Halaman

31 May 2011

MB lulus peruntukan RM3 juta untuk prasarana Marang

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Harun Hassan dan Amirullah Othman



Dalam siri lawatan ke daerah Marang hari ini, YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said turut melawat Pasar Pekan Wakaf Tapai.

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi membiayai pelbagai projek menaiktaraf kemudahan jalan raya dan sistem perparitan di seluruh daerah Marang, tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata daripada jumlah tersebut masing-masing RM200,000 akan diagihkan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat dan Bukit Payong.


Menteri Besar ketika turun padang meninjau prasarana sambil kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi membiayai pelbagai projek di daerah Marang.

“Sebelum ini sewaktu saya mengadakan lawatan di daerah Kuala Terengganu, kita sudah meluluskan peruntukan RM500,000 setiap satu bagi DUN Bukit Payong dan Alor Limbat kerana sebahagian daripada kawasan dua DUN berkenaan termasuk dalam daerah Kuala Terengganu.

“Bagi lawatan saya ke daerah Marang kali ini, kita beri peruntukan tambahan RM200,000 setiap satu bagi DUN Bukit Payong dan Alor Limbat untuk projek pembesaran jalan dan membina longkang di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas lawatan bagi meninjau masalah jalan dan parit bagi daerah Marang.



Sebelum ini Menteri Besar telah melawat enam daerah seluruh negeri bagi meninjau sendiri masalah jalan dan parit, terutama yang menyebabkan banjir bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.

Menteri Besar berkata, bagi lawatan terakhir di daerah Marang peruntukan RM1.5 juta diluluskan bagi DUN Rhu Rendang di mana sebanyak RM1 juta akan digunakan bagi meluruskan jalan Alur Tuman, di Pulau Kerengga yang merupakan selekoh maut.



“Manakala bagi DUN Pengkalan Berangan kita akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1,050,000 bagi tujuan yang sama,” ujarnya.

Beliau berharap projek berkenaan dapat dilaksanakan segera agar masalah yang dihadapi rakyat di kawasan berkenaan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.