Halaman

04 November 2013

Kerajaan Terengganu biaya pesakit jantung di Sungai Limau

Penderitaan pesakit jantung cilik, Adik Nur Aini Aqila Haron Nizar, 3, dari Kampung Bukit Choras, Sungai Limau, mendapat perhatian Kerajaan Negeri Terengganu yang memutuskan untuk membiayai rawatannya di i-Heal Medical Center, Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang melawat kampung berkenaan kelmarin mengumumkan pesakit berkenaan akan dihantar ke pusat rawatan milik kerajaan negeri itu, secepat mungkin.

Beliau berkata, kos rawatan perubatan dan pembedahan kanak-kanak malang itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri bagi membantu meringankan keluarga pesakit.

Mangsa yang menghidap penyakit tersebut sejak berusia setahun setengah akan menjalami rawatan awal dalam tempoh terdekat dan menjalani pembedahan jantung di pusat berkenaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri mengambil kesempatan melawat mangsa ketika menghadiri kenduri rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Choras.

Kira-kira 300 orang penduduk sekitar Bukit Choras yang merupakan kawasan ‘anak angkat’ Umno Terengganu turut hadir bagi memeriahkan majlis itu yang bertujuan mengeratkan tali silaturahim antara penduduk tempatan.

Menteri Besar serta rombongan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu turut mengadakan lawatan rumah ke rumah di kawasan tersebut bagi bertanyakan khabar penduduk.

Sempena lawatan Jalinan Kasih Silaturahim itu, Menteri Besar turut membawa pasukan perubatan dari Terengganu bagi memberi rawatan awal kepada pesakit yang dilawati rombongan beliau.

PSKT anjur karnival ICT

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) akan mengadakan Karnival Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT ) bertempat di Pusat Dagangan Terengganu selama tiga hari bermula 21 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka menyempurnakan majlis perasmian karnival tersebut.

“Pelbagai acara dan aktiviti menarik berkaitan ICT disediakan untuk pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

“Antaranya seminar keselamatan, pameran, permainan interaktif, jualan produk dan termasuk juga pertandingan mewarna untuk kanak-kanak,” ujarnya.

Menurut Ahmad Farhan, matlamat penganjuran karnival yang turut mendapat kerjasama Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN) adalah untuk memperkasakan pendidikan ICT dan multimedia kepada pengunjung secara ilmiah dan lebih menyeronokkan.

 

Pulau peranginan mula ditutup pada November

Kerajaan negeri menjangkakan segala aktiviti pelancongan di pulau peranginan di Terengganu akan mula ditutup selewat-lewatnya November depan atau bergantung pada keadaan cuaca berikutan musim tengkujuh di Pantai Timur akan bermula.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, pada kebiasaannya operasi di pulau ditutup selama empat bulan mulai pertengahan Oktober.
Katanya, perjumpaan bersama pengusaha chalet, resort dan bot akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

 “Walaupun arahan belum dikeluarkan, tetapi mereka (pengusaha) telah mula membuat persediaan kerana setiap tahun musim tengkujuh akan bermula pada akhir Oktober hingga awal Januari atau Februari depan.

“Namun sebahagian telah mula menutup operasi dan hanya menerima tempahan tertentu atau dalam kuantiti yang sedikit sahaja," katanya.

Dato’ Mohd Jidin, berkata segala aktiviti pelancongan akan ditangguhkan dan dalam tempoh itu pengusaha chalet dan resort melakukan kerja pengubahsuaian tempat penginapan.

“Pelancong juga sedia maklum keadaan cuaca pada musim tengkujuh di negeri ini, namun dijangkakan kehadiran pelancong tetap bertambah kerana mereka juga mempunyai alternatif lain untuk melawat negeri ini.
“Di Terengganu, pelancong boleh memilih untuk ke tempat menarik lain seperti Tasik Kenyir yang dibuka setiap masa,”

. Sebelum ini, kerajaan negeri menyasarkan pengunjung ke Tasik Kenyir meningkat 20 peratus kepada 450,000 orang sepanjang 2013 berbanding 397,005 pada tahun lalu.

 Malah mengikut statistik, kehadiran pelancong ke negeri ini semakin bertambah dari tahun ke tahun, iaitu pada 2011, jumlah pelancong yang mengunjungi Terengganu ialah 3.17 juta berbanding 2010, hanya 2.82 juta.

 Manakala, pada 2012 meningkat kepada 3.38 juta dan sehingga Jun 2013, kehadiran pelancong yang direkodkan adalah 1,862,849 juta pelancong.

 

Bersama-sama menjaga alam sekitar- Pengarah JAS

Oleh: Aminudin Ismail.

