Halaman

21 August 2012

Produk tradisional mampu tarik pelancong

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengenengahkan produk-produk tradisional untuk tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri ini dan juga sebagai tatapan generasi baru.
Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Adun Tepoh, Haji Muhamad Ramli dan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof memberi tahniah kepada pemenang Pertandingan Pelita Raya 2012 selepas majlis penyampaian hadiah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, salah satu produk yang akan dijaga dan disemarakkan ialah Pertandingan Pelita Raya yang menjadi kebanggaan orang-orang terdahulu untuk mewujudkan suasana kemeriahan malam Tujuh Likur pada bulan Ramadan.

“Kerajaan berusaha memberi tumpuan terhadap pembangunan pelancong sebagai sumber baru kepada negeri ,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya 2012 di perkarangan kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, hari ini (21 Ogos).
Hadir sama, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Adun Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Haji Mohd Yusof Abdullah.

Katanya, produk-produk tradisional berpotensi sebagai tarikan orang luar contohnya pertandingan pelita raya yang tidak ada di negeri lain.

Sambil berharap aktiviti pelita raya yang dipelopori di kawasan Tepoh ini diikuti daerah-daerah lain di seluruh negeri.

“Ia menjadi agenda kerajaan menjana pendapatan baru untuk jangka masa panjang dan tidak semata-mata bergantung kepada hasil minyak dan gas sahaja,” katanya.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM340 juta setahun bagi tujuan pembangunan pendidikan bagi membiayai pelbagai keperluan pembelajaran anak-anak tempatan termasuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dalam dan luar negara.

“Selain sumber minyak dan gas kita perlu mencari eltenatif lain sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bahan itu tiada suatu hari nanti,” katanya.