Piala Monsun 2010 diteruskan dengan memberi ruang yang seluas-luasnya bagi pembabitan penduduk tempatan mengambil bahagian sama dalam beberapa aktiviti sukan rakyat yang disepadukan dengan kejohanan tersebut.
Kerajaan ingin melihat lebih ramai rakyat tempatan membabitkan diri dalam kejohanan Piala Monson yang akan berlangsung di Pulau Duyong Terengganu pada 30 November hingga 5 Disember tahun ini.
Beberapa acara seperti pertandingan perahu panjang, memancing serta beberapa sukan rakyat dijangka akan mewarnai sepanjang kejohanan yang berprestij itu.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata penglibatan lebih ramai rakyat tempatan
dalam aktiviti sampingan yang disediakan mengambarkan peranan dan sokongan rakyat tempatan lebih meluas berbanding tahun sebelumnya.
“Acara ini mampu mewujudkan 1,722 pekerjaan baru dan kira-kira 600 pekerjaan sampingan diperlukan untuk membantu menyelaras dan melancarkan perjalanan program,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara T-Best dan Media Prima Berhad, di Wisma Darul Iman petang semalam (7 Julai).
Pengerusi T-Best, Tan Sri Sabaruddin Chik dan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A. Talib telah menandatangani perjanjian persefahaman sebagai penyiar rasmi sepanjang kejohanan berlangsung.
Dengan termenterainya penjanjian ini diyakini dapat meningkatkan liputan media cetak dan media elektronik serta kesedaran terhadap acara sukan terbesar yang mampu meletakkan nama Malaysia dan Terengganu di dalam peta dunia.
“Ramai penduduk tempatan berpeluang meneroka bidang perniagaan sendiri berkaitan perlumbaan malah ada yang membesarkan perniagaan kerana kebanjiran pelancong dan penonton dari luar negara,” katanya.
Katanya, pihak hotel juga mendapat faedah kerana sebelum penganjuran Piala Monsun, kadar penginapan bilik hotel kurang 15 peratus ketika musim tengkujuh tetapi kini kebanyak hotel hampir penuh dalam tempoh tersebut.
“Pemilihan Media Prima yang memiliki pakej media lengkap meliputi rangkaian televisyen TV3, NTV7 dan 8TV selain rangkain akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro serta radio HotFM, FlyFM dan OneFM akan menyemarakkan lagi liputan kejohanan itu nanti,” katanya.
Sementara itu, Datuk Ahmad A. Talib berkata pihaknya amat berbesar hati apabila dipilih menjadi rakan media kepada acara sukan bertaraf antarabangsa ini.
“TV9 akan memberi publisiti berkaitan Piala Monsun ini menerusi semua rangkaian stesen di bawah naungan media Prima termasuk rancangan terbitannya seperti Nasi Lemak Kopi O, Berita TV9, Chopp dan pada masa sama akan membuka booth sepanjang acara perlumbaan nanti,” katanya.
Kejohanan edisi ke-6 tahun ini merupakan perlumbaan pusingan ke-10 dan terakhir siri WMRT yang diadakan di Pulau Duyong selepas siri pertama bermula di Perancis, Jerman, Kore Selatan, Portugal, Sweden, Switzerland, Denmark, Bermuda dan China.
TEGANUKITA