Halaman

25 August 2012

25 ekor lembu disediakan untuk jamuan Merdeka Raya Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Sebanyak 25 ekor lembu akan dijadikan sembelihan untuk jamuan peserta dan orang ramai yang menyertai sambutan Merdeka Raya Peringkat Daerah Besut yang akan berlangsung di Pantai Peranginan Air Tawar, Besut,pada 8 September depan.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh itu daripada jumlah itu lima ekor lembu masing-masing disediakan oleh empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi Kuala Besut,Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut. Manakla lima lagi disediakan oleh pejabat khidmat masyarakat Ahli Parlimen Besut.

Katanya, sambutan Merdeka Raya peringkat daerah itu juga akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk perarakan 100 kenderaan yang dihias dengan kreativiti masing-masing.

Menurutnya, kereta berhias disertai oleh 66 jabatan dan agensi kerajaan,50 daripada pihak swasta,Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan UMNO Bahagian Besut.

Katanya, perarakan kereta berhias akan bermula mengikut DUN masing-masing yang dijadualkan pada pada jam 8.30 malam 7 September sehari sebelum program bermula dan akan tamat di tapak perhimpunan di Pantai Air Tawar.

Beliau berkata, kira-kira 20,000 peserta mewakili jabatan kerajaan,swasta dan pertubuhaan sukarela daerah itu dijangka mengambil bahagian dalam perarakan sempena sambutan berkenaan.

Katanya, majlis jamuan pula disediakan oleh jabatan masing-masing dan pengunjung yang datang boleh mendapatkan makanan dan minuman di gerai pilihan mereka pada hari berkenaan.

Berikutan itu,katanya, semua majlis jamuan hari raya yang sebelum ini diadakan di pejabat masing-masnig akan diadakan serentak di tapak sambutan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan tahun ini.

Kampung Gong Gucil dihias Jalur Gemilang


Oleh: Mohammad Ishak 

Semangat patriotik yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Gong Gucil dekat Jertih, yang menghiskan kampung mereka dengan pelbagai bentuk replika dan jalur gemilang sempena sambutan Kemerdekaan Ke 55 patut dipuji.

Ini kerana kampung terbabit kini dipenuhi dengan warna putih merah dan pelbagai replika yang dibina khas oleh penduduk sebagai persediaan untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gong Gucil,Zahari Mat Din berkata,usaha menghiaskan kampung itu dengan aneka replika dan landskap dilakukan secara gotong royong oleh penduduk.

Katanya, tanpa mengira ganjaran penduduk pelbagai peringkat termasuk golongan wanita dan usia emas serta belia berganding tenaga untuk menghiaskan jalur gemilang sekitar perkampungan tradisional itu.

Antara replika yang dibina termasuk menara berkembar, perahu, rebana ubi dan potret pemimpin sebagai penghias di tepi laluan utama jalan raya masuk ke kampung itu.

Zahari berkata, JKKK kampung itu mengeluarkan sedikit pweruntukkan untuk membina replika selain bahan terbuang yang dijadikan hiasan di kampung itu.

“Usaha menghiaskan kampung itu dengan jalur gemilang pelbagai rupa bertujuan membangkitkan semangat penduduk terhadap negara,” katanya.,

Sesiapa sahaja yang melalui jalan utama kampung itu pasti tertarik dengan keindahan kampung berkenaan yang kini bagaikan pesta kerana suasana berbeza yang dapat disaksikan hasil usaha penduduk untuk memartabatkan kampung dan membangkitkan semangat patriotik.

24 August 2012

Pengurusan Hospital Besut (HB) diminta prihatin aduan pesakit



Oleh: Mohammad Ishak 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, mengejutkan pengurusan Hospital Besut (HB) apabila beliau bertindak menemui petugas selepas menerima aduan tidak puas hati daripada orang ramai terhadap hospital itu.

Bukan itu, sahaja beliau juga bersemuka dengan seorang pengadu yang tidak puas hati terhadap layanan kakitangan HB dalam satu pertemuan khas sempena lawatan mengejut beliau ke HB semalam.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut pada sesi pendengaran awam di hospital itu antara beliau,pihak pengurusan dan pengadu mendengar pandangan dan aduan pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah beerlaku di hospital itu.

