Halaman

02 July 2013

Pengundi DUN Kuala Besut sambut baik perlantikan Tan Sri Muhyiddin



Oleh: Mohammad Ishak 

Pengundi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, menyambut baik perlantikan Timbalan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengarah pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pelajaran II dilantik sebagai timbalan bagi memikul tugas sama membantu Timbalan Perdana Menteri itu.

Pemimpin komponen BN Kawasan berkenaan menyifatkan perlantikan kedua pemimpin terbabit bagi menjalankan tanggungjawab sempena kempen PRK amat tepat dan sesuai untuk menghadapi suasana berkempen.

Ketua Cawangan UMNO Kampung Lay Out,Tok Saboh, Abdul Rashid Jusoh berkata, pihaknya mengalu-alukan perlantikan kedua-dua tokoh terbabit sebagai pengarah dan timbalan pengarah pilihan raya bagi menggerakkan jentera parti.

Katanya, PRK DUN Kuala Besut yang dianggap penting dan menjadi tumpuan negara selepas PRU13 memerlukan jentera yang kuat dan pemimpin berpengalaman untuk menentukan kemenangan parti.

“Saya yakin kedua-dua pemimpin berkenaan mampu menyusun strategi parti untuk berhadapan dengan pembangkang,” katanya mengulas perlantikan mereka untuk PRK Dun Kuala Besut.

PRK DUN Kuala Besut dijgangka diadakan pada bulan Ramadan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar baru-baru ini.

Abd Rashid berkata, pihaknya juga akan menerima keputusan pucuk pimpinan parti dalam menentukan siapa bakal calon yang mewakili BN pada pilihan raya berkenaan.

Katanya,tugas pemimpin peringkat cawangan hanya membantu jentera parti menjalankan kempen bagi menarik perhatian pengundi untuk menentukan BN terus mempertahankan kerusi terbabit.

Ketua UMNO Cawangan Kampung Baru, Mohamad Abdullah pula berkata, kemenangan BN perlu untuk mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan Terengganu selain meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.