Halaman

14 November 2013

Terengganu 12 kali menduduki carta pertama UPSR

Oleh: Noraini Jusoh

Terengganu terus melakar sejarah dalam bidang pendidikan apabila merekodkan keputusan terbaik dan berjaya menduduki carta pertama dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi seluruh negeri yang diumumkan serentak, hari ini.
Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said berkata, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A turut meningkat sebanyak 0.78 peratus, iaitu daripada 13.22 peratus pada tahun lalu kepada 14.00 peratus pada kali ini.

"Saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana tahun ini merupakan kali ke-12 Terengganu menduduki carta pertama dalam UPSR.

"Tahun lepas kita agak malang sedikit kerana keputusan UPSR merosot dan jatuh nombor dua, tetapi alhamdulillah berkat kesungguhan pelajar dan kerjasama semua pihak kita berjaya kembali menduduki carta terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Mesra Menteri Besar Bersama PIBG Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, kemaman, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri mengadakan banyak program untuk melihat anak-anak Terengganu kekal cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan peringkat yang lebih tinggi termasuk mengadakan kelas tuisyen, kursus motivasi dan sebagainya.

"Setiap tahun lebih RM300 juta kerajaan negeri peruntukan perbelanjaan untuk bidang pendidikan di negeri ini dan Terengganu merupakan antara negeri yang paling tinggi memperuntukan bajet untuk tujuan tersebut,” ujarnya.

Katanya, secara peribadi beliau masih lagi belum berpuas hati dengan pencapaian UPSR pada kali ini walaupun masih ada dua kali peperiksaan UPSR sebelum dimansuhkan.

"Di bawah program 201052, kerajaan negeri mensasarkan 20 peratus calon UPSR mencapai semua A. Tetapi tahun ini 14 peratus sahaja. Walaupun terbaik tetapi masih belum mencapai target yang kita harapkan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar cemerlang, ibu bapa, guru-guru, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta semua pihak yang bertanggungjawab memastikan Terengganu terus mengungguli keputusan UPSR antara seluruh negeri pada kali ini.


 

Jurang prestasi sekolah bandar dan luar bandar di Terengganu makin mengecil

Oleh: Aida Abd Rahman

Jurang pencapaian calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang memperolehi semua A antara luar bandar dengan bandar di seluruh Terengganu semakin berkurangan daripada 5.46 peratus tahun lalu kepada 5.36 peratus tahun ini.

Pengarah JPNT, Encik Zakaria menunjukkan carta pencapaian UPSR pelajar Terengganu .
Pada tahun ini, pelajar bandar yang mendapat semua A mencapai 16.05 peratus, sementara pelajar luar bandar 10.69 peratus, iaitu perbezaan 5.36 peratus.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin, berkata keputusan itu menunjukkan peningkatan di bandar dan luar bandar, masing-masing sebanyak 0.74 peratus dan 0.84 peratus.

“Ini bermakna, peningkatan pencapaian cemerlang bagi calon luar bandar adalah lebih tinggi berbanding calon bandar iaitu sebanyak 0.10 peratus.

 “Walau bagaimanapun peratusan calon yang mendapat pencapaian baik di bandar dan luar bandar, masing-masing menurun sebanyak 2.24 peratus dan 1.51 peratus,” katanya di Pejabat JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Encik zakaria berkata peningkatan pencapaian calon luar bandar juga dilihat melalui nilai Gred Purata (GP) yang mengurang sebanyak 0.04, manakala pelajar bandar kekal pada 2.16 dan jurang pencapaian calon luar bandar dan bandar dirapatkan sebanyak 0.04 mata nilai GP.

"Dengan kesungguhan semua pihak khusus warga pendidik, kita berupaya merapatkan jurang antara luar bandar dengan bandar selaras dengan usaha dan hasrat kerajaan supaya akses pendidikan itu dapat disama ratakan antara kedua kawasan itu.

"Jika dulu, ramai mengatakan pelajar luar bandar ketinggalan, tetapi hari ini kita dapati sekolah kecil dengan bilangan pelajar yang kecil terletak di luar bandar mampu mencapai keputusan yang amat baik hasil pelbagai program dan usaha jitu warga pendidik, ibu bapa dan tenaga pengajar sendiri," katanya.

