Halaman

28 February 2013

BN mampu tawan Marang

Oleh: Suriati Ali

 Mantan Ahli Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar percaya Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 jika pengundi sepakat memberi laluan untuk perubahan.

 Katanya, malah, penduduk di kawasan Dun Rhu Rendang juga bakal menikmati perubahan dari aspek kebajikan dan pembangunan yang lebih baik berbanding selama kira-kira 30 tahun kawasan itu diwakili Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

 “Sudah tiba masanya pengundi di kawasan itu memberi peluang kepada BN bagi membela nasib mereka agar kerajaan dapat melakukan perubahan demi kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Dun Rhu Rendang,” katanya

"Kerajaan negeri ada memberitahu, sekiranya BN menang bagi peringkat Parlimen dan Dun Rhu Rendang ini, 1000 unit rumah akan dibina bagi kawasan itu,” katanya kepada kepada media, baru-baru ini.

 Katanya, pelbagai pembangunan berlaku di Marang. Contohnya kemudahan infrastruktur seperti sekolah, jalan raya, balai raya, masjid, surau baru, bangunan baru termasuk kem askar dan juga Institut Latihan Perindustrian.

 Daripada segi fizikal, pembangunannya memang `tip-top’ di Parlimen Marang yang turut menaikkan lagi industri desa dan menjana ekonomi penduduk kampung,” katanya.

 Faktor keempat, dari segi bantuan dan kebajikan BN kepada rakyat juga diagihkan tanpa mengira waktu malah, terdapat dana yang diberikan kepada rakyat yang kurang berkemampuan tanpa dijangka. “Seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, dana hari raya, dana bakti remaja.

 

Rizuan terbaik Malaysia di laman sendiri

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelumba kelahiran Terengganu, Mohd Nur Rizuan Zainal yang mewakili Pasukan Kebangsaan mencuri perhatian peminat sukan berbasikal apabila melonjak di tangga ke-12 untuk muncul pelumba terbaik Malaysia ketika persaingan peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013, semalam.

Rizuan bergandingan dengan Mohamad Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rusli, Muhamad Rauf Nur Misbah, Zulhimie Afif Ahmad Zamri dan Yusrizal Usoff mewakili pasukan kebangsaan di bawah bimbingan jurulatih, Omar Saad.

Perlumbaan sejauh 149.8 kilometer dari Kuantan menghala ke daerah kelahirannya di Dungun itu seakan suntikan semangat buat Rizuan, sekaligus mengenepikan dua pelumba pecut handalan berbasikal lebuh raya negara, Mohd Harrif salleh (Terengganu Cycling Team) dan Anuar Manan (Synergy Baku Cycling Project).

Rekod terbaik yang dicatat sepanjang LtDL 2013 bagi peringkat ketujuh itu juga meletakkan bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Omar itu sebagai pelumba Asia ketiga terbaik.

Manakala Mohd Harrif berada ditangga ke 13 yang juga keempat terbaik Asia), diikuti Mohamad Saufi Mat Senan di kedudukan ke-22 (kelapan Asia), manakala Anuar di tangga ke-25 (kesebelas Asia).

 Pelumba Itali, Andrea Guardini dari Astana Pro Team kekal pendahulu keseluruhan di peringkat ketujuh dari keseluruhan125 pelumba yang mewakili 22 pasukan seluruh dunia.





27 February 2013

Pandu Puteri adakan perkhemahan

Oleh; Esah Abdullah

Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) akan mengadakan perkhemahan peringkat negeri di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Telaga Batin, Kuala Terengganu mulai esok.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPMCT, Puan Hajah Wan Hasnah Abdullah berkata, perkhemahan yang berlangsung empat hari itu berakhir 3 Mac akan disertai 600 ahli Remaja Puteri dan Renjer Puteri sekolah menengah di seluruh negeri.

Katanya, sepanjang perkhemahan pelbagai aktiviti diadakan seperti motivasi, ujian lencana kecekapan pandu puteri, ujian sijil pertolongan cemas dan ujian sijil juru masak khusus untuk guru guru.

``Selain itu turut pelbagai aktiviti permainan dan kemahiran seperti language game, permainan kim, kraftangan, simpunan dan masakan rimba. serta aktiviti asak seperti larian berhalangan dan paintball,'' ujarnya.

Menurut beliau, perkhemahan ini merupakan program tahunan bertujuan membantu melahirkan sebuah pasukan berdisiplin, mempunyai semangat juang yang tinggi serta memupuk keseimbangan dalam akademik dan kokurikulum.

Selain itu, peserta dapat memupuk semangat jati diri, saling bekerjasama, berdikari serta meningkatkan motivasi ke arah pembentukan sahsiah diri.

