

Ingat Dok Lagi...



Sama ada mahu percaya atau tidak, sama ada benci atau suka kepada perbuatan itu, terpulanglah kepada pembaca.

Setelah Imam Masjid Kampung Laut yang dituduh mendokong Umno, Haji Abdullah Khatib yang ketika itu (tahun 1991) berusia 62 tahun diusung keluar oleh penyokong Pas ketika mengimamkan solat Maghrib kejadian seterusnya ialah:

Tidak lain dan tidak bukan, Haji Abdul Hadi Awang (yang ucapannya mengkafirkan orang Umno) sendiri telah mengambil-alih tempat imam Umno itu dan mengimamkan semula solat Magrib di masjid berkenaan.

Di sini jelas bahawa beliau sendiri terlibat mengiyakan apa yang telah dilakukan oleh pengikut Pas ketika itu. Akhbar Berita Harian pada 29 Mei 1991 telah melaporkan kejadian tersebut, bermakna ia bukanlah suatu berita rekaan tetapi adalah kejadian yang benar-benar berlaku.

 Di sini menunjukkan betapa jelas orang Umno benar-benar dituduh kafir melalui amanat tersebut dan bukan hanya sekadar ucapan.



MY BEAUTIFUL MALAYSIA: TERENGGANU TIDAK KETINGGALAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

“My Beautiful Malaysia” Peringkat Negeri Terengganu bakal memeriahkan Pantai dan Dataran Batu Burok dan beberapa lokasi lain seperti pantai Kuala Ibai, Teluk Ketapang, Rhu Sepuluh dan Tasik Kenyir .

Program ini berlangsung seluruh negara pada 3 Februari ini (Ahad) di seluruh negara yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijadualkan melancarkan Program di peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, kira-kira jam 8.30 pagi.

Bagaimanapun ucapan Perdana Menteri akan disiarkan secara langsung di skrin besar di Dataran Batu Buruk kira-kira jam 10.45 pagi. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka hadir sama mewakli Kerajaan Pusat.

Menurut urusetia penganjur Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di antara aktiviti yang akan diadakan termasuklah gotong royong membersih kawasan dan penanaman anak pokok.

Di samping itu aktiviti akan diiringi persembahan SUKTRA, Kumpulan Band Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan artis jemputan. Majlis akan diakhiri Jamuan Terbuka yang disediakan oleh MBKT di Batu Buruk.




Ibu bapa terharu terima bantuan RM100

Oleh: Suriati Ali

Bantuan yang diperoleh ini dapat meringankan beban untuk membeli pakaian seragam kokurikulum Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia anak kedua Maliesa Mat Zamri, 10, yang sudah lama ingin memilikinya.

Katanya, sudah lama anak ingin memilikinya, disebabkan harganya agal mahal iaitu kira-kira RM80, dia minta anak bersabar sementara menunggu Bantuan Persekolahn RM100 diperoleh.

“Selepas ini, saya akan bawa anak ke bandar Kuala Terengganu untuk memilih sendiri pakaian yang diingini itu,” kata Mazlina Sapihi, 33, ketika ditemui Teganukita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bukit Chempaka, Kuala Terengganu.

Seramai 420 murid di sekolah itu hadir bersama ibu atau bapa masing-masing bagi menerima sumbangan RM100 yang disampaikan Penolong Pegawai Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Encik Jaafar Taib.

 Bapa pelajar, Tarmizi Sobri, 40, bantuan itu cukup besar baginya yang hanya bekerja sendiri dan memiliki lima anak masih sekolah dan tiga daripadanya berada di sekolah menengah.

 Katanya, dia tetap bersyukur dan terharu dengan apa yang diperolehi iaitu RM500 bagi lima anak walaupun di awal persekolahan lalu lebih RM1,000 dibelanjakan.

 “Saya berharap, apa yang dihulurkan kerajaan ini akan diteruskan kerana jelas dapat membantu rakyat terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

 Encik Jaafar berkata, lebih 77,000 pelajar di daerah Kuala Terengganu menerima bantuan RM100 seorang itu bermula 15 Januari lalu dan dijangka berakhir esok.

 “Saya berharap wang yang diterima itu dibelanjakan sebaik mungkin untuk keperluan anak, jika masih belum beli pakaian seragam, boleh terus mendapatkannya di mana-mana kedai,” katanya.