Menurutnya, bukan sahaja usaha yang bersungguh-sunguh, bantuan pelajaran dan kemudahan jaringan perhubungan yang baik dan tidak kurang hebatnya dengan kawasan bandar turut mempengaruhi peningkatan prestasi pelajar dan sekolah di luar bandar.


Sekolah Kebangsaan Pelagat lahir pasangan kembar 5A UPSR setiap tahun


Nur Atiran (kiri) dan Nur Atirah (kanan) 

Oleh: Mohammad Ishak 

Sekolah Kebangsaan Pelagat, dekat Jertih mencatat sejarah tersendiri apabila tiga tahun berturut-turut melahirkan pasangan kembar yang memperolehi keputusan terbaik 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR)

Tahun ini.pasangan, Nur Atilah Nordin dan Nur Atirah Nordin, adalah antara 20 murid sekolah berkenaan yang berjaya memperolehi 5A yang diumumkan oleh Guru Besar sekolah itu,Izlan Ibrahim, di dewan sekolah berkenaan.

Dua beradik berkenaan melahirkan rasa syukur dan bangga kerana memperolehi kejayaan itu sekali gus mencatat sejarah kepada sekolah itu yang sudah tiga tahun berturut-turut melahirkan pasangan kembar yang memperolehi pencapaian sama.

Anak kepada guru sekolah itu,Hasliza Abdul Ghani, 46, pasangan terbabit sering menggunakan waktu terluang di rumah untuk mengulangkaji pelajaran yang diajar di sekolah.

“Kami mengambil waktu yang sama selain menggunakan buku yang sama ketika membuat ulang kaji kerana tidak dapar berpisah,” kata mereka.

Anak kelima dari keluarga pendidik itu b erharap mereka akan diberi peluang di sekolah dan kelas yang sama apabila berada di sekolah baru tahun depan kerana mereka tidak mahu berpisah.

Sementara itu, Guru Besar sekolah itu, Izlan berkata, pihak sekolah berkenaan mensasarkan hanya 16 daripada 52 murid yang mengambil ujian berkenaan akan memperolehi 5A, tetapi bersyukur ia melepasi taget sekolah apabila 20 murid muncul 5A dalam ujian berkenaan.

SMK Chalok Model Khas Terbaik UPSR Terengganu 2013.

Gembira..murid, guru dan ibubapa bergambar meraikan kejayaan SMK Calok (model khas).
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok Model Khas muncul sekolah terbaik dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) negeri Terengganu 2013 dengan mendapat 1.114 GPS (Gred Purata Sekolah).

Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Kipayatuallah Dato' Mohd Said, berkata seramai tujuh murid mendapat keputusan 5A daripada 10 murid sekolah itu yang menduduki UPSR pada tahun ini.

Katanya, pada keseluruhannya keputusan peperiksaan UPSR di Setiu meningkat sebanyak 1.8 peratus berbanding tahun lalu di mana seramai 162 murid mendapat keputusan 5A.

"Gred purata juga meningkat dari 2.23 pada 2012 kepada 2.21 (semakin kecil angka semakin baik. Jumlah calon yang mengambil peperiksaan itu ialah seramai 1395. SMK Chalok Model Khas diumunkan sekolah terbaik dalam UPSR di Terengganu pada tahun ini," katanya.

Katanya, SK Lubuk Teras mendapat tempat ke sembilan negeri manakala SK Bari, Sungai Tong nombor 20. Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru yang membawa kepada kecemerlangan murid UPSR pada tahun ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Setiu merangkap Exco Pelancongan Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee mengucapkan tahniah kepada seluruh warga SMK Calok Model Khas termasuk guru dan murid atas kejayaan itu.

"Terima kasih juga kepada sekolah-sekolah lain yang mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR tahun ini. Kepada yang kurang berjaya, cuba lagi pada tahun akan datang. Semoga Setiu Terus maju dalam bidang pendidikan," katanya.

 

Kanak-kanak TPK giat hafaz surah lazim

Oleh: Suriati Ali 

Kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di seluruh negeri ini giat menghafaz 23 surah lazim yang dijangka diperdengarkan kepada umum 24 November (Ahad) nanti.

 Pengarah yayasan itu, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, seramai 1,168 kanak-kanak dijangka menyertai program tahunan itu berbanding 1,012 kanak-kanak pada tahun lalu.

