Halaman

08 July 2013

MBKT buka kaunter bergerak

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bahagian Jabatan Penilaian mengadakan hari bertemu pelanggan dan kaunter bergerak di kawasan awam bermula 6 Julai dan berakhir 29 Julai ini.

 Pengarah Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Encik Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, pihaknya memilih lapan lokasi disekitar MBKT dan kaunter mula dibuka jam 10 pagi hingga 3 petang.

Katanya, tempat itu termasuklah di Taman Pmint Perdana Kampung Batin (6 dan 8 Julai), Perumahan Kondo Rakyat, Kuala Ibai (13 dan 15 Julai), taman Permint Jaya Chendering (20 dan 22 Julai) dan Kawasan Ibai Golf, Kuala Ibai (27 dan 29 Julai).

“Perkhidmatan yang disediakan di kaunter bergerak itu ialah menyelesaikan masalah dan kemusykilan mengenai cukai pintu, semakan bil dan bayaran bil serta lain-lain pertanyaan dan juga khidmat nasihat,” katanya.

Katanya, dengan adanya kaunter bergerak itu orang ramai tidak perlu lagi datang ke pejabat negeri untuk membuat urusan berkaitan mereka hanya perlu ke kaunter yang dibuka di kawasan berdekatan mereka.

PRK DUN KUALA BESUT: BARISAN NASIONAL MENDAHULUI GERAKAN

Laporan Ruslan Rahman dari Kuala Besut:

Barisan Nasional (BN) dan Umno mendahului gerakan memasang bendera dan spanduk sebagai persediaan awal menghadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.
Bendera-bendera BN sudah mula dipasang dan berkibaran di sekitar pekan Kuala Besut.
 Berbanding dengan pihak lawan, nampaknya BN lebih mendahului dalam gerakan ini.Kelesuan jentera pembangkang kelihatan amat jelas di kubu BN ini. Jambatan Kuala Besut sudah mula berkibaran dengan bendera BN (dacing), khususnya bagi menyambut kedatangan Timbalan Perdana Menteri esok (Selasa 9 Julai) bagi mengisytiharkan calon , melancarkan jentera pilihanraya BN seterusnya menyertai program Jamuan Rakyat, di Dataran Kuala Besut.
 Sementara itu Pas dijangka mengadakan ceramah dan mengumumkan calon mereka pada sebelah malam di Kampung Nail.
  Antara penceramahnya termasuklah Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali. Persoalan calon masih lagi teka-teki sama ada di pihak BN dan pembangkang (Pas).
  Masyarakat dan pengundi di Dun Kuala Besut masih lagi pada tahap menunggu pengumuman calon bagi kedua-dua belah pihak dan pekan Kuala Besut masih lagi tidak sibuk dan pergerakan kenderaan di jalan raya masih berjalan lancar.

UMNO Setiu hantar petugas bantu jentera parti di DUN Kuala Besut


ADUN Jabi Mohd Iskandar Jaafar beramah mesra dengan pemimpin UMNO DUN Jabi.

Oleh: Mohammad Ishak 

UMNO Bahagian Setiu yang menjadi jiran terdekat kepada Besut akan memberi sokongann kepada jentera Pilihyan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut sepanjang kempen pilihan raya berkenaan diadakan.

Ketuanya, Dato' Mohd Jidin Shafie berkata, pihaknya akan mempastikan jentera pari bahagian itu terutama dari DUN Jabi turun padang membantu perjalanan jentera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu.

Katanya, sebagai jiran paling dekat kita ingin pastikan seberapa ramai ahli menggerakkan jentera parti bagi mempastikan BN terus kekal di DUN berkenaan.

Mohd Jidin yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri berkata kemenangan calon BN pada PRK itu penting untuk membantu mengukuhkan kerajaan negeri.

“Umno Terengganu akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjalankan gerak kerja supaya pengundi di DUN Kuala Besut tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang,” katanya ketika meraikan petugas PRU13 bagi DUN Jabi di Demong Beach Resort semalam.

Sementara itu, ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar yang hadir sama pada majliu itu berkata pihaknta akan menghantar 500 petugas dari DUN itu untuk membantu calon BN bermula pada hari penamaan calon Jumaat ini.

Mohd Iskandar berkata, petugas DUN Jabi yang diletakkan di Kampung Nail,Kuala Besut akan bersama petugas dari DUN Jertih, dan Kuala Krai, Kelantan.