Berikutan itu, beliau mahu pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menjalankan sisatan segera terhadap semua aduan pesakit yang tidak puas hati dengan mutu perkhidmatan hospital berkenaan yang kini banyak dibangkitkan oleh penduduk setempat.

Katanya, beberapa unit yang sering menjadi tumpuan pesakit termasuk unit kecemasan, pesakit luar dan farmasi hendaklah diberi keutamaan dengan mengutamakan kehendak orang ramai.

Beliau juga meminta pihak HB memandang serius runggutan orang ramai termasuk melalui facebook dan blog walaupun media itu mungkin ada yang tidak mempunyai asas ketika membuat aduan dan komen.

Sementara itu orang ramai khasnya pesakit memuji usaha yang dilakukan Dr A Rahman kerana bertindak pantas untuk menyelesaikan pelbagai perkara yang dibangkitkan mereka terhadap hospital itu.

Beliau juga akan menemui lebih ramai pengadu untuk mendengar sendiri masalah dihadapi dan mereka yang sering menghadapi masalah dengan HB diminta berhubung terus dengan beliau dan disertakan dengan bukti secara bertulis.

23 August 2012

Penyu ceria, Kijang berduka

Oleh: Aida Abd Rahman
Skuad Peteh berjaya membenam musuh tradisi, Kelantan 2-0 dalam persaingan pembuka tirai kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Tanpa menggunakan khidmat pemain pinjaman, skuad kendalian Peter Butler membuka jaringan seawal minit ke-3 menerusi tunggak import, Francis Forkey Doe.

Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, skuad Kijang menggandakan asakan, namun peluang yang terhidang gagal diterjemahkan penyerangnya, Nor Shahrul Idlan Talaha apabila penjaga gol Sharbinee Alawee lebih pantas menerjah bagi menyelamatkan gawang pada minit ke-31.

Skuad Kelantan turut terlepas beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan, sebelum Terengganu cemerlang menjarakkan jurang gol hasil tolakan Ismail Faruqi seminit sebelum perlawanan berakhir.

Jaringan kedua diperolehi akibat kekalutan di depan gol selepas Forkey bijak menggelecek bola untuk menumpaskan barisan pertahanan Kelantan sebelum Ismail Faruqi menghadiahkan kemenangan bergaya membuat pelawat pulang berduka.

Sementara pasukan junior, T-Team terpaksa berputih mata apabila tunduk di tangan Pahang dengan keputusan 3-2 di Stadium Darul Makmur.




SQ2012 perlu penajaan jayakan seminar

Oleh: Aida Abd Rahman

Penganjur Seminar Antarabangsa al-Quran Dalam Masyarakat Kontemporari 2012 (SQ2012) mempelawa badan-badan korporat dan orang perseorangan membantu menghulurkan sumbangan bagi menjayakan seminar itu yang akan berlangsung di negeri ini pada 1 Disember ini.

Pengerusinya Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi berkata SQ2012 yang disertai antaranya The World Islamic Sciences and Education University (Wise)dari Jordan dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), masih kekurangan dana bagi menampung perbelanjaan program itu.

"Kami memang sudah menerima sumbangan daripada beberapa pihak setakat ini,namun ia belum mencukupi kerana untuk menjayakan seminar dwitahunan peringkat antarabangsa itu, ia memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM120,000,"katanya.

SQ2012 anjuran Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan berlangsung dua hari dan dijangka disertai 400 peserta.

Beliau berkata antara objektif seminar ialah membincangkan isu kontemporari menurut perspektif Al-Quran sebagai bukti ketinggian fungsi dan kerelevenan al-Quran sebagai rujukan autoritatif dan autentik dalam segenap aspek kehidupan manusia.





Ucapan selamat Hari Raya

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat

Assalamualaikum, salam lebaran dan salam Merdeka buat rakyat seluruh Terengganu dan juga para belia.

Diharapkan kedatangan Syawal pada kali ini akan memberi seribu rahmat dan makna kepada semua umat Islam.

