Halaman

12 June 2012

Guru Kafa jalani kursus pedagogi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan terus memperkasa peranan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini dengan menghantar guru yang baru dilantik menyertai kursus pedagogi sebagai persiapan kaedah mengajar yang lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan penerangan negeri, YB Khazan Che Mat, berkata kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Terengganu (YIT) bekerjasama dengan Institut Perguruan Datuk Razali dan Institut Perguruan Sultan Mizan di Besut bagi menganjurkan kursus itu.

“Jika boleh peruntukan kursus kepada guru Kafa diperbanyakkan lagi pada tahun-tahun akan datang. Sebelum ini Yayasan Islam mengadakan kursus khas, (kursus) pedagogi dengan kerjasama Institut Perguruan di Terengganu menerusi peruntukan yang terhad bagi memastikan ia dijalankan secara berterusan.

“Insya-Allah kalau ada (peruntukan) kita akan buat, mana-mana guru yang baru dilantik dan belum menghadiri kursus berkaitan pedagogi kita akan pastikan mereka akan menghadiri kursus ini supaya mereka mempunyai bukan sahaja kemampuan untuk mengajar, ilmu untuk diajar tetapi juga mempunyai teknik dan cara mengajar yang lebih berkesan,” katanya ketika berucap sempena Kursus Pengajaran Iqra’ dan Majlis Penyerahan Bantuan Kerajaan Persekutuan Kepada Kelas-Kelas Kafa Seluruh Malaysia, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir merasmikan majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohd Nordin Ibrahim.

Kursus pedagogi Kafa ini dilaksanakan setiap tahun melibatkan kira-kira 1,600 guru Kafa seluruh Terengganu di mana setiap Dewan Undangan Negeri diwakili 200 guru.

Dalam perkembangan lain, YB Khazan berkata sukatan pelajaran Kafa di Terengganu melebihi tahap keperluan dan tidak hanya merangkumi Fardu Ain semata-mata, sebaliknya turut mengajar perkara-perkara yang sunat dan Fardhu Kifayah.

“Apabila bercakap mengenai Fardu Ain, kadangkala kita juga `terbabas’. Alhamdulilah, saya bukan mahu mengatakan fahaman kita salah, tetapi apa yang kita ajar di kelas-kelas Kafa melebihi daripada Fardu Ain, kita ajar juga yang Fardu Kifayah tentang perkara sunat sperti solat jenazah, doa tertentu dan sebagainya.

“Tetapi masih ada kita dengar pelajar kita apabila mereka masuk sekolah menengah, di kalangan mereka yang ketinggalan.. tidak pandai solat dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu menilai kekurangan dan masalah itu dengan sebaik mungkin bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikannya tanpa menyalahkan pihak kerajaan.

“Saya percaya ini bukan kerana kesilapan Yayasan Islam atau guru Kafa semata-mata, mungkin faktor lain..faktor keluarga dan sebagainya. Maka ini saya anggap satu cabaran kepada kita untuk kita memperkasakan usaha kita secara bersungguh-sungguh dari segi teknik dan pendekatan,” katanya.