Halaman

31 May 2018

Khairunisa Mahu Wujud Bengkel Jahitan Muslimat Di Setiap DUN


Persatuan Pertubuhan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (Khairunisa’) berhasrat memperbanyakkan Bengkel Jahitan Muslimat ke seluruh Dewan Undangan Negeri DUN) bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan wanita di Terengganu. 

Pengerusi Khairunisa, Tuan Faizah Abd Rahman berkata bengkel seumpama itu telah lama diwujudkan bagaimanapun hanya melibatkan kelompok kecil atau wujudnya hanya di kawasan pedalaman. 

Katanya, menyedari perkara itu pihaknya berhasrat memperluaskan aktiviti sama kepada masyarakat di setiap DUN, supaya dapat menambah pendapatan sampingan keluarga. 

Madrasah Khairul Insan Jenagor Jadi Pilihan NGO Beraktiviti Sempena Ramadan


Setiap kali tibanya Ramadan, ramai pihak berlumba-lumba untuk menambah amalan masing-masing bagi memperoleh ganjaran pahala dengan mengadakan pelbagai program termasuk menyumbang kepada mereka yang memerlukannya. 

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengambil kesempatan untuk beramal bersama insan-insan istimewa yang berada di sebuah penempatan terpencil di Madrasah Khairul Insan Jenagor, Hulu Terengganu. 

30 May 2018

Sultanah Terengganu Sampaikan Sumbangan Kepada Golongan Asnaf

Sultanan Nur Zahirah berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf. Foto Harish Fadzillah Abu Kassim.


Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenaan berangkat bagi mengurniakan sumbangan Aidilfitri Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) 2018 di di Dewan Az-Zahra' Istana Syarqiyyah Chendering, di sini, hari ini. 

Baginda turut diiringi anakanda, Nur Nadhirah Zahrah Sultan Mizan Zainal Abidin. 

Tradisi menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper kepada 350 asnaf serta penenun songket itu bertujuan meringankan beban mereka sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi. 



Hadir sama ke majlis berkenaan, isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abul Rahmad, Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YTNZ dan Pengerusinya, Datuk Ridzuan Radziwill. Ridzuan ketika ditemui berkata, kesemua penerima Sumbangan Aidilfitri YTNZ 2018 memperoleh wang tunai RM100 serta hamper barang keperluan harian. 

"Tahun ini adalah tahun ketiga program ini diadakan bagi membantu meringankan beban golongan sasar yang layak merima bantuan. " 

Kehadiran MB Meriahkan Tradisi Kelab WDI Masak Bubur Lambuk



Program memasak bubur lambuk anjuran Kelab Wisma Darul Iman (WDI) bertambah meriah dengan kehadiran pemimpin nombor satu negeri yang turun padang menyertai aktiviti menyediakan 17 kawah hidangan itu, pagi ini. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama lebih 200 pegawai dan kakitangan bergotong-royong memasak dan menyiapkan masakan sempena sambutan Ramadan di perkarangan WDI, bermula jam 9 pagi. 

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri. 

29 May 2018

Kerajaan Negeri Mahu Lebih Ramai Terima Dana Raya


Kerajaan negeri membuat keputusan mengurangkan jumlah bantuan Dana Raya Aidilfitri 2018 kepada RM250 berikutan mahu lebih ramai rakyat Terengganu yang berkelayakan menerima agihan dana itu. 

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mohktar, berkata bagaimanapun jumlah peruntukan kerajaan bagi tujuan itu masih sama, hanya jumlah agihan kepada penerima dikurangkan kerana mahu seramai mungkin rakyat menikmati dana itu. 

Katanya, ini kerana selepas kerajaan Pas mengambil alih pentadbiran, beliau mendapati sebilangan besar mereka yang berkelayakan tertinggal atau mungkin terlupa untuk membuat permohonan.


"Menyedari perkara itu, kerajaan membuka kembali laman sesawang pada minggu lalu bagi memberi peluang kepada mana- mana yang belum berbuat demikian (permohonan baru). 

28 May 2018

Kebersihan Bazar Memuaskan, Peniaga Patuhi Peraturan


Tahap kebersihan di bazar Ramadan di negeri ini sangat memuaskan apabila sebahagian besar peniaga mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, kesemua 2,091 daripada 4,246 gerai di bazar Ramadan seluruh negeri yang diperiksa setakat ini mematuhi piawaian yang ditetapkan. 

Katanya, beliau sangat berpuas hati dengan tahap kebersihan yang diamalkan oleh semua peniaga di bazar Ramadan. 

"Sebagai contoh, hasil tinjauan saya di bazar Ramadan Batu Burok yang mempunyai 249 gerai ini mendapati rata-rata pengendali makanan menjaga tahap kebersihan gerai, cara pengendalian makanan dan pengendali itu sendiri berada di tahap yang amat memuaskan dengan mengambil suntikan yang disyaratkan dan sebagainya. 

