Halaman

17 February 2014

Unit Rondaan Bermotosikal (URB) PDRM Besut dilancar


YB Muhamad Pehimi melepaskan anggota peronda URB Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Penduduk sekitar bandar Jertih terutama kawasan perkedaian dan perumahan akan mendapat khidmat Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia bermula hari ini.

Perkhidmatan 24 jam membabitkan 15 lokasi terpilih bertujuan mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit yang sebelum ini merekodkan kes yang membimbangkan.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof melancarkan unit berkenaan dalam satu upacara khas di Tapak Medan Selera Jerih, pagi tadi.

Ia turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintandan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Majlis pelancaran itu mendapat sambutan penduduk setempat yang hadir memeriahkannya yang dihadiri pemimpin masyarakat, wakil badan bukan kerajaan dan peniaga sekitar bandar Jertih.

Sebanyak 17 motosikal peronda disediakan untuk membuat rondaan 24 jam di kawasan yang dipilih oleh PDRM daerah Besut.

Tugas utama unit berkenaan adalah untuk membuat rondaan di kawasan taman perumahan dalam tempoh 24 jam bagi mencegah berlakunya jenayah khususnya jenayah pecah rumah dan mencuri motosikal.

Kontrak 160 guru KAFA disambung

Oleh: Suriati Ali

Seramai 160 daripada 303 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang tidak disambung kontrak akhir Disember tahun lalu telah diambil berkhidmat semula dengan yayasan itu awal bulan ini.

 Pengarah YIT, Md Kamarul Al Amin Ismail berkata, pengambilan semula guru-guru berkenaan telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pendidikan YIT yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri Ghazali Taib.

 "Sebenarnya seramai 240 orang daripada 303 guru itu telah membuat rayuan,” katanya.

Menurut Md Kamarul Al-Amin, guru-guru tersebut telah bertugas pada 3 Febuari yang lalu sama ada di sekolah masing-masing atau sekolah baharu.

 Dalam pada itu beliau berkata, YIT mengambil seramai 140 orang guru baharu daripada 500 orang yang memohon bagi memantapkan kelas KAFA.

 Katanya, dengan pengambilan guru-guru baharu dan pengambilan semula guru-guru lama itu, tidak timbul lagi masalah kekurangan guru KAFA di sekolah-sekolah YIT.

-

Tiga program ijazah sarjana muda UniSZA diiktiraf JPA

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya menerima pengiktirafan kelayakan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekaligus membuktikan sudah mengorak langkah maju setapak ke hadapan.

Program berkenaan adalah Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko Dan Takaful) dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (Kepujian).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mahadzirah Mohamad berkata, pengiktirafan yang diberikan itu secara langsung membuka pelbagai peluang kepada graduan ketiga-tiga program berkenaan.

"Siswazah yang terbabit layak untuk memegang jawatan dalam sektor awam selain merebut peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi sama ada dalam mahupun luar negara.

“Alhamdulillah, saya juga amat bersyukur dan merakaman setinggi penghargaan kepada JPA atas pengiktirafan yang telah diberikan ini," katanya.

Sementara itu, Pusat Pengurusan Bakat dan Kualiti Akademik (CTMAQ), UniSZA menganjurkan Bengkel Penyediaan Dokumen MQA-01 dan Penyediaan Dokumen Penubuhan UniSZA International Campus Kuala Lumpur (UIC).

Bengkel tiga hari berakhir Sabtu lalu (15 Februari) itu bertujuan untuk menyediakan dokumen MQA-01 bagi program-program pascaijazah dan prasiswazah sebagai inisiatif menawarkan program akademik baharu di UniSZA, bertempat di Hotel Primula Kuala Terengganu.

Katanya, seramai 35 peserta dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) termasuk Fakulti Pengurusan Perniagaan & Perakaunan (FPPP), Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Fakulti Informatik & Komputeran (FIK), Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa (FUHA), Fakulti Bahasa & Komunikasi (FBK), UIC dan ESERI menyertai program berkenaan.

Selain Prof Dr Mahadzirah, hadir sama adalah Pengarah Pusat Pengurusan Bakat dan Kualiti Akademik (CTMAQ), Prof. Madya Dr. Nizaita Omar.


Kesihatan Setiu lancar gempur aedes di Seri kenangan.

Zulkifly (tengah) bersama Azmidi dan Dr. Akram. (kanan).
Oleh: Aminudin Ismail.

