Halaman

06 July 2013

MB lawat mangsa dera

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyifatkan suspek kes penderaan tiga adik-beradik yang berlaku di Perumahan Gong Badak, Kuala Terengganu, sebagai kejam dan tidak berhati perut.



Suspek yang juga pasangan suami isteri bukan saja bertindak memukul, mencucuh puntung rokok, menjirus air panas, mengurung, membiarkan kelaparan selama beberapa hari malah pernah mengantung mangsa yang berusia 7 tahun atau dikenali `Haikal’ di kipas syiling.

 Ketiga-tiga mangsa, termasuk berusia lima dan dua tahun lima bulan itu dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, kini dilaporkan stabil. Hanya Haikal terpaksa menjalani beberapa lagi pembedahan bagi menampal kulit tapak kaki yang dijirus air panas.

Menteri Besar yang melawat mangsa hari ini, berkata manusia normal tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu, apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak yang masih memerlukan belaian manja keluarga.

Katanya, kebiasaanya kes penderaan mudah berlaku akibat sikap seseorang individu itu yang tidak mempunyai hati perut, apatah lagi jika terlibat dengan kes penyalahangunaan dadah..

 “Mereka sudah tidak boleh menilai mana yang baik atau buruk, sebelum melakukan sesuatu tindakan.

 “Seperti kes ini, kita tidak tahu bagaimana mahu menyifatkan perangai suspek yang sememangnya tidak berhati perut, sanggup mendera anak darah daging sendiri, mengikat, menjirus air panas, mengantung mangsa di kipas dan membiarkan anak itu kelaparan.

 “Jika mempunyai sifat kasih sayang dan berperikemanusiaan, mereka tidak akan bertindak kejam sebaliknya mendidik dan membelai dengan penuh kasiuh sayang,” katanya .

 . Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa bersama isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud di Hospital Sultanah Nur Zahirah, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu jiran perlu memainkan peranan penting dalam kes sebegini, jika mengetahui perkara pelik berlaku di sekeliling, usah tangguh untuk melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tidak menjadi parah dan serius.

 “Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan yang diperlukan mangsa sepanjang menjalani rawatan di hospital itu,”katanya.

Dalam akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri yang merupakan suspek kes dera tiga orang kanak-kanak berusia tujuh, lima dan dua tahun lima bulan di Gong Badak dekat sini dikenakan penjara selama 13 tahun (suami) dan 10 tahun (Isteri) akibat kejadian itu

Perintah reman itu dikeluarkan di hadapan Pendaftar Mahkamah, Rosli Ahmad di Mahkamah Kuala Terengganu, baru-baru ini. Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dan juga dikenakan sebatan

. Beberapa hari lalu, lelaki berusia berusia 25 tahun itu ditahan bersama isterinya berusia 28 tahun di sebuah rumah kos rendah di Gong Badak dekat sini, tidak jauh dari kediaman yang mereka sewa, kira-kira pukul 12 tengah hari.

 Kedua-dua mereka yang dipercayai positif dadah jenis methampethamine itu dipercayai cuba melarikan diri bersama dua lagi kanak-kanak berusia lima dan dua tahun lima bulan.

Suspek yang bekerja sebagai buruh itu dipercayai mendera abang kepada dua kanak-kanak tersebut sehingga kritikal sebelum ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan kelaparan di rumah

. Mangsa turut mengalami kecederaan seperti dicucuh puntung rokok, dipukul, kesan melecur disimbah air panas serta lebam di bahagian mata.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan sepasukan anggota polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira pukul 5 petang hasil maklumat jiran yang terkejut melihatkan keadaan mangsa.

 



Jawatankuasa KRT Bandar Jertih lawat Vietnam


Bergambar kenangan di hadapan General Post Office

Oleh: Mohammad Ishak 

Peninggalan sejarah kesan pemerangan di Vietnam mendorong jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih memilih negara itu sebagai destinasi pilihan lawatan ke luar negara.

Lawatan empat hari tiga malam yang disertai 16 ahli jawatankuasa itu juga mencatat sejarah kerana ia KRT pertama di negeri Terengganu ke negara berkenaan.

Setiausahanya, Abd Aziz Hassan berkata, paling membanggakan pihaknya sepanjang tempoh lawatan itu ia disertai jawatankuasa pelbagai kaum melawat pelbagai tempat menarik dan bersejarah yan g boleh dijadikan pengalaman berfaedah.

Katanya, KRT berkenaan juga berusaha sendiri untuk menganjurkan program lawatan kebudayaan itu tanpa menggunakan peruntukan kerajaan.

Menurutnya, antara tempat menarik yang dikunjungi rombongan ialah Pejabat Pos Besar, Saigon Squre, Muslim Mosgue, War Crim Museum, Dong Khoi Street dan Binn Tay Market.

Beliau berkata, pihak KRT itu mengambil masa dua tahun untuk mencari sumber kewangan sendiri bagi membiayai kos lawatan berkenaan yang akhirnya mencapai kejayaan.

Katanya, lawatan itu walaupun singkat tetapi ia banyak memberi pengalaman berguna kepada peserta terutama mengenali budaya hidup poenduduk di negara yang pernah mengalami peperangan itu.

GELOMBAAAAAAANG... BIRU!! KUALA BESUT BERTAMBAAAAAAAH.. BIRU!

Laporan Roslan Rahman dari Kuala Besut:

Laungan ini akan membangkitkan semangat pengundi-pengundi BN di Dun Kuala Besut menjelang pilihan raya kecil.
Semalam laungan itu telah dimulakan oleh Dato' Seri Idris Jusoh selaku Ketua Umno Bahagian dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Kecil itu bagi pihak Barisan Nasional disahut oleh seluruh jentera.

Slogan yang diperkenalkan malam tadi oleh jentera pilihan raya Dun Kuala Besut itu akan menjadi laungan setiap kali perjumpaan untuk meningkatkan semangat petugas petugas BN dan keyakinan hanya BN milik Kuala Besut.