Kepada perantau, kami sekeluarga mengucapkan selamat pulang dan berhati-hati dijalan raya ketika balik menjalankan tugas di negeri orang.





Lima Atlit anak jati Setiu yang berjaya di Sukma diraikan.



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai lima Atlit anak jati daerah Setiu yang menempah kejayaan dengan memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang baru-baru ini diraikan dalam satu majlis khas semalam.

Mereka yang diraikan itu termasuk atlit dalam sukan sepak takraw,olahraga dan perahu layar menjadi tetamu khas sempena majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri,Abd Halim Jusoh.

Majlis yang diadakan di perkarangan Pusat Aktiviti Adun di Kampung Penarik itu turut dihadiri lebih 8,000 pengunjung yang ingin berhari raya dengan ADUN berkenaan.

Majlis yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 3 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran pelakon dan pelawak tanah air,Sathiya dan Pak Da serta penyampai Terengganu FM,Kak Su yang mengamatkan suasana.

Kehadiran ramai tetamu termasuk pelancong asing memberi semangat kepada Abd Halim dan isteri Rashidah Mokhtar yang sanggup melayani ribuan pengunjung dari awal pagi hingga petang.

Menariknya majlis itu berkonsepkan sambutan 1Malaysia kerana ia disertai rakyat pelbagai kaum dari daerah Setiu.

“Saya amat gembira dengan sambutan yang agak luar biasa tahun ini dan membuktikan penduduk daerah Setiu tetap bersama pemimpin Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir terutama penduduk daerah Setiu kerana memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan majlis sambutan Aidilfitri tahun ini.

22 August 2012

100 Kereta berhias menjadi tarikan Merdeka Raya Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Perarakkan kereta berhias adalah antara acara yang dijangka menarik perhatian orang ramai sempena sambutan Merdeka Raya peringkat Daerah Besut yang akan berlangsung di Pantai Air Tawar, Besut pada 8 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur program,Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, sambutan Hari Kemerdekaan dalam suasana mood Hari Raya itu mampu menarik ramai penduduk tempatan menyaksikan program itu.

Dr Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, sehingga ini sudah 100 kenderaan mendaftar untuk menyertai perarakan kereta berhias mebabitkan jabatan kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah itu.

Katanya, kereta berhias itu akan bergerak dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan menamatkan perarakan di tapak perhimpunan di Pantai Air Tawar.

Menurutnya, pihak penganjur menjangka lebih 20,000 penduduk daerah Besut akan berhimpunan sempena sambutan Kemerdekaan Ke 55 itu.

Selain itu,katanya, semua jabatan dan agensi kerajaan daerah itu akan mengadakan majlis terbuka Aidilfitri di kawasan tapak sambutan bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke jabatan terbabit.

“Berikutan itu semua jabatan kerajaan di daerah ini tidak akan mengadakan majlis jamuan hari raya di pejabat masing-masing sebaliknya akan mengadakan majlis serentak dengan program sambutan kemerdekaan,” katanya

Beliau berkata, jika sambutan Semarak Merdeka pada September tahun lalu diadakan di Bandar Jertih,kaliini ia diadakan di lokasi berbeza iaitu di kawasan pusat pelancongan persisiran pantai.

Perantau nikmati kemudahan sebagaimana anak Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Anak Terengganu di perantauan berpeluang menikmati faedah yang sama sebagaimana rakyat Terengganu yang lain apabila kerajaan negeri bersedia menimbang permohonan mendapatkan pinjaman dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak mereka.

Peluang itu terbuka untuk anak kepada mana-mana anak Terengganu di perantauan yang mendaftar mengundi di Terengganu bermula sekarang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bersedia menimbang sebarang permohonan kepada mereka yang mendaftar sebagai pemilih di negeri ini supaya turut sama menikmati pelbagai kemudahan khususnya pinjaman dan juga biasiswa tajaan Kerajaan Terengganu.

“Apabila sudah mendaftar (pemilih) mereka pastinya dipertimbangkan untuk menikmati biasiswa atau kemudahan lain sebagaimana yang diterima anak Terengganu yang berada di sini.

