Halaman

02 February 2010

RM14.4 Billion Untuk HPNT

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob (kanan) ketika melakukan kunjung hormat di Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said, bagi membincangkan hala tuju pembangunan negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri memerlukan sejumlah RM14.4 billion bagi melaksanakan projek dan program yang dirangka di bawah perancangan Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu (HPNT) 2009-2013.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata,pendekatan menyeluruh melalui enam halatuju strategik di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) diberi penekanan dalam proses merangka HPNT.


Dato Ahmad bersama Tan Sri Nor Mohamed di majlis dialog mengenai RMK-10 di Wisma Darul Iman.

“Enam halatuju berkenaan antaranya, sektor swasta sebagai agen pembangunan, produktiviti dan inovasi melalui k-ekonomi, modal insan yang kreatif dan inivatif dengan kemahiran yang tinggi,” katanya di majlis dialog mengenai RMKe-10, di Wisma Darul Iman hari ini (29 Januari).

Majlis dialog itu di hadiri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Ali Hamsa dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Katanya, hampir RM3.7 billion peruntukan merupakan bajet keseluruhan negeri untuk 2009 dan 2010, manakala anggaran hasil negeri sekitar RM1.6 billion setahun dan keperluan untuk lima tahun sebanyak RM8 billion.

Oleh yang demikian katanya, perancangan yang dibuat masih lagi kekurangan peruntukan sebanyak RM6.4 billion dan kerajaan negeri berharap kekurangan ini akan ditampung melalui peruntukan persekutuan di bawah RMKe-10.

Katanya, berdasarkan perancangan yang dibuat melalui HPNT kerajaan telah mengenalpasti empat sektor teras yang akan memacu pembangunan ekonomi negeri secara bersepadu iaitu pendidikan dan pembangunan sumber manusia, pertanian dan asas tani, pelancongan dan industri perdagangan, perkhidmatan dan teknologi maklumat (ICT).

“Fokus di dalam sektor ini bukan bermakna kerajaan tidak memberi perhatian kepada sektor lain yang juga dijangka dapat menyumbang dalam pembangunan ekonomi yang berperanan sebagai penyokong dan penghubung serta pemangkin,” katanya.


Menteri Besar Terengganu ketika mempengerusikan taklimat RMK-10 bersama Tan Sri Nor Mohamed.

Dato’ Ahmad kemudiannya memohon Kerajaan Persekutuan meneruskan pembiayaan beberapa projek yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini agar diteruskan di bawah RMKe -10.

Katanya, beberapa projek berimpak tinggi lain yang memerlukan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan adalah penubuhan daerah baru Kuala Nerus yang memerlukan Pusat Pentadbiran dan kemudahan awamnya sendiri dan kawasan bebas cukai di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Kerajaan negeri juga memohon untuk ‘facilitate’ melalui kaedah-kaedah tertentu untuk melaksanakan masalah hakisan di Teluk Lipat Dungun, Tok Jembal, Kuala Terengganu, Kelulut, Marang dan beberapa tempat lain,” katanya.

Pada masa yang sama, mendapan di Muka Kuala Sungai Merang, Sungai Dungun, Sungai Kerteh dan Sungai Besut perlu diatasi kerana potensi sungai-sungai ini amatlah besar dari segi pembangunan ekonomi setempat.

TEGANUKITA