Turut hadir dalam perjumpaan itu, Berndahari Umno Dato' Seri Hanazlah.

Persiapan dibuat bagi menjayakan Majlis Pengisytiharan calon BN pada Selasa ini 9 Julai di Dataran Kuala Besut kira kira jam 2 petang.

Sementara itu pada masa yang sama, Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said malam tadi mengadakan mesyuarat khas badan perhubungan Umno Negeri bagi memastikan BN terus memenangi Dun Kuala Besut dalam PRK 24 Julai nanti.
 

Bahagian-bahagian Umno di seluruh Terengganu digerakkan bagi sama-sama membantu jentera BN di Dun berkenaan menghadapi PRK.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu akan memastikan BN menang cemerlang bagi mengekal kedudukan kerusi 17 – 15 di Dewan Undangan Negeri Terengganu .
Selasa ini Dataran Kuala Besut dan sekitarnya bakal dipenuhi dengan teriakan dan suasana GELOMBANG BIRU, KUALA BESUT BERTAMBAH BIRU pada hari pengumuman calon BN, jamuan rakyat dan pelancaran jentera pilihan raya BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin merangkap Pengarah Jentera PRK BN.
Melihat kepada sambutan dan respon serta ikrar janji ketua ketua cawangan Umno dan jentera Peti Undi, BN dijangka dapat meningkatkan majoriti kemenangan dari 2434 kepada 4000 lebih.
Semua pengundi BN dalam PRU 13 yang lalu akan dipastikan terus mengundi BN, itu antara tugas yang perlu dilaksanakan oleh cawangan cawangan Umno dan jentera akar umbi.




PRK DUN Kuala Besut: BN sasar 4,000 manjoriti


Idris beramah mesra dengan penduduk ketika sin ggah minum pagi di Kampung Seri Kemunting,Kuala Besut.

Oleh: Mohammad Ishak

Barisan Nasional (BN) mensasarkan penambahan 4,000 manjoriti diperolehi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah pilihan raya itu berkata, pihaknya yakin sasaran itu akan dicapai dengan semangat kuat pekerja parti dan sokongan secara berterusan pengundi di DUN Kuala Besut kepada Barisan Nasional.

Katanya,bagi membangkitkan semangat pengundi di kawasan itu BN menggunakan slogan baru :Kuala Besut Terus Membiru” dalam usaha menarik lebih ramai pengundi mengundi calon BN.

Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Besut berkata, beliau sendiri yang kerap turun padang menemui pengundi sudah meminta semua ketua cawangan dan jentera parti mendekati pengundi.

“Pada PRK itu BN tidak akan menganjurkan program besar-besaran sebaliknya jentera parti akan menemui pengundi secara langsung,” katanya kepada media selepas majliis sarapan pagi bersama penduduk di Kampung Seri Kemunting, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Julai hari penamaan calon manakala 24 Julai hari pembungan undi. PRK Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun akibat paru-paru berair.

Idris berkata, BN juga akan mengekalkan manisfesto yang diguna opakai pada PRU13 untuk menarik sokongan pengundi terhadap BN.

Pada PRU13 Dr A Rahman Mokhtar yang mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 selepas mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail dengan manjoriti 2,434 undi.

Mengenai calon BN Idris berkata, tiga nama terdiri daripada anak tempatan yang mempunyai pelbagai profesion sudah dikemukakan untuk pertimbangan  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya yakin siapa sajaha calon BN yang akan dikemukakan ia akan menjadi pilihan pengundi di DUN Kuala Besut kerana mereka mahu kerusi itu terus dikekalkan oleh BN,” katanya.

10 projek bakal dibangunkan PMINT

Oleh: Noraini Jusoh

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membangunkan lima projek perumahan dan lima projek perkedaian membabitkan peruntukan RM80 juta di lokasi terpilih di negeri ini.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda berkata, projek perumahan yang akan dibangunkan ialah di Kampung Tebing Tembah, Paka di Dungun melibatkan 56 unit rumah berkembar yang kini sedang ditender.

"Manakala projek perumahan di Kampung Fikri, Jabor (Kemaman) melibatkan 20 unit rumah berkembar dan 36 unit rumah teres dua tingkat, Kampung Cabang Kertih pula sembilan unit rumah berkembar dua tingkat.

"Projek perumahan di Kampung Balai Besar (Dungun) dan Bukit Kuang (Besut) melibatkan peruntukan RM13 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival PMINT 2013, baru-baru ini.

Katanya bagi projek perkedaian, PMINT akan membinanya di Pak Sabah (Dungun), Permint Perdana di Kampung Batin Seberang Takir (Kuala Terengganu), Bukit Keluang (Besut), pusat pameran di Jalan Kemajuan dan di pekan Kuala Berang (Hulu Terengganu).

"Setelah semua urusan selesai, 10 projek ini dijangka dapat dimulakan akhir tahun ini atau awal tahun hadapan," katanya.

 

TESDEC-TTITC lahir pelatih berkemahiran tinggi dan berdaya saing

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih)

Kejayaan Pusat Perkembangan Latihan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) melahirkan pelatih-pelatih yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing menyebabkan pihak kerajaan negeri telah memutuskan penggabunggan antara  Tesdec  dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTICT).

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata penggabungan ini menjadikan skop latihan Tesdec semakin berkembang dengan melahirkan tenaga mahir dan separa mahir dalam industri berasaskan perkayuan, rekabentuk dan bina bangunan.