KIRA-KIRA 100 penduduk Kampung Seri Kenangan hadir menjayakan program Ayuh Gempur Aedes Perdana Peringkat Daerah Setiu, yang diadakan di Kampung Seri Kenangan, Pelong, Setiu, Kelmarin.

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Setiu (PKDS) dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Kenangan itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh.

Pengerusi JKKK Kampung Seri Kenangan, Muhammad Saad, berkata pelbagai acara diadakan sempena program itu, antaranya ialah gotong-royong membersih kawasan kampung, pemeriksaan mata dan pameran kesihatan.

Muhammad...terima kasih.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Setiu kerana mengadakan program ini di sini dan juga kepada YB Che Zulkifly Jusoh kerana sudi hadir merasmikan program ini. Program ini banyak memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Che Zulkifly berkata, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Setiu dan JKKK Seri Kenangan kerana menjemputnya merasmikan program itu.

“Penduduk Seri Kenangan ini bertuah kerana kampung mereka dipilih untuk menganjurkan program ini dan Program ini adalah program yang dilaksana di seluruh Malaysia serentak pada hari ini dan program ini bertujuan untuk membenteras nyamuk aedes penyebab demam denggi kawasan masing-masing.

“Program ini diharapkan tidak berakhir dan disini sahaja tetapi ia hendaklah diadakan setiap bulan di kawasan berlainan. Kawasan yang dibuat gotong royong perlu mengekalkan kebersihan di tempat masing-masing,” katanya.

Turut hadir ialah Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu, Mohd Azmidi Abdullah dan Pegawai Perubatan Klinik Seri Langkap, Dr Akramuddin Mohd Razi.
Sebahagian penduduk yang hadir.

Pameran turut diadakan.

Pengunjung mendaftar diri.

Seorang bapa hadir bersama anaknya.

Antara penduduk yang hadir.

Hadirin sedang mendengar ucapan Zulkifly.

Penduduk sempat menatap akhbar Teganukita.

 

16 February 2014

Kemudahan wifi percuma secara berperingkat

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) percuma melibatkan peruntukan RM30 juta dalam pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu kepada rakyat secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan Terengganu negeri pertama dilengkapi wifi percuma sepenuhnya.

“Kini, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dijadikan lokasi pertama yang disediakan dengan kemudahan itu untuk kegunaan orang ramai.

“Bermula di LTSM, ia akan diperluaskan ke Bestari.com, Tasik Kenyir, perpustakaan desa dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan e-Book Murid Tahun Lima Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, baru-baru ini.

Menurut Dato’ Ahmad Razif yang juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, kerja-kerja pemasangan WiFi di tempat-tempat lain selain LTSM, sedang dan akan dibuat secara berperingkat.

Katanya, kemungkinan jarak liputan untuk orang ramai akses kepada kemudahan WiFi percuma ini akan ditingkatkan supaya masyarakat sekitar di kawasan yang dibekalkan kemudahan berkenaan turut mendapat manfaat.

“Sekarang ini, kawasan liputannya lebih kurang dalam jarak 100 meter dan kemungkinan selepas ini akan ditingkatkan sehingga 500 meter,” katanya.

 

ADUN Jabi serah e-book di rumah murid berpenyakit lukemia


YB Mohd Iskandar (kanan) menyerahkan e-book kepada Adam.

Oleh: Mohammad Ishak 

Pengagihan e-book kepada murid di negeri ini tidak hanya terbatas kepada mereka yang normal sebaliknya ada juga murid malang yang menghadapi pelbagai penyakit turut mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Murid berpenyakit lukemia, Adam Noruddin, 11, dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung,Jabi adalah yang bertuah kerana turut mendapat pemberian e-book oleh kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi,Mohd Iskandar Jaafar bersama Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab Halim Hassan, turun padang menyerahkan e-book berkenaan kepada Adam di rumah keluarganya di Kampung Bukit Tempurung, Kerandang.

Kehadiran Mohd Iskandar dan Ab Halim menyerahkan e-book di rumah keluarga Adam, mengembirakan mereka kerana tidak disisihkan daripada mendapat kemudahan itu.

Adam yang ditimpa penyakit lukemia sejak tiga tahun lalu, sebenarnya ingin datang sendiri untuk menerima ketika majlis penyerahan diadakan di Sekolah Kebangsaan Jabi, tetapi terpaksa dibatalkan kerana dia tidak upaya untuk hadir majlis itu.

