“Saya tidak akan melepaskan peluang hadir meraikan majlis seumpama ini jika mendapat jemputan daripada penganjur.
“Apabila berpeluang hadir secara tidak langsung dapat berbual mesra dan mengenali pemimpin-pemimpin Terengganu terutama Menteri Besar secara dekat,” kata perantau dari Selayang, Kuala Lumpur, Ahmad Ambak, 49.
Dia berkata demikian ketika di temui Teganukita di Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.
Lebih 1,000 perantau yang hadir di majlis itu bukan saja dijamu dengan hidangan ketupat, lemang dan rendang malah puluhan juadah tradisional lain.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan anak-anak hadir meraikan perantau.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato' Tengku Putera Tengku Awang; beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dato' Wan Ahamad Wan Muda.
Dikesempatan itu Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Norliza mengagihkan duit raya kepada anak-anak perantau.
Mereka yang dari serata negeri kelihatan berselera menikmati menu seperti tapai, keropok lekor, laksa Terengganu, laksa penang, nasi biriani, sate dan sebagainya yang jarang ditemui di negeri lain.
Perantau yang berasal dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Yap Tian Neo, 47 berkata dia bersama lima lagi ahli keluarga gembira datang ke majlis ini kerana pelbagai persembahan lagu raya dapat di tonton.
“Walaupun kami sekeluarga berbangsa Cina dan tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri, kami gembira kerana dapat bersama-sama orang Melayu meraikannya.
“Tahun depan jika dijemput penganjur pasti kami datang kembali,” katanya yang turut memenangi cabutan bertuah berupa cerek elektrik.
Perantau dari Cheras, Kuala Lumpur, Puan Norhayati Mohamed, berkata dia dan keluarga seronok dapat menghadiri majlis ini kerana berpeluang merasai pelbagai makanan Tradisional Terengganu.
“Laksa Terengganu dan keropok lekor menjadi hidangan wajib bagi kami setiap kali hadir ke majlis ini kerana di Kuala Lumpur sukar untuk mendapatkannya,” katanya datang bersama suami dan anak-anak.