“Tesdec akan sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dan keperluan modal insan negara, bagi memastikan objektif utama Tesdec terus releven,” ujarnya di sidang media selepas Majlis Taklimat Kepada Lembaga Pengarah Tesdec di Ri-Yaz Heritage Marine Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


CALON BN PRK KUALA BESUT DIUMUM SELASA INI, 9 JULAI

Laporan oleh: Ruslan Abdul Rahman

Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin merangkap Pengarah Pilihanraya BN dijadual akan mengisytiharkan calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut pada Selasa ini, 9 Julai kira-kira jam 2.30 petang bertempat di Dataran Kuala Besut.
Adalah dijangkakan kira-kira 4 000 orang penduduk Kuala Besut akan hadir di majlis pengumuman calon itu.
 Ini berikutan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 12 Julai, manakala pengundian pada 24 Julai.
 Walau bagaimanapun sehingga ini calon BN bagi PRK itu masih lagi menjadi teka-teki dan akan terjawab pada hari tersebut. Pada masa yang sama Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri jamuan rakyat pada hari berkenaan dan seterusnya melancarkan jentera pilihan raya BN.
 Menurut sumber UMNO Bahagian Besut, penetapan tarikh PRK pada bulan puasa amat dialu-alukan dan semua pimpinan UMNO dalam Dun Kuala Besut berikrar akan meningkatkan majoriti kemenangan ke tahap 4,000 berbanding 2,434 dalam PRU 13 baru lalu.
 Gelombang Biru, Kuala Besut bertambah biru adalah menjadi slogan pilihan BN untuk PRK Kuala Besut ini.

       

05 July 2013

MASJID TERAPUNG DI PULAU PERHENTIAN HADIAH ALLAHYARHAM BUAT PENDUDUK

Laporan: Ruslan Rahman, khas dari Pulau Perhentian


Allahyarham Dr.A Rahman Mokhtar melihat betapa perlunya sebuah masjid yang kukuh dan sempurna lagi indah dibina di kampung kela hirannya Pulau Perhentian, sebuah pulau peranginan yang terkenal.   Cadangannya yang dikemukakan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said mendapat persetujuan, lantas pembinaannya bermula sejak tahun 2011 yang lalu di tepi laut Perhentian Kecil, kawasan yang padat dengan penduduk.
 Bagi menjimatkan kawasan tanah, sebahagian masjid itu dibina di dalam laut di tepi pulau itu menjadikan ia bagaikan masjid terapung menambahkan lagi keunikannya.
 Masjid yang bernilai RM13.5 juta memberi makna yang besar kerana sebagai sebuah pulau peranginan ia juga perlu dilengkapi dengan kemudahan beribadat yang selesa selaras dengan hasrat tidak memisahkan pelancongan dengan keperluan beribadat untuk penduduk dan pengunjung yang beragama Islam.
 Masjid ini dilengkapi dengan dewan dan juga beberapa buah kedai di pinggir laut yang jernih itu sesuai dengan hasrat menjadikan rumah Allah itu tumpuan komuniti.
 Namun tidak siapa yang tahu, ia adalah peninggalan yang menjadi kenangan berharga buat penduduk pulau itu terhadap Allahyarham Dr A Rahman.
 Beberapa orang penduduk memberitahu, Allahyarham sempat bersama mereka beberapa hari sebelum pergi buat selamanya ketika penduduk mengadakan jamuan kesyukuran sempena kemenangan BN di PDM Pulau Perhentian dan Dun Kuala Besut.
 Waktu itu katanya, Allahyarham tidak banyak bercakap dan suara agak tidak berapa jelas, walau bagaimanapun masih tetap menjamah nasi dan gulai yang penduduk sediakan.
  Allahyarham adalah anak jati Kampung Pulau Perhentian dan satu satunya anak pulau itu yang berjaya hingga menjadi seorang doktor. Sesungguhnya sebuah masjid yang menjadi hadiah kepada penduduk kampungnya itu mengiringi pemergian Allahyarham, semoga rohnya mendapat rahmat dan perlindungan dari Illahi.




 




Kerjasama UniKL dan Tesdec mampu lahir modal insan berkualiti tinggi

Oleh; Esah Abdullah

Kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kolej Pusat Pembangunanan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) membolehkan UniKL memain peranan aktif dan menjadi institusi pendidikan tinggi utama negara yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi menjelang 2020.

 Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, usahasama murni yang terjalin ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya percaya sokongan padu kerajaan negeri Terengganu serta komitmen tinggi pihak Tesdec dapat membangunkan golongan Bumiputra baru yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan terutama dalam bidang kimpalan dan teknologi penyelenggaraan automotif,” katanya.

“Saya juga berharap akan lebih banyak program usahasama yang boleh dikendalikan di bawah program francise ini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Majlis Menandatangani Memorandom Perjanjian (MoA) antara UniKL dan Tesdec di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib; Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec Haji Che Razali Adis.

Katanya, program Diploma Teknologi Kimpalan dan Diploma Teknologi Penyelenggaraan Automotif menjadi pilihan utama di UniKL pada setiap sesi pengambilan pelajar baru.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua program ini sememangnya menjadi pilihan utama dalam melahirkan graduan berkepakaran tinggi yang mampu memenuhi keperluan tenaga mahir di negara kita,” katanya.

Menurutnya, MoA ini adalah lanjutan kepada Program Francise bagi Diploma Teknologi Kimpalan dan juga pembaharuan perjanjian Diploma Teknologi Penyelenggaraan Automotif dimana program ini merupakan francise kedua UniKL dan Tesdec.

Katanya, Tesdec menawarkan sijil kimpalan arca logam berperisai, kimpalan aluminium dan persijilan petronas di mana program ini dapat memberi manfaat besar kepada negeri dalam menjana kepesatan ekonomi khususnya lepasan graduan.

“Diploma ini amat relevan sekali kerana Terengganu telah sekian lama menjadi hub industri minyak dan gas negara terutama di kawasan perindustrian Kerteh, Paka dan persisiran luar pantai,” katanya.

Terengganu sokong Perlis haram shisha

Oleh: Suriati Ali

Jawatankuasa Fatwa Terengganu menyokong keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

 Mufti Terengganu, Dr. Zulkifly Muda berkata, bagaimanapun ketika ini, pihaknya tidak bercadang untuk mengeluarkan satu fatwa khusus berkenaan pengharaman shisha memandangkan negeri ini telah mengeluarkan fatwa berhubung hukum merokok adalah haram.