 “Peningkatan jumlah penyertaan terhadap program yang diperkenalkan sejak 2009 ini membuktikan kesungguhan pihak kami mengajar ilmu agama setiap anak yang dihantar ke TPK,” katanya kepada Teganukita.


Menurutnya, menjadi rutin pagi bagi kanak-kanak di TPK menghafaz surah-surah lazim bersama ustaz dan ustazah sebelum memulakan pembelajaran dan aktiviti harian.

 “Kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan. “Mereka yang menunjukkan minat saja akan dipilih menyertai Program Menghafaz 23 Surah Lazim.

 “Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya. 

Katanya, YPKT mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun seterusnya.

 “Untuk capai sasaran berkenaan, setiap pagi mereka perlu menghafaz beberapa surah sebelum memulakan aktiviti dan pembelajaran.

 “Ketika aktiviti pun dimulakan dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran agar setiap patah perkataan itu mudah melekat di hati mereka,” katanya

 

Terengganu kekal terbaik UPSR

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus unggul dalam pendidikan negara apabila merekodkan keputusan terbaik dan mengatasi pencapaian peringkat nasional dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan serentak, hari ini.

Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN), 2.20 mengatasi pencapaian Gred Purata Nasional, 2.27.

Terengganu turut mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) yang melibatkan lima subjek, iaitu bahasa Melayu (BM) Pemahaman Sekolah Kebangsaan (SK), bahasa Inggeris (BI) (SK), Sains, BM Pemahaman Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) dan BI SJKC.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin, berkata dari segi GPN, pencapaian keseluruhan calon UPSR tahun ini meningkat 0.01 mata GPN kepada 2.20 berbanding tahun lalu.

“GPN ini juga mengatasi pencapaian peringkat nasional yang mencatat 2.27. Sementara pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A pula meningkat sebanyak 0.78 peratus, iaitu daripada 13.22 peratus pada tahun lalu kepada 14.00 peratus pada kali ini.

“Peratusan calon yang memperolehi pencapaian baik dengan minimum gred C bagi semua mata pelajaran juga meningkat 0.2 peratus kepada 69.1 peratus berbanding tahun lalu,” katanya di Pejabat JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Encik Zakaria berkata, negeri ini juga menunjukkan peningkatan dalam peratusan calon yang memperolehi pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum sebanyak 0.07 peratus kepada 3.58 peratus pada tahun ini.

Katanya, sebanyak 21 sekolah menunjukkan pencapaian terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok Model Khas, Setiu (1.14) merekod keputusan terbaik di seluruh Terengganu.

Sekolah lain termasuk SK Kuala Berang (1.17), SK Teris (1.20), SK Dusun, Hulu Terengganu (1.26), SK Paya Bunga (1.36), SK Binjai Kertas (1.37), SK Seri Berang (1.37), SK Kemat (1.40), SK Lubok Teras, Setiu (1.43), SK Tapu (1.46) dan SK Kuala Kubang, Besut (1.47).

”Alhamdulillah prestasi UPSR kali ini terus meningkat. Walaupun peningkatannya kecil, kita tetap bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pencapaian prestasi keseluruhan UPSR 2013 di seluruh Terengganu amat cemerlang.

“Insya-Allah kecemerlangan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan pada tahun-tahun hadapan. Saya mewakili warga pendidikan negeri mengucapkan setinggi-tinggi pengharagan dan terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri atas bantuan kewangan dan sokongan moral menjayakan aktiviti serta program pendidikan selama ini,” katanya.

 

Terengganu bersedia sahut cabaran Piala Monsoon 2013

Oleh: Suriati Ali 

Terengganu bersiap sedia untuk memberi cabaran dalam kejohanan kelayakan Piala Monsoon 2013 yang akan diadakan di Pulau Duyong,Kuala Terengganu bermula, esok (Jumaat).

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin berkata tujuh pasukan tempatan termasuk Terengganu akan berentap dalam kejohanan selama empat hari itu.

"Matlamat kejohanan ialah untuk memilih sebuah pasukan terbaik bagi mewakili Malaysia pada kejohanan Piala Monsoon yang akan diadakan di tempat yang sama penghujung bulan ini," katanya

Menurut Zainal, pasukan Terengganu telah menjalankan latihan intensif sejak dua bulan lepas sebagai persediaan menghadapi kejohanan di peringkat kebangsaan itu.

