Halaman

10 June 2012

Testbed teknologi bantu usahawan IKS

Oleh; Esah Abdullah

Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berjaya membangunkan sebuah lagi testbed teknologi khusus dalam pemprosesan produk ikan yang bakal menjadi tempat utama melatih usahawan dan bakal usahawan dalam bidang pemprosesan makanan di negeri ini.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr Abd. Shukor Abd. Rahman berkata, sehingga ini terdapat sembilan buah testbed teknologi Mardi di seluruh negara yang bersedia menerima usahawan menjalani latihan sangkut atau kursus teknikal.

“Sistem testbed ini dilengkapi mesin dan peralatan moden untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil,” katanya di majlis Pelancaran Testbed Mardi Terengganu di Stesen Mardi Kuala Terengganu.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mohd Hashim Abdullah.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pemindahan dan Pengkomersialan Teknoogi Mardi, Dato’ Dr. Haji Masri Muhamad; Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Haji Zulkifli Abu Bakar dan Pengarah Mardi Terengganu, Haji Hassan Said.

Katanya, usaha ini untuk merangsang proses inovasi teknologi di kalangan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berkembang dan menghasilkan produk berdaya saing hingga ke pasaran global.

Sehingga ini katanya, 200 pengusaha sedang dibimbing oleh Mardi di seluruh negara bagi memajukan perusahaan masing-masing yang bersedia menyahut saranan kerajaan untuk mentransformasikan perniagaan melalui penggunaan teknologi.

Tambahnya, produk berasaskan ikan menjadi pilihan utama pelancong yang berkunjung ke negeri ini dan ia membentuk satu ruang perniagaan yang mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Berdasarkan faktor inilah testbed telnologi dibangunkan di negeri ini bagi membatu usahawan tempatan menghasilkan produk berasaskan ikan menggunakan teknologi terkini.

“Setiap testbed disertakan dengan manual prosedur operasi standrard (SOP) bagi pemprosesan, mesin dan peralatan serta sanitasi untuk memudahkan pemahaman usahawan semasa latihan amali dijalankan,” katanya.