“Usaha ini bukan sahaja mampu menggalakkan mereka mendaftar sebagai pemilih dan juga pulang mengundi ke negeri kelahiran apabila tiba masa mengundi nanti. (tanggungjawab mendaftar )bukan sahaja kali ini, tetapi juga pada masa akan datang,” kata beliau di sidang akhbar selepas Majlis Aidilfitri YAB Menteri Besar Bersama Perantau, di Permai Hotel, kelmarin (20 Ogos).

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Lembah Kelang (Pesat), Ir Nawawi Embong.

Menteri Besar berkata, anak Terengganu boleh mula mendaftar bermula sekarang dan mereka perlu pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bermula Pilihan Raya Umum ke-14 dan seterusnya nanti.



Pelita raya produk penting dalam TMT

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Pertandingan Pelita Raya menjadi salah satu program penting ketika menyambut Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun depan (2013).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh berkata, konsep pertandingan pelita raya tahun depan juga akan disesuaikan dengan sambutan TMT.

“Pertandingan ini bukan saja setakat menghidupkan tradisi orang terdahulu malah mampu menguji kreativiti penduduk tempatan yang merekacipta pelbagai mercu tanda yang terdapat di negara ini,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya 2012 di perkarangan kediaman Adun Tepoh hari ini (21 Ogos).

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang. Hadir sama To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah.
Menurutnya, dengan menggunakan bahan terbuang kreativiti mereka cukup teserlah kerana ada yang membina menara Kuala Lumpur, , kubah masjid, kapal layar, astaka, penyu dan bangunan Kuala Lumpur City Centrer (KLCC)

Katanya, aktiviti yang dicetuskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Padang Hangus kira-kira 12 tahun lalu kini menjadi satu fenomena baru yang merebak ke beberapa kampung dalam Dun Tepoh.

“Kini sudah ada beberapa kampung di daerah lain di negeri ini mula mengadakan aktiviti pelita raya dan ia satu perkembangan yang membanggakan,” katanya.






52 cabutan bertuah pikat tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 52 hadiah cabutan bertuah menjadi acara penutup tirai yang menghangatkan lagi sambutan Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin (20 Ogos).

Acara yang pertama kali diperkenalkan itu bukan sahaja menyebabkan kira-kira 3,000 tetamu tidak berganjak sehingga berakhir program, malah mencuit hari pemimpin yang hadir dengan reaksi spontan pemenang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Mereka teruja mendapat hadiah menarik disediakan penganjur seperti televisyen, telefon bimbit, mesin basuh dan pelbagai tawaran voucer sumbangan anak syarikat kerajaan negeri.

Bukan sahaja bangsa Melayu, masyarakat Cina turut memeriahkan sambutan itu dan berpeluang memenangi cabutan bertuah berkenaan.

Seorang pemenang, Esah Abdullah, berkata dia sangat bernasib baik apabila namanya tiba-tiba diumumkan sebagai pemenang dan berjaya membawa pulang cenderahati kenang-kenangan sempena majlis itu.

“Saya gembira kerana selepas beberapa tahun menyertai program ini, tahun ini bernasib baik daripada ribuan tetamu yang datang dan membawa pulang hadiah istimewa berupa barangan elektrik sebagai tanda kenangan,” katanya.

Keseronokan itu turut dikongsi seorang lagi tetamu, Nik Rosidi Megat Deraman, yang turut membawa peluang hadiah bertuah berupa periuk pelbagai guna di majlis itu.

“Alhamdulillah daripada ribuan tetamu, saya mendapat satu daripada 52 hadiah disediakan itu. Menarik dan teruja untuk menyertainya lagi,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Ir Nawawi Embong.






Ucapan selamat Hari Raya

Isteri Menteri Besar Terengganu yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi), To’ Puan Norliza Mahmud.
Salam lebaran, Salam merdeka dan Salam 1Terengganu.

Saya dan ahli semua ahli Serikandi mengucapkan selamat menyambut Syawal iaitu bulan kemenangan selepas sebulan berpuasa kepada rakyat Terengganu beragama Islam.

