Halaman

20 March 2010

Golongan Miskin Diberi Bantuan Bulanan

Oleh : Kamarudin Mat Akib

KEMAMAN, 19 Mac – Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM700,000 sebulan untuk membayar elaun bulanan kepada 2,590 orang penerima bantuan am di daerah Kemaman.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, elaun tersebut dijelaskan pada setiap bulan agar golongan miskin dapat membeli keperluan keluarga masing-masing.

Beliau berharap penerima bantuan am bersyukur dengan pemberian tersebut dan mengenang budi yang telah dicurahkan kerajaan untuk kesenangan mereka.

“Sebenarnya UMNO tidak pernah putus-putus menjadi juara dan mencurahkan jasa kepada rakyat, sejak negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Juara Rakyat Peringkat Parlimen Kemaman di Kampung Pengkalan Ranggon, hari ini.

Hadir sama di majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, YB Ir. Rosli Othman dan Adun Air Puteh, YB Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

TEGANUKITA

17 March 2010

Hadiah Berganda Kekal Juara MSSM

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri bersedia melipatgandakan hadiah kepada atlet yang berjaya membawa kontinjen Terengganu kekal juara buat kali kedua Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata walaupun untuk mempertahankan kejuaraan amat sukar berbanding meningkatkan kejayaan, kerajaan negeri berkeyakinan atlet Majlis Sukan-Sukan Terengganu (MSST) mampu melakar kejayaan dan mengharumkan nama negeri untuk kali kedua.

Katanya, kerajaan bersedia memberi apa sahaja pengiktirafan kepada atlet yang berjaya dalam bidang sukan yang dikuasai mereka asalkan mereka mampu menempa nama dan menghasilkan kejayaan yang terbaik.

Menurut Dato’ Ahmad, bagi mencapai kejayaan yang disasarkan atlet perlu mengekalkan disiplin, kesungguhan dan momentum stamina yang tinggi.

“Sebagaimana kejayaan yang dibuat oleh pelumba basikal negara yang berasal dari Terengganu, Anuar Manan memenangi Raja Pecut yang pertama sejak 15 tahun penganjuran Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

“Kerajaan mengiktiraf kejayaan beliau dan menganugerahkan sebidang tanah dan RM10,000 atas pencapaian luar biasa anak Terengganu itu sekaligus membuktikan kerajaan bersedia memberi apa sahaja berdasarkan pencapaian atlet dalam bidang mereka,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Anugerah Sukan MSST 2009, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (15 Mac).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Menteri Besar turut mengharapkan atlet yang masih di bangku sekolah seperti atlet MSST bukan hanya jaguh dalam sukan sebaliknya turut mengutamakan pelajaran.

Katanya, gesaan itu bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk melihat Terengganu sebagai negeri anjung ilmu yang terbukti berjaya dihasilkan dengan pencapaian terbaik peringkat nasional bagi keputusan tiga peperiksaan utama sepanjang tahun lalu.

Malah, pada masa yang sama, kejayaan dalam bidang sukan di peringkat negeri, negara serta dunia membuktikan Terengganu berupaya menjadi kuasa baru dalam sukan negara.

Dalam majlis itu, Muhammad Zulkifli Razak, 17, atlet sepak takraw dari Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas (SSTBN), Setiu dianugerahkan Olahragawan Tahun 2009, manakala Olahragawati Tahun 2009 menjadi milik Fazila Umirah Mazlan, 16, atlet olahraga juga dari SSTBN.

Manakala kategori Tunas Harapan (lelaki) 2009, Nur Shahira Muliadi, 13, (olahraga) dari SSTBN dan Tunas Harapan (perempuan) 2009, Zulbahrin Mat Asri, 13 (gimnastik) kebangsaan Bukit Payong, Marang.


Untuk rekod, dalam edisi kejohanan ke-51 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor tahun lalu, Terengganu merangkul kejuaraan keseluruhan Kejohanan Olahraga MSSM selepas menamatkan saingan.

Kontinjen negeri itu berjaya mengumpul 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Kelantan dengan 11 emas, tujuh perak satu gangsa dan Kedah di tempat ketiga dengan pungutan 11 emas, lima perak dan lapan gangsa.

Selain johan keseluruhan kejohanan Olahraga MSSM kali pertama dalam tempoh 51 tahun itu, Terengganu juga muncul johan MSSM 2009 dalam bola baling, sepak takraw, sofbol dan hoki.

Seramai 42 atlet MSST mewakili negara dalam pelbagai kejohanan sepanjang 2009 termasuklah sukan paragames (seorang atlet); badminton (seorang); footvolley (dua); basikal (dua); ragbi (dua); judo (dua); hoki (tiga); sepak takraw (enam); olahraga (sepuluh) dan bola sepak 13 atlet.

TEGANUKITA

15 March 2010

Jalan Empat Lorong Atasi Kesesakan Kuala Terengganu

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar turun padang meninjau kawasan bagi tujuan menaiktaraf jalan dan pembinaan longkang besar di Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Masalah kesesakan lalu lintas di Bandar Raya Kuala Terengganu dijangka dapat diselesaikan menjelang 2012 apabila kerajaan negeri bercadang menaiktaraf jalan, longkang dan perparitan di sepanjang laluan Jalan Budiman hingga kawasan Bukit Besar menjadi jalan empat lorong dengan peruntukan kira-kira RM60 juta.