Perasmian penutupan perkhemhan itu akan dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman

KTNZ terima ‘pontoon’ bernilai RM694,000

Oleh: Noraini Jusoh

Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) secara rasmi telah menerima ‘pontoon’ atau pelantar terapung yang bernilai RM694,000 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu majlis ringkas, di kompleks terbabit yang terletak di Tanjung Bunut, Manir, hari ini.


Majlis penyerahan ‘pontoon’ dilakukan oleh Penolong Jurutera, Kamarudin Alwi yang mewakili Jurutera Daerah JKR Kuala Terengganu, Haji Md Zaid Ali dengan memberikan dokumen penyerahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik.

Kamarudin berkata, projek pembinaan ‘pontoon’ di jeti KTNZ bermula pada 29 Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 31 Disember.

"Pembinaan ‘pontoon’ yang terapung dan bersifat mesra pengguna ini dilaksanakan bagi menjamin keselesaan pengguna terutamanya yang menggunakan pengangkutan air untuk ke kompleks ini.

"Dengan adanya ‘pontoon’ ini juga akan memudahkan aktiviti keluar masuk bot ke jeti KTNZ,” ujarnya.

Sementara itu, Azmi berkata, kewujudan ‘pontoon’ juga dapat memperkukuh KTNZ supaya lebih menarik dengan membuka peluang kepada pelancong untuk datang ke kompleks tersebut melalui jalan sungai samada mengunakan khidmat ‘River Cruise’ yang disediakan Taman Tamadun Islam atau bot-bot persendirian.

Kompleks yang dibangunkan YPU itu merupakan pusat utama rujukan, pameran, demonstrasi, bimbingan rekaan dan penyelidikan pembangunan fabrik berasaskan songket.

 

Penduduk Hulu Besut masih terputus hubungan dengan Bandar Jertih














Masjid Hadhiri Bandar Jertih

Oleh: Mohammad Ishak 

Lebih 30,000 penduduk di Hulu Besut masih terputus hubungan dengan Bandar Jetih apabila laluan ke kawasan itu masih terputus kerana Kampung Bekok ditengelami air sedalam lima meter dan semua kenderaan tidak boleh melaluinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad, bersama kakitangan Pejabat Daerah Besut gagal untuk pergi ke kawasan berkenaan bagi meninjau perkembangan banjir kerana air dalam.
Seramai 200 penduduk Kampung La, yang terjejas teruk dengan banjir tahun ini masih berada di pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La, walapun air di kampung itu sudah surut tengahhari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung La, Zakaria Musa berkata,tiga rumah penduduk kampung itu dilaporkan rosak teruk selepas dihanyutkan air dalam kejadian banjir yang melanda kampung itu semalam.

Rumah terbabit ialah milik Abdul Razak Abas, 39, Zakaria Ibrahim, 45 dan Mat Daud Osman 42, dihanyutkan arus deras kira-kira jam 5 petang semalam.

Kejadian itu berlaku ketika semua penghuni tidak ada di rumah kerana berpindah di pusat pemindahan banjir di Masjid Kampung La, terletak kira-kira dua kilometer dari rumah terbabit.

Katanya, ketiga-tiga rumah terbabit hanya separuh sahaja dihanyutkan dan masih ada yang kekal di tapak asal.

Menurutnya, ada antara rumah berkenaan hanut di bahagian dapur dan bahagian tengah serta bahagian depan rumah selepas banjir mengelamkan kampung itu kira-kira jam 12 tengahari kelmarin.

"Kejadian  banjir yang berlaku di kampung itu hampir sama dengan banjir 2000 apabila tujuh rumah di kampung itu musnah dihanyutkan air," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapu,katanya, beliau bersyukur kerana tidak ada kemalangan nyawa berlaku walaupun banjir besar melanda kampung itu kelmarin.

Menurutnya, kejadian banjir yang diluar jangkaan itu menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke Masjid Kampung La yang dijadikan pusat pemindahan banjir.

Penerima BR1M kesal dengan sikap pemimpin Pas

Oleh: Suriati Ali 

“Saya cukup terasa apabila mendengar berita pemimpin Pas menyamakan penerima Batuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan tertentu dan bodoh.

 “Tidak wajar mereka menghina rakyat seumpama itu kerana kami sebagai penerima yang kebanyakannya berpendapatan rendah mempunyai hati dan perasaan,” kata seorang penerima, Puan Zarina Abdullah, 45 dari Kampung Batu Rakit.


Dia antara lebih 700 penerima bagi kawasan Parlimen Setiu hadir pada Majlis Pengagihan BR1M di Dewan Sivik, Baru Rakit, hari ini.

Puan Zarina, berkata apabila difikirkan balik, mungkin pemimpin itu iri hati dengan kerajaan di mana mampu melaksanakan apa jua kebajikan untuk rakyat dan tidak bagi pembangkang.