Kepada perantau, jangan lupa meneruskan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sahabat handai dan saudara sepanjang berada di negeri sendiri.






Ucapan selamat Hari Raya


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris.

Saya dan isteri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu yang beragama Islam, khususnya perantau.

Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini setelah sebulan menjalankan ibadah puasa.

Disamping bergembira bersama keluarga, saya harap kita akan teruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah-rumah terbuka untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara kita, terutama sekali dengan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam.

Semoga di hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat.






21 August 2012

5,000 meriahkan sambutan hari raya Dun Tepoh

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Kira-kira 5,000 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh hadir ke majlis sambutan hari raya yang diadakan di kediaman Adun Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh hari ini (21 Ogos).


Majlis yang diadakan serentak dengan penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya itu telah dilakukan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah, pemimpin kanan parti dalam Dun dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).



Majlis yang bermula 10 pagi hingga empat petang itu menghidangkan pelbagai menu seperti nasi minyak, nasi dagang, laksa, ketupat, rendang, satay, kuih muih dan ais krim.






Lebih 100,000 penduduk Besut hadir majlis raya 5 ADUN Parlimen Besut


YB Dr A Rahman Mokhtar menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak

Oleh: Mohammad Ishak 

Kehadiran ribuan penduduk daerah Besut ke majlis sambutan Aidilfitri anjuran empat ADUN dan seorang Ahli Parlimen sememangnya sesuatu yang menarik dan mengkagumkan apa lagi menjelang pilihan raya umum ke 13 (PRU13) tidak lama lagi.

Sambutan disifatkan luar biasa terhadap semua pemimpin UMNO Bahagian itu memcerminkan sokongan rakyat kepada BN tidak pernah luntur sebaliknya semakin meningkat jika diukur dari masa ke semasa.

Tinjuan mendapati semua ADUN termasuk Dato’Seri Idris Jusoh yang mewakili DUN Jertih, ADUN Kuala Besut,Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad dan Ahli Parlimen Besut, Dato’Seri Dr Abdullah Md Zin mendapati ribuan pengunjung memenuhi kediaman masing-asing sejak awal lagi.

Malah, sambutan diluar jangkaan itu juga membangkitkan semangat pemimpin dan jentera parti untuk meraih sokongan rakyat teerhadap keepemimpinan peringkat bahagian, negferi dan pusat khususnya menghadapi PRU13 tidak lama lagi.

Idris mengakui semua rumah ADUN dan Ahli Parlimen yang dikunjunginya sempena sambutan Aidilfitri serentak hari ini dikunjungi ribuan rakyat yang datang dari seluruh pelusuk daerah itu untuk bertemu pemimpin mereka.

Beliau menganggarkan sejak semalam dan hari ini lebih 100,000 penduduk daerah Besut hadir pada majlis berkenaan berdasarkan tempahan makanan dan faktor lain yang menyokong kenyataan beliau.

Sementara itu,Dr Abdullah berkata, beliau yang juga Bendahari UMNO Bahagian sependapat dengan Ketua Bahagian (Idris) sambutan rakyat tahun ini diluar jangkaan dan sesuatu yang menarik untuk dinilai sokongan penduduk kepada kerajaan BN.

Beliau percaya, setiap program yang dianjurkan oleh pemimpin daerah itu sentiasa mendapat sambutan dan sokongan rakyat dan ia menakutkan pihak pembangkang untuk berhadapan dengan semangat orang Besut.

Produk tradisional mampu tarik pelancong

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengenengahkan produk-produk tradisional untuk tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri ini dan juga sebagai tatapan generasi baru.
Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Adun Tepoh, Haji Muhamad Ramli dan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof memberi tahniah kepada pemenang Pertandingan Pelita Raya 2012 selepas majlis penyampaian hadiah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, salah satu produk yang akan dijaga dan disemarakkan ialah Pertandingan Pelita Raya yang menjadi kebanggaan orang-orang terdahulu untuk mewujudkan suasana kemeriahan malam Tujuh Likur pada bulan Ramadan.