 "Sekitar tahun 1970-an, Mufti Terengganu ketika itu, Syed Yusof Ali Az-Zawawi telah mengeluarkan fatwa bernombor 257 yang mana menyatakan hukum merokok haram jika mendatangkan kemudaratan manakala pada tahun 1975 pula Terengganu juga telah mengguna pakai fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan perkara sama.

"Jadi, tidak perlulah Terengganu mengeluarkan satu fatwa yang khusus berkaitan shisha memandangkan apa yang penting adalah shisha itu sendiri berunsurkan sesuatu yang boleh memudaratkan kepada umat Islam jadi hukumnya adalah haram apatah lagi kemudaratannya lebih teruk daripada merokok," katanya .

 Baru-baru ini, Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr. Juanda Jaya mengumumkan Jawatankuasa Fatwa Perlis telah mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

Pengumuman fatwa itu kemudian turut mendapat perhatian apabila kerajaan negeri Perak menimbang kemungkinan untuk mengikuti jejak negeri itu dan Melaka yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga memaklumkan akan membuat keputusan berkenaan isu tersebut selepas kajian secara menyeluruh dengan melibatkan pandangan pakar kesihatan dijalankan yang kini dalam peringkat akhir manakala Jawatankuasa Fatwa Kelantan masih di peringkat mengkaji status shisha.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, sebelum memutuskan sebarang fatwa, kajian terperinci harus dijalankan dan beliau yakin Jawatankuasa Fatwa Perlis telah memutuskan fatwa itu setelah menilai keterangan pakar.

"Kita menyokong keputusan fatwa itu dengan bersyarat iaitu perkara yang diharamkan itu beri kemudaratan kepada pengguna dan ia jelas terangkum dalam unsur yang sama dengan rokok, jadi, kita boleh guna pakai fatwa yang sama dan jelas shisha adalah haram,"katanya.

 

Kerjasama tiga pihak tambah bekalan tabung darah HSNZ

Oleh: Noraini Jusoh

Kesedaran masyarakat di negeri ini khususnya mengenai kepentingan menderma darah masih kurang apabila hanya sebilangan kecil tampil ke hadapan untuk menunaikan tanggungjawab itu.

Menyedari akan hal tersebut, mendorong Malaysia Airports dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Seberang Takir dan Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengadakan Program Derma Darah bertujuan menambah bekalan tabung darah hospital berkenaan.

Pengurus Malaysia Airports, Dr. Ahmad Ramli Mahmud berkata, kurang pendedahan mengenai perkara itu antara punca masyarakat tidak menyedari akan pentingnya menderma untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Masyarakat kita belum terdedah dengan kepentingan menderma terutama derma darah dan organ. Tidak seperti masyarakat Barat yang sudah ditanam dengan kesedaran tersebut sejak kecil sehingga mereka menganggap pendermaan ini sebagai satu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

"Justeru, pihak kami mengambil inisiatif ini untuk memberi pendedahan kepada orang awam sekaligus menerapkan satu tanggapan positif terhadap kelebihan dan kepentingan menderma darah," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, bekalan darah semakin berkurangan berikutan penggunaannya yang semakin meningkat terutama untuk kegunaan kes kemalangan, hemophilia, anemia dan thalesemia.

Beliau berharap lebih ramai sukarelawan akan tampil untuk menderma darah sekali gus menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Sementara itu, Pegawai Perubatan, Dr. Nurul Nadhihah Adam berkata, kebanyakan sukarelawan yang tampil menderma adalah daripada golongan pelajar universiti yang lebih kesedaran dan pengetahuan mengenai perkara itu.

"Kebanyakan masyarakat berpendapat menderma darah akan menaikkan berat badan dan menjadikan badan kurang sihat.Disebabkan itu, tidak ramai mahu mengambil risiko yang dipercayai bakal memudaratkan mereka.

"Justeru, melalui pembacaan dan pengalaman daripada mereka yang pernah menderma darah amat perlu untuk mengubah pandangan negatif ini," katanya.

Tambah beliau, penderma sukarela yang datang ke hospital pada setiap hari hanya antara 10 hingga 20 orang dan bilangan itu perlu ditingkatkan bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi.

Program derma darah tahunan yang bermula sejak 2009 itu dijangka akan disertai lebih 100 orang awam pada kali ini.

Selain program derma darah, turut diadakan kempen saringan kesihatan, pameran, dan taklimat mengenai keselamatan dan kesihatan daripada agensi yang terlibat antaranya Unit Kebombaan, Unit Keselamatan, Unit Operasi dan Kejuruteraan Lapangan Terbang serta Pejabat Kesihatan Daerah Marang.

 

Tesdec rangka pelan strategik jangka panjang 2010-2015

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Suraya Abd Sukur  (Pelatih)

 Pusat Perkembangan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) merangka pelan strategik jangka panjang bermula 2010 hingga 2015 sebagai hala tuju institusi kemahiran itu selaras dengan keperluan negeri dan negara amnya.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa, berkata pelan strategik tersebut itu menggariskan enam matlamat utama yang menjadi fokus kepada semua warga Tesdec bagi memastikan institusi tersebut terus berkembang dan mampu bersaing di pentas tempatan serta global.

“Tesdec telah menubuhkan Kolej Tesdec bertujuan untuk melahirkan tenaga mahir dan teknologis berkelulusan diploma,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Kepada Lembaga Pengarah Tesdec di Ri-Yaz Heritage Marine Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

YB Mohd Mahdi berkata, setakat ini satu program peringkat sijil dan diploma telah dijalankan di kolej ini iaitu Program Sijil dan Diploma Kejuruteraan Teknologi (Penyelenggaraan Automotif) DET dengan kerjasama UniKL.

Selain itu, beliau berkata Tesdec turut merangka strategi jangka pendek bagi tempoh setahun berdasarkan jangkaan peningkatan pelaburan asing dan domestik tiga sektor utama negeri terutama bioteknologi, minyak dan gas serta perkilangan.

