Satu penemuan baru di Gunung Bewah di Tasik Kenyir – rangka manusia dipercayai berusia antara 8,000 hingga 10,000 tahun milik manusia zaman pra-sejarah – dijangka menjadi satu lagi tarikan ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.
Rangka tersebut yang dipercayai mayat seorang remaja zaman pra-sejarah yang menghuni gua tersebut dan ia ditanam dalam keadaan merengkok (seperti bayi dalam kandungan), masih dikekalkan di tempat asal ia ditemui.
Artifak berkenaan ditemui November dalam kerja-kerja eskavasi yang diketuai Prof Nik Hasan Shuhami Nik Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan bantuan Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
Kerajaan mengumumkan Gua Bewah akan ditutup buat sementara waktu dan akan dibuka semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang melawat artifak itu yang akan menjadi aset penting negeri ini, berkata ia akan dilindungi sepenuhnya oleh pihak berkenaan dan bakal menjadi tarikan pelancong, khususnya pengkaji sejarah dan pelajar, termasuk dari luar negara.
Beginilah rupa artifak rangka manusia remaja pra sejarah yang menghuni Gua Bewah yang kini menjadi aset kerajaan negeri yang sangat bernilai.“Artifak ini akan terus dikekalkan di tempat asal ia ditemui bagi menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan pelancong dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat atifak itu hari ini (6 Februari).
Dato’ Ahmad berkata, ujian DNA yang sedang dilakukan kumpulan pakar luar negara terhadap artifak itu akan diketahui dalam tempoh sebulan bagi mengenal pasti usia sebenar pemiliknya.
“Selepas ini kita akan meletakkan cermin kaca bagi melindungi artifak ini dan orang ramai boleh melihat sendiri penemuan ini,” katanya.
Tulang jari manusia pra sejarah dikatakan lebih besar berbanding manusia hari ini.Beliau turut mengumumkan Gua Bewah akan ditutup buat sementara waktu mulai hari ini bagi mengelakkan sebarang perbuatan khianat terhadap artifak tersebut.
TEGANUKITA_____________________________________________________
Rangka manusia zaman Mesolitik ditemui di Gua BewahHULU TERENGGANU: Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu, yang menjalankan kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir, sejak tiga bulan lalu, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.
Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma), UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, berkata rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.
"Rangka pra sejarah itu ditemui pada kedalaman 65 sentimeter (sm) hingga 70 sm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita telah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.
"Keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan," katanya kepada pemberita selepas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, dan media melawat ke gua berkenaan di sini hari ini.
Nik Hasan Shuhaimi berkata, penemuan rangka manusia pra sejarah ini adalah kali kedua di Tasik Kenyir selepas kali pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyit pada 1975.
Beliau yang mengetuai kerja ekskavasi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd Yusof Abdullah, dan 33 anggota cari gali lain berkata ia adalah penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia.
"Selain rangka manusia turut dijumpai di gua berkenaan adalah serpihan tembikar tanah yang dipercayai dari zaman Neolitik.
"Di antara serpihan tembikar itu terdapat serpihan yang tertulis corak seakan-akan tulisan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha cari gali bagi mencari artifak bersejarah lain.
Katanya, artifak yang ditemui di Gua Bewah tidak akan ditempatkan di muzium, sebaliknya dikekalkan dan diletakkan dalam bingkai kaca untuk tatapan pengunjung.
"Kita tak bercadang untuk bawa pulang artifak yang ditemui dan kita akan kekalkan ia di sini dalam usaha kita menarik kedatangan pelancong ke negeri ini dan ke Tasik Kenyir," katanya.
Bagi meneruskan usaha cari gali artifak bersejarah di gua berkenaan, Ahmad berkata gua itu akan ditutup sementara mulai hari ini kepada orang ramai.
Mengenai cadangan untuk memajukan Tasik Kenyir dengan mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama dan Taman Orkid bagi meningkatkan kedatangan pelancong, Ahmad berkata ketiga-tiga cadangan itu kini dalam proses pelaksanaan.
"Bagi Pulau Burung yang akan mempunyai lebih 40 spesis burung, kita menjangkakan ia akan dapat dibuka kepada orang ramai April ini. Ia kini berada di tahap 85 peratus pelaksanannya.
"Bagi Taman Orkid pula, buat masa ini kita tanam orkid liar dan dijangka dalam tempoh enam bulan kemudian, ia akan turut dibuka manakala Pulau Rama-rama kita akan laksanakan nanti. Semuanya kita laksanakan berperingkat," katanya. - Bernama