Beliau berkata, sebagai jiran terdekat petugas parti amat mengetahui selok belok budaya dan kehendak pengundi di DUN berkenaan dan memudahkan kerja berkempen sepanjang tempoh PRK itu berjalan

07 July 2013

Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pergurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih) 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pergurniaan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.



Majlis itu sempena sambutan ulangtahun yang ke-51 Hari Keputeraan Sultan Terengganu. Turut berkenan berangkat Raja Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Putera Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Muhammad Mua'az dan dua puteri baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra' turut berangkat.

Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Hadir sama, kerabat-kerabat Raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negara dan pegawai-pegawai kerajaan.

Hari ini seramai 107 senarai penerima bintang dan darjah kebesaran daripada keseluruhan 324 yang menerima pengurniaan.

 


107 penerima bintang dan darjah kebesaran

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih) 

Seramai 107 penerima bintang dan darjah kebesaran hadir pada Majlis Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pergurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli untuk pengurniaan bintang dan darjah kebesaran negeri kepada penerima-penerima sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan pada tahun ini.

 Penerima itu didahului dengan Setiausaha Kerajaan Terengganu Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Panglima Tentera Darat Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.


Mereka berdua dianugerah darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) yang membawa gelaran Dato'.

 Seorang lagi menerima darjah tersebut ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar namun beliau tidak hadir atas sebab-sebab tertentu.

 Dua penerima Peringkat Yang Ketiga Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) yang juga membawa gelaran Dato’ ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Mohd Yazid Mustafa dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Mohamad Salleh.



 Manakala 13 menerima Peringkat Yang Kedua membawa gelaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang juga bergelar Dato’ ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dato’ Asha’ari Idris dan Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Dato’ Raja Arif Raja Ali.


 Penerima lain ialah Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Dr Che Abd Rahim Nik; Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Dato’ Haji Shafii Mohamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman.

 Diikuti Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah, Dato’ Abdul Wahad Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah Risda (Pembangunan),Dato’ Mohamat Muda; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu, Dato’ Nor Akmal Abdul Fatah dan Pengarah Kanan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Halal, Dato’ Hajah Samsiah Awang.

 Turut menerima, Naib Yang DiPertua Perkaya, Dato’ Haji Harun Hassan dan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dato’ Dr Mahamed Anwar Omar Din.

 Kesemua penerima itu adalah sebahagian daripada 324 penerima bintang dan pingat sempena Ulang Tahun Ke-51 Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 







PELUANG KEMENANGAN PAS GELAP TETAPI TETAP JUGA BERTANDING

ANALISA PENULIS KHAS dari Kuala Besut: 

PAS memang tahu peluang untuk kemenangan terlalu gelap bagi mereka dalam pilihan raya kecil (Prk),Dun Kuala Besut tetapi demi maruah mereka dipercayai akan tetap meletakkan calon .
 Walaupun DAP telah menasihatkan supaya Pas boikot pilihan raya itu, tetapi Pas merasakan demi maruah mereka perlu juga meletakkan calon dan mewujudkan pertandingan.
  Kekuatan BN di Dun Kuala Besut amat jelas apabila ia merupakan kubu kuat BN dengan kemenangan besar (majoriti 2 434) dalam PRU 13 yang baru lalu.
  Malah BN meletakkan sasaran kemenangan dengan 4,000 majoriti dalam PRK ini.
  Memandangkan kelemahan Pas di Besut untuk menggerakkan jentera, Adun Paka YB Satipul Bahri yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri terpaksa datang menggerakkan jentera ini dibantu oleh Haji Zakaria Dagang selaku Setiuasaha Gerakan PRK Pas Kuala Besut ini.
 Pesuruhjaya Pas Terengganu, YB Mohd Abdul Wahid Endut sebagai penasihat jentera sahaja.
 Ketiadaan pemimpin Pas Besut dilantik mengetuai jentera PRK ini menjadi tanda tanya kalangan pengundi di Besut.
  Zakaria Dagang merupakan calon Pas yang tewas di Dun Seberang Takir beberapa kali, termasuk dalam PRU 13 yang baru lalu.
 Difahamkan pada 6 Julai lalu satu perbincangan khas diadakan di Markas Besar Pas Kuala Besut bersama Pengarah Pilihanraya Pas pusat Dr Hatta Ramli. Pas dijangka akan berusaha menguasai masjid dan surau sebagai tempat penginapan dan pusat utama kempen.
  Apakah PRK dalam bulan Ramadhan ini membuatkan Pas begitu beria-ia hendak menguasai masjid atau sememangnya itulah cara Pas sejak dahulu lagi. Mereka menggambarkan mereka di pihak Islam sedangkan semua orang tahu rakan kongsi mereka ialah DAP yang anti Islam dan orang orang Melayu.
  Menghayati khutbah di masjid Haji Yaakob (masjid Pas yang berasal dari markas) di Kuala Besut jelas mereka memperalatkan Islam kerana mengaitkan perjuangan dan kemenangan parti mereka adalah perjuangan dan kemenangan Islam.
  Sedangkan semua orang tahu Umno dan BN yang bakal ditentang oleh Pas dalam PRK ini adalah merupakan orang Islam yang sama-sama beriman kepada Allah, jadi anologi dan mengaitkan hanya Pas mempertahankan Islam adalah tidak benar kerana Umno juga terdiri daripada orang Islam dan  mempertahankan Islam.
  Hendaknya Pas tidak terus bersikap menggunakan Islam dan seolah-olah mereka sahaja Islam sedangkan pengundi sedia mengetahui sekutu mereka adalah DAP dan Pas pernah bersama DAP dan PKR menggadaikan nama Allah untuk digunakan orang bukan Islam.
  Bahkan tindakan awal merasuahkan beras dan barangan keperluan dapur khususnya kepada penduduk Pulau Perhentian yang merupakan PDM kubu kuat BN amat memalukan pembangkang yang selama ini menentang rasuah, tetapi mereka sendiri melakukannya.
 Sesiapa pun beri memang rakyat dan pengundi ambil, tetapi undi tetap kepada BN, kata beberapa orang penduduk Pulau Perhentian ketika ditemui.