 Katanya penyertaan Terengganu dalam kejohanan itu bukan sahaja untuk mendedahkan pelayar dalam acara antarabangsa, malah melahirkan atlet pelayaran bertaraf antarabangsa, pada masa hadapan.

 “Bekas pemenang pingat emas sukan pelayaran Sukma 2012 telah dipilih dan diberi penghormatan untuk menganggotai pasukan Terengganu kali ini,” katanya.

 

13 November 2013

Bazlan meriahkan hari kecemerlangan sekolah.

Kenangan...Bazlan bergambar bersama guru dan murid cemerlang SK Pagar Besi.
Oleh: Aminudin Ismail.
Foto: Ehsan Mazlan Mustaffa (Pejabat Dun Batu Rakit).

BATU RAKIT: Sebagaimana Wakil Rakyat yang lain, Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman juga sibuk menghadiri Majlis kecermerlangan Pelajar di kawasannya sepanjang minggu ini.

Antara sekolah yang dihadirinya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi, SK, Batu Rakit dan SK Bukit Wan yang dihadirinya hari ini dan semalam.

Bazlan..semoga jadi insan berguna.
Bazlan mengucapkan tahniah kepada murid yang berjaya menerima hadiah kecemerlangan dan kepada yang tidak berjaya cuba lagi pada tahun hadapan.

"Semoga Sekolah-sekolah di Dun Batu Rakit ini akan terus berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan melahirkan lebih ramai pemimpin serta cerdik pandai pada masa hadapan.

"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat mengadakan anugerah kecemerlangan ini. Terima kasih juga kepada guru-guru yang tidak jemu-jemu memberikan ilmu agar para pelajar menjadi insan yang berguna di masa hadapan.

"Di peringkat inilah kita perlu mendidik anak-anak pelajar agar menjadi seorang pemimpin yang berjaya suatu hari nanti," katanya.

Menurutnya, Ibubapa juga perlu memainkan peranan yang penting dalam mendidik minda anak-anak untuk terus berusaha dan berjaya. Tahniah kepada mereka yang berjaya. Semoga kejayaan hari ini menjadi pendorong untuk terus berjaya dimasa hadapan.
Tiba..Bazlan disambut tiba di SK Pagar Besi.
Tahniah..seorang murid menerima hadiah.
Bergambar...murid cemerlang SK Bukit Wan bersama Bazlan dan guru.
Rai..Bazlan menerima bunga dari seorang guru.
Hadir...bersama guru-guru SK Batu Rakit.
Meriah..antara murid SK Batu Rakit hadir menjayakan majlis.

 

Ikhlaslah Sokong Kerajaan-Mohd Jidin.

Mohd Jidin...rakyat dapat faedah.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee mahu penduduk di daerah Setiu ikhlas memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional dan tidak hanya kepada waktu-waktu tertentu sahaja.

Menurutnya, beliau pelik dengan sikap segelintir penyokong kerajaan BN yang tiba-tiba menyokong parti pembangkang pada pilihan raya Umum ke 13 lalu sedangkan sebelum itu mereka semua sering kelihatan bersama BN.

Katanya, sikap kumpulan itu adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan perlu dihindarkan kerana mereka ini sebenarnya penyokong kerajaan tetapi oleh kerana sesuatu sebab, mereka tiba-tiba berpaling kepada pembangkang.

“Soalnya sekarang kita mahu membentuk kerajaan bagi membantu rakyat. Tak kanlah kerana mintak satu perkara dengan saya tidak dapat tetapi mintak 10 dapat terus tidak menyokong Barisan Nasional, ataupun kerana tidak berpuashati dengan Pengerusi JKKK.

“Saya nak mintak tolong ubah (sikap sedemikian), bersama-samalah kita berpakat menyokong Barisan Nasional kerana tiada parti lain di negara ini yang mampu memberi pelbagai kemudahan kerana rakyat selain Barisan Nasional,” katanya ketika berucap di Majlis Pembahagian Dana Raya di sini.

Mohd Jidin berkata, jika BN menang tentunya rakyat akan mendapat faedah kerana banyak kemudahan yang mereka akan dapat termasuklah pelbagai bentuk bantuan termasuklah wang ehsan, BR1M, bantuan pelajaran anak-anak, bantuan warga emas, bantuan OKU dan lain-lain. 