Pengarah JAS.
SETIU: Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakan pencemaran alam sekitar, kata Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu, Rashadah Hashim.

Menurutnya, orang-ramai termasuklah ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) hendaklah sentiasa memberi kerjasama melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak JAS.

"Sekarang ini dah masuk musim tengkujuh tentulah kurang berlakunya pembakaran terbuka namun bagaimanapun, saya mengingatkan penduduk di negeri ini tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar dan ia menjadi satu kesalahan.

"Beberapa kawasan di Terengganu ini dikesan mudah berlakukannya kebakaran terutamanya di kawasan belukar-belukar samada disebabkan oleh pembakaran terbuka ataupun puntung-puntung rokok yang dibuang di merata tempat.

Pihak JAS akan sentiasa memantau keadaan ini supaya orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka sewenang-wenangnya," katanya.

Sementara itu, Rashadah berkata, orang-ramai di negeri ini dipelawa menjadi ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) supaya mereka dapat bersama-sama JAS melindungi alam sekitar di negeri ini daripada tercemar dengan memantau setiap perlakuan orang ramai yang boleh mencemarkan alam sekitar.

 

03 November 2013

222 sukarelawan berdaftar dengan JKM sedia berkhidmat


Anggota Sukarelawan JKM sedia berkhidmat

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 222 anggota sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, siap sedia untuk memberi khidmat sukarela dalam membantu penduduk negeri ini menghadapi bencana dan khidmat sosial.

Pengarah JKM Terengganu,Zuhaimi Omar berkata, anggota sukarelawan terbabit yang mendaftar dengan jabatan berkenaan akan diarah bertugas pada bila-bila diperlukan untuk membantu orang ramai dalam pelbagai keadaan termasuk bencana alam seperti banjir.

Penubuhan sukarewalan itu yang dianggotai masyarakat mewakili pelbagai badan sukarela negeri ini, sudah diberi latihan dan kursus dalam aspek keselamatan dan social.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kembara Karisma 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Kuala Kubang, Jabi, Setiu.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, memilih kampung terbabit sebagai printis program anjuran JKM dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Jabi.

Sempena program itu, pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk membaik pulih rumah golongan miskin, penyampaian bantuan kebajikan, kad keahlian OKU, derma darah dan kursus khas kepada sukarelawan.

Berucap pada majlis itu Mohd Iskandar berkata, rakyat negeri ini sentiasa mendapat pembelaan dari jabatan kerajaan terutama JKM yang sentiasa membantu rakyat dalam pelbagai bidang.

Kampung Besut, Setiu sedia hadapi banjir

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Besar...Ibrahim menunjukan paras air banjir 2005 di kampungnya.
SETIU: Kira-kira 200 penduduk Kampung Besut, di sini sudah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku di kampung mereka berikutan hujan berterusan sejak semalam.

Tinjauan Teganukita di kampung yang sering ditengelami air apabila berlaku banjir itu mendapati rata-rata penduduk sudah biasa dengan kemungkinan banjir dan beberapa keperluan disediakan antaranya ialah barang makanan.

Seorang penduduk, Ibrahim Mamat, 51, berkata, beliau yang setiap tahun berpindah itu apabila berlaku banjir sudah membuat beberapa persediaan antaranya ialah memastikan binatang ternakan tidak berada jauh daripada kawasan rumah supaya mudah dialihkan di tempat lebih tinggi.

"Selain itu, beberapa keperluan barangan makanan saya beli lebih sedikit kerana bimbang tidak dapat keluar rumah apabila berlaku banjir. Manakala kenderaan pula saya akan alih lebih awal di tempat selamat jika hujan lebat berterusan," katanya.

Sena..siap sedia.
Seorang lagi penduduk, Sena Daud, 54, berkata dia sudah bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan berpindah jika berlaku banjir kerana air di kawasan rumahnya cepat naik dan laju.

"Kami sekeluarga sudah biasa dengan banjir ini kerana setiap tahun kawasan rumah kami banjir tetapi yang membimbangkan kami ialah apabila air naik begitu cepat sebagaimana banjir yang berlaku pada 2005 di mana hampir kesemua penduduk kampung ini berpindah ke sekolah berhampiran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK kampung itu, Nik Danya Nik Abdul Rahman, berkata beliau mengharapkan penduduk supaya berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

"Di pusat perpindahan pihak kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk penduduk yang terbabit dengan banjir termasuklah memberi bantuan makanan, selimut dan lain-lain. Mereka yang berpindah juga akan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan," katanya.
Tanda...seorang penduduk menunjukan tanda aras air.


