Halaman

08 April 2013

Teganukita 78

SPR Terengganu buka lapan PPC

Oleh: Suriati Ali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuka lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) di Terengganu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 20 April depan.

 Pusat berkenaan ialah Pejabat Daerah Besut bagi Parlimen Besut; Pejabat Daerah Setiu (Setiu); Majlis Sukan Negeri Terengganu (Kuala Nerus); Pejabat Daerah Marang (Marang) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu (Hulu Terengganu).

 PPC lain ialah Pejabat Daerah Dungun bagi Parlimen Dungun, Stadium Negeri Kuala Terengganu (Kuala Terengganu) dan Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (Kemaman).

Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata pada hari pernamaan calon, setiap bakal calon perlu menyerahkan kertas penamaan calon masing-masing kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.

 “Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik sahaja semua urusan selesai,” katanya.

 Beliau berkata, pihaknya melantik 10,821 petugas di negeri ini bagi menguruskan proses pilihan raya melibatkan 354 pusat mengundi menjelang PRU13.

 “Pihak kami menjangkakan aktiviti pilihan raya kali ini lebih rancak dan `panas’ dapat dikendalikan dengan lancar dan sempurna oleh kesemua petugas dilantik.

 “Saya percaya mereka dapat memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing kerana sebelum ini sudah menghadiri taklimat secara terperinci,” katanya

 Katanya, SPR menasihatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya tidak pilih kasih dalam mengambil sebarang tindakan kepada parti politik bagi mengelak wujudnya ketegangan dalam masyarakat.

 “Sebagai contoh, isu pemasangan bendera parti politik di luar tempoh kempen perlu ditangani dengan adil dan sebarang tindakan perlu seragam kepada semua parti politik.

 "Janganlah pula parti A boleh, parti B tak boleh. Oleh itu, SPR nasihat PBT supaya laksanakan peraturan kecil yang tertakluk dalam setiap PBT bagi mengatasi masalah ini," katanya.

 Beliau berkata, pihaknya akan melantik dua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi setiap kawasan Parlimen untuk memantau perkara ini sebaik sahaja selesai proses penamaan calon.

 “Pasukan penguatkuasa ini terdiri dari sekurang-kurangnya lima anggota iaitu wakil PBT, wakil polis dan wakil-wakil dari parti yang bertanding,” katanya.

 

07 April 2013

UMAT ISLAM TERKEJUT DENGAN KENYATAAN HAJI HADI BAHAWA SEMBELIHAN ORANG KRISTIAN BOLEH DIMAKAN.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Umat Islam terkejut mendengar kenyataan Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang bahawa sembelihan orang Krisitian dan juga Yahudi boleh dimakan.

Kandungan kata-kata itu terkandung dalam rakaman video yang dibuat sewaktu Haji Hadi menjawab soalan wartawan mengenai kalimah Allah untuk orang bukan Islam, khususnya Kristian.

Wartawan ada menyebut, bukankah bukan Islam tidak boleh guna kalimah Allah sebab “God’ itu dalam Kristian lain..tapi Haji Hadi menjawab boleh dengan alasan....

“Boleh, sebab itu kita (umat Islam) boleh makan sembelihan orang Kristian, sembelihan Yahudi boleh dimakan..kenapa? mereka nak sembelih mereka sebut Allah.”

MINDA PONDOK KELANTAN CABAR NIK AZIZ DAN HADI DEBAT SEGERA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Pengerusi Minda Pondok Pondok Negeri Kelantan, Zainal Abidin Awang mencabar Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk berdebat ekoran banyak kenyataan pemimpin Pas itu yang semakin menyalahi akidah Islam.

Beliau telah membuat cabaran terbuka untuk berdebat dengan Nik Abdul Aziz tetapi setakat ini Mursyidul Am Pas itu hanya membisu dan tidak memberikan sebarang reaksi.

Di antara kenyataan Nik Aziz termasuklah boleh berkawan dengan syaitan, Nabi Muhamad lahirnya sama sahaja dengan Mat Mat di Kampung,sembahyang orang Umno tidak mendapat pahala, boleh beri kalimah Allah untuk agama lain guna sama dan banyak lagi.