Berasaskan perkara itu, pihaknya merangka beberapa program kemahiran kepada belia lepasan sekolah dan program peningkatan kemahiran berasaskan industri untuk lepasan ijazah dan diploma bagi melahirkan tenaga kerja terlatih selaras dengan perkembangan ekonomi negeri.

 “Bagi program kemahiran kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan golongan pekerja, Tesdec akan memberi tumpuan terhadap tenaga kera di bidang minyak dan gas,” katanya.


04 July 2013

RASUAH BERAS UNTUK PENGUNDI PULAU PERHENTIAN DIKESAN



Oleh: Wartawan Khas PRK
Pembangkang yang sering peralatkan Islam selalu menuduh Umno rasuah kepada pengundi dan kita masih ingat kata-kata pemimpin parti mereka berkata, beri gula kita kacau, beri nasi tanak- yang ditujukan kepada Umno atau BN kononnya merasuah pengundi.
 Rupanya terbukti yang merasuahkan pengundi ialah parti pembangkang berkenaan sendiri.
Ini diberitahu oleh beberapa orang penduduk Pulau Perhentian sendiri tentang kehadiran muslimat  ke kampong mereka, pergi rumah ke rumah memberi beras, gula dan berbagai barangan dapur dan meminta supaya menyokong pembangkang atas nama Islam kononnya dalam pilihan raya kecil tidak lama lagi.
 Seorang pengundi wanita, Zaharah Deraman, 58 tahun memberitahu, muslimat berkenaan datang ke rumahnya meminta supaya menyokong parti pembangkang itu dalam pilihan raya nanti dan memberikan 10 kilo beras kepadanya.
  Pada beg beras itu tertulis Penyayang Islam, suatu lagi perbuatan memperalatkan Islam untuk kepentingan politik.
 Menurut Zaharah yang tinggal di Kampung Pulau Perhentian Kecil,muslimat itu memperkenalkan diri dari Pahang.
 “Orang bagi saya ambillah, soal saya hendak undi mana itu hak saya, walaupun saya angguk je semasa muslimat itu minta saya undi pembangkang,” katanya ketika ditemui.
 Seorang pengundi veteran di pulau itu, Abdul Manan Muda, 80 tahun berkata, "buat apa saya hendak ambil beras sebanyak itu untuk tujuan kempen, lebih baik beri pada orang yang lebih susah dari saya".
 Beliau yang menghuni pulau tersebut sejak tahun 1946 lagi yakin bahawa BN akan tetap menang di pulau itu.
 Perbuatan pembangkang merasuahkan pengundi dengan metarial (kebendaan) seumpama itu ibarat kisah pencuri….dia melaung-laungkan pencuri pencuri!! Supaya orang mengejar orang lain yang dituduh mencuri…rupanya dialah sebenarnya yang mencuri.



MBHA gesa lebih ramai pengusaha hotel berdaftar sebagai ahli

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) menggesa lebih ramai pengusaha hotel bajet di seluruh negeri berdaftar sebagai ahli supaya kepentingan mereka lebih terjamin.

Setiausaha Agungnya, Emmy Suraya Hussein berkata, setakat ini hanya 1800 ahli yang berdaftar daripada kira-kira 6000 buah hotel bajet yang terdapat di seluruh Malaysia dan bagi Negeri Terengganu, lebih kurang 100 buah hotel bajet yang berdaftar dengan MBHA.

"Kita dapati kesedaran pengusaha hotel untuk menjadi ahli masih rendah mungkin disebabkan mereka kurang pendedahan atau tidak faham fungsi persatuan dan keuntungan yang bakal diperolehi sekiranya menjadi ahli persatuan.

"Justeru, menjadi tangungjawab kita untuk memberi pendedahan kepada mereka supaya lebih ramai menjadi ahli dan salah satu cara yang kita buat ialah dengan pergi ke setiap daerah untuk memberi penerangan kepada mereka mengenai kelebihan menjadi ahli persatuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Hi-Tea Sekretariat TMT 2013 bersama Persatuan Hotel Bajet Malaysia, di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Katanya, pihak persatuan juga menyokong kerajaan negeri dalam mempromosikan Negeri Terengganu sempena TMT 2013.

"Kita berhasrat untuk berjumpa dengan ahli-ahli bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi.

"Tujuannya adalah untuk membantu mereka termasuk dalam menaik taraf hotel bajet berkenaan terutamanya dari segi kemudahan prasarana supaya pelancong yang datang ke negeri ini berpuas hati,” katanya.

Katanya, dengan adanya MBHA, kita dapat mengumpulkan maklumat-maklumat berkaitan hotel-hotel bajet ini di bawah satu laman web yang diwujudkan iaitu www.malaysiabudgethotels.com.

"Kepada mereka yang ingin mendapatkan sebarang maklumat berkaitan hotel bajet di seluruh negeri boleh melayari laman web tersebut atau berhubung terus dengan pihak persatuan di talian 03 42528313.

Tambah beliau, sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan di Kuala Besut tidak lama lagi, MBHA akan menyalurkan maklumat mengenai hotel-hotel bajet yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan kepada mereka yang memerlukan dengan bantuan ahli-ahli di Negeri Terengganu,” ujarnya.

 

Istana Bukit Chendering diberi gelaran Istana Syarqiyyah

Oleh: Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih) 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan nama baru bagi Kompleks Istana Bukit Chendering, Kuala Terengganu dengan gelaran Istana Syarqiyyah yang memberi maksud `Permata Timur’.

 Nama baru yang mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu diumumkan pada Majlis Pemasyhuran Nama dan Istiadat Menaikkan Bendera di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.



 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan laungan azan sebagai memberkati majlis.



 Dato’ Haji Mazlan kemudiannya menyerahkan bendera kepada Dato’ Seri Haji Ahmad sebagai simbolik pemasyhuran nama baru istana. Selepas itu, Menteri Besar menyerahkan bendera itu untuk dinaikkan dan dikibarkan diringi dengan lagu `Selamat Sultan’

 






Istana Syarqiyyah masih dalam pembinaan

Suriati Ali dan Nurul Suraya Abd Sukur (Pelatih) 

Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Raya Kuala Terengganu masih lagi dalam pembinaan dan dijangka siap pada Jun tahun depan.