Pembangkang ganggu jentera Umno Terengganu di Sungai Limau

Pihak pembangkang menganggu petugas Umno Terengganu yang membantu Barisan Nasional (BN) berkempen bagi memastikan kemenangan calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Kedah.

Bagaimanapun, sehingga ini tidak ada sebarang kejadian buruk dilaporkan kerana pengurusan Umno Negeri menasihatkan petugas supaya berjalan secara berkumpulan dan mengelakkan diri daripada berseorangan ketika berkempen.

Umno Terengganu ditugaskan untuk berkempen di dua Pusat daerah Mengundi (PDM) di DUN Sungai Limau iaitu Bukit Cheras dan Gelam 3.

Ketua Umno Bahagian Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee yang diberi tanggungjawab mengetuai kempen BN Terengganu di Sungai Limau, mengakui berlaku kekerasan dalam kempen tersebut yang berpunca daripada pihak pembangkang, tetapi pihaknya telah siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berakta, petugas Umno telah dinasihatkan supaya berkempen secara berhemah dan mengelak daripada melakukan tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penyokong pembangkang.

Katanya, Umno dan BN Terengganu telah melakukan yang terbaik bagi memastikan calon BN menang pada PRK tersebut.

“Kini terpulang kepada pengundi di kawasan berkenaan untuk membuat keputusan yang diharapkan dapat memberi kebaikan kepada mereka.

“Umno dan BN telah memberi peluang kepada mereka untuk memilih calon terbaik daripada kalangan anak tempatan Sungai Limau,” ujar beliau.

 

96 pasukan kesihatan hadapi banjir

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menubuhkan 96 pasukan khas di seluruh negeri bagi menghadapi banjir tahun ini.

Daripada jumlah itu, 45 pasukan perubatan manakala 51 pasukan kesihatan yang mengandungi tiga hingga empat kakitangan jabatan berkenaan yang akan bertugas membantu mangsa banjir.

Pengarah jabatan itu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman, pasukan perubatan akan bersiap sedia memberi rawatan apabila ada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir yang disediakan.

“Manakala pasukan kesihatan pula akan membuat pemantauan dari aspek kebersihan dengan membuat pemeriksaan di pusat-pusat pemindahan bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat digunakan,” katanya.

Selain itu, jabatan berkenaan juga akan memberi perhatian khusus kepada keperluan asas mangsa banjir seperti bekalan air bersih dan tandas, bagi memastikan mereka tidak dijangkiti penyakit merbahaya.

MBKT tubuh pasukan khas

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Encik Ghani Idris berkata pasukan tersebut akan mengawasi kejadian pokok tumbang, longkang tersumbat dan sebagainya.

"Kita telah meletakkan pasukan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam itu yang dijangka berlaku pertengahan November ini," katanya.

Encik Ghani berkata sebagai langkah awal, tindakan membaik pulih jalan-jalan berlubang telah dilakukan bagi mengelak kemalangan semasa banjir.

“MBKT akan membuka bilik gerakan banjir di Kelab Eksekutif MBKT di Batu Buruk, tahun ini, sebagaimana dilakukan tahun-tahun lepas.

 “Justeru, pihak kami mengingatkan orang ramai terutamnya yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air, supaya waspada ketika musim tengkujuh,” katanya.

 

UCB lahir jururawat berkualiti-Naib Canselor.

Oleh: Aminudin Ismail.

Dr.Mustaffa...bantu penuntut.
SETIU: Hampir keseluruhan penuntut Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Bestari (UCB) mampu mendapat pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian di kolej universiti itu selepas mereka menamatkan pengajian dalam bidang itu.

Naib Censelornya, Dr. Mustaffa Ismail berkata, kebanyakan penuntut yang menamatkan pengajian dalam bidang itu akan terus mendapat pekerjaan setelah mereka menerima diploma masing-masing.

"Kita mempunyai kira-kira lebih 200 penuntut dalam bidang ini yang menamatkan pengajian mereka pada setiap tahun dan hampir kesemuanya berjaya mendapat pekerjaan di hospital kerajaan dan swasta.

"Pihak kami sentiasa berusaha supaya bukan sahaja lepasan diploma jururawat ini mudah mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian mereka di UCB malah juga bidang-bidang  pengajian lain," katanya. 

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, UCB mengharapkan konsep wakaf yang diperkenalkan bagi menjayakan pengurusan kolej universiti yang sedang menuju kepada universiti penuh itu akan mendapat sambutan daripada orang ramai.

"Kita mengharapkan lebih ramai yang akan menyertai pembelian lot-lot tanah ini untuk diwakafkan bagi menjayakan usaha kami menjadikan UCB ini sebuah universiti berkonsepkan Islam menjelang 2016," katanya.