Usaha mendekatkan Bandung (Indonesia)- Kuala Terengganu, barangkali menjadikan ia 'bandar kembar' untuk tujuan pelancongan dan hubungan persaudaraan atas nama serumpun sebangsa diusahakan, suatu kreativiti memandang jauh ke hadapan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.
Bandung yang terletak di Jawa Barat adalah suatu kota budaya Melayu yang tersohor yang terletak di dataran tinggi, mempunyai udara yang sejuk dan maju sebagai destinasi pelancongan.
Pusat-pusat pengajian tinggi termasuk yang dibangunkan oleh swasta juga banyak di kota yang maju dengan bidang pertanian ini hingga dikenali juga sebagai 'kota pelajar'.
Dua hari lepas (2 Jun) Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said mengetuai rombongan penerbangan pertama Kuala Terengganu (Lapangan Terbang Sultan Mahmud)- Bandung yang akan menjadikan dua bandar ini semakin dekat melalui penerbangan terus ini.
Potensi besar untuk pertukaran pelancong di antara dua bandar ini justeru ada persamaan yang rapat dua bandar ini dari resam budaya, pusat pendidikan, keindahan alam dan pertanian.
Kuala Terengganu dahulunya (abad ke 18) memanglah merupakan pusat dagang antarabangsa. Pada tahun 1719, seorang Inggeris Alexander Hamilton melaporkan keadaan Kuala Terengganu yang begitu pesat dengan perdagangan; kapal-kapal dagang dari Siam,Sambas, Kemboja terdapat di Kuala Terengganu selain Wangkang atau Jong orang-orang berbangsa Cina.
Terengganu adalah negeri pertanian yang juga maju dengan pelbagai pusat pendidikan dan sedang menuju ke arah industri pelancongan yang hebat.
Bandung pula dalam sejarahnya pernah dikenali sebagai "Paris di Jawa" kerana udara sejuk dan nyaman.
Justeru itu usaha menghubungkan dua bandar secara terus amatlah wajar, lebih-lebih lagi Terengganu yang juga sedang melalui proses menjadikan ia 'bandar pelancongan' dan kota Bandung yang sudah sekian lama ke hadapan di bidang itu boleh membantunya melalui pertukaran penerbangan ini.
"Dengan adanya penerbangan terus nanti, penduduk di Pantai Timur tidak lagi perlu ke Kuala Lumpur untuk ke Bandung," kata Dato' Seri Ahmad.
Sebaliknya juga pakej pelancongan itu juga pastinya juga melibatkan untuk pelancong yang datang dari Bandung ke Kuala Terengganu melalui penerbangan terus itu.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Bandung adalah dekat di hati orang 'Terengganu' terutama dalam tragedi Natrah. Che Aminah yang berasal dari Kemaman bertemu Natrah di Bandung kerana Che Aminah berkahwin dengan seorang saudagar, Maarof Haji Abdul dari Kota Bandung itu.
Semasa pendudukan Jepun di Indonesia, askar Belanda, Petrus Hertogh (ayah Natrah) dipenjarakan oleh Jepun, lalu isterinya Adeline (ibu Natrah) berlindung di rumah nenek suami Che Aminah di Bandung itu. Di sanalah Che Aminah berkenalan dengan Adeline dan Natrah anaknya yang waktu itu baru berusia lima tahun.
Lantaran Che Aminah tidak mempunyai zuriat, termasuk dari beberapa perkahwinan sebelumnya, beliau lalu mengambil Natrah dengan persetujuan ibunya (Adeline) dan di bawa balik Kemaman; sehinggalah membawa peristiwa selanjutnya yang bersejarah
tentang isu agama dan perundangan.
Dato' Seri Ahmad yang berasal dari Kemaman amat dekat dengan peristiwa ini dan Bandung selepas ini akan menjadi terlalu dekat dengan Terengganu, termasuk Kemaman (Kampung Che Aminah dan Natrah).
Dato'Seri Ahmad berkata, kerajaan negeri akan melantik agen bagi mengendalikan tempahan bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan/pakej itu.
Difahamkan tempahan untuk penerbangan pertama penuh dan diberikan diskaun.
Pada masa ini syarikat tersebut akan mengadakan perkhidmatan itu dua kali seminggu bagi membolehkan juga pelancong dari Bandung datang melancong ke Terengganu.
Kata Dato' Seri Ahmad, perkhidmatan itu boleh dikerapkan sekiranya ia mendapat sambutan yang menggalakkan.