Halaman

21 August 2012

YIT sasar 9,000 kanak-kanak khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 9,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan pusat di Terengganu akan menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran yang dijangka diadakan pada Oktober atau November ini.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional (JPIN).

Berdasarkan rekod, jumlah penyertaan kanak-kanak terhadap program itu semakin meningkat pada setiap tahun berikutan mendapat sokongan dan komiten padu daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, guru dan pemimpin setempat.

Pengarah YIT, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata program yang mula diperkenalkan pada 2006 itu, hanya 937 kanak-kanak dari tadika YIT yang menyertainya.

“Setahun kemudian iaitu 2007, tadika JPNT dan Kemas bersetuju bersama-sama tadika YIT menyertai program itu dengan jumlah penyertaan seramai 2,010 kanak-kanak.

“Pada 2008 pula, tadika JPIN menyatakan persetujuan ingin bersama-sama tiga tadika lain dengan menjadikan jumlah 2,660 kanak-kanak kesemuanya,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, apa yang membanggakan jumlah itu terus meningkatkan dengan penglibatan keempat –empat tadika iatu seramai 4,622 kanak-kanak pada 2009; manakala 6,246 kanak-kanak (2010) dan pada tahun lalu pula, seramai 7,930 kanak-kanak berjaya khatam al-Quran.

“Bermula awal persekolahan lagi, mereka mula mengaji dengan bantuan guru tadika masing-masing bagi menguasai al-Quran serta mengamalkan perkara-perkara asas sebagai seorang Islam,” katanya

“Pihak kami yakin dengan adanya program seumpama ini, setiap pelajar di Terengganu mahir membaca al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah dan menengah,” katanya