Bagaimanapun, Mohd Iskandar yang prihatin dengan nasib menimpa murid terbabit membuat keputusan hadir sindiri di rumah keluarga untuk menyerahkan e-book sumbangan kerajaan negeri.

Bapanya, Noruddin Abdullah,46, terharu dengan kehadiran Yang Berhormat ke rumahnya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang turut memilih anaknya menerima e-book.

Mohd Iskandar berkata pada tahun ini 500 murid dari 13 sekolah diDUN Jabi menerima e-book dan berharap ibu bapa turut memantau aktiviti anak ketika menggunakan kemudahan itu.

Karnival ICT dedah MO jenayah siber

Oleh: Suriati Ali

Penganjuran Karnival Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) Terengganu, di Pusat Dagagan Terengganu bukan saja mempamerkan bahan berkaitan kemudahan itu malah mendedahkan mengenai Modus Operandi (MO) jenayah siber.

 Karnival yang diadakan selama tiga hari bermula 13 Februari dan berakhir semalam (15 Februari) kali pertama diadakan sebagai usaha menekankan mengenai kepentingan pengetahuan ICT di semua peringkat usia khususnya kepada golongan warga emas.

 Eksekutif Program Penggalakan Sains Inovasi, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Mohd Hakimi Awang Su berkata, kebanyakan jenayah siber yang berlaku disebabkan masyarakat tidak mendapat maklumat lengkap mengenai MO yang dijalankan dalam jenayah siber ini malah taktik licik yang dilakukan penjenayah memudahkan ramai tertipu.

“Justeru, kita memandang serius penganjuran karnival dan pengisian di dalamnya agar pendedahan ilmu pengetahuan, sains teknologi dan multimedia dapat dikongsi bersama supaya masyarakat sedar kepentingan ICT dalam era globalisasi ini,” katanya.

 Menurutnya, hampir 10,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Berang mengunjungi Karnival ICT Terengganu yang dianjurkan Unit Pengurusan Maklumat Negeri dengan kerjasama Pusat Sains Kreativiti Terengganu itu.

 “Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan daripada semua peringkat usia terutama golongan pelajar. Tahun depan kita sasarkan karnival yang lebih hebat lagi dengan pengisian lebih bermanfaat.

 “Kita juga ada menjemput 500 pelajar untuk menyertai karnival ini dan jumlah penyertaan hampir 1,000 pelajar. Justeru, kita menyasarkan pengunjung Karnival ICT Terengganu ini melebihi 10,000 pada tahun akan datang,” katanya.

 Beliau berkata, karnival itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan malah ia amat bersesuaian lebih-lebih lagi apabila pelajar didedahkan dengan e-book dan kelas maya.

 “Sebab itulah kita dedahkan mengenai pengetahuan ICT dalam dunia serba moden ini kerana sekiranya kita tidak tahu mengenai ICT, kita akan dianggap mundur. Sistem pembelajaran sekarang pun banyak menggunakan ICT.

 “Selain menyemai minat masyarakat mengenai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ICT, kita juga mencungkil bakat dan minat peserta menerusi daya reka cipta ICT yang kreatif.

 Kita harap karnival ICT ini akan terus menjadi medium untuk menyalurkan maklumat mengenai teknologi terkini kepada masyarakat,” katanya.

 

Intel Iktiraf Terengganu Perintis Penggunaan eBook

Laporan Terus daripada Ruslan Abdul Rahman dari TATIuC:

 Intel syarikat pengusaha komputer bertaraf dunia mengiktiraf negeri Terengganu satu satunya negeri yang pertama mengadakan e-Book kepada pelajar sekolah rendah, demikian diberitahu Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said.
 Katanya, pada tahun ini sebanyak RM50 juta lagi diperuntukkan untuk pemberian e-Book percuma kepada pelajar tahun 4 dan 5 di Terengganu, suatu pelaburan yang besar untuk melahirkan pelajar yang sesuai dengan zamannya.
 Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian e Books untuk pelajar tahun 5 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal, Kemaman, bertempat di TATIuC.
 Seramai kira kira pelajar 600 orang tahun 5 dari 10 buah sekolah rendah dalam Dun Kijal.
 Hadir sama isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud, Pengarah Pelajaran Negeri, Zakaria Hussien, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman Mustaffa Khalid, Pengarah APMT Haji Roshali Taha dan para ibubapa.
Pelajar OKU, Norhazwani Ain dari Sek Keb Meraga Beris antara pelajar yang mendapat E-Book dari Menteri Besar pagi ini.