 Katanya, pihaknya berharap ibu bapa pelajar SKBC terus menjalinkan hubungan baik antara pihak sekolah supaya matlamat untuk mencapai sasaran Sekolah Terbilang, Murid Cemerlang’ terlaksana.

 

Terengganu penaja terbesar LTdL 2013

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Terengganu menjadi penaja utama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 apabila menyumbang RM2 juta bagi menjayakan kejohanan berbasikal paling berprestij di Asia itu yang bermula 20 Februari depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun ini pihaknya memberi tajaan terbesar untuk kejohanan berkenaan sempena dengan program Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Tahun lalu Kerajaan Terengganu memberi tajaan berjumlah RM1 juta bagi kejohanan tersebut.

“Penajaan ini adalah bagi pemegang jersi Kuning perlumbaan bagi edisi ke-18 LTdL 2013,” katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan penajaan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Le Tour de Langkawi di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerus Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Turut serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LTdL 2013 merangkap Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ab Jalil Abdullah; Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Dato’ Abu Samah Abdul Wahab dan Yang Dipertua Persatuan Berbasikal Negeri Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Sidi Ismail.

Katanya, jersi Kuning kali ini akan memaparkan tema TMT 2013 dengan jelas di mana ia memberi penjenamaan meluas untuk negeri ini dan dapat ditonton dengan jelas ketika perlumbaan di mana pendahulu perlumbaan lazimnya mendapat liputan meluas pihak media.

 “Pihak penganjur juga memberikan tiga peringkat perlumbaan diadakan di negeri ini serta ruang promosi selama tiga jam untuk siaran televisyen domestik dan antarabangsa dan yakin semua rakyat di negeri ini berpeluang menikmati aksi perlumbaan kedua terbesar di Asia ini,” katanya.

Katanya, LTdL juga telah menandatangani perjanjian dengan Eurosports serta tawaran terbaru kepada lebih 600 juta penonton seluruh dunia yang jelas memberi impak besar kepada pelancongan Terengganu.

Menurutnya, semasa LTdL 2012 telah berjaya menarik lebih sejuta penonton televisyen berbanding 800,000 pada 2011 dan ini membuktikan LTdL semakin diminati rakyat di negara ini.

 

Kemudahan IT untuk penduduk Pulau Perhentian


YB Dr A Rahman Mokhtar melawat pusat komputer SK Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak 

Murid Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian kini tidak lagi tersisih daripada mendapat maklumat dari dunia luar apabila kemudahan teknologi maklumat dan internet disediakan di sekolah berkenaan.

Kementerian Pelajaran dalam usaha memberi kemahiran dan kemudahan komunikasi kepada murid,guru dan penduduk pulau pelancongan ini menyediakan komputer di pusat kumputer sekolah itu.

Sebanyak 21 komputer dengan kemudahan internet disedikan bagi murid dan penduduk memanfaatkan teknologi berkenaan untuk urusan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, merasmikan pusat komputer berkenaan semalam.

Beliau yang juga anak jati pulau pelancongan itu berharap selain murid dan guru pusat itu juga akan dibuka kepada penduduk pulau yang sebahagian besarnya bekerja sebagai nelayan.

Katanya, kemudahan yan g disediakan kerajaan itu membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan rakyat termasuk mereka yang tinggal di pulau.

Katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh memainkan peranan mengatur jadual supaya semua golongan penduduk termasuk nelayan, warga emas dan suri rumah dapat belajar dan menggunakan kemudahan komputer dan internet yang disediakan itu.

Veteran tentera dicari

Oleh; Esah Abdullah

 Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTB) Cawangan Terengganu mengesa bekas tentera yang masih belum mendaftar dengan persatuan agar dapat berbuat demikian dengan kadar segera.

Yang Dipertuanya, Encik Alias Ab Razak berkata, sehingga kini hanya 1,500 tentera tak berpencen di seluruh negeri mendaftar sebagai ahli dan usaha sedang giat dilaksanakan untuk mengesan mereka.

“Kita menganggarkan kira-kira 10,000 bekas tentera belum lagi mendaftar sejak ia ditubuhkan pada Julai tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Sumai Hotel semalam. Hadir sama Timbalannya Encik Sharif Yasin dan Pengerusi Koperasi PVTB negeri, Encik Mohd Zaki Mohd Ali. .