Katanya, Nik Aziz sudah jauh tersesat dari ajaran Islam.

Menurutnya, Minda Pondok turut mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi untuk tujuan sama tetapi ternyata masih lagi sepi oleh kedua-dua pemimpin utama Pas yang telah banyak membuat kenyataan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Antara kenyataan Hadi yang menyeleweng dan merosakkan aqidah ialah bahawa sembelihan orang Kristian boleh dimakan sepertimana direkodkan oleh wartawan melalui video.

Kenyataan Haji Hadi juga menyebut bahawa orang Kristian dan bukan Islam boleh menggunakan nama Allah.

Malah katanya, begitu banyak kenyataan Presiden Pas itu dari dulu hingga sekarang yang bertentangan dengan ajaran Islam dan perlu diperbetulkan

Beliau berharap, Pas dan kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk berdebat seberapa segera agar tidak terus dalam kesesatan kerana soal akidah adalah penting dalam Islam.

BN menang, RM1000 untuk pasangan muda pertama kali berkahwin

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di bawah portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan wanita negeri berdasarkan kemampuan bukan sesuka hati kata pengerusinya, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Menurut beliau, berdasarkan manifesto yang dirancang, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas serta dana hari raya akan dinaikkan sesuai dengan kemampuan kewangan kerajaan dan keadaan semasa.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) rangka manifesto berdasarkan kemampuan seperti kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’ dan bukannya seperti pembangkang yang janji bermacam-macam tapi belum tentu dapat tunaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peyampaian Wang Dana Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Tambah Dato’ Yahya, antara cadangan di bawah portfolio yang dipegangnya juga, sekiranya BN terus mendapat mandat untuk memerintah Terengganu selepas PRU13 nanti, pasangan muda yang pertama kali berkahwin akan diberikan wang bantuan sebanyak RM1000 dan RM500 akan diberikan kepada mereka yang melahirkan anak pertama.

Katanya, itu antara kandungan manifesto tambahan BN Terengganu yang akan diumumkan Pengerusi BN negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam masa terdekat bagi menghadapi PRU13.

 

Waspada dengan muslihat pembangkang

Oleh; Esah Abdullah

Jentera wanita Jalinan Rakyat (JR) yang berada di setiap peti undi perlu berhati-hati dengan muslihat parti pembangkang yang menyusup masuk ke kampung-kampung membawa cerita keburukan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Puan Hajah Wan Maznah Wan Nong berkata, mereka guna pelbagai helah semata-mata untuk mendekati pengundi di peringkat kampung bagi meraih simpati.

“Ada yang cuba berselindungan disebalik peralatan pemeriksaan kesihatan semata-mata untuk mendekati golongan warga emas,” katanya.

Beliau meminta penduduk kampung tidak terpengaruh walau pun diberi buah tangan termasuk gula, gandum dan minyak masak.

“Setakat ini, kita belum menerima kes-kes yang besar membabitkan golongan muslimah mereka menganggu pengundi warga emas tapi mengingatkan JR sentiasa pantau keadaan di kampung masing-masing,” katanya.

Menurut Puan Hajah Wan Maznah, 10 orang JR ditugaskan disetiap kampung di seluruh negeri bagi memantau dan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.

Setakat ini beliau berpuas hati dan yakin peranan JR di peringkat akar umbi begitu berkesan dan mampu menyumbang kepada kejayaan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

KOTA PUTERA KOTA ILMU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Putera adalah merupakan ‘Kota Ilmu” demikian ditegaskan oleh Haji Ahmad Pahemi Haji Yusof yang mewakili kawasan itu pada penggal pilihan raya ke 12. Ini memandangkan katanya pelbagai pusat pendidikan terdapat di Dun berkenaan antaranya ialah:

- Universiti Sultan Zainal Abidin,Unisza.
- Taman Ilmu
- Dua buah MRSM, termasuk MRSM Ulul Albab
- Sekolah Imtiaz Besut
- Kolej Vokasional
- Sekolah Menengah Teknik Besut
- Pusat Latihan Ehsan
- Pusat Giat Mara
- Pusat Desa Ukiran Kayu
- Institut Kemahiran Mara (IKM)
- Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)


Di samping itu dua buah masjid baru yang selesa juga telah siap dibina iaitu di Kampung Limbongan dan Gong Bayor di samping masjid Taman Ilmu di Tembila.

