Halaman

15 June 2012

Keropok segera Seameq terkenal di serata negeri

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Mengkomersilkan nama gelaran Semek kepada Seameq nyata membuahkan hasil kepada pengusaha keropok ikan segera berjenama Seameq, Puan Azizah Wan Hasan, 47, berikutan produk beliau kini mendapat tempahan pelanggan sehingga ratusan ribu paket sebulan.

Pada peringkat awal perniagaan keropok segera yang dihasilkan syarikat Maperow Sdn Bhd (Maperow), tidak mempunyai nama atau label berbanding sekarang.

Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan produk itu, mereka hanya memberitahu hendak beli keropok Kak Mek atau keropok Semek.



Bermula daripada situ, suami yang juga Pengurus Maperow, Encik Tajul Ariffin Mohd Rashid mendapat idea melabelkan semua keropok keluaran syarikat itu dengan nama Seameq.

Selama 4 tahun berada di pasaran, keropok Seameq kini semakin dikenali ramai, bukan saja pelanggan tempatan malah sudah memasuki pasaran luar Terengganu, termasuk Sabah dan Sarawak.


Pelbagai pendekatan digunakan Maperow untuk tujuan itu, termasuk menawarkan harga istimewa atau secara pukal kepada puluhan pemborong dan mempromosi keistimewaan produk melalui laman sesawang dan `facebook’.

Apa yang dilaksanakan nyata berbaloi kerana syarikat itu kini terpaksa menghasilkah hampir 7,000 paket keropok sehari semata-mata mahu memenuhi pemintaan pelanggan dan
jumlah sedia ada akan meningkat sekali ganda setiap kali menjelang cuti sekolah.

Maperow yang beralamat Jalan Wan Haji Yakoob, Simpang empat Tok Jiring, Kuala Terengganu turut turut bertintak sebagai pemborong; pembekal hasil laut segar dan sejuk beku; daging import; makanan mentah basah dan makanan kering.

Dengan kekuatan yang dimiliki itu, Maperow berazam melangkah lebih jauh supaya makanan tradisional Terengganu itu terus dikenali ramai termasuk mereka yag tinggal di luar negara.

Pemintaan pelanggan yang semakin meningkat mendorong Puan Azizah untuk mencipta beberapa resipi terbaru iaitu keropok segera berperisa bawang putih dan lada hitam, nuget dan `bugger’ ikan.

Puan Azizah berkata, dia bagaikan tidak percaya apa yang diusahakan sekadar suka-suka dan acuh tidak acuh sewaktu ketika dulu kini berjaya memikat hati ramai pelanggan di serata negeri.


“Kadang-kala saya terpaksa menolak secara baik jika ada pelanggan yang menempah dalam kuantiti yang banyak dan menginginkannya dalam tempoh singkat.

“Kebiasaan pelanggan akan menempah lebih awal iaitu sebulan atau dua bulan lebih awal, jika mereka menjadi keropok Seameq sebagai `buah tangan’ kepada tetamu yang hadir di majlis perkahwinan,” katanya .

Tiada petua istimewaan yang diamalkan melainkan sentiasa bersikap jujur dengan pelanggan, niat kerana Allah sewaktu berurusniaga dan menjaga kebajikan pekerja.

Perkara itu cukup penting bagi setiap usahawan sekiranya ingin mendapat rezeki yang berkat dan diredhai Allah S.W.T.