 Pengarah Kerja Raya Terengganu, Dato’ Haji Shafii Mohamad, berkata projek yang dimulakan pada November 2006 itu melibatkan kawasan seluas tiga hektar daripada 42 hektar keseluruhan tapak projek.

 Katanya, skop pembinaan Istana Syarqiyyah membabitkan empat fasa meliputi balai istiadat, istana kediaman, balai Islam, balai nobat, blok pentadbiran, blok pengawal dan blok utiliti.

Kemudahan lain, surau, jalan raya, jambatan dan 480 tempat letak kenderaan.

 “Istana itu masih dalam pembinaan di mana kini sudah berada di fasa ke 4 atau fasa terakhir, sekiranya tiada masalah teknikal, ia dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Fasa empat masih lagi melibatkan tembok penahan, penstabilan cerun, bangunan balai istiadat, bangunan balai islam, kediaman Sultan Terengganu, kerja mekanikal serta elektrikal, kerja hiasan dalaman dan landskap,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

 


BN Terengganu serah PM pilih calon DUN ke Kuala Besut

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mengerakkan seluruh jentera parti untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang kosong setelah penyandangnya Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lalu.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ia lebih meyakinkan apabila Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bertindak selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan dan Ketua UMNO Bahagian Besut Dato’ Seri Idris Jusoh selaku timbalannya.

“Saya yakin kedua-dua pemimpin itu akan meletakkan calon paling sesuai dan berkelayakan serta diterima pengundi untuk bertanding di DUN Kuala Besut nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kolej Tesdec dan UniKL di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, BN Terengganu akan bertindak sebagai jentera yang akan memastikan DUN Kuala Besut kekal di bawah BN dan yakin pengundi di kawasan berkenaan tetap memilih parti memerintah dalam PRK nanti.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai nama calon yang akan bertanding di DUN Kuala Besut Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, ia akan diputuskan oleh presiden parti dan tugas BN Terengganu akan memastikan Kuala Besut kekal di bawah BN.
 

Tesdec tawar diploma selepas capai kolaborasi dengan UniKL




Oleh; Esah Abdullah

Termeterainya dua MoA (Menandatangani Perjanjian) antara Kolej Tesdec Sdn Bhd. dan Universiti
Kuala Lumpur (UniKL) membuka langkah baru dengan menawarkan program Diploma of Engineering Technology (DET) Welding dan Automotif Maintenance di Tesdec sendiri.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Encik Mohd. Mahdi Musa berkata, langkah ini diambil kerana permintaan yang tinggi kalangan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

“MoA pertama sebagai menyambung perjanjian yang pernah dibuat pada 2009 untuk Diploma Automotif Maintenance dan kedua diploma baru Welding,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kolej Tesdec dan UniKL di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, pencapaian ini sangat besar bagi sebuah kolej ‘kecil’ dan anak-anak muda di sini berpeluang mendapat diploma dalam bidang teknikal daripada sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) teknikal ternama milik MARA iaitu UniKL melalui Tesdec.

“Saya harap pemegang diploma teknikal anugerah UniKL akan bertambah pada tahun-tahun akan datang demi memenuhi tuntutan industri dalam dan luar negara,” katanya



 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir selaku saksi MoA. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, YB Ghazali Taib; Ketua Pegawai Eksekuti UniKL, Prof Dr Mazlihan Su’ud dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis.

Katanya, melalui perjanjian (2008), kini seramai 143 pelajar berjaya mengikuti program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance dan 40 pelajar daripada tiga ambilan awal sudah tamat pengajian dan berada di pasaran dalam pelbagai jawatan.

Selain itu katanya, program diploma ini dan program Sijil sains sendiri sudah memperolehi akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) tahun lalu dan UniKL telah mengiktiraf sijil berkenaan sebagai salah satu kelayakan masuk ke program peringkat diploma di UniKL.

“Kejayaan itu sangat besar ertinya bagi Kolej Tesdec yang bagi saya masih kecil saiznya dan terima kasih kepada UniKL yang sanggup berkolaborasi dengan kita,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengharapkan sokongan daripada kerajaan negeri secara berterusan termasuk kewangan bagi melatih lebih ramai belia tempatan dalam bidang kemahiran yang ditawarkan.

Dari segi makro katanya, peruntukan RM1 juta setahun boleh mengeluarkan 30 orang pemegang diploma welding di samping peruntukan pembiayaan modal diperlukan kira-kira RM2.1 juta untuk mewujudkan tiga buah makmal pengujian bagi program ini.

Katanya, dari segi keluaran pada penghujung kursus selama tiga tahun, pelajar program ini akan beroleh diploma daripada UniKL dan sijil profesional yang dikeluarkan oleh badan profesional yang diakui di seluruh dunia untuk kerjaya dalam bidang yang diambil.

 

Tarikh lihat anak bulan Ramadan Isnin, 8 Julai ini

Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa ialah pada petang Isnin, 8 Julai bersamaan 29 Syaaban 1434 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, semalam.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

"Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan, melalui radio dan televisyen," kata kenyataan itu.

Jawatankuasa yang bertanggungjawab akan melihat anak bulan di lokasi berikut:

- Pontian Kecil, Johor; 
- Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka;
- Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan;
- Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor;
- Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor;
- Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor;

 Lokasi lain ialah:
- Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak;
- Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang;
- Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah;
- Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah;
- Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah;
- Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu;
- Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu;
- Pulau Perhentian, Besut, Terengganu;
- Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu;
- Bukit Peraksi, Pasir Putih, Kelantan;
- Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan;
- Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan;
- Tanjung Lubang, Miri, Sarawak;
- Teluk Bandung, Kuching, Sarawak; 
- Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak;
- Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah;
- Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang;
- Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang;
- Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang;
- Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan;
- Menara Kuala Lumpur;
- Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan
- Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.


