Halaman

01 July 2010

555 pelajar DUN Ajil dapat e-Book

Oleh: Muhaini Muhammad & Wan Haironniza Wan Naim


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said bersama YB Dato' Rosol Wahid. YB Rozi Mamat dan Tengku Putera Tengku Awang menyampaikan e-Book kepada pelajar sekolah dalam kawasan DUN Ajil, Hulu Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman.
Foto : Zulkipli bin CW. Putera


Seramai 555 orang pelajar telah menerima e-Book dan 3726 orang pelajar telah menerima bantuan pakaian sekolah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Hulu Terengganu.

Majlis yang telah disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said ini dihadiri sama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan berkenaan, Dato’ Rosol Wahid.


Pelajar sekolah bersama ibu bapa menunggu giliran untuk mendapatkan e-Book.

Berucap di majlis yang diadakan baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Diman, Dato’ Ahmad berkata, sebanyak 25 peratus perbelanjaan negeri telah dikhususkan untuk bidang pendidikan sahaja.

“Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk memartabatkan pendidikan dan kecemerlangan anak-anak Terengganu dalam pelajaran,” katanya.


Apa yang dibincangkan oleh Menteri Besar dan ahli DUN Ajil sehingga membuatkan kedua-dua mereka ketawa besar.

Katanya, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bagi memastikan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar negeri ini mengatasi negeri-negeri lain termasuk dalam beberapa peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Beliau berharap dengan penyerahan e-Book kepada para pelajar sekolah rendah ini ia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar kerana selain kandungan buku teks, ia (e-Book) juga mengandungi bank soalan, sehingga 300 ribu soalan dapat diakses oleh pelajar.


Pelajar ditemani ibu bapa mendapatkan e-Book yang disampaikan Menteri Besar Terengganu.

“Apa yang kerajaan negeri jalankan di bidang pendidikan serta ilmu pengetahuan ini adalah selaras dengan hasrat untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu,” jelasnya.


Dato' Ahmad bersama Dato' Rosol bersalaman dengan ibu bapa sebaik tiba di SMK Bukit Diman, Ajil untuk program pengagihan e-Book dalam DUN Ajil.

TEGANUKITA

Saling kerjasama kunci kejayaan Alor Limbat

Oleh : SURIATI BINTI ALI


YB Alias menyambut kedatangan hakim ADC peringkat kebangsaan ke Kampung Alor Limbat, Marang. - Gambar ZULKIPLI PUTRA.

Semangat kerjasama,hidup bermuafakat dan saling membantu tanpa mengira aktiviti atau program merupakan kunci utama Kampung Alor Limbat berjaya menyertai Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) peringkat kebangsaan 2010.

Memiliki taman hutan seluas 1.8 hektar, unit pembersih kampung, jambatan gantung antara keistimewaan yang melayakkan kampung itu memenangi anugerah sama peringkat negeri pada tahun lalu sebelum terpilih ke peringkat seterusnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri, YB Haji Alias Abdullah, berkata pihaknya bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada warga Alor Limbat kerana berjaya membawa imej kampung dan negeri di peringkat antarabangsa.


Penghakiman sedang berjalan bagi memastikan Kampung Alor Limbat berjaya menyertai Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) peringkat kebangsaan 2010.

“Kejayaan ini bukan saja mampu mengangkat martabat malah menonjolkan kelebihan yang ada dan mencari pengalaman untuk terus cemerlang di peringkat lebih tinggi,” katanya ketika berucap di Majlis Penghakiman ADC peringkat kebangsaan 2010, di kampung itu, Marang, hari ini (30 Jun).

Turut hadir Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji A.Rahman Che Ali, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Haji Mat Samat Ali dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.


Mercu tanda Kampung Alor Limbat.

Katanya, semangat kerjasama, saling bergotong-royong yang dizahirkan penduduk kampung bukan semata-mata untuk menyertai sesuatu pertandingan malah setiap hari untuk keselasaan dan kecerian kampung.


Keindahan Kampung Alor Limbat tidak boleh dinafikan lagi.

TEGANUKITA


Adil Agih Bantuan Pelajaran

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kerajaan negeri tetap menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk yang tidak memilih dan memihak kepada wakil rakyat kerajaan demi memastikan semua penduduk menerima keistimewaan serta hak yang sama khususnya dalam aspek pendidikan

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata dalam aspek pengagihan e-Book umpamanya, setiap pelajar Tahun Lima tanpa mengira latar belakang dan kawasan mereka layak menerima kemudahan pembelajaran itu setiap seorang.

“Di Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk lebih RM1 juta dibelanjakan untuk tujuan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pelajaran ini dan kita berusaha menyediakannnya dengan apa cara sekalipun, biarpun tidak dihargai.

“Walaupun tiada wakil BN (Barisan Nasional), kita terpaksa ambil Pegawai Pembangunan Dun, Dato’ Che Mat Jusoh untuk ambil cakna mengenai penduduk di kawasan Batu Buruk,” kata beliau di majlis pengagihan e-Book dan bantuan pakaian sekolah bagi Dun Batu Buruk, di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.

Seramai 819 murid Tahun Lima melibatkan lima sekolah di kawasan DUN Batu Buruk mendapat e-Book, sementara 2,019 murid menerima baucar pakaian sekolah.

Dato’ Ahmad yang berpegang kepada prinsip biarlah manusia tidak tilik pandang setiap kebaikan yang dibuat, setidak-tidaknya Allah swt yang tilik pandang terhadap segala kebaikan itu.