Sultan Mizan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat

Sultan Mizan Zainal Abidin melambai ke arah pelajar sekolah ketika berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-51 Hari Keputeraan baginda di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pagi ini.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-51 Hari Keputeraan baginda, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu, pagi ini.

Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Tengku Sri Temenggong Raja,Tengku Bentara Raja dan To’ Puan Seri Tengku Halifah Kasnihah Tengku Su.


Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan isteri To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Turut sama menyambut Sultan Terengganu, Panglima Markas Briged Ke Lapan Infantri, Briged Jeneral Dato’ Mohamad Zaki Hamzah dan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Dato’ Jamsah Mustapa.

Sejurus tiba, Menteri Besar dan isteri kemudiannya memohon limpah perkenan Sultan dan Sultanah Terengganu berangkat ke Pentas DiRaja, diikuti dengan Kawalan Kehormat Utama mempersembahkan `Hormat DiRaja’ serentak dengan lagu Selamat Sultan.


Majlis kemudiannya disusuli dengan Bendera DiRaja dipecahkan dan dikibarkan di SSINS beserta 21 das tembakan meriam.

Sultan Mizan kemudiannya memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang disusuli dengan persembahan `Hormat DiRaja’ dan lagu Selamat Sultan sebelum kumpulan kawalan kehormat itu berjalan keluar dari stadium.


Sejurus kemudian, baginda berkenan memeriksa kontinjen perbarisan mengelilingi stadium dengan menaiki kenderaan khas, disusuli dengan perbarisan berjalan lalu serta memasuki semula ke tempat asal dan melaungkan seruan `Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.

Sebelum majlis berakhir, Kawalan kehormat Utama memasuki semula ke dalam stadium berserentak dengan persembahan `Hormat DiRaja’ dan lagu Selamat Sultan.


PPDNK pantau harga barang menjelang Ramadan

Oleh; Esah Abdullah 

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri (PPDNK) kerah 81 anggota penguatkuasaan di seluruh negeri ini bagi mempertingkatkan pemeriksaan dan membuat pemantauan yang aktif ke atas semua peringkat perniagaan iaitu pembekal, pengedar, pengimport, pemborong dan peruncit.

Pengarahnya, Mohd Shamsul Badrin Mohshin berkata, langkah penguatkuasaan ini bagi menangani isu harga barang keperluan dan persediaan menghadapi bulan ramadan dan musim perayaan Hari Raya Puasa.

“Trend harga dijangka akan berlaku apabila perbelanjaan pengguna bertambah menjelang bulan Ramadhan dan sambutan perayaan Hari Raya,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Ops Harga 2013 di Pasar Besar Kedai Payang, semalam.