“Kerajaan berusaha memberi tumpuan terhadap pembangunan pelancong sebagai sumber baru kepada negeri ,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya 2012 di perkarangan kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, hari ini (21 Ogos).
Hadir sama, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Adun Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Haji Mohd Yusof Abdullah.

Katanya, produk-produk tradisional berpotensi sebagai tarikan orang luar contohnya pertandingan pelita raya yang tidak ada di negeri lain.

Sambil berharap aktiviti pelita raya yang dipelopori di kawasan Tepoh ini diikuti daerah-daerah lain di seluruh negeri.

“Ia menjadi agenda kerajaan menjana pendapatan baru untuk jangka masa panjang dan tidak semata-mata bergantung kepada hasil minyak dan gas sahaja,” katanya.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM340 juta setahun bagi tujuan pembangunan pendidikan bagi membiayai pelbagai keperluan pembelajaran anak-anak tempatan termasuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dalam dan luar negara.

“Selain sumber minyak dan gas kita perlu mencari eltenatif lain sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bahan itu tiada suatu hari nanti,” katanya.






Ismail johan pelita raya kali ke-12 berturut-turut

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA
Ismail dari Kampung Padang Hangus mengekalkan kehebatan memasang pelita raya di malam tujuh likor apabila sekali lagi dinobatkan pemenang dalam Pertandingan Pelita Raya 2012.

Encik Ismail Sulong, 70, dari Kampung Padang Hangus, sekali lagi diangkat sebagai johan dalam Pertandingan Pelita Raya 2012 kali ke 12 berturut-turut.

Beliau bersama keluarga iaitu isteri dan enam anak mengambil masa lima hari menyiapkan replika rumah tradisional menggunakan 450 pelita yang dihasilkan dari bahan terbuang seperti tin minuman dan tali guni sebagai sumbu.

Pertandingan ini telah diadakan sejak 12 tahun lalu dimulai sebuah kampung (Padang Hangus) dan sejak 2009 kerajaan negeri dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) bertindak sebagai penganjur dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000.

Kiraan markah dibuat mengikut kampung dan tiga kampung yang bertanding ialah Kampung Padang Hangus, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Baru Tepoh yang menawarkan hadiah RM2,000 (pertama) RM1,500 (kedua) dan RM1,000 (ketiga) serta RM300 (saguhati)

Kampung Padang Hangus dimenangi Encik Ismail Sulong (johan), Encik Mat Kasim Mat Isa (kedua) dan Encik Rostam Naman (ketiga) serta 12 orang menerima saguhati.
Kampung Pagar Ubi, dimenangi Encik Ismail Abdullah (johan), Tuan Kamariah Tuan Majid (kedua) dan Encik Abu Musa Mohamed Ali (ketiga) serta 12 orang menerima saguhati.

Kampung Baru Tepoh, panel hakim pertandingan sepakat memutuskan tidak ada pemenang bagi tempat pertama, manakala Encik Wahab Abu Bakar (kedua) dan Encik Mohd Rashidi Che Ayub (ketiga) serta enam orang menerima saguhati.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan hadiah kepada pemenang bertempat di perkarangan kediaman Adun Tepoh hari ini (21 Ogos).

Hadir sama, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh dan Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah .





Sambut raya dengan kesyukuran-YB Exco pembangunan infrastruktur

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib mengucapkan selamat menyambut ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran.

Semoga hari raya tahun ini memberi keceriaan dan kegembiraan kepada semua muslimin dan muslimat di seluruh negara, Terengganu amnya dan sama-sama panjatkan doa kehadrat Allah SWT agar keamanan dan kesejahteraan ini terus berkekalan.

Kepada ibu bapa dan anggota masyarakat sentiasa semaikan semangat cintakan negara kepada generasi muda dan raikan lebaran ini dengan penuh kesyukuran.

Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Terengganu, maaf zahir dan batin.




Teganukita 64






RM1.4 juta duit raya untuk orang Bukit Payong

Oleh: Aida Abd Rahman
Seramai 4,694 penduduk di Dewan Undangan Negeri Bukit Payong terus mendapat pembelaan apabila menerima `duit raya’ berjumlah RM1.4 juta yang diagihkan sejak awal bulan ini menerusi empat fasa.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu melibatkan 4,320 penerima dengan peruntukan hampir RM1.3 juta.