Katanya, daripada jumlah itu seramai 1,200 orang dari daerah Kuala Terengganu dan bakinya membabitkan lain-lain daerah. ``Penyertaan mereka dalam berpersatuan penting bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan di samping dapat mengumpul kembali melalui pelbagai aktiviti yang akan dijalankan,’’ katanya.

Menurutnya, aktiviti pertama pada tahun ini penyampaian bantuan one-off sebanyak RM1,000 seorang kepada ahli yang telah mendaftar yang akan disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 5 Februari ini untuk ahli daerah Kuala Terengganu.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Chik pula akan mengagihkan pemberian itu bagi ahli di Kemaman dan Dungun pada 16 Februari manakala daerah lain akan diadakan dalam waktu terdekat secara berperingkat.

``Sehubungan dengan itu saya menyeru kepada bekas tentera tidak berpencen dapat mendaftar bagi membolehkan bantuan one-off itu dapat disalurkan kepada mereka,’’ ujarnya.

Katanya, mereka yang ingin mendaftar boleh menghubungi beliau di talian 0109177791, Sharif (013-9262034) dan Mohd Zaki (013-9317221) untuk mendapatkan borang atau keterangan lanjut dan setiap ahli akan dikenakan yuran pendaftaran RM10 dan ahli seumur hidup RM50.

Selain itu katanya, persatuan juga sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan sara hidup bagi meningkatkan taraf ekonomi bekas tentera tidak berpencen kerana sebahagian besar mereka bekerja sendiri
Menurut beliau PVTB di peringkat kebangsaan di bawah naungan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi, manakala di peringkat negeri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Selesai isu solat dua kariah ikut cara agama : Pesuruhjaya Agama

Dato' Haji Rizali Salleh
Oleh: Aida Abd Rahman

Masalah solat Jumaat dua kariah di 11 kampung di negeri ini yang berterusan sejak 31 tahun lalu harus diselesaikan dengan cara agama, walaupun yang memulakan percanggahan itu adalah orang politik, kata Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Dato’ Haji Mohd Rozali Salleh.

“Sampai bila kita harus membiarkannya , sudah 31 tahun dan memasuki 32 tahun, malah ada di kalangan mereka sudah mati. Tidakkah orang agama harus melihat ia sebagai isu agama? Dan ia hendaklah diselesaikan dengan cara agama. Kembali kepada orang agama, kembali kepada ketua agama,” katanya ketika berucap sempena Program Diskusi Dilema dan perjuangan Islam di Malaysia, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 3,000 peserta di kalangan imam, bilal dan guru Kafa seluruh Terengganu menyertai program diskusi anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) bersama Yayasan Islam Terengganu dan Maidam itu.

Dato’ Haji Rozali berkata, semua peserta yang hadir ke diskusi itu boleh dianggap sebagai pendakwah dan juga pemimpin dalam ruang lingkup masing-masing, haruslah tidak membiarkan perkara yang bertentangan dengan akidah dan agama berlarutan dalam rumah, kampung dan juga persekitaran tanpa sebarang tindakan.

Beliau berkata,sekiranya tidak dapat diselesaikan dengan tindakan dan perbuatan, sekurang-kurangnya kesilapan itu diperbetulkan menerusi keikhlasan doa dan solat yang dipohon dari Allah s.w.t.

“Kita tidak mampu menarik telinga dia, kita tidak mampu berhujah atas pentas kerana kita tiada ruang, kita bukan orang politik, tetapi kita berdoa dan sesungguhnya doa seorang mukmin kepada orang mukmin yang lain, tanpa pengetahuannya , doa untuk kebaikannya, doa itu akan dimakbul Allah s.w.t,” katanya.

Menurutnya, doa menjadi senjata paling ampuh dan hebat di kalangan umat Islam itu jarang diamalkan, melainkan lebih ramai bertindak mengikut emosi dengan melakukan tindakan di luar kawalan, sama ada bersekongkol, menyokong dan juga menentang dengan menggunakan fizikal.

Selain itu, beliau mengajak semua umat Islam di negeri ini sentiasa bermuhasabah dan bersyukur dengan nikmat yang ada di sekeliling kerana kesyukuran yang dipanjatkan kepada Ilahi mampu memberi keberkatan dan rezeki yang lebih berganda.

“Selain harus sentiasa bersyukur dengan nikmat, antara perkara yang sering umat terlupa, tidak tahu atau tidak faham dalam kehidupan ini, kedua adalah bersatu itu hebat, berpecah azab; ketiga, cinta negara (tanah air) adalah sebahagian daripada iman dan keempat, kepimpinan di mana kita semua adalah pemimpin. 

