Halaman

22 December 2011

Masyarakat Cina minat memasak bubur asyura


Masyarakat Cina berketurunan Tionghua turut serta memasak bubur asyura. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Majlis Memasak Bubur Asyura anjuran Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Kumpulan Sultan Sulaiman 78 (SS78) bukan saja disertai peserta Melayu, tetapi turut menarik minat penyertaan masyarakat Cina.

Seorang peserta, Fong Swee Fuan, dari Kumpulan Kaum Tiong Hua, berkata dia bersama beberapa rakan lain begitu teruja dan tidak kekok menyertai program seumpama ini walaupun menjadi kelaziman disertai masyarakat Melayu.

Katanya, dia bersama beberapa rakan lain akan menyertai lagi majlis seumpama itu jika ada mana-mana pihak menganjurkan lagi program berkenaan pada masa akan datang .

“Saya sememangnya menggemari makanan tradisional ini kerana sudah biasa merasai keenakannya sejak kecil lagi.

“Rata-rata penduduk di kampung saya iaitu di Wakaf Tapai tidak akan melepaskan peluang memasak bubur asyura setiap kali menjelang bulan Muharam,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Menurutnya, jika ada penduduk yang bergotong-royong memasak bubur asyura, mereka tidak lupa menghantar makanan tersebut ke rumahnya kerana mereka tahu dia memang menyukainya.

Ng Soo Che, berkata program seumpama ini wajar diteruskan kerana mampu memperkukuhkah hubungan antara pelbagai kaum dan secara tidak langsung mewujudkan semangat 1Malaysia.

“Walaupun berasa sedikit penat dan letih, dia tetap seronok kerana dapat bersama-sama masyarakat Melayu menjayakannya,” katanya.