“Saya memintalah supaya orang Permaisuri ini, ikutlah orang ramai, kalau ramai yang menyokong barisan (BN), ikutlah barisan kerana ini memudahkan kita membaiki dan menguruskan rakyat dengan baik sebagai kerajaan,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada seluruh penduduk Setiu kerana terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional sehingga mampu menang di kesemua empat Dewan Undangan Negeri dan satu parlimen dalam Pilihanraya Umum ke 13 Mei lalu.

 

Festival Teater tampilkan 12 pasukan persembah karya seni

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mohd Hafizuddin Mat Taha (pelatih)

Sebanyak 12 pasukan teater dari seluruh Terengganu akan mempersembahkan karya seni sempena Festival Teater Peringkat Negeri Terengganu 2013, di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Terengganu, Kuala Ibai, pada 17 hingga 23 November ini.

Encik Zahari ketika membuat sidang akhbar Festival Teater peringkat negeri Terengganu pada 17 hingga 23 November ini.
Enam kumpulan terbaik dalam program dua tahun sekali yang mendapat kerjasama Majlis Teater Negeri Terengganu (MTN) layak ke pertandingan peringkat kebangsaan tahun depan.

Timbaan Pengarah JKKN Terengganu, Encik Zahari Mat, berkata lima kumpulan akan mempersembahkan teater bagi kategori monodrama, manakala selebihnya bagi kategori teater moden.

“Pada malam pertama (17 November), tiga kumpulan akan membuat persembahan, diikuti empat kumpulan (monodrama) pada malam kedua, manakala satu kumpulan pada lima malam berikutnya, 19 hingga 23 November ini.

 “Sejurus tamat persembahan pada malam terakhir, akan disusuli dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong,” katanya di sidang media Festival Teater Peringkat Negeri Terengganu 2013, di Pejabat Media Kelab Wartawan Terengganu, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Encik Zahari berkata, bagi kategori teater moden, juara bakal membawa pulang RM2,500, naib juara (RM2,000) dan ketiga (RM1,500), sementara kategori teater monodrama pula akan mendapat RM700 bagi juara, naib juara (RM600) dan ketiga (RM500).

Katanya, bagi mengiktiraf dan mengangkat pelakon yang layak beberapa anugerah diperkenalkan termasuk pelakon lelaki terbaik,pelakon wanita terbaik, pelakon pembantu lelaki terbaik,pelakon tambahan wanita terbaik,pelakon harapan lelaki terbaik,pelakon wanita harapan terbaik dan sinografi terbaik bagi peringkat negeri terengganu.

Kumpulan yang bakal bertanding ialah Kelab Teater Layar Opera (Universiti Malaysia Terengganu ) dengan teater bertajuk `Itu Dosaku’ arahan Sarifudin Marzuki) dan Kampung Semerah Padi (Mohd Firdaus Zulkifli); Grup Teater Asyik Terengganu (Inangda)(Imran Ismail) ,(Pj 6666)(Sheful Hizzam Sulung) dan (Kucing Siam)(Mohd Saberi Muda).

Lain-lain, Aura Kreatif Production (Aku yang Berdosa) (Niz Izman); Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Setiu (Dalang)(Rozi Adam); Is Nur Teater (Betalah Perempuan Itu) (Nor Nameina Aisyah Nazarul Zaman); Dramatic Picture(Ju & Meo)(Jo Sidek); Kumpulan Kesenian Oraong ulu Keulu( Balaiklah Wouk)(Mohd Fadzli Abdul Manan), Seni Pujangga Uitm Dungun; Terengganu(Inflakasta)(Syed Muizuddin Syed Sham) dan Alang Perkasa( Pertubuhan Teater Tamu Terengganu (Tetamu) (Mohd Fauzi Yahya).

“Sehingga kini, kita banyak menerima penyertaan bagaimana pun kita terpaksa menapis permohonan itu dan hanya memutuskan 12 kumpulan untuk terlibat dalam festival yang akan dilaksanakan selama seminggu di JKKN Terengganu.

“Juri terdiri daripada professional dari Aswara,istana budaya dan JKKN Sabah, manakala penggiat seni teater tersohor bersetuju untuk hadir pada malam penutup (23 November) bagi mengulas persembahan peserta nanti,” katanya.