Halaman

08 January 2011

PEMIMPIN UMNO DAN PAS HADIR DI MAJLIS KAWAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


(Gambar - Khairul menerima anugerah berupa wang tunai RM750 dan sijil penyertaan dari Exco Negeri Terengganu Yahya Khatib Ali, yang diiringi oleh Fatimah Merican, Pengarah Urusan Perniagaan Subsidiari Exxon-Mobil Malaysia)

“Malam yang penuh gemilang - ceria, `suspen' dan menghiburkan. Begitulah yang dapat digambarkan Malam Anugerah Kewartawanan Kawat - ExxonMobil 2010 yang diadakan di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu pada 5 Januari 2011 lalu”.

Kata-kata di atas dipetik dari blog yang dimiliki oleh Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT).

Tetamu istimewa yang dijemput merasmikan malam anugerah penuh gemilang KAWAT itu ialah YB Yahya Khatib Mohamad, Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri yang baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Pada 1 Januari 2011 juga, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi BPUNT.

Kehadiran YB Yahya Khatib sebagai tetamu khas KAWAT dan merasmikan Malam Anugerah itu amatlah memeriahkan malam itu, di samping turut Exco Kanan Kerajaan Negeri, YB Haji Ahmad Razif, YB Haji Khazan Che Mat (Exco Agama dan Penerangan Negeri), Y.B Ustaz Ramli Noh.

Tambah hebat lagi pemimpin pembangkang juga hadir di malam itu sebagai tetamu KAWAT, ADUN Pas Ladang, YB Tengku Hassan Omar dan Setiausaha PAS Terengganu, Haji Yahya Ali.

Blog KAWAT itu menyebut, malam itu diserikan pula dengan persembahan tarian dan nyayian, dicuitkan dengan ucapan perasmian yang lucu tapi bermakna, menjadikan malam itu penuh dengan nostalgia pada mereka yang hadir.

Menurut blog berkenaan, ketika berucap pada majlis itu, Presiden KAWAT, Ayob Mamat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak ExxonMobil yang terus menyokong penganjuran anugerah bermula dengan nilai penajaan sebanyak RM70,000 dan jumlah itu adalah sangat bererti Terengganu kerana menampakkan sentiasa dihargai oleh ExxonMobil.

Pada malam itu, lapan kategori dipertandingkan iaitu kategori Penulisan Berita Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Berita Sukan Terbaik, Rencana Terbaik, Foto Terbaik, Berita TV Terbaik, Anugerah Khas Radio dan Anugerah Khas Presiden.

Bagi penulisan Berita Terbaik, tempat pertama dimenangi oleh Manirah Othman (Utusan Malaysia), kedua Hazlan Hassan (Harian Metro) dan ketiga Khairul Azlam Mohamad(Harakah).

Wartawan Teganukita, Aida Abdul Rahman turut memenangi tempat pertama bagi katogeri berita sukan terbaik, kedua Zainuddin Mohamad dari NST dan Ibrahim Abu Bakar dari Bernama.

Wartawan Berita Harian, Haneeyzah Baharuddin mendapat tempat pertama, kedua Ahmad Rabiul Zulkifli (Harian Metro) dan ketiga Irman Hashim (Utusan Malaysia).

Kategori Rencana Terbaik dimenangi oleh Manirah Othman (Utusan Malaysia), Mohd Lazim Endut (Sinar Harian) dan ketiga Aida Rahman (Teganukita)

Jurufoto Berita Harian, Rozainah Zakaria menggondol tempat pertama bagi kategori Foto Terbaik, kedua Azlan Baharom (Utusan Malaysia) dan ketiga Aswadi Alias (Berita Harian).

Bagi kategori Berita TV Terbaik dimenangi oleh Aziz Abdullah (TV3), kedua Khalid Abdullah (RTM) dan ketiga Nur Fazlizai Ali (TV Bernama).

Juruhebah Terengganu FM, Azrul Faizal Jusoh menerima Anugerah Khas Radio manakala Jurufoto Utusan Malaysia Kuala Lumpur yang juga pendaki solo negara, Mohd Noor Amindianugerahkan Anugerah Khas Presiden.

Tulisan atau berita Khairul Azlam Mohamad dari Harakah bertajuk 'Warisan Sejarah 100 Tahun Bakal DiMusnahkan' dipilih sebagai pemenang anugerah KAWAT-Exxon- Mobil dalam katogeri penulisan berita terbaik.
Menurut sebuah blog pembangkang,tulisan Khairul bertajuk 'Warisan Sejarah 100 Tahun Bakal DiMusnahkan' dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Blog itu menyatakan, rencana yang mengisahkan tentang sederetan rumah kedai di kampung Cina Kuala Terengganu kini telah dimusnahkan oleh kerajaan UMNO/BN pada tahun 2009.
Diucapkan tahniah kepada KAWAT kerana dapat meneruskan Anugerah ini bagi kesekian kalinya.

TEGANUKITA

05 January 2011

Majlis Pelancaran Sistem OSC Online MBKT

Oleh:Mohamad Shahrir Abdul Hamid

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang telah merasmikan majlis pelancaran sistem Unit Pusat Setempat (OSC) online pada petang semalam (4 Januari) bertempat di Bilik Sidang Video Telekom Malaysia, Kompleks Medan Jaya, Marang jam 3.00 petang.

MBKT merupakan antara 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipilih bagi majlis pelancaran tersebut yang dijalankan serentak di seluruh negara oleh YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia Datuk Wira Chor Chee Heung secara sidang video langsung dari Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Sistem OSC Online diharap akan dapat memendekkan tempoh masa menunggu bagi permohonan yang diproses serta dapat mengurangkan masa yang diambil untuk membuat sesuatu perancangan”, ulas Datuk Bandar ketika merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Sistem OSC Online dibangunkan oleh perunding yang dilantik oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan merupakan sistem permohonan di mana pemohon yang berdaftar dengan MBKT boleh menghantar permohonan pelan cadangan pembangunan secara dalam talian terus kepada MBKT.

MBKT telah menerima 3200 permohonan sejak tahun 2007 dengan purata permohonan antara 800 hingga 900 setahun dan 80 hingga 90 permohonan sebulan. MBKT menduduki tempat ketiga dalam menerima permohonan tertinggi antara PBT di Malaysia selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan 100 peratus permohonan berjaya diselesaikan.

Sistem ini akan beroperasi sepenuhnya pada Februari ini selepas melalui tempoh percubaan selama sebulan selepas majlis pelancaran dan sebulan selepas tempoh itu. Pemohon yang ingin mengunakan Sistem OSC Online perlu mendaftar dengan MBKT dan mengisi permohonan melalui laman web MBKT (http://online.mbkt.gov.my).

Dua pilihan diberikan kepada pemohon untuk menghantar permohonan samada melalui secara manual dengan menghantar terus ke kaunter OSC, Tingkat 7 ataupun melalui Sistem OSC Online mengikut keselesaan dan kemampuan pemohon tersebut.

Datuk Bandar MBKT meluahkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri terutama kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kerana banyak memberi sumbangan serta bantuan dalam setiap aspek dalam memastikan MBKT mengorak langkah seiring dengan PBT lain.

“Pihak MBKT mengalukan sebarang cadangan atau pandangan daripada pelbagai pihak terhadap kekurangan atau kelemahan dalam memberi khidmat kepada rakyat bandaraya dan perkara ini dianggap kredit kepada kami dalam memastikan perkhidmatan yang lebih baik dari masa ke semasa”,katanya lagi

TEGANUKITA

04 January 2011

YPKT sedia RM4 juta bagi Program Jaya Diri

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan peruntukan RM4 juta bagi pinjaman di bawah Program Jaya Diri (PJD) pada tahun ini.

Pengarahnya, Mohd. Shafaruddin Mustafa berkata, jumlah tersebut merupakan satu peningkatan peruntukan berbanding RM3.2 juta pada tahun lalu.

Katanya, pada tahun ini juga kerajaan negeri melalui YPKT meningkatkan jumlah pinjaman daripada minimum RM3,000 kepada RM10,000 setiap orang.

"Kita menyasarkan seramai 800 peminjam pada tahun ini di bawah program tersebut dan memfokuskan golongan mudah miskin, ibu tunggal serta belia yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Program Kacau Bubur Asyura di perkarangan bangunan YPKT di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada tahun ini pihaknya meluaskan skop pinjaman berkenaan kepada golongan keluarga 'mudah miskin' di bawah pendapatan RM2,500 seisi keluarga.

Jelasnya, jenis projek yang diberi keutamaan pula melibatkan projek yang mudah meraih keuntungan seperti perniagaan makanan, kosmetik serta melibatkan perkhidmatan.

Pihak YPKT ujarnya, turut menjalankan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan peserta di bawah projek berkenaan berjaya.

"Sejak projek ini dijalankan pada 1995, seramai 12,000 peserta telah terlibat dengan jumlah pinjaman bernilai RM27 juta.

"Kebanyakan mereka berjaya meningkatkan pendapatan daripada RM500 hingga RM1,500 sebulan setelah menyertai program ini.

"Ini jelas sekali membuktikan program berkenaan telah berjaya membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan ekonomi mereka," jelasnya.

Mengenai pembayaran balik peminjam, katanya, setakat ini pihaknya tidak mengalami sebarang masalah dan ini yang mendorong peruntukan ditambah.

"Setiap tahun peminjam yang berdaftar di bawah program ini membayar pinjaman berkenaan mengikut masa dan had yang telah ditetapkan," ujarnya.

Program PJD merupakan program di bawah pemantauan YPKT iaitu dengan memberi pinjaman tanpa faedah kepada golongan kurang berkemampuan untuk memulakan perniagaan bagi menambah pendapatan bermula dari Rm3,000 sehingga RM10,000 kepada setiap orang.

UTUSAN

T'Team Ada Kelebihan Hadapi Kelantan Piala FA

T'Team ada kelebihan tersendiri apabila bertemu juara Piala Malaysia 2010 Kelantan dalam pertandingan Piala FA 2011, menurut jurulatihnya Yunus Alif.

Beliau berkata kelebihan T'Team kerana ia mempunyai bekas pemain Kelantan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose.

"Sebagai bekas pemain tunggak Kelantan, sudah pasti mereka tahu bagaimana untuk mengatasi pasukan itu," katanya ketika dihubungi di sini Ahad.

T'Team akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan secara sistem kalah mati pada 19 Feb ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mengulas lanjut, Yunus berkata pengalaman ketiga-tiga bekas pemain Kelantan itu penting bukan sahaja untuk Piala FA tetapi juga untuk mengharungi saingan Piala Malaysia dan Piala Liga.

Yunus berkata keadaan pasukan T'Team musim ini boleh dikatakan mantap dalam semua posisi dan bersedia menghadapi cabaran daripada pasukan-pasukan hebat.

Selain membawa masuk bekas pemain Kelantan itu, T'Team juga membariskan ramai bekas pemain kebangsaan seperti Rosdi Talib, Sobri Sulong, Syamsuri Mustafa dan Haris Safwan Kamal.

"Saya akan cuba gabungkan pengalaman pemain-pemain ini supaya menjadi sebuah pasukan yang disegani dan mantap," katanya.

Yunus berkata kecemerlangan pasukan T'Team untuk muncul sebagai salah sebuah pasukan hebat tahun ini akan diserlahkan dalam beberapa perlawanan persabahatan yang diadakan.

Beliau berkata setiap pemain menunjukan prestasi dan semangat yang tinggi bagi membantu pasukan T'Team menjuarai salah satu piala musim ini.

-- BERNAMA

03 January 2011

Nikmati Nasi Dagang Atas Bot


Seorang pengunjung menikmati Nasi Dagang 'River Cruise'

Oleh : Raja Faisal Raja Haron

Menyusuri sungai sambil bersantai menikmati hidangan makanan tradisional khususnya nasi dagang menjadi tarikan terbaru kepada pengunjung yang melawat destinasi popular negara, Taman Tamadun Islam (TTI, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.

TTI menawarkan `Pakej Makan Nasi Dagang’ sebagai transformasi tarikan pelancongan yang mampu memberi kepuasan dan kelainan kepada setiap pengunjung.

Pakej makan atas bot yang turut disediakan kuih-muih dapat menambahkan lagi keseronokan semasa menikmati keindahan pemandangan di sekitar Bandar menyusuri sungai itu dengan mengenakan bayaran RM25 seorang bagi setiap perjalanan.

“Pakej Makan Nasi Dagang atas bot memang memberi kepuasan, selain makanan yang sedap, saya juga dapat mengenal tempat-tempat yang menarik di sekitar sungai Terengganu sepanjang perjalanan yang di lalui” kata Aminah bt Ibrahim, 47 salah seorang pemenang Program Kuiz Santai TTI-Tfm yang di temui ketika belayar bersama media, kelmarin (1 Januari).

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran TTI, Puan Nor Sabihah Fidri, perkhidmatan “River Cruise”, TTI menyediakan beberapa jenis bot seperti Sri Wan Man, Seri Kristal dan Seri Warisan yang mampu memuatkan 45 penumpang setiap perjalanan dengan kadar bayaran RM10 seorang termasuk perlindungan insuran.

Katanya, bukan sahaja keseronokan belayar, pelancong juga boleh menikmati keindahan TTI dengan melawat 21 monumen masjid dan tempat-tempat bersejarah Islam.

“Bagi menambah lagi tarikan pengunjung, TTI sedang membina sebuah lagi replika masjid bersejarah iaitu Masjid Sultan Singapura dan sebuah kincir air sebagai tarikan baru di pusat pelancongan ini,” katanya.

TEGANUKITA

Pemain Kelahiran Terengganu Terima Imbuhan

Oleh: Suriati Ali dan Shahrir Hamid

“Hadiah yang bakal diterima ini amat bermakna bagi saya dan keluarga terutama ketika menanti kehadiran cahaya mata pertama dijangka lahir esok (4 Januari)” jelas Ashari Shamsuddin ketika dihubungi Teganukita hari ini (3 Januari).

Pemain sayap kiri Terengganu dan Malaysia yang telah meledakkan satu gol ketika Malaysia mendahului dua gol pada final pertama di Stadium Bukit Jalil berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan sebidang tanah (tapak perumahan) berserta wang tunai RM5,000 bagi menghargai sumbangan beliau dalam membantu kemenangan pasukan Malaysia di Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

Anak kelahiran Marang yang bermain untuk pasukan Terengganu tidak menjangka perkara tersebut sehinggalah diberitahu mengenai berita gembira itu daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Dato’Che Mat Jusoh melalui panggilan telefon.

“Sumbangan ini menunjukkan kerajaan negeri mengambil cakna serta menghargai jasa bakti yang telah ditaburkan oleh anak Terengganu dalam mengharumkan nama negeri di persada antarabangsa”, katanya lagi.

Sementara itu, Mentari Besar Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan enam pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang mewakili skuad Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF menerima durian runtuh wang tunai RM5,000 dan sebidang tanah untuk tapak perumahan.

Mereka yang bakal menerima habuan itu adalah Mohd Ashari Samsuddin dan Mohd Sarbinee Al-lawee Ramli; Norsharul Idlan Talaha dari pasukan Kelantan dan tiga pemain Harimau Muda A, Mohd Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Faizal Muhamad.

Hadiah itu menjadi pemangkin kepada semua pemain untuk terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam menaikkan nama baik negeri dan negara pada masa depan.

Majlis Kesyukuran bagi meraikan kejayaan itu turut di anjurkan PBSNT bertempat di Hotel Felda pada malam ini (3 Januari).

TEGANUKITA

TTI Tawar Hadiah Ke China

Oleh: Mohamad Shahrir Abdul Hamid & Raja Faisal Raja Haron

Taman Tamadun Islam (TTI) menawarkan hadiah utama melancong ke Shenzhen atau Masjid Xian atau ke Guangzhou, China selama empat hari tiga malam termasuk tiket penerbangan pergi balik, makan minum, penginapan serta wang saku sebanyak RM3,000 kepada pemenang peraduan mencipta slogan TTI.

Peraduan berkenaan terbuka kepada ahli TTI manakala bagi pemegang kad keahlian TTI platinum atau klasik dan pemegang kad pelajar klasik layak menyertainya secara automatik. Peserta haruslah mencipta slogan tidak melebihi enam patah perkataan dan pemenang ditentukan oleh para juri yang dilantik pihak penganjur.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran TTI, Norsabihah Fidri mengalu-alukankan penyertaan sebanyak yang mungkin daripada rakyat Terengganu.

“Peraduan ini hanya terbuka kepada rakyat Terengganu dan bertujuan menggalakkan pelancongan dalam negeri disamping menambahkan pengetahuan rakyat tentang tempat-tempat menarik yang ada dalam negeri Terengganu”, katanya ketika ditemui pada sidang media meraikan para pemenang Kuiz Santai TTI dengan kerjasama Radio Terengganu (Tfm) di dalam bot (Dining Cruise), .

Kuiz Santai TTI-Tfm yang telah berlangsung pada 1 Disember 2010 akan berakhir pada 31 Januari 2011. Sebanyak 300 soalan kuiz berkaitan TTI, Tfm dan pelancongan negeri Terengganu akan dikeudarakan melalui Tfm sepanjang tempoh tersebut. Para pendengar boleh mendapatkan lima soalan setiap hari menerusi segmen tertentu Tfm dan menjawab dengan betul untuk memenangi hadiah menarik daripada TTI.

Soalan kuiz santai terbahagi kepada kategori A iaitu soalan yang lebih mencabar dan kategori B bagi soalan yang lebih mudah yang bernilai RM 20,000 hadiah keseluruhan. Hadiah yang menanti para pemenang bagi kategori A ialah wang tunai RM 70 beserta pakej makan nasi dagang atas Dining Cruise bersama pengiring dan baucer daripada TTI. Manakala bagi kategori B hadiah berupa wang tunai bernilai RM 50 di samping menaiki bot (River Cruise) bersama pengiring dan baucer menarik daripada pihak penganjur.

“Setakat ini seramai 55 pemenang beserta 45 pengiring telah menebus kupon hadiah mereka dan seramai 155 pemenang telah menjawab dengan betul soalan kuiz sehingga 1 Januari 2011”, jelas Norsabihah lagi.

Pemenang harian yang telah menjawab dengan tepat lima soalan setiap hari boleh menuntut kupon hadiah pada setiap hari di Pusat Khidmat Pelanggan TTI dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

TEGANUKITA

Hubungan Perdagangan Terengganu-Indonesia

Oleh: Mohamad Shahrir Abdul Hamid

Terengganu Advanced Technical Institute University Colleague (TATiUC) menjalinkan kerjasama dengan Institut Pertanian Bogor, Indonesia dalam bidang teknologi automotif pertanian.

Institut Pertanian Bogor yang mempunyai 45 ribu pelajar serta kepakaran teknologi automotif pertanian dilihat sesuai bagi TATiUC menjalinkan kerjasama dalam bidang pertanian.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & TeknologiDan Sumber Manusia Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman ketika ditemui wartawan dalam majlis gunting rambut murid sekolah DUN Seberang Takir di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir pagi tadi (31 disember).

“Kita melihat Indonesia pakar dalam bidang pertanian dan kerjasama antara TATiUC dengan Institut Pertanian Bogor mampu menjadikan Terengganu pakar dalam bidang pertanian selaras dengan saranan kerajaan yang menitikberatkan pendapatan berasaskan pertanian”, katanya ketika ditemui pagi tadi(31disember).

Teknologi pertanian automotif menjadi agenda utama hubungan perdagangan antara Terengganu-Indonesia. Kawasan pertanian yang luas di Terengganu meningkatkan lagi bidang pertanian negeri disamping jalinan kerjasama dengan Indonesia.
Sumber hasil negeri akan meningkat serta lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri sekiranya bidang pertanian dibangunkan dengan pesat dengan menggunakan teknologi pertanian terkini.

Jalinan kerjasama akan melihat proses pertukaran pensyarah antara TATiUC dan Institut Pertanian Bogor pada Januari 2011 dalam aspek meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam teknologi automotif pertanian.

“Semasa lawatan ke Institut Pertanian Bogor, saya dapat melihat proses mengeringkan keropok dengan menggunakan mesin dan ini membuat saya terpegun. Sekiranya teknologi tersebut dibawa ke Terengganu akan meningkatkan lagi pengeluaran keropok,”jelas Ahmad Razif.

Menurut YB Razif lagi, Musim Tengkujuh tidak akan menjadi halangan lagi bagi pengusaha keropok dengan adanya teknologi sedemikian disamping meningkatkan hasil pengeluaran. Antara teknologi lain yang digunakan di sana ialah jentera pembajakan yang penting dalam penanaman padi.


TEGANUKITA

Majlis Gunting Rambut

Oleh: Mohamad Shahrir Abdul Hamid


YB Ahmad Razif merasmikan majlis gunting rambut di
Dataran Permata, Kampung Baru, Seberang takir.


Seramai 200 murid daripada keluarga kurang berkemampuan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) diraikan dalam majlis gunting rambut di Dataran Permata, Kampung Baru, Seberang takir oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir YB Ahmad Razif pada pagi ini (31 Disember) lanjutan majlis berkhatan beramai-ramai yang diadakan baru-baru ini.

“Tujuan utama majlis ini bagi merealisasikan tuntutan kerajaan mengutamakan rakyat dalam konteks ‘ Rakyat didahulukan Pencapaian Diutamakan’ serta ‘Merakyatkan Pembangunan dan Pentadbiran’ dengan agenda pendidikan terus menjadi keutamaan”, katanya ketika ditemui wartawan.

Menurutnya lagi disiplin juga dapat diterapkan dalam diri pelajar dengan adanya program sebegini. Acara ini merupakan pertama kali diadakan dan akan dijadikan acara tahunan bagi DUN Seberang Takir.

“Majlis sebegini juga dapat meringankan beban ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang ramai serta pendapatan yang kurang dalam menyediakan persiapan anak ke sekolah kerana ia adalah perkhidmatan percuma,”katanya lagi.

Majlis ini dianjurkan oleh Penyelaras Pemuda UMNO DUN Seberang Takir dan fokus utama adalah membantu golongan rakyat yang kurang berkemampuan dalam menghadapi musim persekolahan yang makin hampir.


TEGANUKITA