 Seorang lagi penerima, Razak Mamat, 55, memberitahu pelik dengan sikap pemimpin pembangkang kerana sanggup menghina penerima BR1M sedangkan pemimpin itu sendiri mengakui dirinya memiliki ilmu agama tinggi dan bergelar tok guru.

“Sebagai orang yang berilmu, sepatutnya tahu kaedah menegur jika menyedari mana-mana pemimpin atau rakyat melakukan kesalahan,” katanya.

 Suhadi Ibrahim, 35, berkata jutaaan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak jemu-jemu membantu rakyat dalam pelbagai aspek.

 “Apa yang diterima ini cukup bermakna buat keluarga terutama bagi isteri dan anak-anak membeli barangan dapur serta keperluan sekolah.

 “Jika saya bekerja seminggu pun belum tentu dapat wang sebanyak ini, kerana gaji yang dibayarkan majikan hanya RM50 sehari,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

 

Pas mula bertindak ganas

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Berita mengenai seorang bekas penyokong tegar Pas dari Seberang Jerong, Marang yang menerima ugutan bunuh daripada penyokong tegar Pas, semalam bukannya suatu kejadian yang mengejutkan.

Mangsa, Ramli Abdullah, 53, diugut kerana kini dia dan keluarganya telah menyertai Umno akibat sudah bosan dengan perjuangan parti itu yang sudah hilang arah dan menyeleweng daripada perjuangan asalnya.

Malah, itulah gambaran sebenar sesetengah ahli Pas di daerah tersebut yang merupakan tempat tinggal Presiden parti itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini, banyak kejadian bergaduh yang dicetus penyokong Pas dan penyokong Umno diugut dan dicederakan dalam kempen pilihan raya sudah dilaporkan di daerah itu sejak dahulu lagi.

Semasa proses pilihan raya pula, pengundi di daerah Marang dihalang daripada menunaikan tanggungajwab mereka oleh penyokong-penyokong tegar parti Pas.

Terdapat beberapa kes juga di daerah itu, bas yang membawa pengundi dari luar daerah yang mahu membuang undi di Marang disekat dan dihalang, menyebabkan berlaku ketegangan hingga memaksa campur tangan pihak keselamatan.

Di beberapa kawasan di daerah Marang juga penyokong Umno tidak berpeluang untuk memasang bendera dan poster pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana di ‘kawal’ oleh samseng-samseng parti tersebut.

Sedangkan penyokong Pas boleh memasang bendera dan poster pemimpin mereka di mana-mana saja walaupun di kawasan kubu kuat Umno, sesuka hati mereka.

Penyokong Umno tidak pernah menghalang ahli-ahli Pas memasang bendera, hatta di sepanjang jambatan sekalipun hinggakan menganggu pandangan pengguna jalan raya atas semangat ‘setiakawan’.

Penyokong Umno sentiasa mengamalkan sikap ‘gentleman’ dalam berkempen kerana sedar negara kita mengamalkan proses demokrasi, tetapi ia tidak berlaku di kalangan penyokong dan ahli Pas.

Penyokong tegar Pas ‘bersultan di mata beraja di hati’ dan tidak mengendahkan orang lain dalam apa jua tindakan mereka. Apakah sikap seumpama ini diajar oleh islam?.

Di mana letaknya kesusilaan dan nilai-nilai murni sebagai umat islam di kalangan ahli-ahli dan penyokong Pas? Itulah beza antara Pas dan Umno....

.

Larangan perang poster di kawasan MBKT

Oleh: Noraini Jusoh

Berdasarkan persetujuan bersama antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan parti-parti politik dalam kawasan MBKT, perang poster tidak boleh dilakukan di kawasan MBKT.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, sebarang pemasangan/ penggantungan bendera/ kain rentang/ banting/ poster parti-parti politik adalah tidak dibenarkan di tempat-tempat yang telah ditentukan.

"Antaranya di semua bulatan, persimpangan-persimpangan lampu isyarat serta jambatan-jambatan.


"Selain itu, larangan pemasangan poster parti-parti politik juga tidak dibenarkan di masjid atau tempat-tempat ibadat, premis-premis milik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta tiang-tiang lampu jalan,” ujarnya.

 Katanya, penguatakuasaan larangan adalah berjalan serta merta dari tarikh 13 Februari 2013.

 

Terengganu perintis tawar bidang Kejuruteraan Perubatan Bio

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu merintis usaha menawarkan kursus pengajian dalam bidang Kejuruteraan Perubatan Bio apabila Universiti Sains dan Teknologi Jodan (JUST) bersetuju membuka kampus cawangannya di Besut, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selain kursus itu, tiga lagi ialah Perubatan, Farmasi dan Kejururawatan bagi peringkat ijazah.

