Halaman

12 June 2012

Kempen 'Beli Jangan, Makan Pun Tidak' sempena Hari Penyu Sedunia

Oleh FAUZI MOHD

Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan kempen 'Beli Jangan, Makan Pun Tidak' terhadap telur penyu sempena Sambutan Hari Penyu Sedunia yang akan disambut di sini pada 16 Jun ini.



Kempen yang akan diadakan di Bazar Warisan berhadapan Pasar Payang itu akan diserikan dengan beberapa aktiviti, termasuk pameran kesedaran tentang penyu, tayangan video, permainan papan dan pertandingan melukis wajah bertemakan 'Seribu Wajah Untuk Penyu'.

Penganjur dalam satu kenyataan berkata, turut diadakan sempena kempen itu ialah penampilan istimewa beberapa anggota skuad bola sepak Terengganu yang mendapat jolokan 'Penyu' iaitu Muslim Ahmad, Abdul Hadi Yahaya, Joseph Kalang Tie dan Ahmad Nordin Alias.

"Majlis penampilan istimewa itu kita akan buat di Pasar Payang dan kita juga akan buat satu sesi menandatangani ikrar bersama skuad Penyu pada majlis tersebut.

"Selain itu, kita turut mengundang pakar motivasi, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj untuk menyampaikan ceramah bertajuk 'Islam dan Pemuliharaan Penyu' sempena kempen itu," katanya semalam.

Tambah beliau, beberapa persembahan termasuk daripada kanak-kanak tadika, penuntut UMT serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga dijangka memeriahkan lagi kempen berkenaan.