Projek menaiktaraf jalan empat lorong dengan pembinaan longkang besar sepanjang lima kilometer di bawah jalan itu dijangka bermula pertengahan tahun ini.


Berbincang dengan penduduk sekitar bagi memberitahu perlaksanaan projek menaiktaraf jalan dan longkang.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata keluasan jalan dan perparitan di kawasan itu mencukupi untuk dibangunkan sebagai jalan empat lorong tanpa melibatkan sebarang proses pengambilan tanah penduduk setempat.

“Saya hari ini mengadakan lawatan ke semua kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam daerah Kuala Terengganu untuk melihat sendiri permasalahan, untuk baiki jalan-jalan yang rosak di kampung-kampung dan menaiktaraf longkang-longkang dalam bandar dan sebagainya.


Mengenalpasti beberapa longkang yang akan dinaiktaraf.

“Kita telah mengenalpasti beberapa longkang utama yang akan dinaiktaraf sebagaimana kita tengok tadi berdekatan Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Jalan Budiman sampai ke Bukit Besar, iaitu asalnya parit tali air untuk menanam pada suatu masa dulu, kita akan naik taraf menjadi jalan empat lorong di bawahnya dijadikan longkang yang besar,” kata beliau ketika melawat beberapa kawasan Pihak Berkuasa Tempatan daerah Kuala Terengganu, di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar berkata, projek menaiktaraf longkang dan sistem perparitan itu bukan hanya dapat mengatasi masalah banjir di kawasan itu, malah menjadi kawasan takungan tadahan air serta menguraikan masalah trafik yang memasuki Bandar Raya Kuala Terengganu.


Projek serampang tiga mata dijangka siap dalam tempoh 18 bulan selepas ditender.

Katanya, projek `serampang tiga mata’ melibatkan kerja menaik taraf jalan, longkang dan sistem perparitan dijangka mula ditender pada pertengahan tahun ini serta siap dalam tempoh masa 18 bulan berikutnya.

Dato’ Ahmad berkata, MBKT bertindak sebagai pihak pelaksana dan mengeluarkan tender bagi kerja menaiktaraf dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu bagi merangkan pelan secara bersepadu.

Dalam pada itu, Kerajaan negeri juga akan menaiktaraf sistem perparitan di kawasan Banggol Tok Jiring menjadi sungai buatan yang berkeluasan kira-kira 40 meter lebar dan 3.3 meter dalam.


Dato' Ahmad juga sempat meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Jeram, Manir ke Kampung Jeram Tokong.

“Kita juga akan kita naik taraf dan melihat supaya kita akan beri keutamaan kepada sistem perparitan utama iaitu saliran banjir sebab itu saya katakan yang kita perlu buat secara `over size’ macam di Banggol Tok Jiring, saya sudah mengarahkan JPS mengenalpasti tanah-tanah yang perlu diambil balik.

“Kita akan buat sungai baru, sungai buatan kira-kira 40 meter lebar mungkin sampai 3.3 meter dalam.Sekurang-kurangnya kalau banjir di situ kawasan sungai berkenaan akan dijadikan sebagai kawasan takungan,”katanya.

TEGANUKITA

Melindungi Anak Yatim Satu Ibadah

Oleh: Esah Abdullah


Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said menyambut kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom di pejabatnya di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Peranan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (Peyatim) melindungi anak-anak yatim adalah satu ibadah dan amal soleh yang dituntut agama kita, kata Menteri di Jabatan Pedsana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

“Langkah Peyatim mengadakan program jangka pendek dan jangka panjang amat bertepatan dimana melalui penubuhan Kolej Teknologi Bestari (KTB) dan Institut Kemahiran Bestari (IKB) dapat memenuhi perkembangan intelek mereka,” katanya di majlis perasmian Temasya Sukan Anak-anak Yatim (Sukya) Ke-V11 Peringkat Kebangsaan, di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak petang ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Presiden Peyatim, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor dan Rektor Univisitas Islam As-Syafi’iyah, Jakarta, Indonesia, Dr Tutty Alawiah A.S.

Dato’ Seri Jamil Khir berkata, penganjuran sukan seperti ini dapat memenuhi keperluan pembangunan jasmani anak-anak kerana dengan bersukan dapat memupuk kerjasama, toleransi dan kesabaran, mereka yang cergas dalam bidang sukan akan cemerlang dalam kokurikulum.

“Saya difahamkan terdapat hampir 300,000 anak-anak yatim seluruh negara manakala yang berada di bawah asrama gabungan Peyatim hanya 4,000 sahaja dan mereka ini adalah aset negara yang sangat bernilai,” katanya.

Beliau yakin melalui program Sukya akan lahir jaguh-jaguh yang dapat mengharumkan nama negeri dan negara pada masa akan datang.

Sementara itu, Dato’ Dr. Tengku Mahmud berkata terdapat 13 buah negeri termasuk Sabah telah menghantar kontijen masing-masing untuk menyertai Sukya yang berlangsung selama lima hari bermula 14 Mac dan berakhir 18 Mac depan.

“Terdapat 3,000 peserta dan pegawai sukan berkampung di negeri ini yang akan menyertai 21 acara sukan antaranya ialah bola sepak, badminton, bola tampar, congkak, bola jaring, ping pong, dam serta olahraga,” katanya.

TEGANUKITA