“Biarpun ada di kalangan kita yang tidak menghargai kebaikan dan segala kemudahan yang disediakan (kerajaan), saya tetap menjalankan fardu kifayah ini bagi memastikan rakyat Terengganu akan berubah menjadi lebih baik.

“Kita sanggup menyediakan peruntukan yang besar dalam bajet tahunan (Bajet 2010) untuk pendidikan anak Terengganu dan menjadi negeri ketiga di Malaysia selepas Sarawak dan Sabah, di mana sebanyak RM20 juta kita sediakan (untuk pendidikan),” katanya.

Sementara itu, ketika sidang akhbar Dato’ Ahmad mengharapkan kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dapat dilaksanakan segera selepas masih lagi tertangguh.

Beliau berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang maklumat berhubung kerja-kerja pembersihan runtuhan itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, kelewatan itu dipercayai terlalu ramai kontraktor yang memohon untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan JKR perlu membuat penilaian terperinci sebelum memutuskan kontraktor yang sesuai.

Dato’ Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai kerja-kerja pembersihan bumbung stadium yang runtuh pada 2 Jun tahun lalu masih terbengkalai sehingga kini walaupun laporan kertas siasatan tentang punca kejadian itu diumumkan oleh kerajaan negeri pada April lalu.

TEGANUKITA

Lima portfolio Exco Terengganu bertukar

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said mengumumkan pertukaran lima portfolio Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu yang akan berkuatkuasa 1 Julai 2010.

Pertukaran portfolio berkenaan membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang akan disandang oleh YB Datuk Za’abar Mohd Adib, menggantikan YB Yahya Khatib Mohamad.


Lima exco Terengganu bertukar portfolio iaitu (atas dari kiri) YB Datuk Rahin, YB Asha'ari dan YB Yahya Khatib manakala (gambar bawah dari kiri) YB Rozi dan YB Datuk Za'abar.

Manakala tempat YB Datuk Za’abar diisi oleh YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang menyandang Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani diambil alih YB Asha’ari Idris dan YB Rozi Mamat pula ke Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri menggantikan Datuk Abdul Rahin.

YB Yahya Khatib Mohamad pula berpindah ke Portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri menggantikan tempat YB Asha’ari Idris.

Dato’ Ahmad berkata pertukaran ini bertujuan memantapkan lagi jentera eksekutif dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tiada sebarang pengguguran exco sedia ada.

“Pertukaran ini juga merupakan proses biasa yang berterusan kepada barisan exco kerajaan negeri di samping dapat memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada mereka,” katanya.

Dato’ Ahmad melahirkan keyakinan, penyusunan semula barisan Exco ini dapat memain peranan yang lebih berkesan dalam usaha kerajaan negeri untuk Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.


TEGANUKITA

Kerajaan Buka 40,000 Hektar Ladang Kelapa Sawit di Indonesia

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui syarikat miliknya, TDM Berhad akan membuka ladang kelapa sawit seluas 40,000 hektar di Kalimantan, Indonesia dan fasa pertama 850 hektar telah pun selesai ditanam.

“Tahun ini kita akan tanam 500 hektar lagi,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said kepada pemberita di majlis penyerahan dividen dan keuntungan TDM Berhad kepada kerajaan negeri di Wisma Darul Iman hari ini (30 Jun).

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan juga telah mengenal pasti kawasan seluas 8,000 hektar di Cemerong, Kemaman dan hasil kajian 6,000 hektar sesuai untuk tanaman kelapa sawit manakala 2,000 hektar tidak sesuai untuk tanaman itu.

Dalam majlis itu, Dato’ Ahmad mewakili agensi kerajaan negeri menerima tiga replika cek bernilai RM21.5 juta daripada Pengerusi TDM Berhad, Datuk Roslan Awang Chik. Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail

Ia merupakan pembayaran dividen bagi tahun 2009 kepada Agensi Kerajaan Negeri Terengganu, membabitkan RM14.8 juta, RM1.6 juta kepada Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan RM5.033 juta kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Katanya, lain-lain agensi yang menerima agihan dividen termasuklah Permodalan Terengganu Berhad (PTB), Yayasan Terengganu, Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu dan Pesama Timber Copration.

“Tahniah dan syabas kepada TDM, kerana dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu menarik dan keadaan harga yang tidak stabil tapi masih mampu membuat keuntungan sebanyak RM77.5 juta tahun lalu,” katanya.

TDM katanya, berusaha untuk membuat bayaran dividen sekurang-kurangnya 30 peratus dari keuntungan bersih tahunan disatukan selepas cukai dan faedah minoriti setiap tahun serta bergantung kepada kesediaan hasil yang boleh diagih.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu, TDM membayar dividen 12 sen bersih sesaham, jumlah ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu 10.5 sen sesaham,” katanya.

TDM Berhad adalah syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri dan operasi teras dalam tiga sektor iaitu perladangan dengan mengurus 12 ladang kelapa sawit, penjagaan kesihatan memilik tiga pusat perubatan di Kelana Jaya, Selangor, Kuantan, Pahang dan Kuala Terengganu.

Manakala bahagian makanan, di bawah TDM Poultry di Chendering menternak ayam itik secara intergrasi di samping mempunyai visi mantap dalam aktiviti berasaskan pertanian dan menghasilkan daging ayam itik halal dalam pasaran tempatan.

TEGANUKITA