Gambar itu Palsu- Neelofa.

Neelofa...hentikan fitnah.
Oleh: Aminudin Ismail.

PELAKON Neelofa Mohd Noor mengesahkan bahawa gambar dia bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang tersebar di internet itu adalah palsu dan ia sengaja diadakan bagi mengaibkan dia dan MB Terengganu.

Neelofa ketika memberitahu Teganukita melalui perantara rakan karibnya, Tengku Khalidah Tengku Bidin, Neelofa (25) berkata, gambarnya bersama Ahmad Said itu yang kini tersebar di beberapa media sosial dan blog itu sengaja dicipta bagi mencemarkan nama baik MB Terengganu, juga dia sendiri.

“Ini adalah gambar ‘superimposed’. Gambar asal adalah gambar saya bergambar dengan arca lilin actor Hollywood, George Clooney ketika saya berkunjung ke LA (Los Angeles) tidak lama dulu. 

“Pihak tidak bertanggungjawab sudah manipulasi gambar itu dengan menukarkan wajah Clooney kepada wajah MB Terengganu. Ini adalah satu penipuan dan fitnah yang mengaibkan kedua-dua pihak,” katanya.

Pelakon jelita yang pernah membintangi beberapa filem dan drama itu turut menunjukan sekeping gambar asal dia dan patung lilin itu kepada Tengku Khalidah.

Dengan penjelasan ini, Neelofa meminta supaya fitnah itu dihentikan segera dan dia mahu sesiapa yang menerima gambar yang diubahsuai itu tidak dihantar (forward) kepada orang lain.

“MB Terengganu menjadi mangsa fitnah, begitu juga dengan saya. Atas semangat saudara sesama Islam, saya mengharapkan pihak terbabit hentikan fitnah itu segera kerana ia tidak mendatang apa-apa faedah,” katanya.

Teganukita semalam, melaporkan berita penafian Dato’ Seri Ahmad Said mengenai gambar beliau bersama Neelofa yang tersebar luas di internet.

"Kerja mengedit gambar ni bukan mudah, nak suruh nampak macam betul, tetapi ada yang sanggup melakukan kerja fitnah begitu dan tidak takut kepada dosa dan larangan Allah' kata Ahmad Said.

Dalam pada itu, MB Terengganu itu juga turut menjelaskan mengenai hal sebenar perkara itu ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian e.Book di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal, di Kemaman, hari ini.


Cakna Rakyat Parlimen Setiu diteruskan.

Zulkifli dan Iskandar di rumah seorang pesakit di Tok Dor.
BAGI memastikan semua penduduk mendapat manfaat daripada Program Cakna Rakyat Parlimen Setiu, kini Cakna Rakyat pusingan kedua pula dilaksanakan iaitu membabitkan beberapa kampung di Dun Jabi, kelmarin.

Program yang bertujuan untuk menyelami denyut nadi rakyat itu menziarahi beberapa rumah pesakit dan warga emas serta mengenalpasti pelbagai permasalah penduduk untuk diselesaikan.

Di Dun Jabi kelmarin itu, sebanyak lapan buah rumah dikunjungi iaitu dua di Kampung Tok Tor, Kampung Baru Tok Dor (2), Kampung Anak Ikan Dalam dua buah rumah dan Kampung anak ikan (4).
Rombongan ketika menziarahi rumah orang meninggal.

 Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, berkata seramai kira-kira 20 peserta menyertai rombongan cakna rakyat itu terdiri daripada Wanita, Pemuda, Putri UMNO dan beberapa pengerusi JKKK.

"Pada program itu juga, kita mengunjungi rumah dua penduduk yang meninggal dunia iaitu di Kampung Tok Dor dan Kampung Bukit Tanah.

"Saya mengharapkan program ini dapat diteruskan dengan baik dan lancar supaya semua kampung dapat kita ziarahi pada pada tahun ini, Insya Allah," katanya yang turut menghulurkan hamper kepada pesakit dan wargaemas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh, berkata beliau akan terus sentiasa berada di samping rakyat sekiranya tidak mempunyai tugas di Parlimen kerana mahu memastikan penduduk di Parlimen Setiu ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan.- Aminudin Ismail.
Di rumah seorang wargaemas.
En.Zul bersama Iskandar sempat berjenaka dengan Mohd Abdul Rahman dari Kampung Tok Dor.