Halaman

30 May 2011

Mendahulukan kepentingan rakyat

Oleh: Esah Abdullah


Di hadapan saya adalah barisan kakitangan yang saya anggap terbaik justeru tuan-tuan perlu menunjukkan contoh dan membudayakan budaya kerja yang cemerlang bukan sahaja memenuhi keperluan malah melebihi ekspektasi pelanggan. - YAB Dato' Seri Ahmad bin Said.

Lebih ramai yang memberi pandangan lebih bernas dan efektif keputusan yang akan dibuat justeru setiap keputusan itu menjurus kepada tujuan yang sama, iaitu melicinkan pentadbiran dan pelaksanaan serta mendahulukan kepentingan rakyat.

Demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kepada kira-kira 800 penjawat awam dari pelbagai peringkat dan agensi seluruh negeri dalam satu perhimpunan di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Katanya, sebagai pemimpin organisasi, ketua jabatan merupakan ketua kepada satu keluarga yang besar, maka harus memastikan orang bawahan kita dapat bekerja dalam suasana yang selesa.

“Setiap organisasi memerlukan kepimpinan yang terbaik serta sensitif kepada masalah kakitangannya dan berjaya memimpin warganya ke mercu kejayaan dengan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Tambahnya, era liberalisasi adalah satu persekitaran yang menuntut semua lebih bersifat pantas dalam membuat sebarang keputusan.

“Kita perlu menggunakan segala sumber yang ada dengan sebaik mungkin bagi memberi pulangan yang terbaik kepada rakyat,”katanya.

“Di hadapan saya adalah barisan kakitangan yang saya anggap terbaik justeru tuan-tuan perlu menunjukkan contoh dan membudayakan budaya kerja yang cemerlang bukan sahaja memenuhi keperluan malah melebihi ekspektasi pelanggan,” katanya.

Katanya, semua cabaran yang dipikul pentadbiran negeri dalam usaha memberikan kualiti perkhidmatan yang ulung kepada rakyat, ditadbir urus penjawat awam bagi menjawab segala persoalan dan cabaran yang dilontar oleh rakyat.

“Tradisi kerajaan yang memerintah tetap tidak berubah iaitu untuk membela rakyat sebagai agenda utama,” katanya..