Oleh: Aida Abd Rahman
Kelebihan kakak yang juga pasangan kembarnya mendapat 8A 1B berbandingnya hanya 3A 6B dalam keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak mematahkan semangat Anis Azuma Che Zulkifli, 15, untuk menyaingi kakaknya, Adni Azuma dalam peperiksaan sebenar.
Pasangan kembar seiras dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, antara pelajar 1,962 seluruh Terengganu yang berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan yang diumumkan serentak, kelmarin.
Anak sulung dan kedua pasangan guru Che Zulkifli Che Abdul Rahman dengan Mazura Mahmud, belajar di kelas yang berbeza di sekolah itu, tetapi banyak menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran bersama sebaik berada di rumah.
Anis berkata dia tidak patah semangat untuk terus menyaingi kakaknya walaupun keputusan Adni jauh lebih baik berbandingnya ketika peperiksaan percubaan.
“Saya cuba membaiki prestasi dan berusaha lebih gigih dengan memberi tumpuan kepada subjek yang saya gagal perolehi A ketika percubaan.
“Saya tidak berasa tertekan walaupun keputusan peperiksaan percubaan antara kami jauh berbeza kerana saya yakin kami mampu mencapai kejayaan dalam peperiksaan sebenar,” katanya.
Katanya, sejak dari awal tahun lagi, mereka memberi tumpuan penuh dalam kelas dan sebarang masalah yang timbul lazimnya akan dibincangkan di rumah bersama kakaknya dengan dipantau kedua ibu bapanya.
Selain mematuhi jadual harian yang disediakan ibu bapa, mereka berdua juga meluangkan masa dengan aktiviti riadah dan kurikulum bagi mengimbanginya dengan akademik supaya tidak berasa tertekan dan sentiasa tenang berdepan dengan setiap peperiksaan.