Pegawai Penyelaras DUN, Encik Zaidi Muda ,berkata proses pengagihan berjalan lancar dan semua penerima Dana Hari Raya kemungkinan sudah pun berbelanja bagi kegunaan dan persiapan Syawal nanti.

Katanya, peruntukan dana yang semakin bertambah itu membuktikan kerajaan negeri terus memastikan rakyat yang tidak bernasib baik, ibu tunggal dan warga emas yang kurang berkemampuan terbela.

“Kerajaan yang ada pada hari ini tetap mengutamakan kebajikan rakyat. Bagaimanapun, ada segelintir rakyat gagal menterjemahkan sokongan mereka terhadap jasa dan dasar kerajaan yang sentiasa membela nasib mereka itu dengan memberi sokongan kepada parti lawan sehingga DUN berkenaan jatuh ke tangan pembangkang.

“Sokongan daripada rakyat bagi memastikan DUN ini kembali kepada Barisan Nasional (BN) amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan, dasar dan pembangunan untuk rakyat keseluruhannya mampu direalisasikan tanpa ada kekangan pentadbiran dari setiap penjuru,” katanya.

Encik Zaidi berkata, bukan hanya dana raya, kerajaan turut menyediakan pelbagai dana serta peruntukan khas yang lain untuk kegunaan ketua keluarga, isi rumah dan anak-anak khususnya bagi kemudahan pendidikan mereka.




YIT sasar 9,000 kanak-kanak khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 9,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan pusat di Terengganu akan menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran yang dijangka diadakan pada Oktober atau November ini.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional (JPIN).

Berdasarkan rekod, jumlah penyertaan kanak-kanak terhadap program itu semakin meningkat pada setiap tahun berikutan mendapat sokongan dan komiten padu daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin setempat.

Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata program yang mula diperkenalkan pada 2006 itu, hanya 937 kanak-kanak dari tadika YIT yang menyertainya.

“Setahun kemudian iaitu 2007, tadika JPNT dan Kemas bersetuju bersama-sama tadika YIT menyertai program itu dengan jumlah penyertaan seramai 2,010 kanak-kanak.

“Pada 2008 pula, tadika JPIN menyatakan persetujuan ingin bersama-sama tiga tadika lain dengan menjadikan jumlah 2,660 kanak-kanak kesemuanya,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, apa yang membanggakan jumlah itu terus meningkatkan dengan penglibatan keempat –empat tadika iatu seramai 4,622 kanak-kanak pada 2009; manakala 6,246 kanak-kanak (2010) dan pada tahun lalu pula, seramai 7,930 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran.

“Bermula awal persekolahan lagi, mereka mula mengaji dengan bantuan guru tadika masing-masing bagi menguasai al-Quran serta mengamalkan perkara-perkara asas sebagai seorang Islam,” katanya

“Pihak kami yakin dengan adanya program seumpama ini, setiap pelajar di Terengganu mahir membaca al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah dan menengah,” katanya





Berwaspada di jalan raya : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap anak Terengganu di perantauan yang pulang berhari raya ke kampung halaman masing-masing sempena musim perayaan ini supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga terutama di jalan raya.

Beliau berkata, kesesakan yang ketara di jalan raya boleh mengakibatkan pelbagai insiden, namun kejadian tidak diingini boleh dielakkan jika semua pengguna jalan raya mengamalkan sikap berhati-hati dan berwaspada.

Beliau menasihatkan demikian ketika berucap sempena Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin (20 Ogos).

Dalam majlis itu, lebih 3,000 perantau memenuhi dalam dewan utama dan ruang legar hotel bagi menemui pemimpin utama negeri dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud itu, selain menikmati pelbagai juadah menyelerakan termasuk sate, ketupat, lemang, rending dan kuih-muih.

Anak-anak Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Hajah Norliza turut serta dalam program tahunan anjuran Unit Komunikasi Negeri itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Ir Nawawi Embong.