Kerajaan negeri akan panggil pulang pelajar di Mesir jika keselamatan mereka terancam

Oleh: Noraini Jusoh

Berikutan pergolakan yang berlaku di Mesir pada masa ini, kerajaan negeri akan memanggil pulang pelajar Terengganu yang menuntut di sana sekiranya keselamatan mereka terancam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, kini terdapat kira-kira 300 pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang kebanyakannya belajar di Universiti Al-Azhar, Iskandariah dan Mansoura.

Kerajaan Terengganu akan memanggil pulang pelajarnya di Mesir sekiranya pergolakan terus berlaku di Mesir. - (Gambar hiasan)
"Sejak dua tahun lepas, pihak Yayasan Terengganu tidak lagi menghantar pelajar baharu ke Mesir.

"Yang ada di sana cuma pelajar lama yang berada di tahun tiga hingga tahun lima yang menuntut dalam pelbagai bidang termasuk syariah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa diminta mengulas mengenai keselamatan pelajar-pelajar Terengganu di Mesir, semasa sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Yayasan Terengganu 2013 di Primula Beach Hotel, kelmarin.


Katanya, tindakan samada perlu memanggil pulang atau tidak pelajar-pelajar di Mesir bergantung kepada keputusan daripada kerajaan Persekutuan.

"Kalau kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mereka pulang kita akan berbuat demikian, begitu juga jika keputusan sebaliknya, semuanya bergantung kepada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Katanya, setakat ini tidak ada lagi aduan mengenai ancaman terhadap keselamatan pelajar-pelajar kita disana.

"Keselamatan mereka masih lagi terjamin kerana kebanyakannya tinggal di asrama yang kita sediakan,” ujanya.

 

Dakwat kekal digunakan pada PRK Kuala Besut

Dakwat kekal akan digunakan pada pilihan raya kecil Kuala Besut walaupun beberapa kelemahan penggunaannya dikenal pasti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata penggunaan dakwat kekal sudah menjadi sebahagian daripada peraturan pilihan raya di negara ini dan ia perlu diteruskan kerana jika tidak, sesuatu pilihan raya boleh terbatal atau menjadi tidak sah.

Namun penggunaannya akan diberi penambahbaikan, katanya kepada pemberita pada majlis makan malam bagi meraikan para petugas SPR di Kedah yang berkhidmat semasa PRU13.

"Kita akan cari dakwat yang lebih baik. Ini pengalaman pertama kita guna dakwat kekal, sudah tentu banyak kelemahan berlaku seperti dakwatnya boleh dibasuh, lambat kering dan mengotorkan kertas undi," katanya.

Ketika ditanya mengenai warna dakwat yang bakal digunakan pada pilihan raya kecil Kuala Besut, Abdul Aziz berkata ia tidak boleh diumumkan kerana dikhuatiri akan disabotaj.


Sukma : Acara mendayung jadi lubuk emas Terengganu

Acara mendayung terus menuai emas buat atlet Terengganu pada Sukma ke-16.
Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terus mengukuhkan penguasaan apabila menjadikan acara mendayung sebagai  lubuk emas selepas kejayaan membolot lima emas pada hari terakhir acara itu, di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16, semalam.

'Terengganu Hanelang' muncul juara keseluruhan acara yang berlangsung di Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor dengan pungutan lapan emas dan satu perak.


Pertaruhan Nur Fatiha Che Yon Rosni dalam acara perseorangan wanita scull (W1X) dan double scull (LW2X) oleh gandingan Nor Shazlin Che Adnan dengan Che Ku Nurul Asma' Che Ku Abdullah berjaya menghadiahkan emas untuk Terengganu.

Tiga lagi dayungan emas negeri Pantai Timur itu disumbangkan dalam kategori berempat lightweight wanita
( LW4-), acara berpasangan wanita (W2) dan pasukan lelaki coxed eight.

Ketua jurulatihnya, Encik Mohd Shahrol Mat Saad, 31, berkata kegigihan atlet yang berlatih sejak Disember lalu lagi menjadi penyumbang utama pencapaian cemerlang anak didiknya pada temasya kali ini.

Katanya, kejayaan yang dirangkul turut membuktikan bahawa negeri Pantai Timur itu masih unggul selaku kuasa besar sukan mendayung walaupun muncul beberapa pesaing baharu seperti Johor dan Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, rekod Terengganu tahun ini mengatasi catatan pingat keseluruhan yang diraih mereka pada edisi 2011 di Kuala Lumpur dengan kutipan lima emas, satu perak dan dua gangsa.

Dayungan emas Terengganu itu turut membolehkan juara bertahan Sukma itu unggul menerajui carta kedudukan pingat dengan pungutan 16 pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa.

Wilayah Persekutuan yang menerajui kedudukan pingat sehingga Isnin lalu, sebelum dipintas Terengganu, sehari kemudian kekal berada di tangga kedua dengan pungutan 11 emas, sembilan perak dan 16 gangsa. 

Selain itu, sejumlah 35 pingat keseluruhan ditawarkan hari ini menerusi acara renang berirama berpasukan, polo air lelaki, bola sepak pantai (lelaki dan wanita), kabbadi (lelaki dan wanita) serta Silambam (Thanithiramai Khas Lelaki dan Wanita).


03 July 2013

Kerajaan sumbang RM10,000 kepada keluarga Allahyarham Ibrahim

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju memberi sumbangan RM10,000 kepada keluarga Allahyarham Ibrahim Mohd Taib, 54, seorang pengiat seni teater yang lebih dikenali melalui sajak ‘Orang Ulu’ yang telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan telah putuskan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Mingguan Exco hari ini.

“Kita akan serahkan sumbangan itu kepada keluarga Allahyarham dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian antara Universiti Teknikal Mara Sdn. Bhd (UniKL) dengan Kolej Tesdec Sdn Bhd di Tingkat 18, Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, usaha Allahyarham mempopularkan  loghat daerah Hulu Terengganu melalui sajak-sajak berbentuk nasihat ternyata mampu menarik orang ramai menghayati hasil ciptaannya itu.

