Halaman

31 March 2014

Sekitar Majlis Multaqa Imam, Guru Takmir & Jawatankuasa Masjid peringkat Negeri Terengganu yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom (B) di Wisma Darul Iman, sebentar tadi. - Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom bertanya khabar teman seangkatannya, Dato' Haji Mohd Rozali Salleh sambil ditemani SUK Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah sebaik tiba di Wisma Darul Iman untuk merasmikan majlis berkenaan.

Apa yang dibincangkan oleh SUK Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Baharom sehingga mereka tergelak besar.

Antara iman dan jawatankuasa masjid hadir pada majlis berkenaan.




Sekitar sambutan Hari Kadet Polis di Setiu.

Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI kira-kira 480 anggota Kadet Polis dari seluruh sekolah menengah di daerah Setiu hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Kadet Polis Yang Ke-44, Peringkat Daerah Setiu yang diadakan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Daerah (IPD), Bandar Permaisuri, Setiu, pagi tadi.

Majlis yang dimulai dengan perbarisan dan pemeriksaan Pasukan Kawalan Hormat oleh Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Mohamed itu turut dihadiri beberapa guru dan pegawai Polis IPD Setiu.

Abdul Rahman berkata, sambutan hari kadet sekolah itu adalah program tahunan Kor Kadet Polis dan ianya adalah anjuran bersama Pejabat Pelajaran Daerah(PPD) Setiu.

"Tujuan program itu diadakan adalah untuk menguji kemampuan dan kebolehan dari segi minda dan fizikal setiap anggota Kor Kadet Polis itu.

Abdul Rahman memeriksa pasukan kawalan.
"Sambutan hari kadet polis ini diadakan serentak pada 31 Mac di seluruh negara untuk memberi pendedahan yang luas mengenai aktiviti Kor Kadet Polis yang terpilih bagi memupuk semangat patriotik dan kerjasama dan kemahiran setiap anggota," katanya.

Pada majlis itu juga, Abdul Rahman membaca teks ucapan Ketua Polis Negara sempena sambutan Hari Kadet Polis itu dan menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua anggota kadet polis serta guru.

Turut hadir ialah, Romeli Ismail, Komandan Kor Kadet Polis Daerah Setiu dan Ketua Siasatan Jenayah Daerah, ASP Idris Mohamed.
Ab Rahman tiba disambut beberapa guru.
Ketua Polis Daerah membalas tabik hormat.

Beberapa pegawai Polis daerah menyanyikan lagu tema Polis.

Seorang pegawai Polis dan pasukan kawalan mengaminkan doa.
Ketua kadet SMK Guntung menerima sijil.

Anggota kadet berikrar taat setia.

Ab Rahman menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil sekolah.

Pengetua SMK Putera Jaya menerima sijil penghargaan.

Pelajar sebuah sekolah turut dijemput.

Antara tetamu jemputan yang hadir

 

SBM wujud pusat pembelajaran sepanjang hayat

Oleh ; Esah Abdullah

Pertubuhan Orang cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Terengganu akan dijadikan sebagai Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat Zon Timur.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Iskandar Jaafar berkata, pusat berkenaan akan memberi pelbagai kemudahan kepada ahli dan anak-anak ahli di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Pusat berkenaaan akan beroperasi di bangunan baru dua tingkat yang berharga RM350,000 terletak bersebelahan Pejabat SBM Terengganu di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Baru SBM dan Karnival Sukan Zon Timur di Wisma Promacatera, Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Turut hadir,Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Dato' Haji Nasir Ibrahim Fikri; Presiden SBM Pusat, Encik Mohamad Nazari Othman dan Pengerusi SBM Terengganu Encik Mohd Abdul Nasir Malek.

Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan miskin dan kurang upaya serta membelanjakan hampir RM1 juta setiap tahun untuk kesejahteraan hidup rakyat.

Sementara itu Encik Mohamad Nazari berkata, karnival sukan zon timur diadakan bersempena sambutan Jubli Emas SBM Pusat dengan menampilkan tujuh acara sukan antaranya, tenpin boling, ping pong, catur, dominos, congkak, dam aji.

Tuan rumah Terengganu muncul juara keseluruhan dalam karnival yang julung kali diadakan itu dengan 64 peserta cacat penglihatan dari tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

30 March 2014

SRS Kampung Pelong di lancar.