Katanya, tinjaun semalam kebanyakan peniaga meletakkan tanda harga, cuma ada perbezaan harga antara peniaga tetapi masih dalam harga normal memberi peluang para peniaga membuat pilihan

Beliau turut memberi amaran kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barang sempena Pilihan raya Kecil (PRK) Kuala Besut yang berdiadakan pada bulan Ramadan.

Katanya, walaupun belum menerima sebarang aduan berkaitan dengan kenaikan harga barang, tetapi pihaknya telahpun mengambil langkah proaktif dengan melakukan penguatkuasa bagi memantau harga barang.

 Menurutnya, pihaknya telah arahkan 15 penguatkuasa di sana untuk mematau harga dan juga memastikan barang yang dijual diletakkan tanda harga.

 “Amaran juga kepada para peniaga untuk tidak menaikkan harga barang secara mendadak. Sebab kita boleh, keluar notis dan peniaga perlu beri sebab. Kita juga akan kerah pegawai penguatkuasa dari daerah lain seramai 30 orang bagi membantu memantau harga barang di Kuala Besut sempena dengan PRK bermula selepas penamaan calon sehingga habis tempoh pilihanraya,” katanya.
 

Profesion perguruan mendapat layanan istimewa dari kerajaan.


Menteri Pendidikan II..YB Dato' Seri Idris Jusoh.

Oleh: Mohammad Ishak

Penjawat awam terutama guru adalah golongan paling istimewa dengan mendapat pelbagai kemudahan dan ganjaran berbanding profesion lain di negara ini.

Bagaimanapun, ramai guru masih tidak bersyukur malah sanggup menentang kerajaan walapun mereka sudah mendapat layanan istimewa dari kerajaan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan membina institusi guru untuk malahirkan golongan professional dan mampu menjadi pemimpin kepada masyarakat sebaliknya ada guru yang sanggup merobohkan institusi yang mulia itu.

Sebagai contoh,katanya, pada PRU13 ramai guru menyebelahi parti pembangkang kononnya tidak puas hati dengan dasar yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Idris berkata, ketika ini Kementerian Pendidikan memberi layanan istimewa kepada guru termasuk mereka yang memohon pertukaran,secara sukarela pun kerajaan juga membayar tuntutan pertukaran.

Oleh itu,katanya, guru perlu sedar dan bersyukur mereka mendapat layanan istimewa daripada kerajaan BN. “Saya juga tidak faham apa lagi yang guru mahu sedangkan mereka sudah diberi pelbagai keistimewaan,” katanya kepada media selepas melawat persiapan PRK DUN Kuala Besut,hari ini.

Idris yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya DUN Kuala Besut berkata,beliau ingin melihat guru yang mengundi di DUN berkenaan tidak lagi menyebelahi pembangkang sebaliknya menyokong kerajaan.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak menipu rakyat tetapi masih ramai yang percaya termasuk golongan cerdik pandai yang percaya apa sahaja diperkatakan pemimpin terbabit.

Sebagai contoh,katanya, di Parlimen beliau bersama ahli pembangkang lain mengangkat sumpah dan minum semeja dengan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi diluar Parlimen penyokongnya mengadakan perhimpunan haram.

Beliau percaya pengundi di DUN Kuala Besut, lebih bijak daripada penyokong pemimpin pembangkang yang menyokong Anwar secara membabi buta tanpa memikirkan kesan kepada kesejahteraan negara.

Pasukan Niners naib johan bola Jaring KWDI 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Niners muncul naib johan Kejohananan Bola Jaring Wisma Darul Iman 2013 selepas dijinakkan Kelab Permata dalam perlawanan akhir yang berkesudahan 8-13, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Pasukan Niners, johan kumpulan A mara ke pentas final selepas berjaya menundukkan pasukan Perbendaharaan di peringkat separuh akhir, dengan mata 8-6.

Pasukan yang diketuai Puan Najwa Hanis Abdul Samat itu memulakan langkah kanan selepas mengalahkan Kejora dengan jaringan 8-7, sebelum meneruskan rentak cemerlang menundukkan penyandang juara tahun lalu, Lebah dengan mata 10 berbalas 6.

Gandingan pemain di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Cik Suraya Isa terus menunjukkan keserasian apabila membenamkan pasukan Urus dengan mata 18-2 sebelum layak ke separuh akhir.

Sementara pasukan Permata, penyandang naib johan tahun lalu, mengalahkan Kejora, 14 berbalas 3 di peringkat separuh akhir untuk mengesahkan langkah ke final bertemu Niners yang akhirnya memihak kepada pasukan itu muncul juara edisi ini.