Manifesto BN tidak pinggir orang muda

Oleh: Sutera Biru

Barisan Nasional (BN) tidak pernah lupa kepada golongan belia. Dalam pembentangan 17 perkara utama aku janji turut memberi tumpuan kepada golongan belia supaya bakal peneraju negara di masa depan itu tidak dipinggirkan.



Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, platform yang sesuai akan disediakan untuk golongan belia bagi menunjukkan bakat serta pemikiran mereka bagi menyuarakan kemahuan dan hasrat. 

"Golongan belia mewakili dua pertiga daripada jumlah penduduk negara dan suara mereka tidak boleh diketepikan dan dipinggirkan.

"Kita akan terus menyediakan platform untuk belia menunjukkan bakat dan pemikiran mereka, menyuarakan kemahuan dan cita-cita mereka, memenuhi hasrat dan aspirasi mereka dan mencipta Jaguh Wilayah dan Global," katanya dalam Majlis Pelancaran Manifesto PRU13 BN di Stadium Putra Bukit Jalil yang turut dibanjiri lebih 50,000 ahli dan kepimpinan BN, malam tadi.

Perdana Menteri menerusi manifesto yang membawa tema ' Menepati Janji Membawa Harapan' itu menyenaraikan aku janji yang ke-11 (Memenuhi Aspirasi Belia) dengan membuka ruang yang luas bagi mereka yang berminat menerokai bidang usaha niaga komersial dengan memperuntukkan tabung latihan dan insentif ke arah melahirkan belia berjaya.

Untuk golongan muda khususnya orang bujang, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini RM250 kini dinaikkan sehingga RM600, selain menambah BR1M untuk isi rumah dari RM500 sehingga RM1,200 bagi tempoh lima tahun akan datang.

Malah, sebanyak 3.3 juta pekerjaan ditawarkan kepada golongan muda menerusi pelbagai peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk dua juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi untuk tempoh lima tahun.

Peluang pekerjaan baru itu sejajar dengan sasaran menarik pelaburan berjumlah RM1.3 trilion. Ketika ini, RM50 juta diperuntukkan kepada golongan muda supaya memanfaatkan Yayasan Usahawan Baru (NEF) untuk inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Selain itu, BN juga berjanji mewujudkan ruang komersial di dalam kompleks beli-belah selama sehari pada setiap bulan untuk golongan belia mempamerkan dan memasarkan produk kreatif dan perkhidmatan mereka.

Untuk belia juga, BN bakal mewujudkan inkubator bagi memupuk kualiti kepimpinan dan kreativiti, melahirkan belia yang lebih berdaya tahan menerusi aktiviti kesukarelawan dalam 1M4U dan lebih banyak lokasi WiFi percuma disediakan dengan menumpukan kepada kawasan luar bandar dan separa bandar.


Kecemerlangan atlet sukan negara juga akan diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa, di samping mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.

Ia selari dengan persiapan bakal atlet sukan bertanding di peringkat global dengan peruntukan sedia ada RM50 juta.

Pada masa ya ng sama, kajian semula juga akan dilaksanakan terhadap undang-undang berkaitan hiburan untuk promosi seni persembahan dan kebudayaan.

Selain itu, sebanyak RM200 juta tabung tindakan strategik untuk golongan muda (SAY 1Malaysia) bagi menyediakan latihan kemahiran belia terpinggir, selain RM200 juta lagi mengisi Tabung Modal Mycreative bagi mengumpul idea dan inovasi baru golongan muda.

Tabung Modal Dre1M sebanyak RM130 juta juga dijanjikan Kerajaan BN bagi menjana aktiviti kesukarelawan di kalangan belia negara.