Idris (dua dari kanan) bersama Abdul Rahman (sebelahnya)
Oleh: Aminudin Ismail.

PENUBUHAN Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Pelong pada awal tahun 2013 lalu sememangnya mampu mengawal kegiatan jenayah di kampung itu sehingga mendapat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Setiu.

Sehubungan itu, bagi memantapkan SRS di kampung itu, satu majlis pelancaran skim itu diadakan kelmarin dan pelancaran dilakukan oleh Ketua Siasatan Jenayah IPD Setiu, ASP Idris Mohamed.

Turut hadir ialah Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung itu, ahli SRS dan beberapa penduduk kampung.

Antara jemputan yang hadir.
Pengerusi JKKK Kampung Pelong, Abdul Rahman Abu Bakar berkata, sehingga ini seramai kira-kira 100 penduduk menyertai SRS dan mereka ditugaskan secara bergilir mengawal kampung bermula jam 12 malam.

"Alhamdulillah, sambutan penduduk terhadap SRS ini amat mengalakan dan sejak ia ditubuhkan tahun lalu, masing-masing memberi kerjasama untuk menjalankan tugas rondaan.

"Keadaan kampung ini begitu selamat dan kegiatan mencuri dan penagihan dadah dapat dibendung dan dikawal. Saya mengharapkan matlamat jenayah sifar dapat dicapai supaya penduduk dapat hidup dengan aman dan harmoni," katanya.

 

Pangsapuri 30 tingkat di Ladang Kapor bakal dibina-MB

Penduduk sekitar Kampung Ladang tertarik melihat lakaran pembangunan termasuk membina sebuah lagi pangsapuri setinggi 30 tingkat di Ladang Batu Kapor, Kuala Terengganu.
Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan membina sebuah lagi pangsasuri setinggi 30 tingkat membabitkan kawasan 15 hektar di Ladang Batu Kapor, Kuala Terengganu bagi menempatkan sebahagian lagi penduduk yang belum memiliki kediaman.

Pangsapuri yang sedang dalam perancangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan dilengkapi lot perkedaian dan kemudahan tempat letak kereta bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Jadi kenyataan...sebahagian penerima kunci rumah Ladang Gemilang 1 dan 2 di majlis penyerahan kunci rumah oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, hari ini.
Setakat ini dua pangsasuri iaitu Ladang Gemilang 1 sudah didiami 170 penghuni dan Ladang Gemilang II setinggi 12 tingkat pula bakal dimiliki 192 ketua keluarga dalam tempoh terdekat.

Manakala, satu pangsapuri sama di Ladang Tok Pelam setinggi 30 tingkat menyediakan 407 unit kediaman berkeluasan lebih 840 kaki persegi berharga RM195,700 (sebelum subsidi) sudah siap sepenuhnya, bakal diagihkan kepada pemilik dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sememangnya prihatin dengan nasib penduduk di kawasan ini kerana mengetahui mereka kurang berkemampuan untuk membina rumah sendiri apatah lagi membabitkan kawasan bandar.

 Katanya, bangunan kediaman yang bakal dibina di Ladang Batu Kapor itu juga akan diberi keutaman kepada penduduk Ladang, Ladang Sahak, Ladang Tok Pelam dan juga Kampung Tanjung yang melibatkan penstrukturan semula bandar Kuala Terengganu.

 “Ia akan dijual dengan harga subsidi yang bakal ditetapkan kelak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Pangsapuri Ladang Gemilang II di pangsapuri itu, Ladang, Kuala Terengganu, petang ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato' Osman Muda dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd.Sabri Alwi.

 Dato’ Seri Ahmad Said turut memberitahu, pembinaan kediaman cukup penting dan pada masa sama kiita perlu sedar bahawa keluarga terus berkembang dan kadang-kadang terpaksa hidup berasak-asak dalam rumah membabitkan beberapa keluarga.

 “Oleh itu kerajaan mengambil daya usaha membangunkan Kampung Ladang dan sekitarnya serta membina pangsapuri untuk menempatkan mereka dengan lebih selesa,” katanya.