Allahyarham Ibrahim yang bekerja sebagai pembantu veterinar di Jenagor, Hulu Terengganu dalam perjalanan pulang ke rumah terlibat dalam kemalangan Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang, Kampung Batu 23 dan meninggal dunia ditempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Sukma: Terengganu pungut 16 emas sehingga jam 3.00 petang

Oleh: Suriati Ali

Terengganu berjaya memintas Wilayah Persekutuan, sejak semalam dengan kedudukan di tangga pertama pungutan pingat Sukan Malaysia(Sukma) yang masuk hari ketujuh, hari ini.

 Kontinjen `Hanelang’ itu menambah enam lagi emas menerusi acara mendayung (lima emas) dan woodball (1 emas) di mana sekali gus menjadikan pungutan keseluruhan 16 pingat emas, 10 perak dan 8 gangsa yang berjaya diraih Terengganu sehingga jam 3.00 petang ini.

 Hari ini, sebanyak 24 pingat emas lagi bakal menjadi rebutan dengan tujuh acara bakal dipertaruhkan iaitu woodball, renang berirama, polo air, gimnastik, bola jaring, mendayung dan softball.

Kontinjen Terengganu kini mengejar kejuaraan kelima berturut-turut demi maruah negeri yang pernah dianggap lemah dalam bidang sukan suatu ketika dahulu.

 Terengganu yakin mampu mengekalkan kejuaraan kerana semua atlet telah membuat persediaan secukupnya untuk memberikan cabaran pada kejohanan itu.

 Pada Sukma kali ini Terengganu yang menyasarkan 30 pingat emas menghantar seramai 330 atlet membabitkan 16 acara sukan.

Pada Sukma di Pahang tahun lalu Terengganu muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut dengan memperolehi 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

 Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.

 

HARGAI DAN JAGAILAH APA YANG TELAH DINIKMATI SEKARANG

Kuala Besut yang aman damai.
Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

 Tidak lama lagi, Terengganu khususnya berdepan dengan satu Pilihan Raya Kecil berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Besut di Terengganu, Allhyarham Dr A. Rahman Mokhtar.

 Ia adalah kekosongan kerusi yang pertama selepas pilihan raya umum diadakan 5 Mei lepas dan menjadikan pilihan raya kecil yang pertama selepas pilihan raya umum ke 13.

 Sama ada di pihak Barisan Nasional atau pembangkang sudah tentu masing-masing akan menyertai pilihan raya kecil itu dan meletakkan calon masing-masing.

 Apa yang kita harapkan ialah supaya proses demokrasi itu berjalan dengan baik tanpa diganggu-gugat oleh sikap dan budaya yang melampau dari kalangan masyarakat kita sendiri.

Bertandinglah secara sihat dan utamakan perpaduan, keselamatan dan masa depan negeri dan negara dan rakyat memperolehi hidup yang makmur sejahtera sentiasa.

 Sebagai sebuah negara yang membangun dan menuju negara maju, seharusnya kita memastikan suasana pilihan raya berlangsung dalam suasana yang baik , aman dan penuh muhibbah.

 Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin berharap rakyat di Dewan Undangan Negeri Kuala Besut membuat pilihan yang tepat untuk masa depan mereka sebagaimana pilihan yang mereka telah buat semasa pilihan raya umum baru lalu.

  Sesungguhnya bukan mudah untuk menstabilkan negara yang berbilang kaum, agama, budaya dan latar belakang kerana banyak cabaran perlu ditempohi bukan sahaja oleh pemimpin tetapi juga rakyat.

  Justeru kekayaan, pertumbuhan ekonomi, pembangunan dikongsi bersama, ini satu cabaran bagi pemimpin untuk menguruskan semua aspek pada masa yang sama, bagi memastikan kestabilan dan keamanan dalam negara.

Kita bersyukur kerana kepimpinan negara kita dapat menguruskan negara dengan baik dan membolehkan semua menjalani kehidupan yang sejahtera di negara ini.

 Jangan sesekali kita terpengaruh dengan golongan yang sentiasa membuat huru-hara dan mengapi-apikan rakyat dengan kebencian terhadap kerajaan, hanya kerana kepentingan politik sempit dan peribadi mereka. Sejarah telah mengajar kita bahawa perpecahan dan persengketaan akan membawa kepada keruntuhan dan kehancuran.

  Apakah kita sanggup menggadaikan masa depan negara kita hanya kerana terikut-ikut dengan golongan yang sentiasa tidak berpuas hati dan tidak memikirkan masa depan bangsa sendiri hanya kerana mahu merebut kuasa.

  Apakah kita lupa bahawa dalam sejarah Melayu, kerajaan dan kesultanan Melayu runtuh hanya kerana persengketaan sesama sendiri, hasad dengki, dendam dan sikap mementingkan diri yang berlaku dari kalangan anak bangsa sendiri.

 Oleh itu marilah kita hayati dan jadikan semua itu sebagai suatu pengajaran penting untuk memastikan bangsa dan negara kita terpelihara masa depannya, yakni bersatulah dan berpadulah untuk masa depan anak cucu kita di masa akan datang.

  Janganlah cuba untuk meruntuhkan apa yang telah kita miliki dan nikmati. Ingat pesan orang tua-tua – jangan kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan.

  Maksudnya jangan kerana terpengaruh dengan janji-janji manis, membuat kita membuang segala yang telah sedia ada dalam genggaman kita.

 Marilah kita memastikan pilihan raya kecil di Kuala Besut nanti berlangsung dalam keadaan harmoni dan jangan ada sesiapa pun yang cuba melakukan sesuatu yang boleh mengancam keselamatan negara dan negeri kita,dengan tindakan-tindakan melampau dan di luar batasan budaya dan agama kita.

 Semoga keamanan, kemakmuran dan kehidupan yang sejahtera bahagia terus menjadi milik kita sebagaimana yang kita sedang nikmati sekarang.