Katanya, ramai yang terlupa untuk mensyukuri rezeki dan nikmat yang ada di sekeliling termasuk nikmat yang diperolehi menerusi kemampuan berkeluarga, bekerja dan mendapat bantuan daripada pentadbir , sehinggakan sanggup menyalahkan orang lain apabila tidak berpuas hati dan mendapat sesuatu yang dihajati.


Kerajaan rugi besar akibat fitnah

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan yang besar setiap tahun bagi menganjurkan majlis-majlis penerangan di seluruh negara bagi menjelaskan pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan dan pemimpin.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong (gambar), berkata bukan itu saja banyak masa dan tenaga juga dibazirkan kerana masalah sama yang dilakukan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kebelakangan ini banyak fitnah dan fakta tidak betul sengaja disebarkan pihak berkenaan melalui media baru dan pelbagai medium yang ada bagi menjatuhkan pemimpin dan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Banyak negara menjadi kacau bilau apabila banyak maklumat yang tidak tepat mengenai kerajaan negara berkenaan disebarkan secara meluas.

“Bila huru hara dan kekacauan berlaku, keadaan politik tidak stabil dan rakyat negara berkenaan yang akan menanggung kerugian,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Program Komunikasi Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan & Pelancaran Program Bahasa Radio Malaysia Terengganu fm di TfM, petang semalam



Program anjuran Unit Komunikasi Negeri dengan kerjasama TfM itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak, khususnya pembangkang supaya menghentikan kegiatan tidak sihat itu bagi menjimatkan wang kerajaan, masa dan tenaga pemimpin kerajaan.

Katanya, kerajaan perlu mengadakan majlis penerangan bagi memberikan gambaran sebenar kepada rakyat berhubung sesuatu isu yang dilemparkan kepada kerajaan.

Menurutnya, jika tiada fitnah dan tuduhan buruk ke atas kerajaan dan pemimpin peruntukan bagi majlis berkenaan boleh diagihkan kepada tujuan lain seperti program kesejahteraan rakyat.





Presiden Pas bertanggungjawab lahir golongan pelampau

Zainon Ismail
Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail meminta Presiden Pas, Dato’ Sri Haji Abdul Hadi Awang supaya bertindak segera menarik balik gelaran pelampau yang merujuk kepada penyokong Pas menerusi tulisan beliau dalam buku Amanat Haji Hadi.

Menurutnya, perkataan pelampau di muka surat 55 perenggan ketiga disifatkan sebagai menghina penyokong Pas termasuk dia sendiri dan mereka yang terkorban dalam peristiwa Memali.

"Antara ayat yang ditulis beliau dalam buku ini, `tindakan keterlaluan oleh segelintir pelampau Pas dalam perkara yang menyebabkan mereka disingkirkan daripada Pas atau melarikan diri daripada Pas’,” katanya yang menggunakan nama pena, C.N.Al-Afghani ketika menghadiri program diskusi ‘Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia’ di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Zainon, Abdul Hadi seakan terlepas pandang bertindak menggunakan perkataan yang keterlaluan itu, sedangkan dalam setiap ajaran, kuliah dan kertas kerja yang disampaikan beliau di serata tempat, walaupun tidak menyebut Umno itu kafir, beliau sudah memberi gambaran seolah-olah Umno itu kafir.

 “Jadi ahli-ahli Pas seperti saya, faham daripada tafsiran yang diberikan oleh mereka (Abdul Hadi dan pemimpin Pas bertaraf ulama ) bahawa Umno itu kafir dan kami faham selama-lamanya bahawa Umno itu kafir.

 "Jadi tidak wajar beliau menggunakan perkataan pelampau Pas, kerana jika kami pelampau Pas, yang ajar, latih dan tarbiyah kami ialah beliau sendiri sebagai pemimpin Pas. Jadi, saya harap beliau dapat tarik balik perkataan pelampau itu. Bukan sengaja mereka (pengikut PAS) hendak amalkan sikap keras terhadap pemerintah yakni UMNO, melainkan mereka ditarbiyah oleh pemimpin PAS sendiri," katanya.

 Beliau berkata, jika Abdul Hadi enggan menarik balik gelaran pelampau itu, beliau perlu bertanggungjawab kerana melahirkan golongan pelampau.