Halaman

29 May 2011

Kerajaan tunai janji bina Dewan Perhimpunan Tiong Hua

Oleh: Aida Abd Rahman


Ini merupakan hadiah kerajaan Barisan Nasional kepada masyarakat Tiong Hua.

Kerajaan Terengganu menunaikan janji kepada masyarakat Tionghua sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dua tahun lalu untuk membina sebuah Dewan Perhimpunan Bangunan Tiong Hua bagi kegunaan mesyuarat dan pergerakan aktiviti masyarakat itu.

Bangunan empat tingkat berharga RM3.3 juta, di Jalan Bukit kecil, Kuala Terengganu itu mula dibangunkan sejak tahun lalu selepas majlis pecah tanah disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada 2009.

Malah, pada tahun lalu kerajaan negeri turut bersetuju mewartakan tanah bersebelahan bangunan itu sebagai rizab jalan Persekutuan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara 1965 bagi menyediakan kemudahan parkir untuk kemudahan pengunjung bangunan itu.

“Ini merupakan hadiah kerajaan Barisan Nasional kepada masyarakat Tionghua sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 2009.

“Walaupun kita kalah (pada pilihan raya itu), kita berharap selepas ini masyarakat Tionghua dapat membantu calon -calon kita (Barisan Nasional) untuk memenangkan kembali Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri yang kita ada,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan bangunan itu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw dan Presiden Persatuan Dewan perhimpunan Tiong Hua Terengganu, Foo Chee Wan.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan lebih banyak lagi bantuan kepada masyarakat itu termasuk membina dewan di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin.

Katanya, satu lagi bantuan yang akan diberikan dalam tempoh terdekat melibatkan sebuah lagi sekolah menengah jenis Cina. Bagaimanapun, peruntukan itu hanya dapat diluluskan sebaik sahaja Kerajaan Terengganu mendapat sejumlah baki wang royalti daripada Kerajaan Pusat pada September ini.

“Terdapat satu lagi Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin yang belum kita serahkan bantuan. Tunggu, mungkin September ini duit (royalti) kita sampai kita akan serahkan. Sebab dua tahun lalu, kita tidak menerima peruntukan yang mencukupi, kerana itulah kita terpaksa menangguhkannya terlebih dahulu," katanya lagi.


YAB Dato' Seri Ahmad bin Said bersalam dengan mantan Menteri Besar, Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Untuk rekod, mantan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad meluluskan satu lot tanah untuk mendirikan bangunan itu pada 1996, bagaimanapun projek berkenaan tertangguh selepas peralihan kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-10 yang lalu.

Bagi meneruskan projek itu, Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya meluluskan peruntukan RM3.3 juta pada 2009 dan kemudahan itu dibangunkan sejak tahun lalu serta siap sepenuhnya dalam tempoh setahun kemudian.