Halaman

10 June 2012

Tindakan kurang cerdik, bawa anak sertai himpunan

Oleh: Suriati Ali

Mereka yang menyertai Perhimpunan ‘Himpun dan Ingat’ di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 8 Jun lalu, dianggap kurang cerdik dan membazir masa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dia sedih dengan tindakan segelintir masyarakat yang sanggup membawa anak kecil untuk menyertai perhimpunan itu.

Katanya, mereka tetap berhimpun walaupun menyedari anak kecil yang didukung itu rimas dengan keadaaan cuaca panas dan bunyi bising pembesar suara.

“Saya tidak faham, apa yang mereka inginkan sehingga sanggup menganjurkan perhimpunan seumpama itu, kononnya mahu mencari kebenaran dan keadilan .

“Jika mereka mendakwa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak selamat dan mempunyai unsur rasuah, kita sudah melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biarlah jabatan itu menyiasat,” katanya selepas merasmikan Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia di dewan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan beberapa exco kerajaan negeri.

Kira-kira 2,500 peserta pelbagai peringkat, termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan, belia dan guru hadir bagi mendengar amanat ceramah dua tokoh berpengalaman.

Program itu sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu dakwaan negatif yang ditimbulkan pembangkang terhadap tragedi stadium runtuh adalah mainan politik untuk mereka meraih kepercayaan rakyat.

“Puak itu tidak habis-habis menimbulkan isu sama kerana mereka kini kekeringan isu dan tiada idea untuk memburukkan Umno yang sememangnya memberi banyak kebaikan dan kebajikan kepada rakyat,” katanya.