 

Pasar Payang Jadi Pilihan Pelancong

Oleh: Suriati Ali 

Setiap kali tiba cuti sekolah atau cuti am beberapa destinasi menarik di Terengganu terutama Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) pasti menjadi lokasi pilihan pelancong untuk membeli pelbagai barang yang digemari.

Kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri ghairah membeli pelbagai jenis barangan seperti batik, sutera, songket dan makanan tradisional Terengganu untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

 

Tidak ketinggalan, barangan tembaga, rantai kunci penyu dan baju-T bertulisan Terengganu turut menjadi pilihan mereka sebagai tanda kenang-kenangan dan cenderamata kepada saudara serta rakan-rakan.

Tinjauan Teganukita mendapati, setiap pelanggan terpaksa berhimpit ketika membeli dan melalui lorong yang mengasingkan peniaga kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan sepanjang cuti penggal pertama persekolahan yang berakhir semalam.

Seorang pengunjung dari Pulau Pinang, Shamsinah Shamsudin, 33, berkata dia yang pertama kali datang Terengganu seakan teruja apabila berpeluang singgah ke destinasi tersohor iaitu pasar payang.

‘Bagi pengunjung luar, bagaikan satu perkara perlu untuk singgah di lokasi setiap kali datang ke Terengganu, selain beberapa tempat menarik lagi, termasuk Pantai Batu Burok dan Taman Tamadun Islam.

 “Berkaitan makanan pula, mesti menikmati nasi dagang dan membeli keropok lekor untuk dibawa pulang, selain dijadikan buah tangan kepada saudara atau rakan.” Katanya.

 Pengusaha kedai Batik, Nor Hayati Kamaldin, 26, berkata cuti persekolahan dan cuti umum adalah bonus bagi dia serta rakan niaga lain kerana mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

 Katanya, dia mengambil kesempatan menjual batik Terengganu secara lelong iaitu 11 helai dengan harga RM100 dan pelbagai jenis barangan lain secara murah.

 “Cara berkenaan mampu menarik minat pelanggan untuk mengunjungi lot kedai saya dan rata-ratanya memuji kecantikan batik Terengganu,” katanya.

 

29 March 2014

TBW2014 ke Pantai Rhu Sepuloh.

Mesra...Tengku Sri Temenggong bertanyakan sesuatu kepada seorang kanak-kanak penerima sumbangan sambil diperhatikan oleh Mohd Jidin dan Sabri.
Oleh: Aminudin Ismail. 

PESERTA Konvoi Terengganu Bike Week 2014 (TBW2014) dipelawa untuk tingal selama dua hari satu malam melakukan beberapa aktiviti di Rhu Sepuloh, Setiu pada perhimpunan TBW tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permasuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, antara aktiviti yang akan diaturkan kepada peserta TBW itu ialah sukan laut, melawat wetland dan melihat permainan dan makanan tradisional.

“Saya difahamkan rombongan ini agak ramai juga iaitu 1,600 peserta dan jika hadir semua kita masih mampu mengatur beberapa program dan menyedia kemudahan untuk peserta.Kita berharaplah tahun depan kita dapat membuat program ini awal sedikit," katanya yang juga Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri itu.

Katanya, Setiu juga akan memperkenalkan beberapa makanan tradisional , hasil sungai, hasil darat dan sebagainya yang belum pernah dilihat atau di makan oleh sebahagian peserta sebelum ini.

Sebahagian peserta yang menyertai konvoi.
“Saya harap peserta akan dapat bersama-sama penduduk di kawasan ini untuk melihat sendiri cara hidup masyarakat di sini,” katanya pada majlis menyambut peserta konvoi yang diketuai oleh Tengku Temenggong Raja Datuk Sri Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Almuktafibillah Shah, di Pantai Rhu Sepuloh, Penarik, Setiu, hari ini.

Mohd Jidin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur program kerana memilih Pantai Rhu 10 antara destinasi peserta ‘Bike Week’ pada program tahun ini.

Pada majlis itu juga turut diadakan acara penyampaian sumbangan kepada seramai 30 anak yatim dari beberapa buah kampung di Dun Permaisuri.

Turut hadir ialah Adun Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor, Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman,  Pengarah TBW 2014, Husni Lop Yusof, Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Mohamed dan Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu, Mohd Azmidi Abdullah.
Tiba...'bikers' tiba di Pantai Ru Sepuloh kira-kira jam 11 pagi.

Pengerusi JKKK Bari Kecil dan beberapa penduduk bergambar kenangan.

Antara peserta dan jemputan yang hadir.

Sebahagian jemputan yang hadir memeriahkan majlis.

Seorang peserta dari Kuala Lumpur sempat bergambar untuk TK.

Tengku Temenggong(dua dari kiri) bersama 'bikers'

Persembahan dikir barat turut diadakan.
Seorang penerima sumbangan bersalam dengan T.Temenggong.

Tengku Temenggong bersiap untuk pulang.

  

UKOM anjur solat hajat MH370.

BACAAN YASIN...beberapa kakitangan Unit Komunikasi (UKOM) Negeri Terengganu dan wartawan dari pelbagai media sedang membaca surah yasin di Majlis Tahlil dan Solat Hajat yang dianjurkan oleh unit itu di pejabat UKOM, Jalan Pejabat, malam kelmarin.

Timbalan Pengarah UKOM, Roslan Abdul Rahman berkata, majlis itu diadakan adalah bertujuan untuk mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t mengenai kedudukan sebenar MH370.

"Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab, UKOM menyampaikan maklumat kepada rakyat turut serta menganjurkan solat hajat, doa dan bacaan yaasin pada malam ini.

"Pada malam ini, kita memohon dan mendoakan kepada Allah s.w.t supaya diberi pentunjuk di manakah kedudukan MH370 serta diberi petunjuk samada mangsa yang terlibat itu sudah meninggal dunia atau masih hidup.

"Sekiranya masih hidup, kita bersyukur tetapi sekiranya mereka sudah meninggal dunia maka sama-sama kita berdoa kepada Allah Taala, khususnya kepada yang beragama Islam supaya mereka selamat di Akhirat," katanya.

Roslan berkata, pada malam kelmarin juga,beberapa tempat di seluruh Terengganu turut mengadakan solat hajat dan bacaan yasin untuk MH370.

Solat hajat itu diimamkan oleh Ustaz Zulkifli Mohd Nasir, bekas SU Politik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Ustaz Zulkifli juga sempat menyampaikan tazkirah mengenai qada dan qadar Allah kepada beberapa hadirin pada malam itu. - Aminudin Ismail.

 

KPM teliti kes Shalwati

Oleh: Suriati Ali 

 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti sebaik mungkin kes Shalwati Norshal yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden, selain memberi jaminan tidak akan sewenang-wenangnya mengenakan hukuman berat.

 Shalwati yang juga seorang guru bercuti tanpa gaji ditahan reman bersama suami Azizul Raheem Awalludin, sejak 18 Dis tahun lepas, kini dikenakan hukuman penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm, Sweden.kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh, berkata perundangan terhadap kes itu tetap diteruskan kerana sudah termaktub dalam akta.

 “Hukuman yang bakal dikenakan adalah sebaik-baik pertimbangan bagi mengelak mangsa, keluarga terutama anak-anak terus dibebani masalah.

 “Kita perlu lihat banyak aspek termasuk merujuk kepada pihak profesional dalam undang-undang berkaitan sebelum tindakan atau hukuman diambil.

 “Lagi pun kes seumpama ini yang membabitkan hukuman penjara di luar negara tidak pernah berlaku,” katanya . Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi di Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komo. Dato’ Idris turut memberitahu, karnival seumpama itu yang menggunakan tagline `Jom Masuk U’ mampu menjadi tempat rujukan terbaik atau dianggap `One Stop Centre’ (Pusat Sehenti) kepada orang ramai.

 “Program tahunan KPT itu dilaksanakan semenjak 2005 turut menyediakan maklumat akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma, sijil dan diploma kemahiran.

 ‘Karnival itu sudah tentu mampu mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA melalui Aplikasi Dalam Talian (Online),” katanya.

 

Majlis Pelepasan Peserta Bike Week 2014 di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu oleh Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Dato' Haji Mazlan Ngah mencuba motosikal berkuasa tinggi di ruang pameran yang turut diadakan sempena Bike Week 2014 di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Majlis pelepasan peserta yang terdiri dari seluruh Malaysia.