Halaman

05 July 2013

Kerjasama UniKL dan Tesdec mampu lahir modal insan berkualiti tinggi

Oleh; Esah Abdullah

Kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kolej Pusat Pembangunanan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) membolehkan UniKL memain peranan aktif dan menjadi institusi pendidikan tinggi utama negara yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi menjelang 2020.

 Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, usahasama murni yang terjalin ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya percaya sokongan padu kerajaan negeri Terengganu serta komitmen tinggi pihak Tesdec dapat membangunkan golongan Bumiputra baru yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan terutama dalam bidang kimpalan dan teknologi penyelenggaraan automotif,” katanya.

“Saya juga berharap akan lebih banyak program usahasama yang boleh dikendalikan di bawah program francise ini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Majlis Menandatangani Memorandom Perjanjian (MoA) antara UniKL dan Tesdec di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib; Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Mohd Mahdi Musa dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec Haji Che Razali Adis.

Katanya, program Diploma Teknologi Kimpalan dan Diploma Teknologi Penyelenggaraan Automotif menjadi pilihan utama di UniKL pada setiap sesi pengambilan pelajar baru.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua program ini sememangnya menjadi pilihan utama dalam melahirkan graduan berkepakaran tinggi yang mampu memenuhi keperluan tenaga mahir di negara kita,” katanya.

Menurutnya, MoA ini adalah lanjutan kepada Program Francise bagi Diploma Teknologi Kimpalan dan juga pembaharuan perjanjian Diploma Teknologi Penyelenggaraan Automotif dimana program ini merupakan francise kedua UniKL dan Tesdec.

Katanya, Tesdec menawarkan sijil kimpalan arca logam berperisai, kimpalan aluminium dan persijilan petronas di mana program ini dapat memberi manfaat besar kepada negeri dalam menjana kepesatan ekonomi khususnya lepasan graduan.

“Diploma ini amat relevan sekali kerana Terengganu telah sekian lama menjadi hub industri minyak dan gas negara terutama di kawasan perindustrian Kerteh, Paka dan persisiran luar pantai,” katanya.