Kerajaan Negeri Beri Perhatian Serius Pemulihan Taman Ilmu


Kerajaan negeri pimpinan Pas akan meneruskan pembinaan Taman Ilmu di Tembila, Besut, bagi memastikan pusat pendidikan bertaraf antarabangsa itu beroperasi dengan baik dan lancar bagi kepentingan pendidikan negeri ini. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang terbengkalai sejak 14 tahun yang lalu itu akan dipulihkan secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

Katanya, pihaknya memandang berat segala kerosakan yang berlaku pada struktur bangunan dan kemudahan yang disediakan di situ menyebabkan ia memerlukan kos penyelenggaraan yang dianggarkan hampir sama dengan pembinaan awal projek itu. 


Projek Taman Ilmu dibina atas tapak seluas kira-kira 280 hektar membabitkan peruntukan RM 400 juta pada 2004. 

30 Pelajar Kurang Upaya Antara Penerima Sumbangan Raya YDSM

Allif diiringi guru besar sekolahnya, Shahdan menerima sumbangan yang dikurniakan Sultan Mizan kepada fakir miskin dan pelajar sekolah, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
Seorang kanak-kanak cacat penglihatan, Mohd Allif Firdaus Adnan teruja apabila dapat bersalaman dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menerima bantuan sempena Hari Raya Aidilfiri Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) kepada fakir miskin dan pelajar sekolah, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini. 

Pelajar Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuala Terengganu (SKPKKT) yang diiringi guru besar, Ahmad Shahdan Ishak itu, mewakili 30 rakannya yang cacat penglihatan dan pendengaran. 


“Suka sangat dapat salam dengan Sultan. Saya gembira selepas cikgu beritahu akan wakil kawan-kawan. Walaupun tidak dapat melihat, saya tetap gembira dapat menjejakkan kaki dalam istana yang pastinya cantik ini. 

"Saya akan beri sumbangan ini kepada mak dan pastinya dapat bantu ringankan beban mak dan ayah untuk buat persiapan pakaian hari raya. Mak hanya surirumah, ayah pula juruelektrik dengan pendapatan tidak seberapa,”katanya. 

Menurut Shahdan, pelajar di SKPKKT saban tahun berpeluang menerima sumbangan dari YDSM dan inisiatif itu amat membantu golongan pelajar yang tidak bernasib baik berkenaan bagi membuat persiapan hari raya dengan ceria seperti kanak-kanak normal yang lain. 

Sultan Mizan dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenaan mengurniakan sumbangan berkenaan kepada setiap penerima. 

Turut mengiringi baginda, anakanda Nur Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra. Hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faezah Tuan Ab Rahman serta Ahli lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof. 

Program Jelajah Ramadan Ceriakan 40 Anak Yatim

Omar menyampaikan sumbangan kepada anak yatim yang terpilih dalam program Jelajah Ramadan. Foto oleh Harish fadzillah Abu Kassim.
Seramai 40 anak yatim ceria apabila menerima barangan keperluan harian dan wang tunai menerusi Program Jelajah Ramadan anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Menurut Pengurus Ketengah, Omar Ismail, sebelum itu anak-anak yatim dari tiga buah sekolah di wilayah Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Bukit Besi, Dungun dibawa ke Kuala Terengganu untuk membeli-belah pakaian hari raya. 

"Mereka juga diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama pengurusan Ketengah, pengurusan RTM Terengganu dan pengamal media. 

"Program kolaborasi ini dibiayai oleh Tabung CSR Ketengah Holding Sdn Bhd iaitu anak syarikat Ketengah dan Jelajah Ramadan ini merupakan sebahagian program tahunan Ketengah bagi membantu golongan yang memerlukannya," katanya kepada pemberita di Program Jelajah Ramadan 1439H/2018M, semalam. 

Media, Hotel Permai Kolaborasi Agih 150 Pek Juadah Sahur

Rozainah (dua dari kanan) bersama Noralizan (kiri) menyerahkan juadah sahur kepada petugas di HSNZ. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim
Persatuan Karyawan Kreatif Terengganu dengan kerjasama Hotel Permai meneruskan tradisi tahunan dalam menyantuni golongan yang kurang berkemampuan termasuk petugas di jabatan kerajaan yang bersengkang mata berkhidmat pada waktu malam hingga pagi. 

Presiden Karyawan, Rozainah Zakaria, berkata program itu sebagai tanda kecaknaan dan memberi keceriaan kepada golongan yang memerlukan perhatian dan keprihatinan masyarakat sekeliling termasuk dari badan bukan kerajaan. 

"Tahun ini kita memilih golongan gelandangan di sekitar bandar raya ini dan petugas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang bertugas demi menjaga keamanan serta kesejahteraan awam. 

"Hotel Permai menyediakan sebanyak 150 pek juadah sahur berupa nasi dan ayam goreng, sambal bilis dan kurma serta air mineral untuk diagihkan dan ini merupakan kerjasama buat kali pertama pihak kami dalam melaksanakan kerja amal, "katanya selepas menyampaikan juadah sahur kepada anggota JBPM, di Kuala Terengganu, semalam.