"JUST bersetuju membuka kampus cawangannya di Terengganu dan kerajaan negeri pada peringkat awal membenarkan penggunaan bangunan Kompleks Imtiaz Besut  yang dilengkapi asrama di Bukit Keluang, Besut di mana boleh menampung sehingga 700 pelajar.

 "Kesediaan JUST menyediakan kursus pengajian Kejuruteraan Perubatan Bio yang pertama di negara ini juga sejajar dengan program pembangunan dalam sektor industri bio teknologi di kawasan industri Kertih  membabitkan beberapa pelabur besar luar negara yang akan beroperasi di situ tidak lama lagi.

"Malah, menjelang 2015, Terengganu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya sehingga 1,500 tenaga kerja mahir dalam bidang bio teknologi untuk menyokong pembangunan industri itu di Kertih," katanya di  majlis makan malam meraikan rombongan JUST di Hotel Primula, baru-baru ini.

Hadir sama Naib Presiden JUST, Prof Dr Ahmed M Elbetieha yang juga Profesor Pembangunan dan Molekular Genetik, Pengarah Yayasan Terenngganu, Encik Zakaria Yusof dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Haji Razali Mahmud.

Menteri Besar berkata, persetujuan JUST membuka kampus cawangannya di negeri ini hasil kerjasama dan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama antara Kerajaan Terengganu dengan universiti berkenaan pada Ogos lalu.

Sehubungan itu, JUST memperuntukkan 50 tempat untuk pelajar tajaan Yayasan Terengganu mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di universiti itu di Jordan dan seramai 30 pelajar kumpulan pertama sudah dihantar tahun lalu.

“Seperti kursus pengajian perubatan tempoh pengajian selama enam tahun dengan tiga tahun belajar di JUST di Jordan manakala bakinya di kampus cawangan di JUST Terengganu.

 "Ada juga kursus yang berjalan selama lima tahun dengan tempoh pengajian tiga tahun di JUST Jordan dan dua tahun di JUST Terengganu dan cara ini akan menjimatkan kos pembiayaan pengajian pelajar tajaan YT yang dihantar ke luar negara terutama dalam bidang perubatan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan kelulusan pembukaan kampus cawangan JUST Terengganu di Besut.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 900 pelajar Malaysia yang sebahagian besar mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di JUST.

 

Delegasi JUST kagumi Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Delegasi dari Universiti Sains dan Teknologi Jordan (JUST) kagum dengan dasar kerajaan negeri dalam melaksanakan perancangan dan strategi di sektor pendidikan bagi melahirkan generasi yang berakhlak tinggi serta cemerlang khususnya dalam bidang agama.

Delegasi dari Jordan University of Science and Technology sedang mendengar taklimat di Pejabat Unit Komunikasi Kerajaan Terengganu
Naib Presiden JUST, Prof Ahmed M Elbetieha, berkata secara umumnya beliau dan rombongan juga amat berbesar hati melihat komitmen pemimpin negeri yang sanggup memperuntukkan perbelanjaan besar bagi memastikan kejayaan di bidang itu.

“Bukan sahaja kagum dan berbangga dengan amalan serta cara persembahan dalam bidang pendidikan, kami juga seronok berada di negeri ini, di mana negeri ini begitu cantik, bersih, selain orangnya juga ramah. Malah, mereka juga suka memberi senyuman apabila bertemu, padahal mereka tidak mengenali siapa kita.

“Selain persekitaran menarik dan bersih, masjid juga terjaga dengan baik dan rapi, ” kata beliau dalam lawatan ke Pejabat unit Komunikasi negeri (Ukom), hari ini.

Hadir sama, Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan Penolong Ketua Pengarah, Haji Mohd Kamal Abdullah.

Prof Ahmed menjelaskan bahawa kunjungan ke negeri ini sejak 22 Februari lalu membuktikan bahawa apa yang digambarkan mengenai Terengganu sebuah negeri yang menarik dan masyarakatnya yang ramah melayani tetamu amat tepat apabila mereka berkesempatan merasai pengalaman itu.

Katanya, lawatan ke beberapa tempat menarik termasuk pusat pendidikan di negeri ini membolehkan mereka melihat sendiri perkembangan dan amalan kerajaan negeri dalam menerajui bidang pendidikan dan juga pelancongan yang menjadi pemangkin utama kepada sumber ekonomi negeri.

Rombongan pertama dari luar negara yang melawat Ukom itu turut menerima cenderahati kenang-kenangan.

Mereka sudah melawat Imtiaz Besut dan Taman Tamadun Islam sebelum meneruskan kunjungan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA).