Pengunjung Karnival Al-Hijrah tidak melepaskan peluang bermesra dan mendapatkan tandatangan personaliti TV AlHijrah, Ustaz Don di tapat karnival di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Oleh: Suriati Ali
Pendekatan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan TV Al-Hijrah menganjurkan Karnival Hijrah 2011 pada musim cuti persekolahan amat bertepatan berikutan mendapat sambutan di luar jangkaan.
Karnival bertemakan `Hijrah 1 Tranformasi’ dan diadakan selama tiga hari yang bermula 22 Disember itu berlangsung meriah di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.
Pengunjung bersama keluarga masing-masing sanggup berada di tapak karnival dalam tempoh agak lama kerana tidak mahu ketinggalan mengikuti puluhan aktiviti yang dianjurkan.
Antara aktivitinya termasuk, bual bicara asslamualaikum, konsert ulang tahun TV Al-Hijrah, rakaman program adik-adikku, persembahan kebudayaan Terengganu, rakaman Terengganu berselawat dan forum perdana.
Tinjauan Teganukita mendapati, program rakaman 30 minit bersama Ustaz Don paling menarik perhatian pengunjung sehingga terpaksa berasak-asak di gerai pameran TV Al-Hijrah.
Tidak ketinggalan gerai pameran detik-detik kegemilangan Islam yang mempamerkan beberapa artifak & replika kegemilangan Islam seperti Lampu Masjid Mamluk, Astrolab, Sfera Bintang, dan Papan Lapis yang tertera perkataan “Bismillahirrahmanirrahim” turut mendapat pilihan pengunjung untuk mengetahunya secara dekat.
Puan Norisah Sulaiman Pengurus Komunikasi Korporat, AlHijrah Media Corporation, berkata karnival yang menggabungkan Islam yang universal ini adalah pertama kali dianjurkan bertujuan menerangkan tentang kegemilangan Islam dan dakwah yang menepati kaedah masa dan zaman.
Katanya, memandangkan karnival yang dianjurkan di Terengganu ini mendapat sambutan di luar jangkaan, pihaknya bercadang akan meneruskan ke negeri lain dalam tempoh terdekat.