Di sini, membuktikan Manifesto BN pada PRU13 menjanjikan kesinambungan agenda transformasi negara berdasarkan perancangan jangka panjang untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan seluruh lapisan rakyat termasuk belia.

Ia juga akan menjanjikan kesinambungan konsep 1Malaysia dengan amalan perkongsian kuasa antara semua kaum serta mengutamakan perpaduan sebagai asas memajukan dan membangunkan negara.

Ini kali pertama BN melancarkan manifesto sebelum hari penamaan calon yang bertujuan untuk menyediakan lebih banyak ruang masa kepada rakyat meneliti dan mengkaji janji BN.

Sebelum ini pakatan pembangkang membentangkan manifesto mengandungi pelbagai janji untuk meraih sokongan pengundi sebagai mengulangi kegagalan dan retorik janji Pakatan Rakyat yang lalu.

Untuk rekod, Parlimen dibubar Rabu lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu ini untuk menentukan hari penamaan calon dan pengundian.

Susulan itu, sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan parti bertanding.

 Jumlah DUN itu tidak termasuk 71 kerusi di Sarawak yang sudah mengadakan pilihan raya negeri pada April 2011.



PB Square siap hampir 80 peratus

Oleh: Suriati Ali 

Kompleks mega Paya Bunga Square (PB Square) milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di bandar raya ini kini hampir siap 80 peratus.

PB Square yang berharga RM120 juta dan mengandungi kompleks perniagaan, hotel dan pejabat yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2013.

 Pengurus Besar PMINT Dato’ Haji Osman Muda berkata apabila siap kelak kompleks itu akan mengandungi 1 blok hotel 19 tingkat dengan 199 bilik, kolam renang, bilik seminar, gymnasium, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat.

"Projek itu yang buat sementara ini dinamakan Paya Bunga Square merupakan pertama seumpamanya di negeri ini dan akan menjadi mercu tanda PMINT.

 “Langkah PMINT membina kompleks itu bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya. ," katanya kepada Teganukita.

 Kompleks itu sedang dalam proses pembinaan terletak di belakang pejabat PMINT di Jalan Masjid Abidin dan bersebelahan dengan perhentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

 

Kontraktor wanita perlu disiplin


Oleh; Esah Abdullah

Kontraktor wanita di negeri ini diingat supaya sentiasa mementingkan mutu kerja dan berdisiplin supaya tidak ada yang memandang rendah kepada golongan wanita.

Pengerusi Biro Kontraktor Wanita, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu, Puan Syarifah Salmah Syed Alwi berkata, seharusnya peluang yang diberikan tidak disia-siakan dan sentiasa menjaga prestasi kerja.

“Kita perlu bertanggungjawab dalam memastikan projek yang diperolehi dilaksanakan dengan baik dan juga dalam tempoh ditetapkan tanpa mengundang masalah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun mungkin hanya segelintir sahaja yang bermasalah, tetapi kesannya cukup besar apabila masyarakat membuat kesimpulan dan melebalkan kontraktor tidak bertanggungjawab secara keseluruhan.

 “Saya berharap kontraktor-kontraktor yang mendapat projek samaada kecil atau besar bersikap bertanggungjawab dalam memastikan projek yang diperolehi dilaksanakan dengan baik dan dalam tempoh ditetapkan.

 “Jangan terlalu mengejar keuntungan semata-mata, paling penting kualiti dan mutu kerja yang dilaksanakan,” katanya

Menurutnya, peluang yang diberikan juga sebagai satu langkah untuk memajukan diri dari masa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau seterusnya melahirkan rasa terkilan dengan segelintir kontraktor yang mendapat projek tetapi menjual projek yang diperolehi kepada kontraktor lain demi untuk keuntungan segera.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan menjual projek sebab inginkan keuntungan segera sedangkan pendapatannya tidak seberapa.

Tetapi jika projek itu besar dan tidak mempunyai keupayaan mahupun tenaga (kontraktor yang menerima) memang kita bersetuju supaya sub sahaja.

“Dengan harapan projek yang ingin dilaksanakan berjalan lancar dan prestasi kontraktor terlibat tidak tergugat,” katanya.